Suami Oh Suami

Assalamualaikum semua. Terima kasih IIUM Confession kerana sudi siarkan kisah aku.

Sedikit latar belakang tentang aku. Nama aku Siti (bukan nama sebenar), 4 tahun sudah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan 2 orang hero, yang bongsu baru umur 45 hari.

Benarlah apa yang aku dengar, seorang perempuan boleh hidup tanpa lelaki tapi tidak boleh hidup tanpa anak kerana anak adalah kekuatan baginya.

Alhamdulillah setelah berkahwin selama 6 bulan aku dapat kerja di negeri kelahiranku. Sebelum nie 3 tahun aku kerja di Selangor.

Secara automatiknya aku tinggal la dengan orang tua ku sehingga sekarang.

Suami aku? Kerja di daerah lain dan tinggal bersama sepupu lelakinya.

Sudah 4 tahun aku dan suami PJJ walaupun kami satu negeri tapi berlainan daerah. Ala tak jauh sangat pun rumah mertua dengan rumah mak aku, dalam 20 minit jer.

Perangai suami aku nie buat aku sakit hati dan tidak boleh aku terima. Tidak pernah whatsapp aku tanya aku dan anak2 sihat ke?

Aku tidak minta lebih tapi sekurang-kurangnya tanya khabar pun sudah memadai bagi aku.

Soal nafkah pula, Alhamdulillah setiap kali gaji dia akan bagi kat aku sedikit duit belanja.

Pakaian? Tidak pernah belikan untuk aku dan anak2. Barang keperluan anak tidak pernah dibeli. Aku tak minta pun semua tue, aku tahu gajinya kecil berbanding dengan aku, aku tidak kisah kalau dia nak bagi ke tak.

Tapi boleh bincangkan atau tanya aku apa yang kurang, apa yang perlu. Lama aku tunggu dia tanya, sampai kesudah tak pernah tanya. Suamiku cukupkah nafkah yang kamu berikan pada kami?

Pernah sekali, tengah aku sarat mengandung, aku hampir kemalangan dengan sebuah kereta. Nasib baik aku sempat mengelak. Aku tidak pernah cerita kat sesiapa kecuali kawan baik aku dengan suami aku.

Masa aku cerita balik tentang kejadian yang menimpa aku, tiada reaksi dari suami aku. Hanya mendiamkan diri. Dimanakah keprihatinan mu wahai suamiku?

Sejak aku lahirkan anak yang nombor 2 nie, sikap suami aku teramat dingin. Bila ditanya apa salah aku?

Suamiku tak bagitahu secara jelas cuma dia whatsapp aku bagitahu fikir dulu sebelum buat apa-apa keputusan. Sistem giliran berbuka puasa sudah tidak lagi digunakan suamiku.

Kalau nak dibandingkan tahun sebelum nie, suamiku akan bergilir berbuka di rumah mertua dan rumah mak dia.

Sepanjang bulan Ramadan, baru satu malam suamiku bermalam bersama aku dan anak-anak. Berbuka puasa? Baru 3 kali. Bila ditanya tiada jawapan darinya. Dimana keadilan mu wahai suamiku?

Kalau betul salah aku, rasanya tidak perlu menghukum anak-anak, sehingga sanggup tidak jumpa anak, tidak ambil tahu pasal anak-anak.

Jangan disebabkan perangainya, anak-anak tidak mesra dan tak rapat dengannya. Dimana tanggungjawab mu wahai suamiku?

Ada satu hari aku buka telefonnya. Biasalah isterikan, nak check apa ada dalam telefon suami, bila aku check whatsapp tiada yang meragukan.

Tapi aku jumpa dia melayari internet, setiap malam (waktu siang dia kerja), setiap hari, suamiku melihat gambar l***h.

Setiap kali aku nak tegur perkara yang dia buat tue salah, setiap kali tue juga mulut aku bagaikan dikunci. Sudahnya aku pendam selama 3 tahun.

Aku tidak tahu bagaimana aku nak tegur salah suamiku dan aku tidak tahu kenapa berat mulutku untuk menegurnya.

Apa salah aku? Sampai beri layanan sebegitu kepada aku dan anak-anak? Tiap-tiap hari aku mendokan untuknya. Walaupun dia banyak melukakan hati aku, doa untuknya tidak pernah aku tinggal.

Aku kesian dekat anak-anak, tak cukup kasih sayang seorang bapa, tak ada tempat untuk bermain dan bermanja.

Kadang-kadang aku cemburu tengok suami orang lain yang begitu rapat dengan anak mereka, aku cemburu melihat isteri mereka disayangi oleh suaminya. Aku cemburu segala galanya.

Setiap kali suamiku balik jumpa aku dan anak-anak, suamiku banyak berkurung dalam bilik. Kalau tidur aku tak kisah, ini tidak mengadap telefon.

Perkara pertama yang dia buat kalau balik ke rumah mak aku adalah main telefon dulu. Inilah sebabnya anak aku yang sulung tidak rapat dengannya sejak kecil lagi.

Aku mengaku yang kami tiada komunikasi. Macam mana aku nak berkomunikasi, setiap kali aku bercerita, tiada respond darinya. Buat sakit hati jer.

Kalau aku balik rumah mertua, dia layan aku bagai menatang minyak yang penuh. Jauh sangat perbezaan layanannya.

Aku mohon pandangan atau pendapat korang. Tolong aku sudah buntu. Apa aku perlu buat.

Salam Ramadan,

– Siti (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *