Bukan Lelaki Dambaan

Salam readers. Aku H. Cuma nak meluahkan perasaan kerana ini kali pertama aku mula suka pada seseorang dan aku tak mahu siapa-siapa yang mengenali aku tahu tentang ini. Sebab itu sahaja aku mengambil keputusan untuk bercerita di sini.

Aku seorang graduan. Masih belum direzekikan pekerjaan yang stabil. Pernah bekerja secara separuh masa di dalam industri retail di syarikat M**** di Johor.

Di sini aku mengenali pengurus cawangan dan mula suka pada dia. Pada awalnya tidak. Tapi lama kelamaan aku selesa dan suka. Untuk pengetahuan semua. Susah untuk aku selesa dengan lelaki.

Setelah sebulan memendam rasa. Aku dapat tahu yang dia ingin berkahwin. Tipulah kalau tak sedih.

Cuma masih ada di dalam doa aku, mengharapkan dia milikku meskipun sedar, tipis harapannya kerana aku sendiri takkan buat apa-apa untuk memberitahu dia tentang perasaan aku, jauh sekali nak merosakkan hubungan mereka. Cuma hanya berharap.

Peliknya, dia tiada ciri-ciri lelaki dambaan. Handsome, tak. Gentleman, tak. Jaga solat, tak. Buaya darat, ya.

Aku tahu banyak kelemahannya dan sebagai pengurus, banyak juga tindak tanduknya yang bagi kami sebagai staff sangat tidak adil. Tapi setiap kali itu juga, aku cuba memahami, dan memaafkan tindakkannya.

Banyak lagi ‘minus point’ kalau nak dikira. Kerana aku selesa berbual, bergurau dengannya. Kerana itu sahaja. Aku boleh jadi diriku sendiri di hadapannya. Aku rasakan hidup aku tak bosan kalau dengan dia. Kerana itu aku sukakan dia.

Kalau dilihat kami bagai anjing dengan kucing. Berbalah mulut itu biasa, cari pasal hari-hari. Kemudian gelak-gelak. Semuanya tersimpan rapi dalam ingatan aku. Mungkin akan sentiasa dalam ingatan aku.

Ada juga tindakkannya yang membuat aku salah faham. Pada ulangtahun kelahiranku, dia ingat dan dia belikan kek, disambut beramai-ramai. Padahal kalau ikutkan, hari gaji telah lama berlalu.

Aku perasan ulangtahun kelahiran yang lain tidak disambut begitu. Tapi aku tetap sambut ulangtahun kelahiran mereka.

Cuma dari dia, tiada apa-apa malah tidak diingat. Apabila aku memberitahu bahawa aku ingin berhenti. Aku masih ingat riak wajahnya. Katanya ingin bertukar cawangan jika aku berhenti.

Pada mulanya aku tak percaya kerana beribu kali juga katanya ingin berpindah cawangan lain tapi masih di situ.

Aku tahu kerana dia sayangkan cawangan itu, dia telah berada di situ dari awal pembukaan. Sudah pasti banyak memori di situ. Tapi kali ini dia betul-betul bertukar cawangan.

Hari terakhir aku di situ adalah hari terakhir dia juga. Tapi aku tak sedih, malah lega. Aku sendiri yang berdoa supaya dia dapat tukar cawangan kerana aku rasakan itu yang terbaik untuknya.

Aku sendiri banyak tunjukkan aku ambil berat tentang dia, tapi ada juga masa aku tahan diri daripada terus menunjukkan yang sedemikian kerana tak mahu ada yang perasan. Sedar bahawa selagi tidak dikatakan di bibir, selagi itu tiada yang tahu.

Tapi, aku juga sedar yang kalau diluahkan, buruk akibatnya. Samada pada aku atau pada dia. Tak pernah terlintas dalam fikiran untuk menjadi perosak hubungan sesiapa.

Kenapa aku masih menyimpan rasa? Kerana aku merasakan, manusia boleh berubah. Contoh yang paling baik yang dapat aku berikan adalah Mizz Nina.

Aku sedar. Manusia cuma akan berubah dengan keinginannya sendiri. Bukan kerana siapa-siapa. Kemungkinan itu ada dan juga tiada. Aku cuma mampu berdoa supaya Pemilik Hati memberi hidayah padanya.

Aku bukannya malaikat, tidak pernah melakukan dosa. Aku manusia biasa. Kekurangan ku banyak. Cuma Allah banyak tutup aibku.

Sekarang, aku sudah tidak bekerja dengannya. Tapi aku rindu. Ingin tahu perkembangannya. Tapi aku tahan diriku daripada bertanya khabar. Kerana aku tak mahu tindakkan aku mengakibatkan sesuatu yang buruk.

Selama ini pun, perbualan aku dengannya di whatsapp hanya berkaitan kerja. Tidak pernah berbual kosong.

Aku tahu, aku sepatutnya move on. Dia dah nak kahwin pun. Kalau sesiapa yang mengenali aku akan tahu bahawa aku tidak pernah ada rasa nak berpasangan sehingga aku jumpa dia.

Impian aku cuma ingin mendapatkan kerja yang stabil dan berbakti semula pada ibu ayah. Kerana itu, susah untuk aku move on.

Kenapa masih mengharap? Kerana aku bodoh mengharapkan ada sedikit drama dan plot twist untuk aku di masa hadapan. Kerana dia belum pun berkahwin. Cuma dah ada perancangan.

Tapi, aku pernah baca satu post Aiman Azlan yang mengatakan “kita tak tahu apa yang terjadi pada masa hadapan, kita cuma tahu apa yang terjadi sekarang”. Setuju sangat. Sebab itu aku merasakan aku bodoh.

Aku masih lagi mengharapkan aku berjumpa dengannya saat kewangan aku sudah stabil. Sudah boleh berdikari tanpa mengharapkan ibu ayah dan mampu berbakti kepada mereka dan pada masa yang sama, dia tiada ikatan apa-apa dengan siapa-siapa.

Aku tidak kisah taraf pendidikannya, latar belakangnya. Aku tidak pernah kisah. Kerana bagi aku, aku ingin mengisi kekosongan yang ada pada dia. Untuk melengkapinya. Entahlah. Sekali lagi aku rasa bodoh.

Aku tidak mengharapkan apa-apa dari reader semua. Cuma ingin meluahkan perasaan yang tersimpan. Tapi aku sangat alu-alukan nasihat dan kata-kata semangat dari kalian. Terima kasih.

Yang benar,

– H (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *