Saka? No Thank You

Terima kasih pentadbir laman IIUM Confession jika artikel ini disiarkan.

Aku seorang wanita, berumur 35 tahun. Seorang pensyarah bidang sains di salah sebuah universiti di tanah air. Berkahwin dengan cinta pertama dan insyaAllah yang terakhir serta telah dikurniakan 5 orang cahaya mata.

Sebagai seorang yang dibesarkan dalam keluarga yang kuat mengamalkan ajaran Islam, sejak kecil aku telah diajar tentang alam ghaib, alam yang tidak boleh dilihat dengan pandangan mata fizikal.

Jin, syaitan, malaikat, Allah, roh, akhirat, syurga, neraka dan banyak lagi, semua ini tidak boleh dilihat tetapi wajib diimani yakni dipercayai dengan yakin di dalam hati.

Selama ini aku rasakan aku telah beriman tetapi rupanya belum sempurna imanku sehinggalah satu peristiwa yang berlaku di tempat kerja.

Mempunyai latarbelakang pendidikan sebagai pelajar sekolah sains berasrama penuh, melanjutkan pengajian dalam bidang sains, sedikit sebanyak telah membuat aku ‘beriman’ pada sains tanpa sedar.

Dalam sains, semua harus mempunyai bukti dan boleh dibuktikan melalui ekperimen atau di lapangan. Setiap perkara ada penjelasan dan huraiannya menurut sains.

Tetapi bagaimana untuk membuktikan kewujudan syaitan yang berbisik pada hati manusia serta malaikat di bahu kiri dan kanan melalui sains?

Berbalik kepada cerita asal. Sejak kecil aku biasa mendengar cerita-cerita nenekku tentang perbuatan sihir yang dilakukan oleh jiran kepada keluarga kami.

Nenek cakap, dahulu dia selalu siram cuka di sekitar rumah, di tempat-tempat yang dipercayai ada bahan sihir yang ditanam atau diletakkan oleh jiran.

Punca keluarga kami disihir adalah hasad dengki jiran apabila melihat keluarga kami hidup senang. Tidak dinafikan, rumah neneklah yang paling besar di kampung itu.

Emak selalu bercerita, dahulu rumah nenek jadi tempat tumpuan orang. Orang selalu datang meminta pertolongan. Di rumah itu selalu dibuat kenduri kendara.

Ramai orang yang datang. Jika musim buah-buahan, datuk akan agih-agihkan hasil tuaian kepada penduduk kampung. Meriah dan seronok waktu itu, kata emak.

Aku pernah mendengar cerita bahawa kampung nenek dahulu dibuka oleh moyang aku sendiri. Moyang datang dari utara dan merupakan kerabat diraja pada masa itu. Ada peralatan istana yang masih disimpan sampai kini di rumah nenek.

Menurut cerita lagi, semasa membuka kampung dulu, moyang ada meminta bantuan jin untuk menjaga kampung dan anak cucu tapi berpesan supaya jangan kacau anak cucu.

Suatu hari, semasa aku mengemas rumah nenek, aku terjumpa pakaian yang tertulis ayat-ayat al-Quran di atasnya. Tulisan tangan. Tidak kemas tulisannya.

Aku tidak pasti apakah ayat-ayat tersebut. Bila ku tanya pada nenek tentang pakaian tersebut, nenek jawab itu baju arwah moyang dahulu. Ku tanya baju apa? Nenek jawab, ‘Adalah ilmu orang dulu-dulu’.

Di rumah nenek juga ada botol-botol kaca hitam digantung di setiap penjuru bahagian atas dinding rumah. Suamiku pernah ambil dan tuang botol tersebut untuk lihat apa isinya.

Rupanya dalam botol itu ada sehelai kertas yang dilipat-lipat bersama 2 batang paku. Di atas kertas tersebut tertulis ayat-ayat al-Quran. Suamiku tak berani buang botol-botol tersebut. Sampai kini masih ada botol-botol tersebut tergantung di dalam rumah nenek.

Nenek selalu mengaitkan hampir semua perkara buruk yang terjadi pada keluarga kami dengan perbuatan jahat orang. Ikan dalam kolam mati, pokok baru tanam mati, dikatanya orang letak racun.

Jumpa telur bawah rumah atau jumpa telur ayam pecah tepi rumah, orang hantar sihir. Cucu menangis tengah malam, ada ‘benda’ yang menganggu. Makanan cepat basi pun angkara sihir. Macam-macam lagi lah.

Aku selalu positifkan nenek. Tak kan lah semua benda nak dikaitkan dengan sihir dan gangguan makhluk halus. Siapa yang nak buat kita, kenapa mereka nak buat kita? Nenek diam.

Aku pula dapat jawapan kepada soalan-soalan ini selepas apa yang terjadi di tempat kerja ku.

Di tempat kerja, aku selalu makan hati dengan ketua. Ada saja salahku di mata ketua. Aku selalu disindir-sindir dan dijadikan bahan mengumpat.

Ketua pengumpat itu adalah ketuaku sendiri. Bukan aku seorang yang diumpat, tapi hampir kesemua staf pun diumpatnya. Semua orang salah dan tak betul.

Aku juga dibuli. Aku yang banyak disuruh buat kerja tapi akhirnya lembu punya susu, sapi dapat nama. Bekerja dalam persekitaran toksik seperti ini menjadikan aku tertekan dan hampir depres.

Ditambah pula orang-orang yang ku anggap kawan rapat di pejabat, tempat berkongsi cerita suka dan duka, rupanya hanya talam dua muka dan musuh dalam selimut. Tak cukup dengan itu, ketua ku sendiri pengadu domba.

Keadaan mental ku makin terganggu dan celaru. Aku tahu aku perlukan bantuan ketika itu. Aku minta suami bawa aku berubat dengan ustaz. Tapi pastikan ustaz yang benar ustaz, bukan bomoh. Ustaz yang hanya menggunakan ayat al-Quran bukan jampi serapah.

Suami bawa aku ke sebuah sekolah tahfiz. Ada sebuah bilik khas untuk merawat pesakit di situ.

Semasa sesi rawatan, ustaz meminta aku menceritakan apa masalah yang mengganggu ku dan serba sedikit latarbelakang diri dan keluargaku. Kemudian ustaz cuba berkomunikasi dengan jin yang ada dalam badanku, jika ada.

Aku dan ustaz duduk bersila secara berdepan. Suamiku di sebelahku. Selepas ustaz membaca beberapa potong ayat al-quran, ustaz berkata,

‘Jika kau jin dari saka keturunan, angkat jari telunjuk tangan kiri. Jika kau jin dari perbuatan sihir orang, angkat jari telunjuk tangan kanan’.

Secara tiba-tiba, jari telunjuk tangan kiriku bergerak ke atas dengan sendirinya tanpa dapat aku mengawalnya. Aku sendiri terbeliak mata dan hampir ternganga mulut melihat jariku terangkat sendiri ke atas.

Ada lagi beberapa sesi komunikasi antara ustaz dan jin tersebut tapi aku ringkaskan, jin saka tersebut diwariskan oleh datuk moyangku dulu untuk menjaga anak cucu.

Ustaz minta persetujuan aku sebelum buang jin saka tersebut. Ku katakan ‘Buang lah ustaz. Allah sebaik-baik pelindung’. Entah mengapa pada masa itu hati ku terasa amat sayu dan sedih. Hampir saja air mataku menitis.

Kata ustaz, orang yang ada saka memang tidak sebulu dan akan bermasalah dengan orang yang ada saka juga.

Sebelum pulang, aku sempat bertanya pada ustaz ‘Ustaz, macam mana kita nak tahu sama ada jin tersebut menipu atau tidak?’. Ustaz jawab ‘Saya tak suka soalan macam ni.

Apapun saya dah buang jin tu jauh-jauh. InsyaAllah’. Aku beredar dari sekolah tahfiz tersebut dengan hati yang masih belum 100% percaya bahawa itu adalah jin saka keturunanku.

Selepas berubat dengan ustaz, aku tiba-tiba terbayang dan teringat segala perbuatan jahat yang dilakukan oleh ketua tempat kerja ku. Bukan terhadap aku sahaja tetapi kepada semua staf di tempat kerjaku.

Dia selalu menjamu orang makan. Dia pernah tunjukkan aku seketul batu dalam kotak, cincin atau barang kemas dan tiba-tiba aku ‘hilang ingatan’ seperti dipukau serta mengikut sahaja apa yang disuruh.

Aku juga tiba-tiba teringat ketua ku pernah berkata ‘Saya lakukan ini kerana kuasa. Nak orang mudah ikut apa yang saya suruh dan nak orang suka saya’.

Ketua ku pernah cuba memudaratkan bayi yang baru ku lahirkan. Dia tanya aku ‘Bila anak you terpaksa diresusitasi hari tu, pukul berapa?. Aku pun nyatakan bila. Kemudian dia berkata ‘Oh, masa tu I ada di sempadan.

Jumpa seseorang. Sekarang ni bomoh pun nampak biasa saja, tak menakutkan. Sekarang senang nak buat. Gambar ambil di facebook dan insta saja’. Doktor pula menjumpai bendasing berwarna kuning semasa menyedut kahak bayiku yang hampir hilang nyawa.

Doktor tanya padaku benda apakah itu tapi aku sendiri tiada jawapan.

Aku juga teringat, rambut pun aku pernah beri pada ketua ku dulu. Dia menyuruh aku mencabut rambut ku sehelai dan beri kepadanya. Aku tanya nak buat apa. Dia kata bagi sajalah. Aku pun menurut saja macam orang bodoh.

Macam-macam lagi lah yang ku ingat perbuatan dan perkataannya untuk membuat hidupku sengsara.

‘Macam-macam dah I buat pada you, tapi you ni kuat betul ya. Apa yang lindung you?’. Pada masa itu, tanpa aku sedar dan tanpa boleh ku kawal, aku tunjuk ke atas, maksudnya Allah yang menjadi pelindung. Ketuaku berlalu sambil merengus marah.

Ketua ku juga pernah cuba berkomunikasi dengan jin yang ada pada diriku. Jin pada diriku berkata ‘Jangan kacau dia. Dia tak tahu apa-apa.’

Selepas berubat dengan ustaz baru aku ingat semua ini, Jika tidak aku tak ingat apa-apa pun dan seperti orang bodoh. Nak berfikir pun susah dan lambat dan hanya menurut saja kata ketua.

Semasa aku ingat semua ini, aku menangis dalam marah dan kecewa. Pada suami aku hamburkan segalanya. Suami diam dan ku lihat dia mengetap-getap gigi seperti menahan geram.

Dia bersabar dan berfikir panjang sebelum bertindak atau berkata apa-apa. Cukup aku katakan,suami tetap disisi menemani dan membimbing aku.

Aku hubungi nenek di kampung, aku ceritakan semuanya pada nenek tentang apa yang telah berlaku pada diriku dan keluarga. Nenek hanya diam. Aku minta maaf pada nenek.

Sekarang baru benar-benar ku kenal ciri-ciri syaitan, sedar akibat-akibat daripada perasaan hasad dengki, dan sedar kewujudan jin dan syaitan serta apa yang mereka boleh lakukan dengan izin Allah. Imanku bertambah. Alhamdulillah.

Tidak dinafikan, kerana aku sering lalai mengingat Allah sebelum ini membuatkan syaitan mudah menghasut. Kini aku amalkan membaca ayat kursi dan 3 kul setiap kali selepas solat dan sebelum tidur.

Ada hadis-hadis nabi saw yang menceritakan tentang kelebihan ayat kursi dan 3 kul untuk menjauhkan diri dan harta benda daripada syaitan. Syaitan terdapat dari kalangan jin dan manusia.

Allah telah berfirman:

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?” (QS Al-Ankabut:2-3).

Tentang bekas ketua ku dan datuk nenek ku dulu, aku tidak mahu menghakimi mereka. Biarlah Allah yang menghakimi. Sesungguhnya Allah Maha Adil. Kepada Allah aku memohon seadil-adil pengadilan.

Bagi aku dan keturunanku, cukuplah Allah yang disembah untuk memohon pertolongan dan perlindungan. Saka? Tidak, terima kasih.

– Cucu Cicit Kerabat (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *