Tarik Kereta (Pengambilan Semua Hak Milik)

Beberapa tahun lalu, pernah viral mengenai reaksi seorang perempuan apabila seorang lelaki yang dipercayai merupakan Ejen Perolehan Semula (EPS) yang dilantik oleh Bank, ingin menarik kereta yang dinaikinya.

Perempuan tersebut kelihatan sungguh defensive sehinggalah menyembur racun serangga demi menghalau lelaki tersebut keluar dari keretanya.

Perkongsian kami ini bukanlah untuk menghakimi sesiapa kerana kami tidak berada di tempat dan waktu kejadian serta tidak mempunyai pengetahuan penuh akan kes tersebut.

Namun, kami percaya kita selaku Penyewa masih kurang arif tentang perkara ini.

Bersama-sama ini kami kongsikan prosedur-prosedur untuk penarikan semula hakmilik mengikut pengetahuan dan pemahaman kami berdasarkan Akta Sewa Beli 1967 :

1) Apabila Penyewa gagal untuk membuat pembayaran ansuran 2 kali berturut-turut, pihak Bank akan mengeluarkan Notis Jadual Keempat kepada Penyewa ;

2) Alamat serahan Notis adalah berdasarkan dalam Perjanjian Jual Beli yang telah ditandatangani ataupun alamat terakhir yang diketahui.

3) Prosedur ini tertakluk jika baki pinjaman kurang 75% dari jumlah keseluruhan pinjaman.

4) Penyewa diberikan tempoh 21 hari untuk membuat penyelesaian berdasarkan Notis ini.

5) Sekiranya tempoh 21 hari luput, Penyewa masih tertunggak / gagal, Bank akan mengeluarkan Notis Niat Menarik Balik Kenderaan di bawah Peraturan– Peraturan Sewa Beli 2011.

6) Penyewa diberikan tempoh 14 hari untuk membuat penyelesaian.

7) Selepas tamat tempoh 14 hari dalam Notis Niat Menarik Balik Kenderaan, Bank boleh mengeluarkan Perintah untuk menarik balik kenderaan kepada Tukang Penarik Kereta yang dikenali sebagai Ejen Perolehan Semula (EPS).

Pihak Bank hendaklah membuat pengakuan tentang pengambilan semula hakmilik dengan memberi kepada Penyewa dokumen yang menyatakan kenderaan telah diperolehi, perihal barang dan tarikh, masa dan alamat tempat kenderaan diambil semula hakmilik

9) Apabila Bank mengambil semula hak milik kenderaan di bawah perjanjian sewa beli dan bercadang menjual kenderaan itu –

(a) Jika melalui lelongan awam, pihak Bank hendaklah memberi Penyewa salinan notis mengenai lelongan itu; atau

(b) Selain melalui lelongan awam, Bank hendaklah memberi Penyewa suatu pilihan untuk membeli barang-barang itu pada harga yang pemunya bercadang menjual barangan itu sekiranya harga itu kurang daripada nilai anggaran oleh pemunya sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Kelima.

Tugas-Tugas Ejen Perolehan Semula (EPS) :

1) Hendaklah mempunyai permit yang sah.

2) Perlu perkenalkan diri dengan memaparkan kad pengenalan/ kad kuasa.

3) Hendaklah mengemukakan suatu Perintah Pemilikan Semula yang diperolehi dari Mahkamah/ Bank.

4) Tertakluk kepada waktu penarikan yang dibenarkan iaitu dari jam 9 pagi hingga 9 malam.

5) Wajib berjumpa dengan Peminjam.

6) EPS adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Permohonan Permit dan Tatacara Pemilikan Semula Barangan) 2011.

7) Perlu bertindak secara professional.

Tidak boleh menggunakan kekerasan mahupun mendatangkan kecederaan kepada Peminjam atau sesiapa sahaja yang berada di tempat dan masa perolehan semula dijalankan.

Jauh sekali untuk menggunakan senjata atau sesuatu dengan tujuan untuk menakutkan.

9) Hanya boleh memasuki premis Penyewa dengan izin Penyewa. Boleh didakwa jika menceroboh atau memusnahkan harta milik Penyewa.

10) Memberi peluang kepada Penyewa untuk mengeluarkan barang-barang peribadi milik Penyewa.

11) Perlu membuat Laporan Polis sebelum dan selepas menarik kenderaan tersebut. Laporan Polis ini penting untuk melindungi diri dari sebarang tindakan jenayah atau sibil kelak.

Moral :

1) Perlu diingatkan bahawa secara amnya kenderaan yang menjadi pokok pertiakain adalah dituntut oleh pihak Bank.

2) Kenderaan tersebut bukan milik Penyewa selagi mana pinjaman dengan bank masih belum diselesaikan sepenuhnya.

Justeru perlu sedar akan tanggungjawab sebagai Penyewa dan tidak melakukan perkara yang boleh melanggar kontrak Perjanjian.

3) Pastikan mampu untuk membayar ansuran bulanan. Sebagai panduan, bayaran ansuran bulanan untuk rumah dan kenderaan bermotor hendaklah tidak melebihi 33% daripada pendapatan bulanan.

4) Ejen Perolehan Semula (EPS) hanya menjalankan tugas dan bertindak mengikut arahan Pemunya (Bank).

Semoga bermanfaat

– Nur Shuhadah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *