Antara Kerjaya dan Suami

Assalamualaikum pembaca IIUM Confession. Straight to the point, saya nak kongsi kisah hidup saya.

Saya ibu kepada dua orang cahaya mata, dan juga seorang isteri. Pelbagai dugaan dan rintangan saya lalui sepanjang berumah tangga dari fasa suami buat hal hingga lah suami dah sedar akan kesilapan.

Ini merupakan tahun ke lima usia perkahwinan kami, dimana sudah setahun setengah saya tidak bekerja kerana faktor hamil, bersalin dan anak yang masih bayi.

Sepanjang tahun itulah membuatkan saya sedar bahawa di zaman serba moden ini duit sangat penting bila dah berumahtangga lagi lagi bila dah beranak pinak. Gara gara duit boleh bergaduh, bercerai berai dan sebagainya.

Bukan nak kata mata duitan, tapi rumah sewa, kereta, motor, bil utiliti, susu dan pampers, barang dapur, belanja harian dan lain lain semuanya guna duit, bukan guna rupa paras.

Ini kenyataan dimana kau perlu struggle cari duit demi melangsungkan kehidupan yang selesa.

Lagi pun semua ibu bapa mahukan anak anak mereka dapat kehidupan yang selesa kan, dan tak mahu anak anak kita rasa susah macam mana kita dulu. Siapa yang lahir dari keluarga serba kekurangan pasti faham.

Saya dan suami kerja biasa biasa je, swasta. Gaji suami tak tentu, paling teruk buat overtime dapat 1.8k bersih. Kalau overtime kurang pula hanya 1.6k.

Jadi memang tahap tak boleh survive jika suami seorang saja yang bekerja, memandangkan kami tinggal di pusat bandar. Sewa rumah saja dah berapa walaupun rumah flat.

Saya pun ambil keputusan untuk bekerja cuma bezanya dulu saya kerja main main. Sekarang dah macam insaf pula, nak kerja betul betul. Cuma penghalangnya ialah suami.

Bila saya nak overtime je, mesti bebankan saya dengan anak. Padahal itu anak kami bersama, jadi sama samalah bertimbang rasa galas tanggungjawab, bukannya semua letak atas bahu mak yang melahirkan je.

Mesti akan cari salah saya. Cakap saya isteri yang tiada masa untuk suami dan anak anak lah. Dulu masa dia kerja sampai tiada masa untuk saya dan anak anak, takde pula saya nak ungkit semua tu.

Bukan tiada masa, cuma jadual kerja dia je yang berbeza. Saya ni memang kerja siang sahaja, suami saya pula seminggu siang dan seminggu malam.

Bila seminggu malam tu, memang kami takda masa nak berborak. Saya ada anxiety dan rasa makin teruk bila dia asyik cari salah saya, bukannya support saya yang tengah bantu dia ni.

Basic saya hanya 1.3k. Jika saya tak push, bersih hanya dapat 1.2k saja. Nak bayar upah asuhan untuk dua orang anak saya RM800. Jadi berapa saja balance tinggal pada saya.

Memang syarat suami jika saya bekerja saya yang kena bayar upah pengasuh. Saya struggle dan push kerja sebab saya nak duit lebih, nak juga ada simpanan. Saya tak pernah ada simpanan masa kecemasan.

Sekarang saya nak buat kerja pun rasa terganggu. Saya tak suka ada orang cuba jadi penghalang untuk saya capai apa saya mahu dalam hidup saya.

Saya rasa macam nak mula dari awal balik, kenapa lah masa zaman remaja dulu saya tak menyimpan dan kerja betul betul sebelum kahwin. Paling tak pun saya ada duit simpanan.

Saya asyik rasa nak suami lepaskan saya saja, kerana dia anxiety saya semakin teruk. Apa yang saya buat setiap hari rasa tak tenang, nak kerja pun tak fokus.

Saya cuma nak baiki hidup saya sendiri, biar saya tidak terkial kial jika saya dibiarkan keseorangan. Saya nak jadi wanita yang mampu berdiri di atas kaki sendiri.

Kalau ada yang komen 1.6k cukup, disini biar saya bagitahu awal awal sewa rumah RM600, kereta RM300 dah 900.

Baki 700 tuan puan boleh fikir lah ya, itulah duit minyak, duit barang dapur, susu dan pampers dua orang anak, bil utiliti dan lain lain. Memang tinggal negatif saja. Saya stress dan buntu.

Boleh pembaca bagi pendapat? Saya rasa kalau lah dia punca penghalang saya untuk saya nak capai apa saya nak dalam hidup, baik saya lepaskan saja. Gapai apa saya nak, baru kahwin ataupun kekal sendiri.

Oh ya, untuk yang bertanya apa hal yang suami saya buat. Dari tahun pertama sampai tahun ketiga kahwin suami saya ni malas kerja dan kaki main game.

Hidup kami anak beranak terkontang kanting, meminjam sana sini, menumpang rumah sana sini dan hampir bercerai oleh kerana saya tak tahan hidup dengan orang sebegitu. Tahun keempat baru dia ada kesedaran bekerja dengan betul.

– Puan Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *