Assalamualaikum kepada semua pembaca IIUMC,
Sebelum aku memulakan cerita, biarlah aku memberitahu serba sedikit tentang diri aku agar perkongsian pada hari ini sampai dan jelas kepada semua.
Aku masih seorang pelajar dan berperwatakan introvert. Aku percaya pada ayat ‘Actions speak louder than words’ jadi bagi aku cukuplah aku ungkapkan perasaanku melalui perlakuan sesungguhnya aku tidak pandai dalam berkata-kata.
Kalau aku sedih, aku tidak akan memberi tahu tentang perasaanku dan aku memilih untuk pendam tapi kadang kala aku akan menulis untuk meluahkan segala apa yang terbuku di hati. Contohnya, seperi sekarang.
Aku akan mengubah sedikit perkataan yang mempunyai sama maksud kerana aku tidak ingin orang tahu siapa disebalik cerita ini kerana keluargaku masih aktif di Facebook. Itu pun kalau luahan ini di siarkan oleh admin :)
Aku menangis dalam sedu kerana mengingatkan apa yang telah dikatakan oleh Emakku kepada orang luar
Apa aku mempunyai kekurangan sebegitu sekali sehingga ingin mengatakan anaknya tidak ingat kepadanya?
Selepas aku mengetahui perkara itu, aku diam dan pilih untuk tidak bercakap dengannya. Adakah aku berdosa kerana terasa hati dengannya?
Sebelum aku menceritakan lebih lanjut, aku terlupa untuk memberitahu yang aku dibesarkan dengan keluarga yang persekitarannya biasa sahaja.
Tidaklah merasa rumahku ini seperti Syurga seperti orang kata ‘Rumahku Syurgaku’ dan tidaklah juga merasakan rumah ini seperti neraka.
Aku mungkin bukan dari keluarga yang runtuh tapi ayahku juga bukanlah suami yang terbaik untuk ibuku.
Jadi kadang kala tempias itu terasa juga, pernah juga mereka membuat keputusan untuk tidak tinggal sebumbung. Ketika itu aku biasa sahaja dengan keputusan itu seolah faham walaupun masih di bangku sekolah rendah.
Syukur aku mempunyai kawan yang ramai waktu sekolah menengah walaupun aku introvert. Aku juga rapat dengan seorang lelaki tapi kami hanyalah kawan, hampir semua perkara akan kami lakukan bersama dengan kawan rapat perempuan yang lain
Sehinggalah emak tahu tentang ini, dia sebenarnya kurang berkenan tapi tidak juga menghalang. Tapi apa yang membuat aku sedih, dia kata aku mengelenyar dengan jantan :(
Sanggup seorang emak berkata begitu
Segala cerita sedih tentang aku yang melibatkan keluarga, aku jarang memberitahu kawan aku kerana bagiku, ia akan memburukkan keluargaku di mata orang luar.
Tapi ketika aku berada di asrama, aku pernah menangis seorang diri di bawah katil. Aku menyorok kerana tidak ingin orang lain tahu. Tapi rakan sebilikku menemui aku dan bertanyakan apa yang terjadi. Aku tidak tahu lalu aku menceritakan apa yang terjadi kepadanya.
Sebelum terjadi kejadian tersebut, aku telah terasa hati dengan emakku dan seperti biasa aku membuat keputusan untuk tidak menghubunginya.
Dia mengatakan aku pentingkan diri, sedangkan aku hanya memikirkan keadaannya. Dia ingin melawat aku sedangkan dia sendirian dan waktu itu sudah petang. Jarak dari rumah ke asramaku tidaklah dekat jadi aku bimbang jika dia akan pulang malam dan memandu sendirian.
Selepas kejadian itulah aku membuat keputusan untuk tidak menghubunginya. Tapi tidak sangka minggu seterusnya, dia datang ke asrama untuk menjenguk anaknya ini. Sedangkan aku tiada di asrama atau sekolah pada ketika itu kerana mempunyai program luar.
Dia menunggu dari tengah hari hingga lewat petang tapi tiada khabar tentang keberadaanku. Selepas aku pulang ke asrama, junior memberitahuku tentang perkara tersebut dan dengan rasa bersalah aku terus menelefonnya.
Aku meminta maaf kerana tidak memberitahunya kerana aku juga berfikiran dia tidak akan melawatku kerana dia sudah datang pada minggu sebelumnya.
Maaf aku tidak diendahkan dan hanya dibalas dengan perkara yang menyakitkan. Kami tidak bercakap banyak, dia membuat keputusan untuk meletakkan telefon. Walaupun perbualan kami hanya sekejap tapi itulah yang membuatkanku menangis sendirian dalam ruang yang sempit.
Setelah aku memberitahu hal itu kepada kawanku, kawanku berkata emakku adalah seorang yang toksik. Kenapa perlu mengatakan sebegitu kepadaku.
Aku sedar, aku bukan lah anak yang baik tapi tidaklah aku mementingkan orang luar lebih dari keluargaku. Dia mengatakan aku tidak menghargainya, dan seolah mempersoalkan siapa dirinya dibandingkan orang lain.
Mungkin bagi sesetengah pembaca, perkara sebegitu adalah biasa tetapi tidak bagiku. Kerana aku merasakan perbuatan yang aku telah tunjukkan kepadanya, membuktikan aku hargai dan ambil berat tentang dirinya. Tapi dia mungkin tidak faham dengan gaya bahasa badanku.
Sebab itulah aku tidak memberitahu kepada orang lain, sudut hatiku merasa sedih apabila kawanku berkata begitu tentang emakku.
Pada orang lain, raya amat ditunggu-tunggu mereka tetapi tidak padaku. Kerana aku tahu, perlakuan dan perkataan yang akan diungkapkan olehnya amat menyakitkanku. Tiap kali raya, tidak kisahlah raya aidilfitri atau aidiladha.
Pernah dia berkata “nanti bila aku sudah mati, jangan nak menangis tengok mayat aku” apa salah yang aku telah buat sehinggakan dia mengukapkan perkataan sebegitu.
Aku merasakan adalah lebih baik jika usiaku tidak panjang daripada aku hidup berterusan menjadi derhaka dan aku menanggung beban yang tidak mampuku luahkan.
Kadang kala aku pernah terfikir untuk mati kerana apalah makna hidup jika aku yang aku lakukan akan membuat dia dan aku rasa sakit. Tetapi syukur aku masih mempunyai iman walaupun secebis.
Sungguh sekarang aku merasakan aku tiada siapa untuk aku luahkan, aku penat menyimpan.
Kawan? Aku sudah tidak rapat dengan sesiapa kerana aku rasakan ini yang terbaik. Aku tidak ingin membuat dia berfikiran aku akan meluangkan masaku lebih dari orang luar daripada keluarga.
Kalaulah aku tidak segagal ini, lambat melanjutkan pelajaran jauh lebih lambat dari rakan sebayaku. Usiaku saat ini sudah pasti mendapat pekerjaan dan mempunyai wang untuk menyara diri seperi rakan yang lain.
Tapi apakan daya garis masaku tidak seuntung yang lain. Jika tidak, pasti sudah aku keluar dan mencari ketenangan buatku.
Aku redha tapi garis masaku yang lain jugalah sering dijadikan cerita kepada orang luar. Dan salah sebabku untuk tidak berhubung dengan rakan yang lain juga adalah sebab ini.
Aku merasakan aku ketinggalan jauh dari mereka. Aku tidak mempunyai semangat atau keyakinan diri untuk berdepan rakan yang lain.
Emak tidaklah buruk juga, walaupun sekarang aku membuat kuputusan untuk diam dan tidak bercakap dengannya tapi aku terpaksa menjawab soalan darinya kerana aku tahu dia akan terasa jika aku tidak menjawabnya.
Dia masih juga mengambil berat tentang makan minumku dan bertanyakan soal pelajaranku dan ini membuat aku lagi serba salah. Adakah aku berdosa kerana berkecil hati dengannya?
Mungkin itu sahaja buat masa ini. Terima kasih sudi membaca segala luahan hati yang lama terpendam.
Aku juga berharap suatu hari aku mampu meluahkan kepadanya tentang apa yang aku rasakan tapi pada waktu yang sama aku tidak ingin menyakitkan hatinya. Tapi aku tahu itu tidak mungkin terjadi :)
– She (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit