Aku dan MLM

Cerita pasal multilevel ni, aku tak lah pakar cuma sekadar nak berkongsi sebagai panduan. Sementelah ada beberapa isu yang tengah panas. Sekadar pedoman.

Aku join mlm sejak universiti lagi. Masa itu ada seorang atlet Malaysia yang ajak masuk. Aku diperkenalkan oleh seseorang. Sanggup dia datang dari KL ke Utara.

Masa tu aku nampak potensi sebab dia jual maggi warna hijau dan prepaid telefon. Maggi ni makanan ruji student.

Aku masuk. Siap buat promo. Ramai jugak yang masuk bawah. Tapi sebab persaingan dan support, gagal total.

Lepas habis belajar, aku diajak seorang rakan masuk satu syarikat yang agak popular sekarang ni. Menjual supplemen.

Aku dah bagitau tak ada duit. Dia pujuk juga. Belum kerja kan. Bila tak mampu pujuk, datang leader besar pula datang pujuk. Seorang kawan aku bijak. Terus di kata tak mahu.

Aku cair bila kawan aku kata dia bagi modal. Lagipun leader atas adalah doktor. Ada klinik. Aku pun jadi yakin. Paling meyakinkan dia kata tak perlu jual. Mereka akan bantu letak dekat klinik.

Kawan aku tolong modalkan. Aku pun tak nampak duit pun. Yang mengejutkan tiba tiba sampai lori hantar berkotak kotak barang. Terkesima aku.

Duduk di kampung jual supplemen umpama menyelam dalam laut mati. Bukan laut merah lagi dah. Leader ke mana, partner ke mana. Aku terkontang kanting.

Siapa mahu beli vitamin harga beratus. Lebih baik orang kampung beli bayam seikat atau sawi. Dah memang penuh dengan khasiat. Modal baru seringgit. Masa tu mana ada facebook nak promot.

Aku ubah strategi. Masa ni tak ada siapa pun datang bantu atau bertanya. Aku pun tak kenal siapa leader paling atas. Aku packing vitamin tadi dalam pek kecil. Bukak botol. 10 biji. Orang kampung pandang aku atas bawah macam aku jual syabu.

Akhirnya barang berlonggok dalam rumah. Expired. Emak aku buang dalam sungai belakang rumah sebab menyemak. Mungkin sebab itu ikan dekat sungai dah jadi cerdik makan vitamin. Pancing pun dah tak mahu makan.

Selang beberapa lama, kawan aku datang menuntut hutang. Terjelepuk aku masa tu. Tiba tiba aku menjadi penghutang. Dah la PTPTN pun belum berbayar. Kisah kisah sampingan tu malas aku nak story kerana terlalu mengguris hati.

MLM ini tak salah. Sah disisi undang undang. Tetapi di negara kita ada undang undang yang ketat di bawah AJL. Tak boleh promosi dalam media, tak boleh overclaim, tak boleh head hunting.

Tapi kebanyakkan leader nak kaya cepat. Mereka memanipulasi sistem MLM itu dengan mewujudkan sistem sistem sokongan. Downline kena cari sebanyak mungkin ejen untuk memastikan orang atas hidup mewah.

Apa yang aku nampak, company MLM akan pasang kaki dikalangan orang yang terkenal dan juga bekas leader leader besar. Kerana mereka ini menjadi magnet menarik orang masuk.

Pada dasarnya tak salah. Tetapi lihatlah siapa dibelakang mereka. Produk hanyalah hiasan semata mata. Mereka bukan target produk pun sangat.

Orang Malaysia ni lemah bila melihat kemewahan. Ini lah poin yang selalu digunakan. Syarikat sanggup sewa kereta mewah dan parking semasa perjumpaan supaya ahli terliur. Padahal syarikat bagi leader pinjam sahaja. Tak capai target, syarikat ambil semula.

Syarikat MLM ini umpama virus yang perlu dijangkitkan secara pandemik untuk kekal hidup. Mereka memeras ahli bawahan untuk kekal hidup mewah. Yang kaya adalah orang atas. Yang bawah hanya alat dan digula gulakan sahaja.

Sampai masa network dah tepu, mereka akan buat syarikat atau produk lain pula. Dan leader leader ini akan berkeliaran memburu mangsa seterusnya.

Teringat aku sewaktu bersembang dengan pemuda yang kaya dan memiliki kereta sport. Diambil seketul batu dan tunjukkan pada aku.

“Bila hang ada modal, kalau buat MLM jual batu ni pun orang melayu akan berebut masuk. Simple”.

Terpana lagi aku mendengar.

Next: Bahagian Dua: Menjebak Penjawat Awam.

Disclaimer:Ini hanya perkongsian aku berdasarkan pengalaman. Tiada kena mengena dengan mana mana entiti.

– Cikgu Zahran (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *