Assalamualaikum wbt. Terima kasih IIUM Confession kerana sudi siarkan kisah luahan aku. Sedikit pengenalan tentang diri aku, aku Maryam, insya-Allah Dr-to-be.
Ada sebab aku sengaja “highlight” latarbelakang pendidikan aku. Aku bukanlah nak buat luahan sekadar “sembang kosong” dan mencari like yang banyak.
Maaf jika bahasa yang digunakan kedengaran agak kasar, aku lembut je orangnya tapi tegas dalam pendirian. Post agak panjang, bagi yang sudah membaca, boleh tolong ringkaskan di bahagian komen. Terima kasih diucapkan atas kesudian membaca luahan aku.
Luahan ni bukan tentang aku sebenarnya. Aku mencari tempat untuk aku sampaikan rasa kecewa dan tanggungjawab sebagai ahli masyarakat. Aku bukanlah anak orang kenamaan atau mempunyai kabel setinggi bangunan Burj Khalifa.
Aku sekadar ikan bilis je walaupun ikan bilis sekarang harganya agak mahal. Aku kongsi cerita keluarga aku di bahagian 1, kemudian cerita mereka yang teraniaya di bahagian 2. Jemput baca ye.
Bahagian 1:
Allah menguji aku sekeluarga dengan abang aku. Abang aku sudah berkahwin dan mempunyai cahaya mata.
Beberapa tahun kemudian, berlaku salah faham antara abang dan kak ipar aku. Kami sekeluarga tidak rapat. Ketika senang, abang aku lebih luangkan masa bersama keluarga kak ipar aku.
Mereka bergaduh dan abang aku membawa diri. Kak ipar aku bertegas untuk tinggal bersama keluarga dia. Rentetan dari pergaduhan yang berlaku, abang aku terjebak dengan najis dadah. Dipendekkan cerita, abang aku ditangkap dan dipenjarakan.
Apabila keluar dari penjara, alhamdulillah abang aku benar-benar insaf. Kami sendiri menjemput dan sempat tinggal bersama selama 3 hari. Keluarga aku menerima abang aku dengan tangan terbuka.
Abang aku sendiri terkejut apabila keluarga tidak membuang dia. Isteri dia? Diam seribu bahasa. Mereka tidak berpisah tapi tidak berhubung sekian lamanya.
Abang aku hanya tinggal dirumah, menangis terharu keluarga melayan dengan penuh kasih sayang. Dia hanya tinggal dirumah sehinggalah kami menghantar abang aku di recovery care centre. Kami takut jika abang aku tinggal di negeri yang sama, dia akan terjebak lagi.
Disini, mereka menjanjikan pekerjaan kepada bekas banduan, memberi tempat tinggal serta makan. Mereka menawarkan perkhidmatan membantu bekas banduan ini untuk membina hidup baru. Aku dan kakak aku kagum pada misi dan visi pertubuhan ini.
Kami pun mengambil keputusan untuk menghantar abang aku disana. Ternyata selepas menghantar, semuanya indah khabar dari rupa. Aku dan kakak terkejut kerana kerajaan juga memperuntukan bajet pada pertubuhan ini.
Hari Pertama
Pendaftaran abang aku di tempat tersebut. Mereka mendakwa akan membantu bekas banduan mendapatkan peluang pekerjaan dalam masa tempoh dua minggu.
Mereka akan memastikan bahawa mereka-mereka yang baru keluar ini tidak akan dibuli oleh majikan serta tidak dipandang rendah oleh orang lain.
Sampai disana, mereka menyelongkar beg pakaian abang aku untuk memastikan tidak membawa bekalan dadah. Aku dan kakak ok je, baguslah mereka bertindak tegas.
Hari Ke-2
Semuanya berjalan lancar dari pagi sehinggalah ke petang. Waktu malam segalanya berubah.
Hari Ke-3
Kami sekeluarga tidak lagi dapat menghubungi abang aku. Abang aku baru sahaja membeli telefon bimbit dengan gajinya yang dulu. Kami sekeluarga mulai risau. Apa yang telah berlaku?
Hari Ke-4
Kami menghubungi penyelia disana. Katanya, telefon bimbit abang aku dirampas kerana abang aku melanggar peraturan program. Abang aku menumbuk peserta program lain. Kami akur.
Katanya lagi, dia akan memaklumkan kami sekeluarga jika ada apa-apa perkembangan baru mengenai abang aku.
Akhirnya, setelah berminggu-minggu berlalu, kesabaran kami kian menipis. Kami menghubungi penyelia tersebut untuk bertanya mengenai telefon bimbit abang aku. Bagaimana keadaan abang aku? Kami sekeluarga mulai risau kerana abang aku benar-benar ingin berubah.
Dalam telefon bimbitnya tersimpan memori, gambar serta video anak lelaki yang sangat dirinduinya. Kalaupun berbuat kesalahan, sekarang sudah lebih 3 minggu untuk menyimpan telefon bimbit berkenaan.
Kemudian, bermulanya drama Melayu mengenai telefon bimbit ini. Kami menghubungi banyak pihak, dari bahagian pengurusan program, HR, sehinggakan kepada pegawai jabatan penjara. Akhirnya, ada yang mengaku bahawa telefon bimbit abang aku hilang.
Katanya tidak sengaja, tersilap letak. Hanya telefon bimbit abang aku sahaja yang tidak dikembalikan. Pegawai tersebut mendedahkan bahawa kesalahan yang abang aku buat sebelum ini adalah mengambil dadah.
Jadi, disebabkan itu mereka mengambil tindakan tegas. Aku dan kakak mulai hilang sabar. Bertanyakan hal telefon bimbit, diubahnya topik. Kalau dah hilang, ganti lah balik. Bab kesalahan tu pula?
Dari celah mana abang aku boleh dapat bekalan melainkan tempat tu sendiri yang bekalkan. Mereka sendiri yang menyelongkar beg abang aku, kononnya pastikan abang aku “clean”. Drama sungguh.
Tanpa membuang masa, aku dan kakak terus membuat recovery report. Kami sungguh kecewa atas sikap pengurusan dan kecuaian dalam menguruskan peserta program dibawah dijagaan mereka.
Bagi aku, jika mereka tidak mampu, kenapa harus mengambil tanggungjawab ini untuk menjaga peserta program?
Setiap kali kami ingin mendapatkan kepastian, mereka hanya akan menjawab semuanya dibawah seliaan Dato’ Seri. Bila kami sendiri menghubungi Dato’ Seri, mereka pulak ibarat cacing kepanasan. Respon daripada Dato’ Seri juga sangat mengecewakan.
Pengurusan hanya bertanya bagaimana kami mendapatkan no telefon bimbit beliau. Membekalkan dadah kepada peserta program adalah satu jenayah.
Bagaimana kerajaan boleh memberi insentif kepada pertubuhan ini jika mereka sendiri tiada keupayaan dalam menguruskan peserta program?
Dato’ Seri tersebut juga memaklumkan abang aku bahawa kontrak program selama 12 bulan, abang aku tidak boleh keluar dari program tersebut. Aku dan kakak hanya tertawa. Aku dan kakak sudah lama bertanya tentang kontrak program, dan “offer letter”.
Kata pengurusan, semuanya sudah disiapkan tapi mereka agak sibuk dengan pengambilan ramai lagi peserta dari penjara. Bagi aku dan kakak, peserta sedia ada pun tidak terjaga, kemudian menambah lagi peserta baru?
Aku dan kakak tekad mengambil semula secara baik. Kami sendiri hantar ke sana dengan cara baik, kami juga pergi mengambil abang aku dengan cara baik. Aku tidak mahu abang aku terseksa disana.
Bahagian 2
Aku dan kakak jumpa ramai peserta. Aku sendiri melihat sendiri tempat kerja dan ruang mereka bekerja. Mendidih hati aku melihat anak-anak bangsa yang dilayan seperti “hamba”. Mereka bukanlah keluarga aku, tapi aku merasa kepedihan tu.
Sebahagian mereka sudahpun mempunyai keluarga dan ada yang anak yatim piatu. Aku sudah menjangkakan semua ini hanya untuk mendapatkan “free labour”.
Kilang yang sepatutnya memberikan gaji termasuk OT bernilai RM2000, peserta-peserta ini hanya akan dibayar separuh sahaja. Ya, peserta-peserta ini adalah pesalah, melakukan kesalahan. Tapi mereka sudahpun dikenakan tindakan.
Ramai sahaja orang berpangkat besar melakukan jenayah tapi masih berbangga seperti tidak melakukan kesalahan. Sekurang-kurangnya mereka semua ni ingin berubah dan menjadi lebih baik.
Gaji mereka dilewatkan serta ditangguhkan. Mereka dijanjikan bulan dan bintang. Ketirisan berlaku apabila Dato’ Seri hanya datang memberi gaji secara “by hand”.
Ada yang tidak mendapat gaji selama dua bulan dan hanya menunggu ditawarkan pekerjaan. Jadi, sambil tunggu peluang pekerjaan, tiada pulak aktiviti untuk menyibukkan mereka.
Akhirnya, peserta kecundang mulai terjebak dengan dadah dan arak. Pengurusan hanya menjalankan tugas sambil lewa. Peserta juga diremehkan juga apabila mereka meminta gaji RM150.
Pengurusan hanya melayan acuh tak acuh. “Ala, RM150 je pun, esok esok pun boleh bayar.” Sampai kesudah tak dibayar pun.
Aku menggigil tangan memikirkan keadaan mereka yang hilang pegangan pada agama. Mereka solat tapi mereka sendiri hilang harapan pada diri sendiri.
Ada yang dibuang keluarga, pihak pengurusan juga akan membesarkan masalah menjadikan pihak keluarga membenci dan membuang ahli keluarga sendiri. Subhanallah.
Peserta dilambatkan gaji, dan dibiarkan sahaja bertarung dengan masalah stress dalaman, hanya boleh bergantung pada pengurusan serta dibiarkan terjebak dengan arak dan dadah. Apabila mereka sedar, pengurusan sendiri menangkap mereka?
Wahhh, hebatnya permainan. Jangan lupa, Allah memerhati. Aku berdoa supaya ada pihak yang datang “ambush” dan audit apa yang berlaku dalam pengurusan. Objektif bagus tapi pengurusan caca merba.
Mereka tidak punyai sesiapa untuk memberikan kasih sayang. Tiada yang menegur. Ada yang 8 kali keluar masuk penjara, mereka yatim piatu. Tiada sesiapa yang berada disamping mereka. Mereka sendiri tidak dapat mengawal apa yang berlaku.
Melakukan jenayah adalah satu pilihan. Sekarang mereka ingin berubah, tapi masuk ke dalam perangkap mereka yang pentingkan diri? Adakah kita hanya perlu pandang sepi pada keadaan mereka?
Sahabat-sahabat,
Mereka sedang diuji. Dan ujian mereka untuk kita bersama mereka. Bagi mereka yang mempunyai kemampuan dari segi pendidikan dan kewangan, tolonglah berbuat sesuatu.
Aku tak dapat bayangkan mereka ini ternyata hilang semangat dan akidah yang goyang dek kerana diuji bertalu-talu.
Aku tak tahu nak selamatkan mereka ini macam mana. Aku cuba manfaatkan IIUM Confession ini supaya dapat membuka mata yang lain supaya cari lah ilmu dan buanglah stigma mengatakan mereka yang bermasalah adalah sampah masyarakat.
Aku tengah cuba semampu aku untuk cari NGO yang takutkan Tuhan untuk membimbing mereka.
Bantulah mereka dengan menyediakan kebajikan yang sewajarnya kepada mereka. Janganlah mengambil kesempatan atas diri mereka. Nak ambil untung, terpulang. Tapi janganlah memusnahkan masa depan mereka yang lain.
Syukurlah kita tidak diuji seperti mereka. Kita sendiri belum tentu dimasukkan ke dalam syurga. Kita nak masuk syurga dengan pentingkan diri sendiri? Semak balik apa yang dah dipelajari selama ini.
Ramai ustaz ustazah pendakwah dan mereka-mereka yang bekerjaya diluar sana. Aku sedang berusaha untuk stabilkan diri aku.
Tolong lah buat sesuatu, jangan hanya menunggu untuk menambah koleksi kereta mewah, rumah banglo dan cawangan isteri-isteri untuk kepuasan diri sendiri.
Yakin kah kalian dengan koleksi kereta dan banglo memasukkan kalian ke dalam syurga? Semua orang sedang diuji, cuma ujian untuk setiap orang berbeza.
Aku merayu supaya pandanglah mereka yang memerlukan pertolongan kita semua. Bekas banduan, gelandangan, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim dan mereka yang ditindas saban hari.
Mereka ini suami/ isteri/ anak kepada seseorang. Mereka juga layak bahagia dan berjaya. Kemampuan berfikir setiap orang adalah berbeza. Keupayaan seseorang untuk menyelesaikan masalah juga berbeza. Hargai setiap ahli keluarga, bantulah adik beradik kita.
Peningkatan usia bukanlah bermaksud seseorang mampu membantu diri mereka abila ditimpa ujian. Kita hanyalah manusia yang lemah, kita perlukan satu sama lain.
Terlalu panjang dah aku menaip. Andainya luahan aku bermanfaat untuk kalian, aku akan berkongsi bagaimana aku membantu abang aku untuk menjadi lebih hebat sekarang.
Alhamdulillah abang aku sekarang boleh membawa diri, berkeyakinan tinggi dan sedang berusaha untuk mencapai cita-cita.
Doakan aku sihat, kaya dan berjaya di dunia dan di akhirat. Jika dipanjangkan usia, moga Allah mempermudahkan aku juga untuk turun lapangan. Aku doakan kalian juga berjaya di dunia dan di akhirat.
Yang Benar,
Rakyat Marhaen,
– Maryam (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit