Di Mana Kesilapan Bermula?

Hi. Aku takda nama nak perkenalkan. Aku cuma nak meluahkan apa yang terbuku dihati aku.

Dulu aku pernah hantar pasal jaga batin suami, supaya suami tak cari perempuan lain. Aku pun tak ingat tajuk.

Tapi aku rasa confession aku tak disiarkan. Maklum la, aku pendosa, nasihat aku takkan didengar.

Harini aku baca banyak sangat orang nak ulas isu pasal budak perempuan tipu haid diorang.

Aku tak tau kenapa hati aku sebak. Aku pendosa tapi aku menangis bila baca. Ramainya manusia yang tertipu dengan sandiwara anak-anak sekarang.

Suatu masa dulu aku dididik dalam suasana penuh ilmu agama. Dari aku kecil aku dah masuk tadika Islam. Sekolah agama sampai aku habis sekolah menengah, sambung belajar di Timur Tengah.

Pernah suatu masa aku rasa indahnya Islam. Aku pernah menitiskan air mata hanya kerana mendengar merdu azan diantara solat magrib dan isyak.

Aku bangun tahajjud malam tanpa siapa suruh. Aku khatam quran berkali-kali dalam setahun. Bulan puasa wajib habis 30 juzuk.

Tapi dimana silapnya?

Aku berubah jadi orang lain. Aku mula bergelumang dengan dosa. Aku jadi ketagih s3ks. Tapi aku masih solat.

Sampai satu masa lelaki yang keluar dengan aku kutuk aku. Buat apa nak solat? Yelah semalam aku berz1na dengan dia tiba-tiba bangun pagi solat subuh. Macam kontradik perbuatan aku.

Aku mula hilang arah. Zaman sekolah ustazah selalu buat spot check pakai stokin tak. Sembahyang jemaah tak. Tipu haid ke tak.

Walaupun aku tak pernah langgar peraturan aku tak pernah rasa terpaksa. Aku buat sebab aku sebati dalam biah islam.

Tapi dimana silapnya?

Aku tiba-tiba terlalu berani keluar dengan lelaki yang baru kenal sehari. Quran aku dah lama berhabuk. Setiap kali aku dengar kawan-kawan serumah mengaji aku termenung.

Kadang-kadang aku gagahkan diri ambik air sembahyang. Pastu aku duduk balik termenung.

Aku dah tak jumpa jalan. Saban hari aku menangis sendirian. Beratnya nak bangun solat. Kuatnya dugaan nafsu.

Bila aku mula solat, ramai yang cari aku balik. Aku tak tau mana nak lari. Aku cuma suka bila ada seseorang disisi.

Aku tak tau dimana kesilapan ni bermula.

Hidup aku penuh ujian. Masa belajar diuji. Dinegara orang penuh ujian. Dah kerja teruji lagi. Sampai aku rasa terlalu berat.

Orang sekeliling aku selalu cakap, Allah uji kau sebab Allah tau kau kuat. Aku mula persoalkan diri dan kerja Tuhan. Adakah kalau aku tak kuat Allah akan berhenti uji aku?

Bila aku mula hilang arah, dunia dekat dengan aku. Satu-satu kejayaan aku datang. Hidup aku mula senang. Aku makin jauh dengan Tuhan. Aku makin lupa.

Tapi setiap kali aku baca isu akhlak remaja sekarang, aku menangis sendiri. Aku menangis baca komen-komen orang ramai. Komen tu semua yang disangka akan protect remaja tu, sebenarnya membunuh.

Dosa aku hanya aku dengan Allah yang tahu. Tapi dosa kalian kerana tidak cuba menasihati atau mengambil tahu tentang orang-orang macam aku.

Doa aku supaya Allah beri aku hidayah dan kekuatan semula.

Korang tau tak? Dalam berdakwah, bukan semua orang kena jadi Abu Hurairah, yang lembut sahaja sepanjang masa,

Kadang perlu ada seorang yang jadi Saidina Umar, yang berani mengangkat pedang, yang tajam kata-katanya. Biar tertusuk kalbu yang hitam ni. Biar tersentap dari khayalan dunia yang dusta.

Alhamdulillah aku dah berpindah, tempat ni jauh dari kota dan lebih tenang.

Ramadhan ni aku berjaya baca 4 juzuk perlahan-lahan. Solat aku cuba buat sebanyak yang mampu. Aku dalam proses buang sedikit demi sedikit lelaki-lelaki yang menghitamkan hidup aku.

Dimana kesilapan bermula?

Mungkin bermula dengan kata-kata orang yang cuba membenarkan kesalahan aku yang pertama dulu.

Dengar macam aku mengada-ngada, tapi hanya pendosa kenal pendosa.

– Pendosa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *