Mulakanlah Solat Walaupun Terpaksa

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Hai. Saya Emma. Saya berusia 33 tahun dan seorang ibu tunggal ada anak berusia 14 dan 7 tahun.

Tahun ni tahun ke 7 saya jadi ibu tunggal ni. Jadi sini sikit confessions tentang diri saya yang pernah tersalah langkah dan harapnya jadinya pengajaran dekat semua.

Saya bernikah masa belajar, dan tak diketahui oleh mak pun. Mak dapat tau saya nikah bila saya bawak balik anak saya untuk berpantang. Abah jadi wali saya dan abah simpan rahsia saya sampai saya bersalin.

Masa mula-mula balik mak taknak sentuh pun anak saya. Kakak-kakak saya yang uruskan saya sepenuhnya. Maklumlah anak pertama, saya pulak baru umur 18 masa tu. Seminggu lepastu mak ok dan mak terima saya, anak dan suami.

Saya mengaku salah saya buta dengan cinta dan sayangkan suami sampai ketepikan mak. Dari situ saya dah buat 1 dosa besar.

Ok. Life saya masa dengan bekas suami banyak pasang surut, cuma kami kerap bergaduh hal wanita simpanan dia dan kewangan meruncing. Selalu la pinjam dekat Ayah dengan adik beradik saya.

Kami pun tak pernah solat jemaah, saya punya solat tunggang langgang, bekas suami sekali pun sepanjang saya hidup dengan dia selama 10 tahun tak pernah dirikan solat.

Maybe sebab tu selalu tak cukup-cukup. Padahal gaji dia masa tu boleh tahan jugak dan saya pun dah ada pendapatan tetap lepas grad.

Masa dalam proses berpisah, saya banyak perbaiki diri dan hubungan saya dengan adik beradik sangat baik. Dorang sangat supportive. Dan lepas berpisah saya total berubah jadi seorang yang cuba jugak solat walaupun terasa dipaksa dan di hujung waktu.

Lepas berpisah saya move on, saya mula tempat kerja baru dan bawak bersama 3 anak saya. Saya tak buat tuntutan nafkah sebab bekas suami sangat susah nak bagi kerjasama dan saya bila saya mintak thru WhatsApp bluetick akan dihadiahkan pada saya.

Dah cuba untuk pergi buat tuntutan nafkah, tapi perlu buat tuntutan hak penjagaan anak dahulu, dan proses agak panjang dan jauh untuk saya berulang alik.

Ayah saya juga tak galakkan saya mohon dan dia kata selagi abah hidup abah bantu awak anak beranak. Orang lain tak boleh marah sebab diorang dah cukup berkeluarga dan masing-masing ada kerjaya hebat.

Saya tak salahkan takdir, saya tahu semua tu dah tertulis. Saya juga sedar Allah menjawab setiap permintaan saya.

Saya minta untuk diberi kehidupan yang lebih baik, untuk senang saya beribadah untuknya jadi saya berpisah dengan bekas suami dan saya ternyata lebih tenang dan terurus.

Dan jangan kata saya galakkan berpisah tapi saya dalam perkahwinan yang toksik jadi saya terpaksa juga berpisah dengan dia.

Pada di ambang perpisahan saya solat hajat setiap malam setiap sujud saya mohon penyelesaian yang terbaik untuk kemelut kami, basah dan sentiasa sembab mata saya.

Saya jadi seperti mayat hidup. Kerja tunggang langgang, makan tak menentu, anak pun saya layan seadanya. Bila malam saya tak tidur pun.

Pernah terfikir hendak bunuh diri dengan anak-anak biar semua sakit ini terhapus. Jadi sehari sebelum saya berpisah saya tekad, saya screenshot segalanya, semua bukti saya simpan, segala bill, segala gambar saya emel ke diri sendiri dan saya berpisah dengan dia secara taklik.

Saya move on dan tak pandang belakang sikit pun. Selesai je kes saya, terus saya pindah jauh dari negeri bekas suami dan dapat tukar serta merta kerana saya kata ada gangguan dari bekas suami. Dan boss saya transfer saya ke tempat lain.

Saya teruskan hidup dekat ibu kota dengan gaji cukup makan dan alhamdulillah ada ja rezeki yang tak disangka-sangka untuk saya teruskan kehidupan dengan anak-anak.

Saya mula bertudung, mula solat penuh dan cuba bersedekah mana yang mampu. Segala perkara yang lagha dulu saya cuba kurangkan dan berubah demi masa depan yang lebih baik untuk saya dan anak-anak.

Firman Allah dalam surah Al-Talaq ayat 2&3

“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.

Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”

Dan now, hasilnya saya mampu membeli rumah dan kereta baru untuk keselesaan saya dan anak-anak. Kuncinya saya kembali kepada Allah masa saya betul-betul terduduk.

Mak dan ayah orang paling gembira dengan perubahan saya dan anak-anak saya juga sentiasa bersama saya. Kami mampu berjalan-jalan bersama-sama yang dulu hanya mampu lihat je orang kesana kemari.

Doakan saya istiqamah beribadah dan menjaga hal kebajikan mak ayah dan adik beradik saya yang tak pernah buang saya ketika saya dibuat seperti kain buruk oleh bekas suami saya.

Hal dia dan nafkahnya tu saya tahu ada yang berkata saya bodoh kerana tak tuntut di mahkamah, tapi saya dah tak larat nak berendam air mata dengan jawapan atau kata-kata bekas suami yang banyak menyiat-nyiat hati saya.

Hal nafkah tu antara dia dengan Tuhan. Saya dah ingatkan, saya dah mintak tapi dia tetap dengan dunia dia.

Saya cuma mohon dia dilimpahkan rezeki, diberikan taufik dan hidayah serta menjadi orang yang bertanggungjawab. Saya dah lepas sebagai insan yang mengingatkan dia. Jadi tugas dia dan keluarga dia pulak jalankan tanggungjawab dia pada anak-anak kami.

Saya mohon juga anda semua doakan saya bertemu jodoh yang baik,

Yang boleh menjadi pelindung untuk anak-anak saya, yang boleh jadi menantu yang baik, ipar yang disenangi dan suami yang boleh jadi sahabat dalam urusan agama saya, seorang yang boleh jadi sahabat dalam urusan dunia dan akhirat saya.

Mungkin ada juga berkata kehidupan dah selesa kenapa nak mencari bala.

Sesungguhnya manusia itu diciptakan berpasangan-pasangan dan tak salah kan untuk saya meneguk sedikit nikmat di dunia setelah apa yang saya lalui dan saya cuba untuk perbaiki amalan dan kehidupan saya.

Sebagai seorang wanita saya perlukan teman untuk saya bersandar ketika saya betul-betul lelah dengan keadaan yang kadang-kadang menghimpit kehidupan saya.

Berteman bukan sekadar untuk ‘having s3x’ semata tapi lebih kepada seorang yang kita perlukan ketika kita perlu bercerita dan bergurau senda tanpa batasan. Dan seseorang untuk kita rasa disayangi dan dicintai.

Dan janganlah kecam wanita-wanita yang pernah gagal dalam perkahwinan dulu ingin bernikah kerana tidak tahan lagi. Anda tersalah tafsir dengan semua tu. Bukan semua orang begitu dan jagalah lisan dan perbuatan kita dari mengata orang-orang yang senasib dengan saya

Mohon jangan kecam ya. Jika tiada perkataan yang baik anda simpanlah jari jemari anda untuk berkata yang tidak baik. Saya baru hendak sembuh dengan segala kelukaan yang saya pernah lalui. Saya tidak kuat nak baca kecaman anda.

– Emma (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *