Pesanan Kepada Seksis, Misoginis SeMalaya

Assalamualaikum dan salam 28 Ramadhan kepada semua pembaca IIUM Confession. Sebelum tu saya nak ucapkan terima kasih kepada admin kerana meluluskan penulisan ini.

Setelah bertahun mengikuti IIUM Confession, membaca kisah-kisah hidup manusia yang memberi pengajaran dan harapan, inilah kali pertama aku menyahut panggilan untuk menulis dalam platform ni. Sebelum ni malas nak menulis sebab buat apa nak mengeruhkan keadaan.

Simpan pengajaran untuk diri sendiri atau beri maklum balas di ruang komen sudah. Tapi kali ni, aku kena tulis juga sebab ianya sesuatu yang merunsingkan apabila adanya lelaki seperti Detektif Malaya yang masih wujud di luar sana.

(Rujuk ‘’ Pesanan kepada Feminist ’’ dan ‘’ Pesanan kepada Feminist II ‘’) dan aku rasa aku kena luahkan juga.

Untuk part I, (https://iiumc.com/pesanan-kepada-feminist/).

Untuk part II, (https://iiumc.com/pesanan-kepada-feminist-ii/).

1. Adab wanita

Aku setuju dengan komen Detektif Malaya tentang adab-adab dan sikap membazir wanita. Ya, memang kita sekarang menghadapi krisis adab, sikap materialistik, membazir, melepak, dan malas. Tapi jangan lupa, dalam soal adab, it goes both ways. Lelaki, perempuan, dua-dua kena beradab.

Selagi ada yang memberi perhatian, selagi tu ada yang menagih perhatian. Selagi ada yang menjual, selagi itu ada yang melayan. Dan aku bersetuju juga tentang kualiti perempuan, isteri zaman sekarang. Tapi kualiti perempuan sahaja ke?

Kualiti lelaki dan suami zaman sekarang macam mana pula? Nak perempuan capai standard zaman nenek-nenek dulu, tapi kaum lelaki dah capai ke standard datuk-datuk kita?

2. Feminisme vs hak wanita

Isi-isi Detektif Malaya seterusnya dah mula melalut. Segala ketidaksempurnaan dan kekurangan kualiti dikaitkan feminisme.

Sebelum itu, Detektif Malaya faham ke tidak apa itu fahaman feminisme? Apa itu hak wanita? Disebabkan kita berbicara tentang hak wanita, terus Detektif Malaya bakulkan sebagai feminisme.

Tak tahu ke ada gerakan yang memperjuangkan hak wanita tanpa perlu menganut fahaman feminisme? Tak tahu ke ada gerakan pejuang hak wanita yang anti kepada feminisme?

Nampak sangat Detektif Malaya tak cakna dengan isu-isu wanita. Bagi dia, semua yang berkaitan dengan menyuarakan hak wanita tu feminisme.

Islam sendiri mengangkat darjat wanita tanpa perlu feminisme. Dan Islam sendiri dah memberi kelonggaran dan keharusan kepada wanita untuk bekerja, berurusan di luar dan sebagainya.

Allah dah bagi panduan. Yang mana bercanggah dengan pemikiran Detektif Malaya, pada dia orang perempuan tak payah keluar rumah, mungkin tak payah belajar, fokus dekat suami dan anak sahaja. Haish, kalaulah realiti dunia seindah itu. Kami pun nak duduk rumah juga. Senang.

3. Kenapa perempuan perlu keluar rumah?

Kewajipan menuntut ilmu WAJIB kepada lelaki dan WANITA. Nak cari ilmu, memang kena cari guru di luarlah. Takkan nak tunggu dalam rumah. Ataupun suami hebat dan boleh mengajar isteri.

Ilmu pula ada dua, fardhu ain dan fardhu kifayah. Dah ada ilmu, perlulah pula diamalkan. Nak amal macam mana?

Dengan keluar bekerjalah. Memenuhi tuntutan fardhu kifayah, kalau tak ada yang amalkan, seluruh masyarakat berdosa.

Melalui penulisan Detektif Malaya, saya andaikan dia seorang yang kolot. Dunia ini tentang dia sahaja. Siapa jadi bini dia kena lupa segala di luar supaya fokus terhadap dia dan anak-anak sahaja.

Macam tak ada tanggungjawab sebagai ahli masyarakat. Lagi satu, dunia yang Allah bagi ini indah, orang perempuan tak boleh ke nak menikmati keindahan alam ciptaan Allah dan hanya terkurung di rumah?

4. Kalau perempuan tak keluar rumah, selesai segala masalah?

Bila Detektif Malaya gunakan contoh dari Jepun dan Pakistan, dah boleh tahu dah tahap mana pengetahuannya terhadap isu-isu wanita ni.

Berbalik kepada kenyataan, ‘’bila mereka ni keluar berduyun-duyun dari rumah? , makin berlambak jenayah, kes penculikan, kes curang, kes penceraian.” Betul ke? Kalau perempuan tak keluar rumah, tak jadi segala masalah?

Disebabkan Pakistan dijadikan contoh, meh aku nak cerita apa yang terjadi dekat sana. Dekat sana memang lelaki dan perempuannya jarang bercampur. Which is good (at certain points).

Mungkin sebab tu jarang, susah nak dengar kes zina, kes bercampur luar batas. Tapi tahu tak tentang kegiatan homoseksual di kalangan lelaki Pakistan?

Ya, mereka tak sentuh wanita yang bukan isteri. Sebab bagi mereka itu berdosa. Tapi nafsu serakah mereka itu disalurkan kepada pelacur lelaki, kawan sekerja, kanak-kanak merempat dan sebagainya.

Kita ambil contoh kes-kes serangan seksual di tahfiz-tahfiz kita. Lelaki sesama lelaki. Ia menunjukkan, kalau perempuan tak ada pun, sama saja. Tetap tak boleh mengekang nafsu kerbau lelaki tu.

Jadi isunya di sini, masalah dan jenayah yang berlaku tu, disebabkan perempuan keluar rumah atau nafsu yang tak terkawal??

5. Kepimpinan vs ditaktor

Sebelum nak buat keputusan, CEO dengar dulu pandangan pengurus pemasaran dia. Raja pun dengar dulu nasihat-nasihat bendahara dan pembesar. Nakhoda kapal pun merujuk dulu kepakaran jurumudi (navigator) dia.

Tak berkurang kepimpinan seorang ketua kalau adanya ruang perbincangan dan toleransi dengan anak-anak buahnya.

Ketaatan isteri yang Detektif Malaya selalu sebut tu, ketaatan yang macam mana ya? Ada ruang berbincang? Ke memang tak boleh bawa bincang, aku ketua, jadi aku seorang saja cakap. Kasihan isteri yang taat membuta tuli tanpa ada ruang untuk musyawarah.

6. Isteri penat, tak dapat layan

Kenapa isteri penat?

“Nafkah wajib tu adalah tempat tinggal, makan, minum, dan pakaian sahaja. Yang lebih2 tu cari sendiri yek”

Berkira. Zaman sekarang kita bukan ada pokok kelapa belakang rumah nak buat minyak rambut. Nak cari daun inai bagi merawat kuku. Nak jaga diri. Semua pakai duit sekarang ni.

Suami pula kedekut, macam bukan dia juga yang menikmati tubuh badan isteri akhirnya. Nak tak nak wanita kena ada sumber pendapatan juga.

Tapi Detektif Malaya nak perempuan duduk rumah. Jadi bini kenalah kemas rumah, jaga anak, buat online business, buat dropship. Uish, penat.

“Kau dah pilih bekerja pandai-pandailah manage masa’’.

Kalau bini kerja pula, perempuan tetap salah. Kau dah pilih kerja kan? Pandai-pandai kaulah jaga kerja, jaga rumah, jaga diri.

“Bukan nak menangkan lelaki tapi mereka dah cari rezeki 9-6 tu bagi aku dah cukup penat dah”

Tahu pun penat. Ini kudrat lelaki. Kudrat perempuan yang kena urus rumah, anak-anak, kerjaya sendiri/di luar rumah tu? Bila orang kata penat, kau tahu merungut saja kan.

7. Kalau tak dapat, dijadikan alasan untuk layan p0rno, buat dosa lain.

Punca masalah isteri penat tak nak diselesaikan. Tapi buat pula masalah lain. Antara ciri-ciri narsistik, kesalahan apa pun yang dia buat, dia tak bertanggungjawab atas kesalahan tersebut. Orang lain pula yang dipersalahkan.

8. Isteri dekat Malaysia tak pandai goda

Statistik tontonan p0rnografi Malaysia adalah antara yang tertinggi di dunia. Apabila dah biasa dengan yang haram, yang halal pun dah tak ada nikmat. Yelah, dah biasa dengan p0rno kan.

Apabila dah biasa dengan yang ekstrim, dengan godaan pelakon wanita dalam p0rno tu, apalah sangat godaan seorang isteri yang bermaruah tu. Sebab tu tak naik kan? Nak isteri jadi “slutty” (maaf) baru tergoda?

9. Apa tugas seorang suami dan bapa, ya?

Tugas mendidik anak, mengurus rumah tangga ni bukan hanya di bahu isteri sahaja. Anak tak jadi, disalahkan bini.

Jadi apa fungsi seorang suami selain daripada pemberi nafkah dan penderma sperma ya? Kalau semua beban dan tanggungjawab diletakkan di bahu wanita, apa fungsi seorang lelaki sebagai qawwam kepada isterinya?

Ciri-ciri seperti tak bertanggungjawab, menyalahkan orang lain atas apa yang berlaku menunjukkan sifat ego, narsistik kaum lelaki.

Harap Detektif Malaya dan lelaki yang sama waktu dengannya dapat periksa balik tujuan perkahwinan, tujuan kita bermasyarakat, dan tujuan kita hidup di dunia ini.

Ia bukan tentang kehendak kita, kehendak lelaki sahaja. Ada amal, ada sumbangan yang perlu diberikan kepada ahli keluarga, komuniti sendiri, dan seluruh generasi yang akan datang.

Dan kalau kena ikut pemikiran rigid Detektif Malaya, memang tak berkembanglah peradaban dunia, wanita tak boleh keluar rumah dan kita hanya boleh berharap kepada kepandaian (dan juga kebodohan) kaum lelaki sahaja untuk mengurus dan mentadbir alam ini.

Lelaki perempuan semua ada peranan. Sama-samalah kita semua bermuhasabah diri.

Sekian,

– Inspektor Malaysia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *