Pewaris Harta Kasat

Assalamualaikum semua. Tok nenek biasanya meninggalkan harta pusaka yang nampak di mata seperti rumah pusaka, tanah sawah berekar-ekar atau tanah dusun. Rumah sewa berpintu-pintu ataupun paling cokia, pinggan mangkuk lama atau perhiasan tembaga.

Tapi, saya nak berkongsi kisah tentang harta yang tidak nampak (kasat) di mata. Peninggalan tok nenek kepada anak cucu iaitu belaan mereka dulu-dulu, jin pendamping.

Baik, saya bukan seorang perawat tetapi mangsa atau pewaris harta pusaka kasat tok nenek. Saya terpilih menjadi pewaris atas perjanjian ilmu orang lama.

Saya terpilih kerana syarat-syarat ilmu mereka dulu-dulu, anak sulung perempuan dalam sebuah keluarga.

Jadi, maksudnya hanya saya seorang yang menderita sedangkan adik-beradik lain menuduh saya mereka-reka cerita. Berhalusinasi, ketagih pil tidur dan sebagainya.

Perkongsian saya adalah untuk memberi sedikit exposure kepada mangsa-mangsa yang menjadi sasaran harta kasat tok nenek.

Kepada kalian yang tok nenek berasal daripada Los Angeles, New York atau Bergen, Norway… tak nak percaya, tak mengapa. Tetapi kalau tok nenek kita berasal dari Nusantara, tolonglah ambil maklum akan situasi ini. Ia semakin berleluasa.

Zaman ini adalah zaman peralihan harta tok nenek kepada anak cucu, dan jika kita menolak, akan menjadi sasaran kekejaman jin belaan. Banyak kes, anak cucu langsung tidak ada clue diganggu, kerana tidak ada pengalaman.

….

Apakah tanda kita diganggu harta pusaka kasat mata? Ini antara tanda-tanda yang paling biasa;

*Susah tidur malam, Sangat sukar melelapkan mata.

*Kerap bermimpi dalam tempat yang kotor seperti tandas.

*Sakit sendi, sakit belikat dan sakit pinggang.

*Mimpi berjumpa orang dulu-dulu, tok nenek yang sudah meninggal.

*Gangguan biasanya bermula pada sebelah petang, waktu asar membawa ke dini hari.

*Sakit yang sukar untuk sembuh, walaupun seremeh-remeh seperti demam biasa.

*Cepat melenting dan bergaduh, walaupun isu remeh-temeh.

Kebiasannya, gangguan saka ini tidak agresif seperti terkena sihir. Ia bersifat pasif tetapi makan dalam. Perlahan-lahan isu tidur menjadi lebih buruk, dikenali dengan nama insomnia. Lebih teruk, ia membawa kepada isu hormon kucar-kacir, akibat badan tidak berehat.

Apabila kita ada isu hormon, habit harian akan berubah secara tidak langsung kerana badan akan berubah untuk bertahan. Jangan aniaya badan sendiri, carilah penawar. Carilah usaha untuk tidur malam.

Ya, waktu tidur akan bertukar menjadi sesudah subuh. Kenapa? Jin belaan penat mengacau kita malam tadi, dia pun balik tidur sampai mereka kembali aktif bila masuk waktu asar. Begitulah pusingannya.

Bila ini berlaku, perlahan-lahan kita akan mengalami isu mental seperti anxiety… dan akhirnya depresi. Ya, saya ada anxiety dan depresi, makan pil Clonezepam dan Zolaft, untuk survive ketika diserang jin laknat. Saya dapatkan rawatan pakar psikiataris, ustaz dan sensei.

….

Bagaimana mahu berjuang?

*Kena berlapang dada jika susur galur famili berketurunan bomoh, pawang dan bidan. Fahamkan ahli keluarga, tidak sesiapa pun akan terlepas jika belaan tok nenek mengganas. Ada kes, satu persatu ahli keluarga meninggal dunia selepas dihurung.

*Dapatkan bantuan doktor, minta rujuk kita kepada pakar psikiataris. Minta bekalan ubat tidur jika perlu.

Pengalaman saya bersama psikiataris, ada yang sombong tidak mengakui wujudnya entiti lain yang mengganggu. Jadi, kalian kena usaha mencari psikiataris yang tidak bodoh dan sombong.

*WAJIB cari perawat yang berkebolehan. Ini pun susah. Try and error, jika rawatannya sekadar halau, memang isu ini tidak akan selesai.

*Ilmu lama ada akad, ada mantera, ada sumpahan, ada perjanjian; jadi perawat wajib mahir dalam seni merungkai ilmu lama. Rukyah saja, kebanyakan kurang berjaya menyelesaikan isu harta kasat.

*Mengurus harta kasat mata, tidak semudah ABC. Tidak selesai dengan sekali akad pemutus. Saya ambil masa dua tahun, menebang pokok saka. Lagi banyak ilmu tok nenek, lagi lama dan susah.

Nouman Ali kata, fitrah manusia terbahagi kepada tiga komponen iaitu fizikal, emosi dan kerohanian. Jika ada isu berkaitan, cari penawar mengikut fitrah berikut. Kalau sukar tidur, cari bantuan untuk tidur. Badan kita wajib tidur dan berehat.

Jangan layan nasihat orang keliling minta solat sunat malam-malam, berzikir sampai lebam. No, it doesn’t work that way. Tunaikan dulu hak badan, cari jalan supaya kalian dapat tidur dan berehat, dan ikhtiar lain akan menyusul seperti amalan dan pendinding.

Sekali lagi, saya bukan perawat tetapi mangsa yang belum berjaya keluar daripada jerat perjanjian, tapi mampu bertahan hingga ke hari ini. Masih berusaha untuk sembuh, dan saya tahu betapa seksanya dugaan ini.

Orang tak lalui tak akan faham. Mereka tak akan faham, selagi diri tidak dirusuh makhluk halus secara berterusan hingga kita hilang akal dan jadi mental.

Jaga diri.

Nukilan,

– Minah Senget (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *