Assalamualaikum semua. Aku ingin kongsikan kisah isteri-isteri Rasulullah saw. Insya-Allah akan ada beberapa siri yang akan datang.
Semua kisah ini aku rujuk daripada sumber-sumber yang dipercayai kesahihannya.
KHADIJAH : PERMATA HATI NABI
Khadijah binti Khuwailid atau Khadijah al Kubra merupakan isteri pertama Nabi Muhammad SAW. Nama penuhnya Siti Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai.
Beliau ialah anak perempuan pasangan Khuwailid bin Asad dan Fatimah binti Zaidah berasal daripada kabilah Bani Asad dari suku kaum Quraisy namun dikatakan bapanya itu terbunuh dalam peperangan Fujjar.
Keutamaan Khadijah Radhiallahu’anha
Diantara keutamaan beliau adalah semua putera-puteri Rasulullah berasal dari rahim Khadijah, kecuali Ibrahim. Mereka adalah:
1) Al Qasim (nama kun-yah Rasulullah, yaitu Abul Qasim, menggunakan nama beliau)
2) Zainab
3) Ruqayyah
4) Ummu Kultsum
5) Fathimah
6) Abdullah
Semua putera Rasulullah wafat ketika masih anak-anak. Sedangkan semua puteri baginda semuanya hidup di masa penyebaran Islam, semuanya memeluk Islam, dan semuanya ikut berhijrah.
Namun semuanya wafat ketika Rasulullah masih hidup, kecuali Fathimah, yang wafat 6 bulan setelah beliau wafat.
Khadijah Penenang Hati Nabi.
Ketika wahyu pertama diturunkan, Rasulullah merasa amat takut dengan kedatangan Jibril. Baginda bergegas pulang ke rumah menemui Khadijah. Baginda menyebut,
“Selimuti aku, selimuti aku.”
Maka Khadijah pun menyelimutinya hingga hilang rasa takutnya. Kemudian Nabi bertanya:
‘Wahai Khadijah, apa yang terjadi denganku ini?’.
Lalu Nabi menceritakan kejadian yang beliau alami kemudian mengatakan,
‘aku amat khawatir terhadap diriku’.
Maka Khadijah mengatakan,
“Sekali-kali janganlah takut! Demi Allah, Dia tidak akan menghinakanmu selama-lamanya.
Sungguh engkau adalah orang yang menyambung tali silaturrahim, pemikul beban orang lain yang susah, pemberi orang yang miskin, penjamu tamu serta penolong orang yang menegakkan kebenaran.”
(HR. Al Bukhari no. 6982)
Begitulah sifat seorang isteri yang perlu dicontohi oleh semua kaum hawa. Ketika suamimu sedang dalam keresahan dan kebuntuan maka tenangkanlah dia. Sebutkanlah kebaikan-kebaikannya.
Sikap Cemburu A’isyah terhadap Khadijah.
Dikatakan A’isyah R.anha sering cemburu terhadap Khadijah kerana nabi sering memuji Khadijah. Nabi menikahi A’isyah setelah kewafatan Khadijah.
Diriwayatkan daripada Al-Sya’bi daripada Masruq daripada Aisyah R.anha. Beliau berkata :
“Apabila Nabi SAW menyebut tentang Khadijah pasti Nabi akan memujinya dan berkata yang elok-elok tentang beliau. Aisyah berkata : Pada satu hari aku merasa cemburu maka aku katakan :
“Betapa banyak engkau sebut tentang orang yang kemerahan rahangnya. Sesungguhnya Allah telah gantikan engkau dengan wanita yang lebih daripadanya.”
Nabi SAW bersabda :
“Allah tidak gantikan aku dengan orang yang baik daripadanya. Dia beriman denganku ketika orang ramai tidak beriman kepadaku,
Dia membenarkan kata-kata aku ketika orang lain tidak percaya dengan aku, dia memberikan hartanya ketika orang lain menahan harta mereka daripadaku, dan Allah rezekikan aku mendapat anak melaluinya ketika Allah tidak rezekikan aku anak dengan wanita selainnya.”
Riwayat Imam Ahmad (25504) di dalam Musnadnya.
Dalam riwayat lain dikatakan raut wajah Rasulullah berubah selepas mendengar ungkapan yang keluar dari mulut A’isyah. A’isyah menceritakan,
“Maka berubah air muka Nabi SAW yang tak pernah aku lihat daripada Nabi SAW kecuali ketika turunnya wahyu dan ketika melihat awan mendung sehingga Baginda tahu adakah ianya rahmat atau satu azab.”
Riwayat Ibnu Hibban (7008)
Di dalam riwayat Al-Tabarani, apabila Saidatina ‘Aisyah sedar bahawa Nabi SAW berubah mukanya berkemungkinan tidak menyukai apa yang disebutkan oleh beliau, lantas beliau menyebut,
“ Wahai Rasulullah ampunkan aku maka Allah akan ampunkan engkau. Demi Allah engkau tidak akan dengar aku sebut sesuatu tentang Khadijah yang engkau tidak suka selepas ini.”
Riwayat Al-Tabarani di dalam Al-Mu’jam Al-Kabir.
Begitulah sifat kasih dan cintanya Rasulullah terhadap Khadijah.
– Halawah Iman (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit