Salah Ke Aku?

Assalamualaikum semua.. Saya tak mengharap luahan ini akan disiarkan. Cuma sekurang-kurangnya saya dapat luahkan apa yang terpendam dalam hati ini.

Salah ke jika saya terasa hati dengan ibu kandung saya sendiri? Setiap kali saya luahkan yang saya terasa hati pada dia, dia akan kata pada saya,

“Tak payah nak dengki.Tak payah nak iri hati bagai”. Sedangkan saya cuma nak dia tahu yang saya juga nak kan layanan seperti yang adik-beradik saya dapat.

Dari kecil, bila setiap kali saya nak pergi kem atau mana-mana sahaja, saya akan biasakan kemas sendiri barang-barang saya.

Sedangkan bila adik-beradik saya yang lain dapat pergi kem, ibu sayalah yang akan kemaskan dan siapkan segala barang-barang mereka.

Jika saya pertikaikan semua layanan dia terhadap saya dengan adik-beradik saya, dia akan selalu berkata bahawa mereka tak berapa nak reti untuk buat semua. Kesian katanya.

Bila saya bergaduh dengan adik-beradik saya pula, ibu akan sentiasa menyebelahi mereka dengan mengatakan yang saya kena belajar untuk mengalah walaupun terkadang saya sendiri tak nampak dekat mana silap saya.

Apabila saya dapat tawaran sambung belajar di universiti, saya dimarahi oleh ibu sebab universiti saya agak jauh. Dan dia minta saya gunakan duit simpanan saya untuk yuran serta perbelanjaan di universiti.

Sedangkan ketika abang saya dapat tawaran sambung belajar, dialah yang bawa keluar semua kos perbelanjaan di universiti bahkan sanggup keluarkan wang KWSP daripada akaun 2.

Dan sepanjang saya di universiti, ibu saya cuma datang ketika hari pertama pendaftaran dan ketika saya di semester yang terakhir. Berbanding dengan abang saya, ibu saya selalu datang melawat abang.

Bila saya pertikaikan tentang perkara ini dekat ibu, dia akan kata “tak payah nak dengki dengan adik-beradik sendiri”.

Apabila keputusan final exam saya keluar, ibu tak pernah tanya melainkan saya yang beritahunya. Dan bila saya mendapat keputusan yang agak cemerlang, tidak ada sedikitpun riak gembira di wajah dia.

Berbeza dengan abang, dia siap bercerita bangga lagi dekat semua orang tentang kejayaan abang.

Dan kini saya dah bekerja tetapi bukanlah dalam bidang yang saya belajar sewaktu di universiti dahulu.

Gaji pun tidaklah terlalu tinggi. Saya tidak mampu berikan duit yang banyak kepada ibu berbanding dengan abang saya yang bertugas dalam bidang professional.

Sudah semestinya dia akan hulurkan banyak pada ibu. Jadinya mana-mana pun ibu saya pergi bahkan sehingga di media sosial dia akan bercerita tentang kejayaan anak lelakinya.

Salah ke jika saya juga inginkan layanan seperti adik-beradik saya yang lain? Salah ke andai saya berkecil hati dengan ibu saya? Adakah saya yang bersalah kerana dilahirkan dalam keluarga seperti ini?

Seandainya confession ini disiarkan, saya nak ucapkan terima kasih. Kepada pembaca, terpulang pada kalian sama ada untuk kecam atau sebaliknya.

Doakan saya untuk terus kuat dalam menjalani hari-hari yang akan datang.

– Miss B (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *