Sewaktu menghadiri sebutan kes klien saya di Mahkamah Sesyen Jenayah tadi, saya terlihat seorang nenek tua yang hadir untuk menjenguk cucunya yang berada di kandang OKT.
Kelihatan langkahnya sungguh perlahan sambil berpapah. Namun digagahinya jua.
Si nenek sangat rindu dan segera memeluk, mencium pipi cucunya sebaik sahaja cucunya dibawa masuk ke Mahkamah dan ditempatkan di kandang pesalah sambil tangan bergari dengan Orang Kena Tuduh yang lain.
Sedikit pun tidak peduli akan mata mata yang melihat tindakannya. Yang penting rindunya terubat. Tidak kenal erti malu.
Sempat juga dia bertanya khabar dan bercakap sepatah dua kata sambil berlinang air mata dan bibir terketar ketar kerana sebak sebelum dileraikan oleh Polis Mahkamah agar nenek tersebut segera duduk dan menjauhi cucunya kerana Mahkamah akan mula bersidang.
Alangkah sedih dan remuk hati si nenek apabila melihat cucunya yang ditatang ibarat minyak penuh berada dalam keadaan dan situasi begitu.
Tiada siapa mahukan ahli keluarganya menjadi Orang Kena Tuduh (OKT) yang disyaki terlibat dengan jenayah dan ditangkap serta dituduh di Mahkamah.
Jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman penjara/ sebat.
Setiap ibu bapa, atok nenek pasti mahukan anak anak nya cucu cicitnya membesar menjadi insan yang berguna, berjasa kepada agama bangsa dan negara dan bukanlah sebaliknya.
Hanya Allah sahaja yang tahu samada cucu tersebut terlibat atau tidak?
Atau barangkali cucu tersebut hanya berada di tempat dan waktu yang salah sedangkan beliau seorang ‘innocent’.
Kita sebagai anak, cucu jauhilah jenayah, jauhilah tempat tempat zina, maksiat dan perbuatan jenayah sedaya upaya kita untuk mengelakkan sebarang risiko atau perkara yang tidak diingini berlaku.
Kasihanilah orang tua kita yang terpaksa bersusah payah turun naik Mahkamah demi mengikuti perkembangan kes kita.
Terpaksa mengeluarkan wang simpanan tua mereka dalam ASB/ KWSP/ Tabung Haji untuk menguruskan wang jaminan dan lantikan Peguam atau pun membayar denda sedang itu sahaja wang yang mereka ada.
Jika kita tak mampu beri kebahagiaan, kekayaan kepada mereka jangan lah beri kesusahan mahupun beban yang berat untuk mereka pikul.
Janganlah conteng arang ke muka mereka yang dah bersusah payah membesarkan kita dengan peluh dan keringat mereka.
Mereka dah tak bekerja, tak ada sumber pendapatan. Bukanlah golongan kayangan. Duit yang mereka ada itu cukup cukup untuk makan pakai mereka.
Mencegah lebih baik dari mengubat.
Semoga Allah memberikan keadilan sewajarnya kepada mereka yang berada di pihak yang benar.
Semoga Allah memberi kekuatan luar biasa kepada si nenek dan keluarga cucu tersebut kerana terpaksa melalui suatu proses yang panjang bagi perbicaraan kes cucunya.
Sekiranya cucu tersebut benar benar terlibat dengan jenayah tersebut dan dikenakan hukuman penjara/ sebat jika sabit kesalahan, keluar la dia dari penjara kelak dalam keadaan insaf, bertaubat dan berazam untuk menjadi manusia berguna.
Pasti ada hikmah disebalik setiap ujian yang menimpa.
Allah Maha Mengetahui.
Ikhlas,
Peguam Jenayah,
– Nur Shuhadah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit