Hi, hello para pembaca semua.
Tergerak hati yang tisu ini untuk mencoret sedikit kisah; dengan harapan, jika ada mereka yang pernah menghadapi krisis ini atau sesiapa sahaja dikalangan pembaca dapat memberikan pandangan, saranan, pendapat dan dorongan harapnya.
Pernah dengar tentang Quarter Life Crisis?
Umumnya QLC ni keadaan bila mana individu yang berusia dalam linkungan 25 tahun keatas akan mula rasa tidak stabil, rasa tak tenteram dan gusar memikirkan hala tuju kehidupan yang kini dia sendiri berperanan sebagai kapten, mengemudi kapal dalam pelayaran kehidupannya.
Ditambah dengan ombak dan tempias kejayaan rakan taulan menjadikan seseorang itu mempersoalkan tentang betulkah jalan dan liku yang mereka lalui.
Cerita saya tidaklah berpusat tentang QLC ini semata, tetapi lebih kepada keinginan untuk mengejar kejayaan dalam hidup yang makin pudar hari demi hari.
Saya dilahirkan dalam keluarga yang boleh dikatakan daif. Ibu dan arwah ayah, kedua-duanya tidak tahu membaca dan menulis. Mereka lahir dalam keluarga Melayu yang sangat konservatif.
Kami 12 beradik tinggal di sebuah rumah PPRT. Ibu dan ayah sangat menitikberatkan pentingnya menuntut ilmu.
Kata ibu, “Ibu minta maaf sebab tak mampu nak beri kehidupan yang baik buat awak semua, tapi ibu janji, selagi ibu mampu awak semua akan dapat didikan yang sempurna macam anak orang lain.”.
Kata azimat itulah yang ibu ulangi tiap kali kami merungut kenapa kami harus ke sekolah sedangkan lebih baik kamin tinggal di rumah membantu ibu dan ayah menjaja ikan.
Berkat kurniaan Ilahi, saya diberikan akal yang agak cerdas. UPSR, PMR, dan SPM semuanya saya duduki dengan mudah dan mencapai keputusan semua A.
Tanpa kelas tambahan ratusan ringgit, tanpa buku rujukan bertingkat-tingkat, saya buktikan yang saya juga mampu untuk cemerlang dalam bidang akademik.
Sejurus keluar keputusan Spm, saya ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dengan tajaan penuh dari salah satu jabatan kerajaan yang dikenali ramai.
Alhamdulillah, pendek kata, perjalanan akademik saya tersangatlah mudah. Ibu dan ayah jarang sekali mengeluarkan duit untuk menampung perbelanjaan saya sejak sekolah rendah.
Cukup 4 tahun, pengajian sarjana muda saya tamat. Syukur sekali lagi saya bergraduasi tanpa perlu memikirkan jalan untuk membayar apa-apa pinjaman pelajaran.
Dari ketika itu semuanya berjalan dengan lancar. Masalah mulai muncul bila mana saya tidak lagi punya impian atau target yang ingin dicapai.
Dari kecil, target saya hanyalah satu ; menggenggam ijazah di menara gading. Dan target itu telahpun saya capai.
Saya terperangkap dalam situasi dimana saya tiada keinginan untuk mencapai kejayaan yang seterusnya dalam bidang pekerjaan.
Mungkin hal ini disebabkan kerana saya kurang pendedahan tentang dunia kerjaya dan professional. Dari 12 orang adik beradik, saya seorang sahaja yang bergelar graduan universiti.
Abang dan kakak semuanya bekerja dalam bidang perkhidmatan atau hard labour. Dalam keluarga kami, falsafah hidup secara sederhana telah di tanam dalam diri sejak kami kecil lagi. Ibu selalu berpesan, apa yang ada itu cukuplah, ada orang yang lagi susah dari kita.
Tetapi saya tidak salahkan keluarga saya kerana permasalahan utama berpunca dari diri saya sendiri. Walaupun mempunyai ijazah dan telah ditawarkan banyak kerja dalam bidang keahlian, saya tolak dengan pelbagai alasan.
Asbab utama kenapa saya tidak mahu bekerja dalam bidang professional adalah kerana saya hanya ingin menjadi orang biasa atau ‘Average Joe’.
Saya tidak ada satu aspirasi pun untuk menjawat jawatan tinggi atau menerima gaji berpuluh ribu diwaktu saya berumur 50-60an kelak.
Saya tidak mengimpikan perkahwinan apatah lagi melahirkan dan membesarkan anak. Pada saya, cukuplah saya bekerja dengan gaji RM2000 ini sehingga saya tua. Dengan jumlah gaji itu, cukup untuk saya menampung diri saya seorang sehingga hari tua.
Orang sekeliling mencemuh saya kerana kata mereka saya ini saling tak tumpah seperti sampah masyarakat kerana menghabiskan duit pembayar cukai yang telah menampung pembelajaran saya dan sudahnya tidak berbakti kembali kepada masyarakat.
Saya sedar, keputusan saya ketika ini sangatlah mementingkan diri. Saya hanya mampu memberikan RM200 sahaja setiap bulan kepada ibu.
Padahal, jika saya bekerja dalam bidang keahlian saya, di saat ini saya mampu memberikan kehidupan yang lebih selesa buat ibu. Ibu tidak berkata apa. Menerima tidak, membangkang juga tidak. Kata ibu,
“Awak yang berpenat lelah belajar, awak buatlah keputusan untuk hidup awak. Hidup ni bukan sekadar makan dan minum menunggu ajal, hidup ni untuk kita buat sesuatu. Tak untuk diri sendiri untuk orang lain.
Ibu tak ada Pendidikan, ibu tak tahu kesusahan apa yang awak lalui sekarang. Tapi kalau itu yang awak rasa terbaik untuk diri awak, teruskanlah.”
Pesan ibu lagi, “Awak berjaya habis belajar sekarang ni pun, sebenarnya banyak orang yang tolong. Ada yang awak nampak, ada yang tak nampak. Yang bagi bantuan semua tu, awak tak nak ke bantu budak-budak yang asal dari keluarga susah macam awak berjaya?”
Pesan ibu ada betulnya. Kalau saya bekerja bukan untuk jadi kaya sekalipun, saya boleh berbakti kepada bangsa kembali.
Bila mengenangkan logik ini, saya bercadang untuk berkhidmat sebagai penjawat awam gred 19 (kelayakkan SPM). Jadi kerana di jabatan kerajaan. Sekurang-kurangnya saya dapat berbakti kepada masyarakat. Tetapi ibu bantah.
Pertama kali ibu bantah keputusan saya. Ibu kata “Jangan tutup pintu rezeki orang lain. Ada orang SPM itu sajalah harapan untuk mereka dapat kerja. Awak ada ijazah, kenapa nak curi hak mereka? Lebih baik kerja saja yang sekarang ni.”
Sekarang saya bungkam sendiri.
Patutkah saya meneruskan hidup sebagai Average Joe? Hidup sekadar untuk diri saya sendiri? Salahkah saya memilih jalan ini? Selfish kah saya?
Yang Serba Salah,
– Cik Min (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit