Suami M4buk Vape D4dah

Nama saya Siti. Saya wanita berkerjaya dengan pendapatan RM5 ribu keatas. Saya berkahwin pada umur saya lewat 30tahun.

Suami saya muda 2 tahun dari saya yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Kami berkenalan untuk tempoh masa yang tidak lama. Kemudian buat keputusan untuk berkahwin.

Sepanjang tempoh berkenalan, saya mengandaikan beliau sebagai seorang yang suka bersedekah serta menghormati orang sekeliling.

Namun saya juga perasaan yang beliau mudah panic dalam menghadapi masalah, terburu-buru dalam berfikir dan kuat cemburu. Saya kira ianya normal. Saya pula jenis yang sebaliknya.

Perkahwinan saya pada waktu PKPB. Majlis kecil bersama ahli keluarga terdekat dengan jumlah tetamu yang terhad (Kurang dari 200).

Ianya seperti yang saya mahukan kerana saya tidak mahu berbelanja besar untuk majlis perkahwinan. Cukup sekadar ada bagi mengelakkan fitnah atau sangka buruk orang terhadap saya mahupun keluarga.

Saya juga hanya meletakkan wang hantaran sekadar cukup untuk belanja makan kenduri kahwin. Ianya hanya 4 angka. Saya tidak mahu berhutang atau hidup dengan membayar hutang selepas berkahwin.

Selepas seminggu berumah tangga, saya pulang ke rumah yang telah disewa oleh suami. Dalam hati saya bersyukur dan menganggap ini lah Syurga kecil saya.

Hari pertama hidup berdua di syurga kecil ini, suami telah mengingatkan saya tentang limitation saya sebagai seorang isteri. Dan hidup saya atas redha dia. Syurga saya dibawah tapak kaki dia. Saya akur. Skrip normal seorang lelaki barangkali.

Oh ya. Suami saya duda anak 3. 2 minggu usia perkahwinan ada banyak salah faham berlaku. Apabila marah atau berselisihan pendapat suami kerap membangkitkan tentang umur saya yang sudah lewat untuk berkahwin.

Menurut beliau, beliau adalah penyelamat saya dari digelar andartu. Tiada siapa yang inginkan saya kecuali dia.

Dia ingatkan saya supaya sentiasa bersyukur dan dengar cakap dia untuk dapat redha dia dan masuk syurga. Kebanyakkan masa saya hanya diam dan dengar.

Bila ada waktu sesuai untuk berkomunikasi saya akan cakap kepada dia yang ini adalah proses normal bagi pasangan yang baru berkahwin.

Dua kehidupan berbeza yang sebelum ini tiba2 dibawah satu bumbung. Pasti ada perbezaan pendapat dan cara hidup. Saya minta dia sentiasa berlapang dada dan bertolak ansur. Slowly kehidupan kami semakin bertambah baik selepas itu.

Tapi ia bukanlah semudah yang saya tulis. Bagaimana saya bersabar, hanya Allah yang tahu.

Suami menceraikan isteri pertama atas alasan bekas isteri nusyuz dan mempunyai hubungan dengan suami orang.

Oleh itu pada beliau, bekas isteri tidak layak untuk menjaga anak2 mereka. Suami cepat2 mahu membawa anak2nya hidup dengan kami berdua. Saya tiada bantahan memandangkan perkara ini telah dipersetujui sebelum kahwin lagi.

Reason kami awalkan perkahwinan juga bagi memastikan anak-anak mempunyai kehidupan yang lebih sempurna untuk bersekolah.

Sebelum ini anak2 berulang alik di antara rumah bekas isteri atau suami yang kedua2 duduk menyewa bersama rakan-rakan.

Atas rasa simpati dengan nasib anak-anak, saya tiada masalah untuk terus menjaga mereka. Bekas isteri boleh ambil pada bila-bila masa atau weekend.

Sepanjang hidup anak-anak dengan kami, saya lah yang uruskan persekolahan anak-anak. Suami selalu mengadu penat dan gemar tidur.

Kerana pandemik serta status saya yang baru bergelar ibu, saya agak kelam kabut dalam mendaftarkan persekolahan, taska serta transit mereka.

Saya bersama anak-anak bersendirian dan seharian menguruskan segalanya. While suami saya hanya dirumah dan tidur.

Hari pertama persekolahan darjah 1, saya menghantar dan mengambil anak di sekolah. Saya dapat lihat betapa kecewanya si anak kerana hanya nampak saya apabila keluar pagar. Tambahan hari pula hujan. Beliau tanya mana papa, Saya cuma jawap papa keluar kerja.

Masuk bulan ke empat usia perkahwinan, saya disahkan mengandung 2 minggu. Bila dapat tau, bahagianya Allah sahaja yang tau.

Suami sangat-sangat happy. Beliau mula mengambil alih tugasan didapur dan urusan anak-anak ke sekolah. Memandangkan alahan saya pada waktu pagi sangat teruk.

Tapi ianya tidak lama. Hanya bertahan seminggu dua sahaja. Saya kembali buat semua perkara. Beli barang dapur, masak, uruskan anak ke sekolah, uruskan rumah.

Dalam masa sama saya masih bekerja seperti biasa. Muntah-muntah makin teruk setiap hari. Suami masih membantu tapi tidak seperti awal-awal dulu.

Suami juga mahukan keinginan batinnya dipenuhi setiap hari dan bukanlah sehari sekali.

Bulan puasa juga tidak dapat menghalang beliau untuk menahan nafsu. Beliau sanggup batalkan puasa dan mendatangi saya. Katanya nanti dia ada untuk ganti puasa bersama-sama saya.

Ada waktu saya menolak dengan alasan berpuasa atau mengandung tapi kemudiannya hinaan dan kata-kata yang keluar dari mulut beliau amat berat untuk saya terima. Beliau kata saya kejam dan tidak fikirkan bayi dalam kandungan sebab berpuasa.

Kadang-kadang saya jadi sangat tertekan. Saya terlalu penat emosi, fizikal dan mental. Again dia mengingatkan saya tentang dosa menolak keinginan suami serta saya boleh mengandung dan bersuami semuanya dari dia yang mengahwini saya.

Kerana terlalu tertekan saya pernah berdoa supaya Allah ambillah kembali zuriat dalam perut ini. Tapi kemudiannya aelepas muhasabahkan diri saya bangkit semula dari kesedihan. Saya sibukkan diri dengan bekerja dan hal-hal keluarga.

Sepanjang tempoh ini juga saya di uji dengan sikap suami yang mabuk vape. Dia berkhayal dan akan menghabiskan masa dengan vape. Khayal beliau sama seperti khayal penagih-penagih dadah yang pernah saya lihat dikaca TV.

Ada juga yang tidak pernah saya lihat seperti contoh tidur sambil berdiri, nafsu makan yang membuak-buak sehingga segala makanan didalam tin di makan begitu sahaja.

Ianya juga normal apabila semua makanan yang dimakan lebih banyak jatuh di baju dan lantai berbanding ke dalam mulut. Juga normal apabila beliau bercakap merapu dan kurang jelas dan terlupa perkara-perkara yang telah terjadi.

Biasanya apabila saya pulang kerumah selepas habis bekerja, keadaan rumah sangat tidak terurus dengan sisa-sisa makanan dan minuman di atas lantai.

Bila perkara ini terjadi, saya akan terus hantar anak-anak ke rumah bekas isteri. Antara alasan saya adalah saya close contact, saya ada emergency keluarga, atau anak-anak rindu emaknya. Nasib baik bekas isteri jenis tidak banyak tanya.

Sebelum peristiwa ini terjadi, saya menghantar dan mengambil anak disekolah sebelum dan selepas ke tempat kerja.

Selepas kejadian ini, Saya meminta jasa baik bekas isteri untuk mengambil anak disekolah pada waktu petang. Saya ambil anak-anak selepas memastikan keadaan suami saya ‘normal’ dan ‘sihat’. Bekas isteri tiada masalah membantu.

Suami saya akan mabuk selama beberapa hari. Saya meminta bantuan abang kandung suami untuk memberikan nasihat. Saya tidak melibatkan keluarga saya kerana tidak mahu memanjangkan isu ini serta menjaga aib suami dan keluarganya.

Abang ipar meminta maaf kepada saya kerana tidak menjangkakan adiknya masih tidak berubah. Barulah saya tahu rupanya kejadian ini bukanlah kali pertama.

Saya pada mulanya percaya apabila suami kata dia dianiaya dan ditipu oleh kawannya kerana flavour vape tersebut pemberian dari kawan.

Namun isteri manalah yang tidak pernah menjadi detektif conan di dalam rumah tangga. Hasil siasatan saya dapati suami membeli flavour tersebut pada harga ratusan ringgit sebotol kecil. Semua conversation jual beli telah saya simpan sebagai bukti.

Selepas nasihat yang diberikan oleh abang ipar, suami berhenti mengambil flavour tersebut. Sebenarnya lebih kepada telah habis kerana semuanya dirampas oleh si abang.

Seminggu selepas kejadian itu saya dimarah oleh suami. Beliau menjelaskan yang beliau tidak dapat memaafkan dan melupakan perbuatan saya kerana saya telah membuka aib suami.

Masuk trimester kedua kandungan, suami sekali lagi mabuk vape. Beliau pernah secara tidak sengaja menolak saya kerana cuba mengambil balik vape yang saya ingin buang.

Saya ugut beliau yang saya akan mengadu kepada abangnya. Saya memberi beliau masa 3 hari untuk pulih.

Namun nasihat mahupun ugutan saya sedikit pun tidak terkesan dihati suami. masuk hari ke 8, saya memaklumkan kepada abang ipar untuk membantu. Dalam masa sama saya dapatkan seberapa banyak maklumat dari handphone suami.

Saya mula belajar istilah-istilah seperti “Paam”, “Bsafe”, “Apollo”, “King”, “Hades” yang semuanya merujuk kepada campuran g4nja, m4rijuana dan sebagainya didalam flavour vape. Ia merupakan barang larangan didalam pasaran Malaysia tetapi dijual secara berleluasa.

Tulisan ini sekadar luahan hati saya yang sangat berat. Saya sangat terbeban dengan keadaan diri dan suami ketika ini.

Banyak cara dah saya dan pihak keluarga suami lakukan namun semuanya sia-sia. Sampai satu tahap kami membawa beliau ke balai polis sebagai jalan terakhir namun beliau memujuk dan berjanji untuk berhenti.

Namun janji hanya tinggal janji kerana pada ketika artikel ini ditulis beliau masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Hari ini saya juga baru sahaja pandai untuk membuang isi kandungan flavour tersebut dari dalam botol vape. Telah pon saya buang pagi tadi di dalam sink senyap-senyap. Selalunya saya just tekan sampai kapas dalam vape terbakar tapi itu tidak lah membantu sangat rupanya.

Saya sedar saya tidak boleh berharap penjual-penjual flavour vape terlarang diluar sana untuk sedar nyawa-nyawa manusia yang terlibat untuk rezeki mereka ini.

Tapi saya berharap anda semua mendoakan suami saya diberi petunjuk taufik dan hidayah dari Nya agar beliau kembali menjadi seorang suami, Ayah dan ketua keluarga dalam membimbing keluarga kecil kami.

Mungkin doa kalian menjadi asbab untuk suami saya berubah, Saya juga sangat sedar risiko perkahwinan ini apabila suami saya sihat semula nanti. Apa pun yang terjadi saya telah bersedia segala segi. Doakan saya.

– Siti (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *