Khilaf Seorang Pendengar

Bismillahirrahmanirrahiim, terima kasih kepada yang sudi membaca confession seorang Q.

Saya manusia biasa-biasa sahaja, sama seperti kalian. Dalam dunia yang kelam kabut ini, sayalah salah seorang yang sentiasa mencuba untuk kelihatan tenang.

Walhal dalam kepala ni ALLAH SWT sahaja yang tahu betapa berkecamuknya, betapa beratnya beban yang ditanggung pundak.

Saya tidak pernah bercerita masalah saya kepada sesiapa, meskipun yang terdekat dan yang paling saya percaya— kerana bagi saya, mereka punya masalah lebih berat dan lebih sakit.

Tidakkah masalah saya akan menambah beban mereka? Tidakkah hal itu akan menyusahkan mereka?

Oleh kerana itu saya lebih selesa simpan sendiri. Saya tahu yang saya ni kuat orangnya, walaupun berat dan sakit masalah yang menghunus diri, saya masih mampu untuk teruskan hidup seperti biasa.

Saya masih mampu untuk senyum tanpa memalsukannya, dan saya masih mampu untuk menggembirakan orang sekeliling.

Personaliti saya ini menyebabkan saya (terpaksa) menjadi seorang pendengar, kepada sejumlah manusia di sekeliling saya. Ya, betul apa yang kalian baca. Saya rasa seperti dipaksa.

Padahal sedikit pun mereka tidak memaksa saya untuk mendengar cerita dan luahan mereka. Saya yang sukarela. Tapi kerelaan itu berpaksikan rasa simpati dan kesian.

Saya kesiankan mereka, atas sebab itulah saya sudi menjadi pendengar kepada masalah-masalah mereka.

Sehingga satu hari saya rasa terbeban. Sangat terbeban dek masalah saya, bercampur pula dengan masalah-masalah orang yang pernah menjadi ‘pelanggan terapi percuma’ saya.

Saya serasa tertekan, tertekan yang sangat kuat.

Saya penat fikirkan ayat untuk sedapkan hati mereka padahal hati sendiri tidak pula saya sedapkan. Saya penat nak pujuk mereka walhal hati ni sedang merana dalam kepuraan.

Saya putuskan untuk hilang. Hilangkan diri daripada pegangan gelaran pendengar free of charge.

Sebab tertekan, saya sering menyindir mereka.

“Masalah kau ciput je, itu pun tak boleh nak atasi.”

“Apalah sangat masalah kau, nak dibandingkan dengan kesakitan yang aku tanggung.”

“Kalau aku boleh handle masalah aku, kenapa kau tak boleh?” “Dasar lemah.”

Astaghfirullah. Sungguh, saya tak tahu apa yang sampuk saya ketika itu. Betapa jahatnya saya, betapa rosaknya hati ni sehingga tergamak memerli mereka sebegitu rupa.

Padahal, mereka langsung tidak memaksa saya untuk dengar atau menjadi jurunasihat mereka. Tak ada pula mereka mengugut saya jika saya gagal memberikan sesi kaunseling kepada mereka.

Saya rasa bersalah sangat-sangat. Mungkin kerana tertekan, saya bertindak sebegitu.

Pengajarannya, jangan pendam masalah kalian. Tak kiralah betapa kuat pun kalian, sentiasalah cari tempat untuk bercerita masalah (selain dalam ibadah).

Semoga pengalaman saya menjadi ibrah, pengajaran yang baik untuk kalian semua.

Ingat—

Pertama, jangan pendam masalah yang merebak dalam diri.

Kedua, tidak perlu memaksa diri untuk menjadi pendengar. Semuanya bergantung kepada kemampuan kalian.

Ketiga, ikhlaslah dalam mendengar masalah sahabat kalian. Jangan bandingkan masalah kalian dengan masalah mereka. Semua orang diuji, mengikut kemampuan masing-masing.

Salam sayang,

– Q (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *