Suami Kerap Ingin Berhenti Kerja

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Saya Hilda, bukan nama sebenar. Saya cuma ingin meluahkan apa yang terbuku di hati sebab saya tidak tahu nak berkongsi dengan siapa. Saya sudah kerap menangis dengan Allah minta pertolongan.

Saya dan suami dah berkahwin hampir 5 tahun. Kesengsaraan saya bermula hampir 2-3 tahun yang lalu. Saya suri rumah ketika itu, masih tidak ada anak. Pernah gugur sekali.

Suami kata dia nak berhenti kerja, dia dah tak tahan dengan perubahan tempat dia bekerja, makin lama seorang demi seorang orang yang dia rapat berhenti, jadi dia pun beritahu saya yang dia juga sama.

Dia dah hilang semangat nak bekerja di situ lagi. Pada mulanya saya tidak bersetuju, tapi bila hari demi hari dia kerap mengeluh dan stress setiap kali balik kerja, saya akhirnya sokong keputusan dia.

Kemudian, dia terus berhenti kerja. Suami saya ni jenis penyimpan dan berjimat cermat. Gajinya sebelum ini jarang terusik,

Gajinya dulu hampir 4k jadi pada ketika dia buat keputusan untuk berhenti, simpanannya dah mencecah 100k. Dia pun dah bekerja 6 tahun. Jadi, dia yakin dia masih boleh tanggung saya dengan simpanannya.

Tetapi saya mula cuak. Setahun sebelum dia berhenti, dia ada membeli kereta cash RM40k sebaik sahaja dia dapat lesen kereta.

Suami saya ni baru sahaja ambil lesen kereta. Jadi, sebab itu dia dapat jimat banyak sebab hanya menaiki motor sahaja ke mana-mana. Jadi, pada ketika dia berhenti, dia masih ada baki 60k lagi.

Tetapi saya mula risau. Dia kata dia nak berehat sekejap dalam sebulan macam tu sebelum mohon kerja. Jadi, saya cuba mohon kerja, cuba kerja part time sebagai pengasuh.

Saya pernah cuba nak mohon kerja full-time sebagai cashier tapi dia tak bagi. Dia cakap tak berbaloi sebab saya degree.

Kemudian, rehat suami saya semakin panjang, bersambung-sambung, dari sebulan ke 2 bulan, ke 3 bulan, ke 4 bulan. Hati saya jadi semakin sedih. Tiada satu pun kerja yang dia mohon, dia dapat.

Dia memang tolong saya buat kerja rumah, dialah sidai kain, dialah basuh pinggan. Tapi saya tetap sedih.

Memang dia tetap bagi nafkah kepada saya setiap bulan, dulu semasa kerja, dia bagi 1k setiap bulan, selepas berhenti kerja, dia kurangkan kepada RM500. Kami pun tiada anak, terbeban juga kurang.

Saya tetap jadi pengasuh, tetap berusaha cari kerja sehinggalah akhirnya saya dapat 4 bulan selepas suami saya menganggur. Saya dapat kerja dengan kerajaan sebagai seorang guru.

Suami saya sangat gembira. Tetapi saya luahkan kepadanya yang saya sedih sebab lepas ni mungkin lagi susah untuk saya dapat hamil.

Semasa jadi suri rumah pun tidak berjaya hamil, apatah lagi bila dah bekerja nanti. Dia nak bahagiakan saya, dia nak bawa saya bercuti. Saya bahagia, sangat bahagia. Tapi saya ingatkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Apabila pulang dari percutian, kebetulan handphone saya rosak, jadi saya pinjam handphone suami semasa dia tengah mandi.

Alangkah terkejutnya saya bila sebaik sahaja saya buka handphonenya, yang terpapar di skrinnya adalah perbualan whatsappnya dengan perempuan lain. Semuanya berbaur lucah.

Dia siap ada menyatakan dalam perbualan itu yang alangkah seronoknya kalau dia dapat berkahwin dengan perempuan itu kerana bahagian badannya (yang lelaki suka) sangat besar. Dan ini semua berlaku sepanjang percutian kami. Saya langsung tidak sedar.

Rupanya di saat saya tidur, dia mesej perempuan lain. Hati saya hancur. Saya terkedu. Selama ini saya sangkakan dia setia.

Saya terima dia, sabar dengan dia, di saat dia susah nak cari kerja. Tapi saya tak sangka, dia buat dengan saya macam ni. Rupanya dia tidak boleh terima kekurangan fizikal saya. Saya kurang hot padanya.

Dia kerap memuji2 wanita itu janda hot di dalam perbualan itu. Mereka tidak pernah berjumpa, hanya berwhatsapp sahaja kerana perempuan itu ada menyatakan yang dia tidak mahu suami orang, tapi dia tetap melayan suami saya bermesej tidak senonoh dengannya.

Saya terus screenshot setiap perbualan whatsapp tu dan hantarkannya terus ke handphone saya sebagai bahan bukti.

Saya terus bersemuka dengan suami sambil menunjukkan skrin handphonenya kepadanya. Dia terkejut. Dia terus melutut kepada saya, menangis-nangis meminta maaf. Dia tak sangka akan kantoi.

Dia kata dia cuma main-main sahaja, dan wanita itu juga tidak berminat dengannya. Dia hanya pernah whatsapp sahaja perempuan itu dan katanya dia tak pernah teringin untuk berjumpa apatah lagi ingin mengahwini perempuan itu.

Lidah saya terkelu. Saya terlalu terkejut. Saya sangkakan perkara seperti ini hanya berlaku kepada orang lain, saya tidak pernah menyangka saya sendiri akan melaluinya.

Dia kata dia tidak curang, sebab dia tidak suka pun perempuan tu. Tapi saya tidak tahu nak percaya atau tidak. Dia dah hancurkan kepercayaan saya.

Saya terus whatsapp perempuan itu, saya nak mengalah. Saya nak dia ambil je suami saya, tapi perempuan itu juga tak nak.

Dia siap sarankan lagi untuk saya cerai sebab dia pun rasa suami saya tak guna. Sedikit maaf pun tak keluar dari mulut dia, seolah-olah dia langsung tak salah.

Tapi kenapa melayan kalau dah tahu tak nak? Saya buntu. Saya buat cagaran. Saya berikan dia peluang kedua dan terakhir kalinya.

Jika dia nak saya masih menjadi isterinya, dia perlu membeli rumah yang kami sedang duduk sekarang ni dan rumah ni mesti atas nama saya seorang sahaja. Dia setuju. Dia beli. Dia bayar deposit rumah dengan duitnya sendiri. Bulan-bulan kami bahagi separuh.

Saya mula lapor diri. Saya menangis hampir setiap hari di tempat kerja. Saya cuba kuatkan diri walaupun saya sebenarnya tak kuat pun.

Sejak itu, suami saya tetap juga tidak bekerja, berkali-kali dia pergi interview, tidak ada satu pun yang melekat, bila pkp pula, lagilah susah dia nak dapat kerja.

Saya dah berulang-kali memintanya kerja apa sahaja asalkan kerja tapi dia tak mahu. Dia rasa dia masih mampu lagi sara saya walaupun dengan tak bekerja. Duit simpanannya masih banyak lagi. Saya cuba habiskan duit dia. Saya minta dia beli macam-macam.

Saya minta renovate rumah, walau bergaduh juga untuk dapat, tapi dia tetap bagi sehinggalah sekarang, simpanan dia dah tinggal bawah 5k. Akhirnya, dua bulan lepas dia dapat kerja. Tapi kerja bawah dari tahap dia yang sepatutnya.

Dulu dia 4k, sekarang gajinya cuma 1.3k. Tapi saya tetap gembira, saya sangat gembira. Dua tahun lebih dia menganggur, akhirnya dia kerja juga, isteri siapa je tak bahagia.

Tetapi rupanya kebahagiaan saya sementara sahaja. Belum sampai dua bulan, dia dah mula mengeluh dan stress dengan kerja barunya.

Dia rasa tak setimpal gaji yang dia dapat dengan kerja sesusah itu. Bukan bidang dia katanya. Sekarang, dia nak berhenti lagi. Kami bergaduh. Saya tak setuju.

Dia kata kalau dia tak berhenti, dia susah nak pergi interview kerja lain sebab kerja sekarang ni belum tetap lagi. Dia menangis tadi semasa nak pergi kerja, dia kata dia tak tahan. Dia tak nak pergi tapi saya paksa juga.

Saya kata dengan dia kalau dia nak berhenti juga, dia kena tanggung semuanya, saya tak nak lagi tolong dia separuh bayar rumah. Dia diam. Dia terus pergi kerja tanpa bercakap dengan saya.

Saya buntu. Dia pergi kerja naik motor. Betul ke apa saya buat ni? Saya tak nak suami saya menganggur.

– Hilda (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *