Assalamualaikum pembaca semua, Maafkan saya, saya tidak pandai menulis ataupun bercerita.
Saya seorang lelaki awal 50-an. Ibu saya pula berumur 81 tahun, seorang ibu tunggal sejak lebih 40 tahun yang lalu.
Sejak November 2020, saya dan abang bergilir-gilir menempatkan ibu kami di rumah masing-masing setiap 3 bulan.
Keputusan ini diambil selepas kakak berbalah besar dengan ibu atas pelbagai isu. Sebenarnya ibu memang tinggal dengan kakak sejak kakak berkahwin lagi.
Ibu yang memang memilih untuk tinggal dengan kakak. Saya sebenarnya telah lama mempelawa ibu untuk tinggal dengan saya semenjak saya masih bujang tetapi ibu enggan.
Tujuh tahun lalu selepas kematian isteri, saya sekali lagi mengajak ibu untuk tinggal dengan saya tetapi ibu cuma betah untuk 2 minggu sahaja sebelum dia meminta saya untuk menghantarnya semula ke rumah kakak.
Untuk pengetahuan pembaca, saya pun sudah bernikah semula 5 tahun yang lalu.
Hubungan kakak dengan ibu memang tidak harmoni sejak kakak muda lagi. Ada sahaja perkara yang mereka berbalah.
Kakak juga suka mengawal pergerakan ibu. Jadi ibu memang jarang datang ke rumah saya ataupun abang.
Saya perhatikan ibu saya jadi terlalu sensitif semenjak tinggal dengan saya. Mulanya saya faham ini psikologi orang tua.
Dia mungkin beranggapan yang dirinya sudah tua dan tidak diperlukan lagi. Tentunya ibu tidak mahu menyusahkan anak-anak, namun apa daya ibu tidak punya rumah sendiri.
Malah ibu pernah memberikan puluhan ribu ringgit kepada kakak untuk kakak membeli rumah. Inilah juga sebab kenapa ibu dahulunya memilih untuk tinggal dengan kakak.
Walaupun ibu telah berusia tetapi dia masih boleh menguruskan dirinya tanpa bantuan seperti berpakaian, makan, mandi dan menggunakan tandas. Ibu saya tiada penyakit kronik yang memerlukan dia ke klinik atau hospital secara tetap.
Saya sekeluarga juga berpesan supaya ibu tidak membuat apa-apa tugasan di dalam rumah seperti membasuh pinggan selepas makan dan lain-lain. Namun ibu suka berdikari.
Apabila ibu tinggal dengan saya sekeluarga, adalah rasional jika ibu mengikuti peraturan rumah (house rules) kami.
Jadi saya sentiasa mengingatkan ibu tentang banyak perkara seperti waktu yang sesuai untuk menonton TV, tanggungjawab selepas menggunakan tandas, tidak membuka pintu kepada orang yang tidak dikenali (saya tinggal di kejiranan yang tidak berpagar) dan sebagainya.
Tujuan saya mengingatkan supaya ibu tidak lupa kerana sesuai dengan umurnya ibu memang selalu lupa dan sering bertanya perkara yang sama. Jika berbual pun ibu akan bercakap topik yang serupa berulang-ulang kali.
Namun setiap kali saya berpesan kepada ibu, setiap kali itu juga dia akan menitiskan air mata. Siap dengan jawapan balas dari ibu,
Contohnya “semuanya tak boleh di rumah kau”, “tahulah aku, tak payah cakap lagi”, “kau ni macam tak suka je dengan aku’ dan lain-lain, termasuk mimik muka tidak suka.
Saya sampai jadi fobia, khuatir kalau-kalau saya telah salah cakap atau bercakap kasar kepada ibu, tetapi ahli keluarga lain yang mendengar tidak pula berpendapat saya berkasar atau salah cakap.
Bila isteri saya berpesan macam-macam perkara pada ibu, tidak pula ibu menangis. Kadang-kadang saya fikir, jika saya mati sekarang mungkin syurga tidak layak untuk saya.
Akhirnya saya sudah malas nak berpesan apa-apa ataupun meluangkan masa dengan ibu. Terpulanglah kepada ibu nak macam mana. Inilah jurang generasi di antara saya dengan ibu.
Saya meluahkan rasa di sini sebab saya rasa letih. Saya masih bekerja dan anak-anak ada yang belum tamat pengajian, jadi tekanan hidup sentiasa ada. Jika saya sudah bersara mungkin keadaan berbeza tetapi kudrat pula sudah berkurangan.
Saya fikir, saya mungkin tidak mampu menjaga ibu jika saya sendiri pun akan meniti usia emas kurang dari 10 tahun.
Memang betul, kita belum tahu lagi, masa tua nanti bagaimana keadaan kita. Tetapi tidak salah jika sebagai orang tua kita boleh berfikiran terbuka dan adaptasi dengan kehidupan baru.
Orang tua juga perlu bersedia untuk merasai kekosongan dalam hidup apabila anak-anak telah dewasa dan mempunyai kehidupan mereka sendiri.
Setiap hari masa perlu diisi dengan perkara-perkara bermanfaat termasuklah hobi supaya rasa sunyi atau kosong itu dapat dihindari.
– Mr. M (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit