Cemburu Dengan Ex

Assalamualaikum semua. Selamat Hari Raya. Tengok tajuk pun dah tau aku nak luah apa kan. Tulisan ni agak panjang. Tapi aku cuba ringkas dan padatkan. Mungkin akan ada yang salah faham, mungkin ada yang kecam. Tapi harap ada yang doakan yang terbaik untuk aku.

Baiklah, raya macam ni biasa la orang akan post gambar raya kan, aku scroll fb lalu nampak gambar family ex aku. Kami ni banyak mutual jadi walaupun aku tak friend dia, adik dia masih berkawan dengan aku.

Ex aku dah kahwin, anak 2, dan isterinya cantik. Aku tak faham juga kenapa aku pergi buka profile dan stalk wall dorang.

Mungkin curious? Dan bila dah stalk, aku cemburu. Mesti korang kata, move on la, aku pun isteri orang, tak elok stalk fb ex. Dah tu mengadu kat sini cemburu la apa la. Wait. Tunggu penjelasan aku.

Kebetulan dua-dua fb tak private. Aku boleh nampak status masing-masing. Dari situ aku cemburu. Sebab aku nampak mereka menuju syurga.

Betul orang kata apa di media sosial ni jangan percaya 100%, tapi aku percaya mereka memang betul-betul sedang memperbaiki diri, dan melalui pernikahan yang diberkati, mereka mahu kejar syurga. Sebab apa? Sebab aku kenal ex aku.

Ini yang aku cemburukan. Nanti aku cerita kenapa. Sebelum tu aku nak cerita serba sedikit ex aku, yang aku masih anggap sahabat, sebab kami teman tapi mesra bertahun-tahun.

Sebelum aku dan dia dah merancang bernikah, namun ada halangan kerana aku sudah ada pasangan, dan dia tak mahu merampas aku dari sesiapa, lalu dia bawa diri, dan akhirnya kini dah memperisterikan wanita solehah, a trying muslimah.

Kenapa trying? Aku akan bagi sebabnya nanti. Dan dia nampak bahagia, kerana wanita ini wanita yang sesuai, yang berpimpinan tangan mencari rahmat Allah. Aku cemburu.

Ex aku nakal, walaupun ada background agama, tapi pernah leka dan jauh dari agama. Dia mula berubah dan mahu jadikan aku isteri kerana dia yakin aku calon paling sesuai.

Aku belajar agama, tutup aurat, bijak sebab graduan. Ini menurutnya. Jadi dia mengajak aku nikah kerana dia mahu kembali ke jalan Allah.

Selesai umrah, dia hubungi aku. Hati aku berbunga, kerana aku nampak dia dan aku punya matlamat yang sama, untuk menikmati cinta halal, memperbaiki diri, dan menjadikan pernikahan itu kunci pintu syurga.

Tapi rancangan itu terhenti kerana sebab yang aku ceritakan tadi. Sedangkan pasanganku ketika itu bukanlah lelaki soleh sejati, tapi sedang cuba berubah. Sama dengan ex aku, kata kuncinya “cuba berubah”.

Mereka berdua memilih aku kerana aku kononnya faham agama dan mampu bantu mereka. Tapi ex aku mengalah dan bawa diri. Aku berkahwin dengan suamiku sekarang kerana kesungguhannya dan keikhlasannya.

Ex aku nikah lepas beberapa tahun. Mulanya aku terkejut, adiknya undang ke majlis. Tapi aku tak pergi. Tak mungkinlah aku nak pergi. Apa kata suamiku nanti yang dulu hampir nak bergaduh dengan ex ni berebutkan aku.

Aku tengok gambar, dan aku terpesona lihat cantiknya pilihan hatinya. Memang jelas ciri-ciri luaran yang ex aku pernah sebut.

Aku stalk fb isterinya. Entah kenapa la aku stalk. Tapi aku curious adakah wanita ini sama ciri dengan aku? Ternyata yang aku jumpa, wanita ini dahulunya tidak menutup aurat.

Di sini aku menang lah, kerana aku dah bertudung sejak baligh lagi. Melihat gambarnya yang bermekap dan dipuji ratusan lelaki, sambil dia melayan satu per satu. Kira aku menang lagi. Sebab aku tidaklah suka melayan lelaki sembarangan.

Dan aku tidak jumpa bukti dia graduasi dari mana-mana. Sebab tu aku kata dia a trying Muslimah. Sebab dia tiada background agama macam aku. Tapi aku yakin kini dia jauh lebih baik daripada aku dan bertuahnya ex aku memiliki dia.

Dan dia juga bertuah bersuamikan ex aku. Seorang lelaki yang tahu agama tapi pernah leka dan kini mencari akhirat. Ini yang aku cemburukan.

Aku cemburu kerana perkahwinanku tidak seperti yang aku harapkan. Ya, suami aku baik, bertanggungjawab, keluarganya baik dan menyayangi aku. Anak-anak aku bijak dan comel. Tapi ada satu yang tiada. Iaitu nilai tarbiah.

Suamiku tiada background agama, dan dia tidak kelihatan seperti mencari akhirat, sehingga kini walaupun sudah memperisterikan aku, wanita serba tahu hal agama, bak kata orang sekeliling.

Cuma aku terkontang kanting solat sendiri tidak berimam. Tak pernah ketuai doa. Tak pernah tadarus bersama.

Bulan Ramadan yang rumah-rumah Muslim lain diimarahkan dengan ibadah, tapi rumah aku tiada. Setiap tahun, dah berapa Ramadan kami sambut bersama, tiada imarah yang aku impikan.

Aku bosan dan mungkin orang boleh kata, dah putus asa? Ramadan pun solat tak penuh, luar Ramadan agaknya korang rasa macam mana suami aku tu?

Bukan aku nak aibkan suami di sini. Tapi aku mahu korang tahu, aku cemburu berasas dengan rumahtangga ex aku. Ternyata kami jauh ketinggalan duniawi ukhrawi. Bukan aku nak membandingkan tetapi aku manusia biasa yang ada perasaan.

Bila aku lihat isterinya makin baik, tidak lagi post benda lagha, tidak lagi bercantik-cantik untuk dilihat lelaki lain, mahir menguruskan rumahtangga, selalu post benda baik dan keagamaan di wall fb, aku jadi malu sendiri.

Aku yang ada ilmu pun masih buat benda opposite. Ya, aku jauh tertinggal. Aku pasti yang menjadikannya solehah itu suaminya, dorongan dan nasihat suami, tarbiah dalam keluarga yang dibina.

Orang kata, isteri cerminan suami kan? Sebab tu aku boleh rumuskan rumahtangga mereka hidup dengan tarbiah, dan ex aku juga sedang perbaiki rohaninya sebagai ketua keluarga.

Aku membayangkan ex aku menjadi imam solat, membaca doa, bertadarus bersama isterinya. Indahnya perkahwinan yang dipenuhi semua itu..

Aku nampak di sini, suamiku mungkin rasa selesa, kerana aku dah pandai semua. Jadi tak perlu dia bersusah-susah mengajar mendidik. Ilmu aku lebih darinya, jadi dia malu untuk imamkan aku, baca doa dan mengaji sama.

Tapi aku wanita. Yang lemah. Apabila tiada pendorong, aku kadang tewas dan hanyut. Aku beberapa kali tertinggal subuh kerana tiada yang kejutkan.

Yelah, suami aku pun tak bangun subuh. Aku beberapa kali tinggi suara bergaduh dan tidak hormat dia, kerana aku rasakan dia gagal. Aku bernikah untuk ke syurga, tapi kadang kala jadi lubuk dosa pulak.

Bukan tujuan aku mengaibkan suami yang aku cinta dan sayang, kerana di mata orang, kami saling beruntung.

Aku beruntung kerana dia rajin dan bertanggungjawab, dia beruntung kerana aku ada rupa dan tahu agama. Tapi ada satu hakikat yang aku pejamkan mata selama ini iaitu rumahtangga kami tiada tarbiah.

Tiada solat jemaah. Tiada tazkirah. Tiada tadarus. Jauh sekali ta’lim. Jika aku kadang-kadang hanyut, tak ditarik ke tepi. Jika kadang-kadang aku leka, tak disedarkan. Jika kadang-kadang aku tenggelam, tak diselamatkan. Aku makmum tapi tiada imam..

Lelaki yang memperisterikan aku tak cuba perbaiki diri. Apatah lagi mendidik anak dengan agama. Semua di bahu aku.

Aku cemburu. Kerana ex aku nampak lebih bijak mencorak rumahtangganya. Berpimpin tangan dengan isterinya, bertatih sama-sama untuk ke syurga. Sama-sama mengisi jiwa dengan ilmu.

Tapi aku, keseorangan. Aku cemburu, kerana dia benar-benar melaksanakan apa yang dia kata padaku dulu.

Berkahwin untuk jadi kunci ke syurga. Alangkah indahnya kalau aku di posisi itu. Berdosakah aku berfikir begini? Berdosakah aku terdetik dalam hatiku perkara ini?

Demi Allah, aku bukan berniat curang. Aku masih waras. Aku luahkan di sini untuk pengajaran buat kita wanita, dan para lelaki.

Wanita, siapkan diri dengan ilmu kerana boleh jadi suami tidak mampu bimbing kita. Jangan yakin kita boleh mengubah lelaki, kerana dalam rumahtangga, posisi kita lemah dan kita juga kadang-kadang cenderung terikut suami.

Lelaki, jangan menabur janji. Tiada ilmu agama, lengkapkanlah, berusahalah, walaupun isterimu telah sedia tahu, dia masih makmummu, dan engkau tetap imam.

Jika bukan untuk isteri, kenanglah anak-anak yang akan melihatmu sebagai contoh. Yang akan meneladani sikapmu, yang akan bertanya segala hal kepadamu kelak.

Doakan aku, doakan suamiku. Semoga kami pun berpeluang menjadikan pernikahan ini tiket syurga. Aku sayang rumahtangga kami, aku cinta suamiku, tapi “kekosongan” ini perlu diisi.

Aku bimbang jika ia menjadi silent killer dalam hubungan kami. Puas aku menegur, berdoa. Cuma mungkin belum dikabulkan tuhan.

Buat ex, semoga bahagia dunia akhirat. Dia bidadari yang Allah kirim untukmu, kerana kesungguhanmu memperbaiki agamamu.

Aku malu kerana pernah memandang rendah akan pilihanmu, merasa menang tak tentu pasal, padahal setelah bertahun-tahun aku cuma picisan yang masih terbuai dengan dunia..

Tak mengapa jika korang anggap aku terlalu memuji ex dan isteri hanya berdasarkan paparan di fb.. Mereka pasti bukan sempurna juga, tapi matlamat ke syurga itu jelas dan terarah. Nak dibandingkan dengan rumahtangga aku yang tiada hala tuju.. Kami jauh ketinggalan.

– Tiada nama (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *