Ramai cakap jarang lelaki nak bercerita pasal hal hati dan perasaan. Memang cara komunikasi lelaki dan perempuan berbeza.
Contoh kalau ada masalah. Lelaki suka pendamkan masalah dan fokus kepada mencari penyelesaian dalam diam. Perempuan pula suka bercerita masalah mereka kerana perbuatan meluahkan perasaan itu melegakan perasaan dia.
Tapi hari ni aku nak meluahkan perasaan sebab jiran aku trigger aku.
Jiran aku ni sejak aku kecil lagi asyik bandingkan aku dengan anak perempuan dia. Dulu selalu bandingkan result exam. Anak dia result lagi power so dia menang. Sekarang sebab anak dia baru nikah, dia guna point ni pulak.
Biasa kalau orang tua tanya bila nak kahwin aku akan jawab dengan sopan, cakap masih mencari yang sesuai. Tapi kali ni makcik cakap “Kau dah 29 masih takde orang nak ke? Acik tengok kau ni elok saja, mesti ada benda yang buat kau tak laku kan.”
Aku jawab balik dengan sopan walaupun mata berdenyut menahan api membara di dada. “Takpe saya lelaki acik. Lagi tua makin laku ada la. Lagi lagi zaman sekarang kalau lelaki tua dah kahwin. Lagi jadi rebutan ramai nak jadi nombor dua hahaha.”
Makcik tu ketawa dan berlalu pergi. Confirm lepas tu dia insecure dan check dengan suami dia ada nombor dua ke tidak. Rasakan, hahaha.
Realitinya sepanjang 29 tahun hidup aku memang aku tak pernah bercouple dengan sesiapa! Kenapa? Mari aku ceritakan segala kisah crush aku dan kenapa semuanya tak menjadi. Tak banyak pun.
Semoga gadis-gadis di luar sana juga boleh dapat intai sikit dunia berpacaran ni dari perspektif lelaki. (Details diubah untuk melindungi identiti mereka)
Masa sekolah dulu memang aku nerd. Muka mix Chinese. Kaki belajar. Sebab tu late bloomer. Hanya di universiti baru mula berkenalan dan mencari. Tapi… Korang bacalah
1. Cik Berhantu.
Pada umur 19 tahun, aku sedang belajar di luar negara. Tapi aku selalu balik Malaysia bila cuti. Pada masa ini aku minat seorang gadis Melayu yang kita namakan Haziqah. Gadis kulit tanned dan comel mata besar macam guli sebab ada berdarah India.
Aku juga pada masa itu ada best friend lelaki yang bernama Hamid yang juga belajar di Malaysia. Gadis ni memang mutual friend kami, kami berdua memang kenal Haziqah.
Pada mulanya aku cuba berkenalan dan rapatkan diri dengan Haziqah. Bila cuti memang jumpa dia. Setelah beberapa bulan kami mula rapat, hampir nak ‘go exclusive’ lepas tu tiba-tiba dia menghilangkan diri. Mesej tak berjawab. Call tak angkat. Sosial media hilang. Aku kena ghost.
Berbulan bulan aku selalu cuba fikir apa salah aku. Apa aku buat. Aku balik cuti semester pun dia tak mahu jumpa aku. Lepas itu barulah aku mula bersembang dengan Hamid pasal dia, dan Hamid pecahkan rahsia.
Rupanya Haziqah banyak mesej dia. Dalam perbualan mereka dia banyak konon minta nasihat percintaan dari Hamid. Tanya itu tanya ini. Kononnya tanya pasal aku. Tapi mesej aku tak reply. Dari perbualan chat diorang, amat jelas sebenarnya Haziqah minat kat Hamid.
Hamid pun tak lokek untuk berkongsi semua ini dengan aku, sebab sepanjang tu Hamid memang dah ada girlfriend (sekarang gf tu jadi isteri Hamid pun…)
Jelas dah semuanya. Aku faham la kalau dia lagi suka kat Hamid sebab Hamid di Malaysia. Aku jauh. Sekurang-kurangnya aku dapat closure. Cuma, kalau dulu dia cakap terus terang reject aku sebab aku jauh, kan senang?
Penyebab – Jarak + Ghosting.
2. Miss Kawaii.
Masa belajar di luar negara aku rapat dengan gadis yang kita namakan Michelle. Pada masa ini aku umur 20 tahun. Kami berkawan biasa saja kerana dia mahu praktis skil Bahasa Inggeris, aku pula boleh praktis berbahasa tempatan dengan Michelle sebab dia orang tempatan.
Michelle ni suka minum air ‘itu’. Tapi aku bukan macam tu. Dia jenis boleh minum banyak tapi tak mabuk juga. Memang dah biasa lah tu.
Tapi kalau lepak dengan aku, engkau minum lah sorang. Aku tetap dengan kopi aku. Lama-lama bila dengan aku dia pun bosan minum sorang jadi dia pun ikut minum kopi saja bila jumpa aku. Yes aku menang hahaha!
Dia pernah bertanya, apa rancangan aku selepas bergraduasi. Aku berterus terang dengan dia yang aku tak berhasrat untuk menetap di negara itu. Lepas habis belajar nak balik Malaysia sebab mak aku tak sihat. Tak nak berjauhan terlalu lama.
Kami berkawan macam kawan biasa saja sampailah kami bergraduasi. Aku balik Malaysia. Dia pula berhijrah ke Kanada lepas bergraduasi. Kami lost contact.
Baru-baru ni, awal tahun ini, setelah 9 tahun tiba-tiba dia contact aku semula. Kami bersembang macam kawan lama. Dia kerja di Kanada, ada boyfriend orang Kanada juga. Tapi tahun ini kerana pandemik dia hilang kerja dan kembali ke negara asal dia.
By the way dia juga kata dia sudah single. By the way sangat. Tapi memang aku tidak ada apa-apa rancangan untuk berhijrah ke luar negara lagi jadi… Kami masih kekal sebagai rakan online sajalah sekarang.
Ada rakan yang mengusik, apa tunggu lagi. Pergilah kesana dengan dia… Berhijrah bukan benda senang bro! Tambah lagi akan ada cabaran lain pula menanti – perbezaan agama iaitu amalan alkohol dia. Susah nanti.
Penyebab – Jarak (Again) + Agama.
3. Cik Muslimah.
Kita namakan dia Julia. Berkenalan secara online masa tahun akhir belajar pada umur 24 tahun. Gadis bertudung labuh dan juga model hijab sambilan. Sampai sekarang, antara semua gadis yang aku pernah kenal, dia ni lah yang paling cantik.
Lepas graduate aku pun balik ke tanah air. Pada masa tu mendarat saja aku terus beli Saga cash bayar habis (benda ni penting di hujung cerita nanti).
KL ni bukan macam luar negara. Kat sana pengangkutan awam senang. Nak jalan kaki pun senang. Kereta bukan keperluan. Tapi di Malaysia kereta penting.
Kami berkawan dalam 6 bulan saja, dia mula bercakap pasal nikah. Dia cakap dia tak percaya amalan ber-couple. Aku berterus terang aku baru balik Malaysia, baru mula berkerja. Takde duit nak berkahwin lagi. Dia beri kata putus dia tak sanggup untuk tunggu. Dan kami putuskan contact.
Aku duk terfikir lah, kalaulah aku tak habiskan duit simpanan nak beli kereta ni. Kenapalah tak ambil loan saja macam ramai orang buat. Menyesal gila.
Tiga tahun selepas tu aku terserempak dengan dia di luar dan bertanya khabar. Aku contact dia semula melalui telefon. Dia bercerita sebenarnya pada masa itu, dia disuruh bernikah dengan lelaki pilihan keluarga.
Pada mulanya dia takut kerana tak kenal lelaki tu dan umur lelaki tu hampir sedekad lebih tua dari dia. Memang pada saat kami putuskan contact, tak lama lepas tu dia ikutkan juga bernikah dengan lelaki itu.
Nasib baik lelaki itu lelaki yang baik. Aku pun jumpa dia. Lelaki tu kecil orangnya, Julia tinggi sikit dari dia. Bagusnya lelaki tu warak dan agak berada, pakai kereta jerman dan tinggal di rumah besar di luar KL. Yang penting, Julia pun nampak gembira.
Boleh tahan ibu bapa dia carikan calon. Aku cuma cakap aku gembira yang dia gembira dengan jodoh dia. Dia juga doakan aku berjumpa dengan jodoh yang baik. (Padahal dalam hati aduduu)
Aku terfikir, kenapa Julia tak bagitahu keseluruhan cerita kat aku sebelum ni? Aku pun berangan lah. Kalau dia ceritakan maka aku pun pergi jumpa ibu bapa dia meminang dia dengan keadaan takde duit ni.
Cakap jangan kahwinkan dia dengan lelaki pilihan keluarga dia. Confirm jadi drama pukul tujuh! Dan kemungkinan besar akulah antagonis dalam cerita Julia, bukan hero hahaha. Masuk akal juga kenapa Julia rahsiakan.
Penyebab – Aku Takde Duit.
Selepas semua ni lama aku kekal single sebab konflik keluarga. Ayah aku curang ada perempuan lain. Dia nak tinggalkan ibu kahwin lain. Ibu dahlah suri rumah dah lama tak berkerja. Memang akan hilang tempat bergantung.
Berperang teruk lah keluarga aku selama 2 tahun. Dua tahun aku juga terlibat, beri sokongan kepada ibu dan memujuk ayah untuk kembali kepada kami pada masa tu. Alhamdulillah selepas dua tahun mereka kembali aman. Tiada penceraian berlaku.
4. Miss Lenglui.
Kita namakan gadis ini Jenny, Malaysian berkerja dan menetap di luar negara, tapi selalu saja balik. Pada masa ini aku berumur 27 tahun. Keluarga dah aman, ekonomi diri pun lebih stabil. Tiba masa untuk kembali ke arena dating.
Jenny ini unik sebab sekali tengok macam Melayu. Cakap Melayu fasih sebab sekolah kebangsaan. Dia pernah bercouple dengan rakan sekolahnya, seorang lelaki Melayu, bertahun tahun lamanya. Dari bangku sekolah, masuk belajar, sampai dah kerja. Lama kan dia setia?
Dia juga banyak belajar pasal Islam, dia pun tak minum alkohol, sebab pada masa itu dia memang bercita-cita nak berkahwin dengan lelaki tu.
Tapi lelaki itu curang. Tak cukup dengan itu, lelaki tu pinjam duit dia berjumlah 5 angka tak bayar balik. Gila! Sebab inilah dia nekad pergi berkerja di luar negara demi gaji yang lebih tinggi.
Aku berkenalan dengan Jenny melalui satu online dating app hampir setahun selepas dia putus dengan lelaki penipu tadi.
Jenny kerja di luar negara. Aku di KL. Aku memang taknak long distance relationship (macam Michelle) jadi aku memilih untuk kekal dalam friendzone dengan dia.
Kami selalu chat. Memang best chat dengan dia. Banyak benda kami kongsi. Sampai tahap berapa gaji masing-masing pun kami tahu. Setahun kami kekal begini.
Tahun lalu dia ada cuti balik ke KL sebulan lamanya sempena cuti Chinese New Year. Entah kenapa aku berubah hati. Aku pun ajak dia keluar for a date. Memang aku cakap “date” ok! Dia kata ok.
Dua hari sebelum date, dia bercerita pasal dia kena stood up. Dia pergi dating dengan lelaki yang dia baru kenal, tapi lelaki tu tak muncul. Dia cakap jangan aku buat macam tu pulak. Aku cakap jangan risau aku pasti datang awal!
Tengah sembang sembang sambil makan. Aku tanya lah pasal mamat yang aku ternampak dalam instagram dia. Dia kata oh itulah boyfriend dia. NANIII?
Dia cakap sebenarnya dia ada boyfriend, dating on and off dah setahun. Dulu LDR kejap, off kejap, ni baru berapa hari lepas balik bila berjumpa, dia start balik.
Boyfriend dia baru saja lepas belanja dia dinner mewah sempena hari valentine pujuk dia… Dia cakap sebenarnya dia tak sure pun dengan lelaki tu.
Lidah aku terus kelu tak terkata. Terus dia cakap sebenarnya dia memang nak cari boyfriend bangsa cina dan nak tinggi 175 cm keatas, yang bermaksud memang aku tak layak la kiranya.
Aku terus terdiam dan dia terus minta diri.
Lepas dia dah balik, aku terfikir. Eh tak tak, tolak segala kriteria tadi tu tepi kejap. Situasi sekarang ni, kau dah ada boyfriend… Tapi masih datang jumpa aku dah kenapa?
Lepas tu aku juga dapat tahu dia juga ada keluar berdating dengan seorang rakan lelaki cina aku hanya beberapa hari selepas jumpa aku. KL ni kecil saja sis… Persoalannya, kenapa masih berjumpa lelaki itu lelaki ini sedangkan masih dengan boyfriend sekarang?
Ada terfikir jugak, ke Jenny hanya petik saja nama lelaki tu untuk reject aku? Aku pening. Ada ke udang disebalik mee yang aku tak perasan disini? Ah! Tak kisah lah apa sebabnya. Yang penting dia reject aku. Aku percaya jelah apa yang dia cakap.
Down sekejap. Bukan sebab kena reject tapi rasa buang masa. Aku tak lama dah nak masuk 30, semua masa tu semua digunakan untuk jumpa orang lain yang lebih berpotensi kan bagus.
Tambahan aku memang pantang bab curang sebab pengalaman konflik keluarga aku. Kalau nak dating dengan orang lain, putuskan dulu lah betul-betul.
Dulu dia setia bertahun lamanya tapi dicurangi. Mungkin sekarang dia ambil keputusan dia punya giliran pula nak jadi player? Entahlah. Aku tak bercadang untuk kekal menjadi mangsa dalam permainan dia.
Penyebab – Jarak (Pada Mulanya) Tapi Kena Game.
Wow maaflah panjang confession aku. Bukan selalu. Tak seronok sebab rasa macam berkongsi kegagalan sedangkan sebagai lelaki kita lagi suka bercerita mengenai pencapaian. Bayangkan 10 tahun hanya 4 percubaan sahaja. Satu pun tak menjadi hahaha.
Aku perasan perangai manusia ni, benda yang dulu kita kena, kita buat kat orang. Dulu orang reject aku sebab tak nak long distance relationship, lepas tu aku pulak reject orang atas sebab yang sama.
Dulu dia dicurangi, sekarang dia pulak mencurang (betul ke ayat ni). Reject aku sebab itu, rupanya ada sebab ini. Ah payah betul dunia dating ini.
Ya aku akui memang social circle aku agak ‘international’. Aku taklah warak mana. Tapi tak juga lagha habis-habisan. Masih menjaga dari benda yang haram.
Mungkin ini semua teguran halus dari Allah, aku perlu kembali kepada Islam betul-betul. Jadi lebih warak. Keluarkan diri dari circle itu masuk circle yang lebih kepada gaya hidup islam. Barulah berjumpa dengan orang yang betul. Niat memang nak mencari isteri kot…
Itulah solusi yang aku nampak setakat ni.
PKP dah tiga kali. Umur dah 29. Aku masih single, masih berusaha membaiki diri, sambil itu mencari. Doakan aku bertemu jodoh!
Jika para pembaca ingin meninggalkan nasihat untuk aku di ruangan komen aku akan membaca dan menerimanya dengan hati yang terbuka. Terima kasih buat semua yang membaca sampai habis.
– Mamat (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit