Pemerk*saan: Salah Mangsa?

Sekarang tengah hangat isu tentang adik Ain dan ‘gurauan’ guru beliau.

Rentetan daripada pembongkaran adik Ain di sosial media, beliau telah menerima pelbagai kecaman dan lebih teruk lagi ugutan jenayah daripada rakan lelaki beliau. Kecaman ini datang kebanyakannya daripada kaum lelaki, melayu dan Islam.

Ada yang mengutuk tentang pemakaian beliau, ada yang mengutuk tentang medium yang digunakan untuk beliau mengutarakan isu ini, dan ada juga makhluk yang tidak matang mengutuk cara beliau bercakap.

Entah apa yang salah pada perbuatan beliau, saya pun tidak tahu sebenarnya. Adakah dengan tidak memakai tudung, beliau tidak layak bercakap? Adakah sesuatu isu harus diutarakan di media seperti surat khabar untuk diterima bulat-bulat?

Atau adakah seorang kanak-kanak yang lancar berbahasa Inggeris tidak boleh menggunakan kemahirannya itu untuk berkata-kata?

Bahagian mana yang buat masyarakat rasa jelek ya?

Sebenarnya tidak ada salah pada cara adik Ain. Ini tahun 2021. Itu cara generasi baru. Jadi kenapa masyarakat rasa terganggu? Kerana mereka merasa inferior, dengki, tak puas hati, mahu sembunyikan salah sendiri.

Dan yang paling jelas, mereka mahu alih tumpuan daripada isu yang diutarakan.

Kembali kepada tajuk. Pemerkosaan: Salah mangsa?

Kecaman kepada adik Ain adalah salah satu contoh ‘victim blaming’.

Tujuan beliau bersuara adalah untuk mengubah fikiran kita. Tetapi apa yang dia dapat cuma ugutan dan kecaman. Tahniah pada yang menyokong adik Ain dan takziah pada yang mengecam heroin kita.

R*g*l

Itu hanya gurauan.

“Bukannya buat betul pun. Kecoh la budak ni.”

Adakah isu sebesar r*g*l itu boleh dijadikan bahan gurauan? Adakah dengan bergurau, anda rasa ia takkan berlaku?

Itu belum lagi kita menyentuh kes-kes yang TELAH berlaku. Yang ini, kita sudah tahu bagaimana masyarakat berfikiran kuno di Malaysia akan ber-reaksi.

“Siapa suruh pakai seksi?”

“Sebab tu Tuhan suruh tutup aurat.”

“Korang kenalah jaga pemakaian, barulah lelaki tak pandang.”

“Kenapa balik lewat sangat? Sorang-sorang pula tu. Memang mengundanglah.”

Komen-komen sebegini, kita selalu baca kan? Yang kita jarang jumpa, adalah komen-komen seperti berikut:

“Orang lain relaks saja tengok perempuan seksi tu, yang si J ni pergi r*g*l kenapa?”

“Kaum lelaki kan khalifah dekat muka bumi. Kenapa tak reti nak melindungi?”

“Ada undang-undang yang cakap kalau seksi dibolehkan mer*g*l ke?”

Nope. Jarang sangat. Yang selalu kita jumpa adalah komen yang menyalahkan mangsa.

Mangsa boleh jadi lelaki atau wanita. Wanita jadi mangsa sebab seksi. Jadi, kalau lelaki jadi mangsa pun sebab lelaki tu seksi ke? Aih macam tak saja kan?

Benda ini senang saja sebenarnya.

Anda tahu undang-undang. Dunia dan akhirat. Dua-dua kata tak boleh buat jahat. Mer*g*l apatah lagi. Yang kau pergi langgar tu kenapa? Yang masyarakat pergi back-up si pesalah itu kenapa?

Kalaulah betullah tak tutup aurat itu punca masalah ini, saya rasa, perempuan-perempuan US yang asyik berbikini itu mesti menjadi mangsa setiap hari. Tapi… tak kan? Yang pakai jubah bertutup litup pun kena juga kan?

Nanti ada yang kata, saya menolak hukum Tuhan. Tak. Saya tak menolak. Tuhan menyuruh wanita menutup aurat, DAN menyuruh lelaki untuk menundukkan pandangan.

Tengok pun tak boleh, apatah lagi sentuh? Dalam Islam pun ada hukuman untuk yang mer*g*l, nak kata apa lagi?

Masih salah mangsa? Oh, hukum syariah pun ada hukuman ya untuk si mangsa? Saya tak tahu pula.

Tak menutup aurat itu dosa dia dengan Tuhan. Kenapa anda nak pergi hukum dia dengan mer*g*l? Anda Tuhan kah?

Fikir logik. Kita ada akal. Bayi, nenek tua, OKU pun jadi mangsa. Pemangsa boleh jadi sesiapa. Mangsa pun boleh jadi sesiapa.

Itu belum cerita tentang laman web p*rn* yang menjadi teman pemangsa mungkin pada setiap malam.

Anda yang taip, cari, dan tonton. Itu salah anda, atau pelakon p*rn* itu sendiri? Atau masih salah perempuan seksi? Besar betul pengaruh perempuan seksi pada keputusan dan hidup anda.

Senang cerita, kita tengok saja komen-komen dekat media sosial. Masing-masing tanpa rasa malu atau segan, tulis komen berbaur lucah.

Bila viral, deactivate FB, lepas itu acah jadi mangsa. Siapa yang suruh anda buat komen sebegitu? Adakah perempuan yang tidak menutup aurat suruh anda komen sebegitu?

Anda bukannya tidak ada akal, anda cuma terlalu mengikut nafsu.

Tiada siapa yang boleh kawal diri anda selain diri anda sendiri. Anda nampak iklan air berais di TV. Anda terliur, dan lapar. Keadaan panas. Anda pun malas nak berpuasa.

Jadi anda buat keputusan untuk ponteng puasa. Dekat sini, adakah anda yang bersalah, atau iklan TV itu yang bersalah?

Anda fikir sendiri.

Kepada adik Ain, dan bapa beliau. Saya ucapkan tahniah. Adik Ain sangat matang untuk seseorang yang berusia 17 tahun. Malah jauh lebih matang daripada mereka yang mengecam adik Ain.

Teruskan usaha untuk membuka mata masyarakat kita. Teruskan usaha untuk ubah pemikiran masyarakat kita. Kitalah yang bakal menjadi pendidik anak-anak kita. Kalau bukan kita, siapa lagi? Ajarlah anak-anak tentang hak mereka.

Anak-anak kan tanggungjawab orang dewasa. Lindungi mereka. Dedahkan diri dengan akta kanak-kanak. Jangan lindungi pesalah.

Ubah pemikiran kita. Kalau bukan kita, siapa lagi?

Kepada para pemikir kuno, bukalah mata hati. Jangan takut untuk berubah. Jangan takut melihat orang berubah. Jangan sampai kena batang hidung sendiri baru nak menggelabah.

Jadi anda masih rasa yang pemerkosaan itu terjadi kerana salah mangsa?

Eiyu, tak cerdiknya anda. Mohon jangan berkahwin dan beranak, okey!

– Bukan Pemikir Kuno (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *