Assalamualaikum semua. Ini pertama kali saya menulis di sini. Tulisan ini lebih kepada luahan hati sahaja. Jika ada yang baik, ambillah untuk jadi contoh. Jika ada yang buruk, jauhilah jadikan sempadan.
Jodoh Beristikharah
Saya bertemu seorang lelaki ini setelah diperkenalkan rakan baik. Ini berlaku secara tak disangka-sangka selepas saya membuat istikharah selama 3 hari untuk memilih antara dua. Bina kerjaya atau kahwin.
Ini kerana, saya ketika itu semacam telah buat keputusan untuk membujang sampai tua. Ketika itu saya sedang berkira-kira untuk menukar kerjaya dan bina kerjaya yang lebih cemerlang.
Tapi tiba-tiba, hati diserang cemas. Adakah nabi tidak akan mengakui saya sebagai umatnya nanti di hari akhirat jika saya langsung menolak untuk bernikah? Maka kerana itulah saya buat istikharah memilih antara dua.
Beberapa minggu kemudian, saya dapat mesej dari lelaki ini yang beritahu mahu berkenalan. Rupanya, kawan saya telah rekemen saya pada dia dan telah beri nombor telefon saya padanya.
Dengan berbalas mesej, saya beritahu dia, jika sekadar nak couple, mintak maaf saya tak minat. Jika memang ada niat nak jadikan isteri, saya akan luangkan masa untuk mengenali kamu. Memang saya sengaja berterus-terang begitu walaupun kelihatan agak kasar.
Kami berbalas mesej setiap hari. Dari sini saya dapat tahu, dia telah beli rumah demi menempatkan adik-beradik dan ibunya. Dia anak sulung. Ayah telah tiada.
Dengan demikian, saya tahu dia manusia bertanggungjawab. Tapi, mengetahui dia anak sulung, di kepala saya telah sedia tahu apa cabaran dan risiko yang bakal saya hadapi.
Dia beritahu awal, jika saya jadi isterinya, saya perlu duduk serumah dengan adik-beradiknya dan ibunya.
Saya sangat keberatan. Masalah aurat, masalah pergaulan, masalah nak jaga hati, bab kerja rumah dan macam-macam lagi.
Tapi saya teringat pesan ustaz Don. Bab jodoh adalah satu perkara yang di luar jangkauan akal fikiran manusia.
Dengan itu, saya buat istikharah pula pohon Allah tunjukkan jalan mana yang terbaik untuk saya. Saya minta lelaki itu istikharah juga. Saya beri tempoh seminggu untuk istikharah.
Harus difahami pula. Jalan yang dipilih hasil istikharah juga adalah satu jalan ujian.
Cuma bila kita tahu keputusan ini dicapai hasil istikharah, kita sangat yakin susah mana pun jalan yang telah kita pilih ini, kita tahu Allah yang pilihkan ujian ini untuk kita. Barangkali untuk hapuskan dosa-dosa kita yang lampau.
Barangkali untuk jadikan kita manusia yang lebih kuat. Kita juga lebih yakin bahawa Allah selalu di sisi kita. Memerhatikan kita. Dan sentiasa mendengar doa kita.
Sebagai satu ikhtiar menyiasat latar belakangnya, saya menggunakan kawan-kawan juga untuk mengetahui keperibadiannya. Ternyata semuanya positif.
Kemudian saya bertemu dengan lelaki ini dengan membawa anak saudara lelaki menemani saya. Ini supaya saya dapat melihat sendiri karakternya.
Dari cara berpakaian, sama sahaja seperti saya. Bersederhana. Dari cara bercakap, nampaknya jenis pemalu. Dia bawa saya bertemu adik-adik perempuan yang bujang ada dua orang. Pada saya, adik-adiknya bersopan-santun.
Dia turut bawa saya lihat rumahnya. Tapi hanya dari luar kerana rumahnya ketika itu tiada orang. Ibunya tiada di rumah kerana menemani adik perempuan di KL yang suaminya out station agak lama.
Saya buat kesimpulan bahawa lelaki ini sekufu dengan saya. Keluarga bersederhana sama sahaja seperti keluarga saya.
Tanpa pengetahuan sesiapa pun, saya istikharah lagi. Sedar-sedar sudah sebulan saya istikharah.
Dalam tempoh itu juga saya menuntut ilmu perubatan islam sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan saya tidak tahu apa yang akan saya hadapi. Entah ada saka, entah orang dengki dan bermacam lagi kemungkinan.
Saya juga menyertai usrah untuk memantapkan pemahaman tentang keluarga muslim. Di ketika ini banyak saya tanya pendapat ustazah-ustazah tentang hidup serumah dengan adik-beradik ipar dan ibu mertua.
Tiada ustazah yang rekemen tinggal bersama keluarga lelaki. Tiadalah mudarat cuma sangat susah bagi kita sang isteri. Apatah lagi apabila ada anak.
Namun ustazah-ustazah tersebut doa yang terbaik sahaja kerana nampaknya saya pun telah pasrah dengan hakikat bahawa saya perlu tinggal bersama adik-beradik dan ibu lelaki ini.
Akhirnya kami pun menikah dan dikurniakan 2 orang cahaya mata.
Karakter Isi Rumah
Sudah 5 tahun kami menjadi suami isteri. 5 tahun juga saya tinggal bersama adik lelakinya seorang, adik perempuan seorang dan ibu mertua. Yang lain telah menikah dan menjalani kehidupan masing-masing.
Adik lelaki yang seorang ini pun akhirnya kahwin pada PKP2.0 dan kini sedang menanti cahaya mata. Tapi dia dan isteri masih tinggal bersama kami. Bergilir-gilir tidur di sini dan di rumah mertuanya (berdekatan sahaja). Disini dia ada bilik sendiri.
Manakala adik nombor 4 yang perempuan pun ada biliknya sendiri. Tapi kecil sahaja kerana dia masih membujang hingga kini. Adik ini tidaklah reti buat kerja rumah walaupun dah 30an.
Tapi saya tak bising pun. Saya suka dia sebab sifatnya yang baik. Bukan macam sesetengah anak bermasalah yang rambut perang, pakai baju seksi, peluk jantan sana-sini. Dia baik. Dan saya harap dia kekal baik.
Alhamdulillah ibu mertua sangat baik. Bahkan boleh dikatakan ibu mertua yang jarang didapati dalam dunia. Dengan anaknya sendiri pun tak reti marah-marah.
Dia membebel tapi bebelannya tak bunyi seperti membebel sebab cara bercakapnya tak kedengaran seperti marah. Saya juga sayang ibu mertua saya kerana kualiti dirinya.
Selagi boleh tolong saya, dia akan tolong saya. Kalau saya kemas dapur dan rumah setiap malam dia akan pesan tinggalkanlah sikit kerja untuk dia buat esok pagi. Kedengaran kelakar, tapi mak mertua saya benar-benar maksudkannya.
Adik ipar lelaki adalah lelaki tipikal. Anak bongsu yang manja. Semua benda maknya yang uruskan.
Bila mak mertua tiada kerana menemani anak perempuan di KL, maka bersepahlah halaman rumah dengan puntung rokok. Pakaian bertaburan. Seluar dalam di bilik air. Ini pun saya tak bising nak marah-marah dia.
Sebab dia ni pun perangai macam budak-budak. Kalau kita suruh… dia buat. Kalau tak suruh….tak buat. Cuma kena cakap baik-baik saja dengan dia.
Saya ketika itu dengan anak kecil, bergendong anak buat semua kerja. Tiada siapa membantu. Pinggan-mangkuk, pakaian mereka semua saya basuh dan sidai.
Suami saya pandai cari duit. Tak kedekut dengan isteri. Tapi nampaknya, seperti adik-beradik dia yang lain, dia tidak ambil tahu hal kerja rumah. Semua kerja mengemas rumah maknya buat. Ertinya, ketika ibu mertua saya ke KL, sayalah yang buat semua kerja.
Jadi, saya semacam perlu bimbing suami saya pula. Saya akan minta tolong suami buat beberapa kerja. Saya akan briefing di waktu pagi hari minggu apa yang saya perlu dia bantu. Buang sampah juga saya minta dia buat mengikut jadual kutipan.
Waktu malam, saya dah terlalu penat. Orang perempuan ni, bila dah overworked, dia dah tidak mahu dinganggu. Kami nak rehat. Jadi, disini bermula masalah jimak. Saya tak mahu. Saya penat.
Bila suami tak faham, saya jelaskan saya penat, saya stress. Anak-anak kuat merap. Saya buat kerja sambil berkendong anak. Saya tak gembira tengok rumah tetap bersepah walau berapa banyak kali saya kemas. Saya tiada mood untuk berjimak.
*Nota:- rumah selalu nampak semak sebab terlalu banyak barang suami dan adik-beradiknya. Bukan sebab anak-anak sepahkan mainan. Kalau takat anak sepahkan mainan, itu perkara kecil. Mudah diselesaikan. Ada masa suami pun faham. Di masa yang lain, dia merengus marah dan terus tidur.
Masalah Dengan Adik Ipar
Dalam tempoh 5 tahun ini juga, berlaku satu peristiwa yang sangat merobek hati saya. Tahun 2020, adik ipar (anak nombor 2 dalam keluarga suami) telah menimang cahaya mata sulung setelah 7 tahun menunggu. Dia berpantang di dalam rumah ini. Rumah suami saya.
Ketika itu saya ada anak kecil berumur 5 atau 6 bulan. Masih menyusu badan. Anak inilah yang saya kendong dalam carrier ketika buat kerja.
Anak sulung ketika ini berusia 4 tahun. Dia sudah mula sekolah. Malangnya, bila dia sekolah, dia sering bawa balik penyakit. Ketika tidak ke sekolah dulu, jarang dia jatuh sakit.
Suatu hari, dua-dua anak saya demam ketika adik ipar berpantang di sini. Saya kepenatan. Tak cukup tidur kerana menjeram kepala kedua anak-anak bergilir dengan suami.
Anak bongsu saya sangat kuat merap. Tak henti-henti melekap di dada saya. Tak mungkin lapar kerana dia sudah mula makan dan saya juga ajar dia minum susu formula. Tetapi ketika demam inilah dia sangat kuat merap. Suami jaga anak sulung, saya jaga anak bongsu.
Kami suami isteri sangat stress dengan suara tangisan anak kami silih berganti. Entah berapa kali saya mandikan anak untuk kawal suhu badannya. Paracetamol juga sentiasa tersedia setiap 6jam.
Semua kekalutan ini berlaku di dalam bilik tidur kami. Ahli keluarga yang lain tak perlu ambil tahu pun. Cukup sekadar dimaklumkan tentang anak-anak saya yang demam. Selebihnya kami uruskan sendiri tanpa perlu susahkan mereka.
Di ruang tamu rumah, adik ipar berpantang. Tidak mengetahui kesengsaraan yang sedang kami hadapi. Patutnya dia bersyukur saya jaga anak-anak saya supaya tidak rapat dengan bayinya demi mengelak jangkitan.
Adik ipar ini jugalah yang membebel-bebel kasar tentang pampers yang suami tinggalkan dalam bilik mandi. Kemudian membebel-bebel lagi kenapa tak basuh pinggan-mangkuk. Membebel lagi kenapa biar mak buat semua kerja.
Pada hari pertama dia membebel itu, saya diamkan saja. Biasalah orang berpantang, tentulah stress. Tak usah ambil hati.
Tapi esok dia bebel lagi. Lusa dia bebel lagi. Bebelnya macam tuju pada saya sahaja. Seolah-olah saya buat maknya macam bibik. Padahal saya tak pernah suruh maknya buat apa pun. Tak pernah saya arahkan maknya hatta mengambil plastik sekalipun.
Yang saya lihat, dia dan adik-beradiknyalah yang selalu suruh maknya berbuat itu dan ini.
“Mak! Buat kopi boleh?”
“Mak! Mana tuala orang?”
“Mak! Mari sini kejap”
Tingkah-laku yang seperti ini, kalau saya dan adik beradik buat pada mak kami, dah tentu kena penampar.
Tapi adik-beradik suami saya ini tak anggap sikap ini sebagai satu kesalahan. Sebaliknya sebagai tanda manja dengan mak mereka. Ya. Manja yang akhirnya menyeksakan saya. Sebab saya yang kena buat semua kerja bila mak tak larat.
Saya tak kisah kerja berat. Tapi masalahnya, adik perempuan dia tu yang membebel kenapa?
Ketika saya berpantang anak ke-2 dulu pun, mandi anak saya buat sendiri. Malah saya tak bertungku dan bertangas pun sebab mak mertua saya tak larat. Menu berpantang juga tiada. Makanlah apa yang boleh.
Kali ini dia berpantang, larat tak larat maknya paksakan diri juga mandikan anaknya. Ada ketika dia mandikan anaknya sendiri, tapi masih arahkan maknya ambil tuala, ambil plastik. Ambil minyak, ambil bedak.
Nak ke klinik juga mak perlu temankan. Larat tak larat, pergilah mak menemankan. Yang peliknya, walaupun masih berpantang, tak peduli pun pantang-larang. Bawa anak dan mak pergi pasaraya.
Kebiasaan mak mertua sebelum keluar akan beritahu saya sebab dia tahu anak sulungnya akan bertanya mak pergi mana. Mak mertua beritahu, “Mak nak keluar ikut kakak. Kalau tak ikut apa pula katanya”.
Oh… macam tu rupanya. Mak memilih untuk jaga hati anak-anak dia. Tak apalah. Asalkan jangan mak mertua saya membebel dan mengkritik cara saya bela anak saya.
Ternyata Isteri Bukanlah Permaisuri di Rumah yang Dibeli Suaminya
Baru saya tau, anaknya yang nombor dua itu permaisuri. Salahnya tak boleh ditegur. Hatinya perlu dijaga. Tak macam saya. Saya ni orang luar walaupun rumah ini rumah suami saya.
Hari ke-4 adik ipar ini bebel lagi pasal pampers. Kemudian dia basuh pinggan, pilih-pilih yang mana saya pakai tak sempat saya basuh tu, dia asingkan letak di bawah sinki. Hari-hari dia marah saya.
Suatu hari, saya keluar dari bilik air. Dia di dapur ketika itu terus sahaja memarahi saya, “Nak buang pampers letaklah dalam plastik dulu. Habis busuk dapur bau taik!!” Padahal saya ni lebih tahu. Saya ni lebih cermat.
Saya tahu saya dah bungkus dalam plastik sebelum masukkan ke dalam bakul sampah di dapur. Nak buat macam mana dah bau taik tu hanyut juga keluar. Taik dia pun bukannya wangi, tapi asyik bising pasal taik budak yang busuk.
Suami masuk dapur. Dia lihat saya menangis. Saya tanya apa salah saya asyik dimarahi adik dia? Suami saya ke depan, bukan untuk tanya adiknya kenapa marah bini aku. Tidak. Dia kedepan tanya maknya pula, kenapa bebel pada isterinya. Mak pun terkejut. Mak jawab, “aku takda kata apa pun?”
Dari sini saya tahu, semua adik-beradik tidak berani tegur apa jua salah-silap dia hatta maknya sendiri. Hatta suami saya sendiri.
Suami saya bawa saya dan anak-anak keluar berjalan-jalan menaiki kereta untuk tenangkan hati saya. Anak-anak ketika itu sudah kebah dari demam.
Saya menangis di dalam kereta sepanjang perjalanan itu. Saya ugut akan terjun dari kereta jika paksa saya pulang ke rumah. Saya kata saya mahu balik rumah mak saya.
Rumah mak saya 1jam perjalanan. Hanya rentas daerah saja. Suami tidak izinkan. Setelah tenang, barulah saya mahu pulang ke rumah.
Malam itu, suami saya cuba untuk fahamkan saya bahawa adiknya telah berkorban banyak perkara untuk keluarga. Apabila ayahnya meninggal dunia, keluarga hilang punca pendapatan.
Suami ketika itu sedang belajar di sebuah institusi. Dia mahu berhenti belajar untuk bekerja tampung ekonomi keluarga tetapi dihalang adiknya. Adiknya ketika itu baru habis sekolah, terus kerja kilang tampung ekonomi keluarga.
Kemudian, suami saya habis belajar, terus bekerja dan beli rumah beberapa bulan kemudian setelah disahkan jawatan dalam kerajaan kerana tuan rumah telah halau keluarganya. Hanya kerana lewat bayar sewa.
Adiknya juga selalu beri wang pada ibunya. Bab-bab kewangan, adik perempuannnya ini selalu tolong. Hingga semua adik-beradik terhutang budi. Suami minta bersabar sampai dia habis pantang dan pulang ke KL.
Saya tanya dengan mak mertua kenapa anaknya itu selalu marah dengan saya? Saya kata adakah sebab saya guna peti ais dia, laci bawah tolak dengan kaki? (Saya sakit pinggang ketika itu kerana tertidur ketika menyusukan anak, tak larat membongkok) Atau sebab saya guna mesin basuh dia, air bocor?
Saya kata, saya nak balik kampung. Mak mertua saya kata, “Ini kan rumah kamu. Sabarlah. Minggu depan dia balik.”
Dengan itu saya cuba bersabar hingga dia habis pantang. Dalam tempoh itu, rumah disusun atur ikut kehendak dia. Adik lelakinya dan isteri yang tinggal berdekatan dipanggil untuk tukar lampu, tukar kipas. Dia beri saja duit pada adik lelakinya.
Pagar ditukar. Grill ditukar. Peti ais ditukar. Mesin basuh ditukar. Semua dengan duit dia. Saya benar-benar ibarat menyewa bilik sahaja di rumah ini. Anak-anak mesti duduk dalam bilik. Jika keluar berlari-lari dalam rumah takut ganggu anaknya tidur.
Saya terasa lagi bila dia kata anak saya suka merosak harta benda orang ketika anak saya menghempas grill yang baru dipasang. Anak saya hanya berusia 4 tahun. Lagipun rumah ini rumah saya. Bukan rumah dia.
Saya cakap pada suami, kalau dia nak mengungkit segala pemberian dia. Suruh dia ambil balik semuanya. Saya tak pernah minta, kenapa dia bagi? Kita pun bukannya orang miskin. Kita ada duit. Tak harap duit dia.
Saya panas hati tapi terpaksa tutup mulut. Suami saya pesan jangan cakap apa-apa. Dia yang akan uruskan semuanya.
Kemudian, dia pulang ke KL. Sejak dari itu, saya tahu saya perlu berhati-hati dengan perempuan ini.
Cuba Husnuzhon (bersangka baik)
Dalam tempoh ketiadaan adik ipar ini saya ada masa untuk tenangkan diri. Saya cuba untuk memahami bahawa dalam tempoh berpantang tentulah stress. Bila stress, tentulah asyik nak marah sahaja. Dalam hati, saya pun memaafkan dia.
Tapi, dia pulang pula ke rumah saya ini membawa anaknya yang ketika itu sudah memasuki usia 5-6 bulan. Kali ini pulangnya bersama suami. Saya tengok tingkah-lakunya masih sama.
Saya memerhatikan tingkah-lakunya. Saya mula buat kesimpulan bahawa itu sikap dia yang sebenar. Bukan suatu sikap yang terhasil akibat tidak sengaja atau akibat stress.
Suatu hari, ketika maknya sedang sidai kain, dia suruh maknya siap cepat. Nak makan di luar. Saya tahu mak tak larat nak ikut mereka. Kalau kata makan di luar tu, dah tentulah pakej sekali dengan berjalan sana-sini. Tapi mak tak bantah walaupun wajahnya kelihatan hampa.
Jadi, bila mereka keluar, kerja mak saya sambung sambil berkendong anak. Mak balik tentu tak larat. Setiap kali bila adik-beradik ipar pulang ke sini, kain baju mesti belambak-lambak kena basuh. 2-3 kali round setiap hari. Hairan sungguh.
Dia nak hambakan mak dia, itu hak dia. Cuma janganlah cari pasal dengan saya. Jangan asyik mencari kesalahan saya. Pinggan tinggal di sinki, marah. Pampers tinggal di bilik air marah. Saya marah anak, dia kata saya gila. Ya Allah…manusia jenis apakah ini?
Rumah ini rumah saya. Dan saya tentukan bila nak buat kerja rumah. Anak kuat menangis dan merap tidak membolehkan saya buat kerja setiap masa. Saya mesti tidurkan dia dulu. Ketika itu baru boleh kutip segala yang perlu dibasuh. Manusia bodoh sahaja tak boleh fikir benda asas macam ni.
Didikan Mak
Kalau difikirkan, rumah mak saya lagi ramai manusia kerana abang-abang hantar anak-anak untuk dijaga. Kalau kami balik lawat mak 2-3 hari (kami ramai 10orang adik-beradik), kami tak tumpang basuh pakaian di rumah mak. Kami bungkus pakaian bawa balik basuh di rumah masing-masing.
Dan di hari biasa pun tugas basuh baju dah ada orangnya. Mak saya tak buat semua kerja rumah. Adik bongsu saya yang buat. Mak saya hanya masak saja. Adik lelaki kadang-kadang akan masak.
Kedua-dua adik saya belasan tahun. Tapi, seperti adik-beradik kami yang lain, seawal usia 9 tahun sudah diajar basuh pinggan dan masak nasi.
11 tahun siang ikan, cuci ayam, diajar resepi masakan bergoreng. 12 tahun biasanya diajar masakan berkuah seperti kari.
Usia 12 tahun juga sudah perlu jaga bayi di bawah pantauan ayah kerana mak perlu bekerja. Ayah akan masak sementara adik beradik jaga bayi.
(Ayah sudah dijemput ilahi ketika saya baru tamat belajar universiti. Alfatihah dibaca)
Setiap adik-beradik saya akan merasa tugas jaga bayi sebab mak beranak jarak-jarak. Dan bayi dah besar sikit mak akan keluar bekerja. Masa ni, segala pengetahuan yang di ajar dipraktikkan.
Masak nasi, goreng telur itu paling asas.
Saya tahu, mendidik anak dengan cara masing-masing adalah hak ibu bapa. Saya tidak pernah masuk campur atau komen-komen, kritik-kritik cara mak mertua saya didik anak-anaknya.
Masa mula-mula dulu ada saya membanding-banding cara didikan maknya dengan mak saya dengan harapan, suami boleh letak peraturan rumah sepertimana mak saya meletakkan peraturan rumah.
Saya sangka suami sayalah pembuat keputusan dalam rumah ini. Rupanya tidak. Setelah 5 tahun baru saya tahu pembuat keputusan adalah adiknya ini.
Sabar Mulut tak Bising
Selama 5 tahun ini saya tutup mulut. Saya tidak tengking sesiapa seperti adik ipar itu. Saya tidak membebel-bebel seperti adik ipar itu.
Walaupun saya sangat ingin membebel dan menengking, saya terpaksa tutup mulut kerana menjaga silaturrahim dan keharmonian keluarga jauh lebih penting. Jika tidak, anak-anak akan rasa derita hidup dalam sebuah rumah yang selalu berperang mulut.
Saya rasa saya dah cukup bersabar. Sekarang tunggu masa saja nak meletup.
Si adik ipar perempuan ini terlalu buta hati. Tidak dapat lihat segala baju, segala buku sekolah saya, anak-anak dan suami disumbat dalam bilik tidur kami yang sempit ini.
Bilik-bilik lain semua milik mereka adik-beradik. Rumah ini rumah suami saya. Tapi anak saya tiada bilik sendiri walaupun kini sudah berusia 5 tahun.
Rumah ini rumah milik suami saya. Tapi ruang simpanan baju di bilik pakaian, semua baju mereka adik-beradik. Hatta baju yang sudah bertahun tak digunakan. Hatta buku-buku sekolah yang sudah 20 tahun lalu bersemadi dalam almari.
Dapur juga bukan milik saya. Dipenuhi periuk-periuk besar, balang-balang air, raga-raga besar milik adik-beradik mereka yang berniaga. Bila disuruh ambil tak mahu pula.
Sudah banyak saya diamkan. Sudah banyak saya sabarkan. Saya dan anak-anak hanya sekadar menumpang di rumah sendiri.
Tahun ini tahun ke-5 saya beraya aidilfitri di rumah ini. Sepanjang kahwin, tahun pertama saja ikut adik-beradik ipar beraya. Ketika itu tiada anak kecil.
Tahun-tahun berikutnya saya tak mahu ikut sebab anak saya menyusu badan dan kuat menangis. Lagipun memang suami saya tak izin sebab dia tahu adik-beradiknya kalau berjalan boleh sampai rentas negeri tanpa memberitahu dia.
Selalunya mak mertua dan adik-beradik ipar akan tipu dia bila ditanya lokasi mereka berada.
Ini suatu benda yang mak saya larang. Mak saya kata kalau suami tak izin jangan buat. Kalau suami tak izin keluar jangan keluar.
Kalau saya balik kampung rumah mak, selalulah kena peringat. Apatah lagi mak tahu suami saya anak sulung yang tidak melarikan diri dari memegang tanggungjawab menjaga ibunya dan adik-adiknya yang bujang.
Dan setiap tahun ramai manusia beraya di rumah suami saya ini. Semua manusia itu adalah kenalan adik-beradik ipar saya. Kawan suami hanyalah seketul dua datang melawat. Kenalan saya langsung tiada.
Setiap malam selepas anak-anak tidur, saya akan kemas dapur. Santai-santai saja. Saya tak pernah bising selama 5 tahun mengemas dapur, mengemop, mencuci licin dapur masakan, basuh periuk bergelimpangan.
Saya juga tak pernah bising bila mereka tinggalkan peralatan dan sisa barbekue mereka. Semua itu ditinggal bergelimpangan dan mereka pulang ke rumah masing-masing.
Tinggal mak mertua saya dan saya menghadap bau basi makanan yang dimasak berlambak-lambak tak dimakan.
2 orang adik ipar saya rajin masak. Masaknya cukup berlambak. Memang hari-hari buang makanan.
Masa mula-mula dulu terbeliak juga biji mata saya. Buang makanan HARI-HARI terutama sekali bulan puasa dan hari raya. Saya mengomel dan membebel juga pada suami.
Ya lah, nak membebel pada adik-beradiknya tak boleh. Saya kena diam saja. Tak boleh komen, tak boleh masuk campur urusan mereka.
Lama-lama saya pun bekukan saja hati. Tak perlu lagi kisah sama ada mereka membazir, menderhaka ataupun bermaksiat. Biarkan.
Gangguan
Awal tahun 2021, suami beritahu adiknya yang membebel-bebel ni bukan begini sikapnya yang sebenar. Suami beritahu, ketika adiknya hamil, selalu mimpi perempuan tua minta anak dalam kandungan diberi padanya.
BIla anak itu umur setahun, kuarters tempat tinggal mereka selalu nampak kelibat perempuan tua. Adiknya kata dia diganggu perempuan tua itu.
Suaminya bawa berubat. Ustaz yang berubat kata, perempuan tua itu benci saudaramu yang tua. (iaitu suami saya, abangnya).
Jadi, suami saya katakan, mungkin sebab dipengaruhi fikiran oleh orang tua itulah maka adiknya selalu marah-marah saya dan suami.
Saya tak mahu dengar alasan. Walau apa pun alasannya. Adiknya itu tak berhak marah-marah saya dalam rumah saya sendiri.
Adik-adiknya semua datang ke sini ketika bulan puasa dan raya tahun ini.
Saya memang jatuh motivasi ketika ini. Diserang cemas. Tak sanggup dengar bebelan demi bebelan.
Mujur dia tidak membebel. Saya kebetulan ketika itu diserang penyakit. Rahim saya memulas-mulas. Ngilu tulang pelvik dan sakit seperti contraction.
Doktor mengatakan saya perlu cabut IUCD yang dipasang baru setahun lebih. Rahim saya dijangkiti kuman.
Saya diberi antibiotik. Ketika ini saya stabil tidak sakit lagi. Kesempatan ini saya guna untuk melakukan tugasan harian. Disamping itu, saya mengelak untuk sembang dengan adik ipar yang dari KL itu.
Saya diserang cemas. Saya takut perlu menghadap kerenah adiknya yang akan complain itu dan ini. Mujur dia tidak complain.
Tapi saya sememangnya sudah hilang motivasi. Selalu terkenang perkatan yang menyakitkan ketika dia berpantang di sini dulu. Saya sudah trauma. Saya paksa diri buat kerja rumah ketika dalam keadaan sakit sebab saya tak mahu timbul konflik.
Sehingga satu masa, saya tinggalkan saja semua kerja rumah. Saya rasa burn out. Saya stress. Lebih baik saya peluk cium anak-anak saya dari menghadap pinggan-mangkuk dan pakaian kotor yang tak pernah berhenti.
Saya minta suami bawa saya bercuti ke hotel. Saya benci menghadap kerja rumah. Hotel itu tak perlu rentas daerah pun. Saya pilih hotel yang dekat dengan kawasan menghijau. Saya nak pulihkan mental. Saya mahu dekat dengan alam.
Saya minta suami berhenti meminta jimak 2-3 kali sehari setiap hari sebab saya nak fokus pada ibadah dan baca quran.
Saya menangis mengenangkan sudah lamanya saya tidak dapat jaga solat saya dengan baik. Sudah lamanya saya tidak dapat membelek tafsir quran. Sudah lama saya tidak dapat bermunajat mengadu masalah kepada Allah. Tuhan yang menciptakan saya dan sekalian alam ini.
Saya sibuk dengan kerja rumah. Sibuk melayan jimak suami 2-3 kali sehari. Sibuk mengempeng anak yang kuat merap. Saya tiada masa untuk diri sendiri. Saya tiada masa untuk perbaiki hubungan dengan Tuhan.
Sebab itu saya minta suami bawa ke hotel. Jauhkan saya dari rumah itu yang telah jadi neraka. Saya mahu ruangan yang tidak serabut mata dengan sepah dan selerak. Saya tak mahu lihat rumah yang tidak pernah kemas walau dikemas beribu kali.
Saya mahu solat, baca quran, baca tafsir quran untuk mencari motivasi dariNya. Kerana memahami isi quran itu ibarat membaca pesanan dari Allah.
Wad
Tapi perancangan saya itu tidak menjadi. Hotel sudah booking 1 bulan awal. Tiba-tiba kerajaan mengumumkan PKP, disusuli dengan PKPD. Maka saya batalkan tempahan hotel itu.
Selesai antibiotik yang ke 3 minggu, saya tidak juga pulih. Sekejap demam, sekejap baik. Ingatkan sudah pulih, tiba-tiba demam lagi diganding bersama ngilu tulang pelvik.
Suami bawa ke klinik. Ternyata penyakit saya itu telah menjadi lebih serius. Jangkitan itu menyebabkan tiub fallopian bengkak dan bernanah.
Saya dimasukkan ke dalam wad. Saya redha terpaksa tinggalkan anak-anak untuk dijaga suami, mertua dan adik ipar yang bujang itu.
Ketika inilah saya ada masa untuk menjaga solat, membaca quran dan tafsir, mengadu dan bermunajat. Mengadu kepada Allah bukan tentang sakit rahim yang saya alami. Tapi tentang sakitnya mental dan emosi saya.
Sakitnya jiwa, robeknya emosi sehingga sakit rahim yang sebenarnya boleh mengancam nyawa jadi satu perkara yang kecil. Berkali-kali saya menangis ketika di wad ini bukan kerana menanggung sakit dalam rahim. Tapi menanggung sakit dalam hati.
Saya akan ambil masa yang lama untuk pulihkan jiwa dan semangat yang telah dipijak-pijak. Berpenat-penat menjalankan tugas sebagai isteri taat dan surirumah professional tetapi tidak dihargai.
Mengenang kembali “Sampai bila anak-anak aku akan sekadar hidup dalam bilik sahaja dengan ibu bapanya? Tiada almari pakaiannya sendiri, tiada meja belajarnya sendiri, tiada rak bukunya sendiri. Isi rumah dipenuhi barang-barang pakcik dan makcik yang sudah ada rumah sendiri.”
“Bagaimana aku ibunya mahu mengajar dia berdikari sedangkan dia tiada ruangnya sendiri? Sampai bila aku perlu beralah dan mendiamkan diri?”
Balik rumah pun akan menghadap semak dan selerak. Orang sihat pun boleh jatuh sakit berkali-kali tak tahan mata tengok rumah yang serabut.
“Ya Allah, berilah kekuatan dalam diri aku ini. Sabar dan tabahkan aku Ya Allah.”
~TAMAT~
– Yonex (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit