Putus Cinta dan Dikhianati Kepercayaan

Assalamualaikum semua. Terima kasih kiranya kepada admin yang sudi menyiarkan confession aku ini. Aku tertarik untuk berkongsi kisah move on lepas aku baca banyak confession yang lebih kurang sama dengan apa yang aku alami.

Macam biasa, bila rasa dah sampai masa serius nak cari pasangan hidup ni akan berlaku 1001 kisah suka duka yang mana aku sendiri tak terkecuali.

Aku berkenalan dengan seorang perempuan ni. Orangnya biasa-biasa saja. Dan aku berkenan padanya pun sebab dia memiliki ciri perempuan yang aku nak jadikan sebagai isteri dan ibu kepada anak kami kelak. Aku tahu ada beberapa kelemahan dan kekurangan pada dirinya.

Dalam tempoh 2 tahun tu aku usaha untuk banyak bersabar melayan karenahnya selain memberi nasihat moga dia dapat berubah sedikit demi sedikit ke arah yang lebih baik.

Tapi dengan izin Allah maka kami ditakdirkan berpisah. Dia maklumkan aku masa tu yang dia dijodohkan oleh orang tuanya dengan menantu pilihan mereka.

Pada awalnya dia tak ada apa-apa perasaan pada lelaki tu. Tapi, dalam tempoh PKP ni lelaki tu banyak bantu dia dan akhirnya perempuan ni berubah hati.

Maaf aku tak dapat nak ceritakan secara terperinci segala apa yang aku lalui sebab cerita tu lebih kurang sama dengan confession yang lain. Nanti membosankan sangat la pula cerita benda sama. So, aku proceed kepada move on & walk away.

Pada awalnya memang rasa sakit sebab dia tak jujur dengan aku dalam perhubungan kami selama ini. Perasaan dikhianati tu akan terus terasa bila kita terlalu meletakkan kepercayaan pada pasangan.

Ibaratnya hanyalah dia satu-satunya pasangan yang mampu memahami hati kita, dia yang mampu memberi rasa bahagia dan gembira kepada diri kita, dia yang membantu kita bila dalam kesusahan,

Dia yang menjadi satu-satunya tempat kita berkongsi kisah suka duka, dia yang menjadi pendengar kita yang setia, dia yang sabar dengan setiap karenah kita, dia yang banyak memberi nasihat kepada kita, dan sebagainya lagi.

Dan bila pasangan berubah hati kepada orang lain, kita rasa sangat terseksa. Kita kehilangan seseorang yang menjadi tempat kita mengharapkan segalanya. Hakikatnya, dia juga sama seperti kita. Manusia biasa.

Jujur dan setia adalah perkara yang sangat mahal dalam hati. Dan hati manusia ni Allah yang pegang. Allah bolak-balikkan hati manusia dengan izinNya jua.

Aku kongsikan cara aku usaha untuk move on daripada perasaan sakit dikhianati, kecewa & sedih ditipu orang yang kita percaya dan sayang sepenuh hati.

Masuk hari ni dah lebih kurang 3 bulan aku belajar move on. Dalam 2 bulan pertama ni memang aku banyak salahkan perempuan tu yang tak jujur, tak setia, curang, penipu, pembohong, pengkhianat, dan macam-macam lagi.

Tapi dah masuk bulan ketiga, aku banyak refleksi balik diri aku. Apa sebenarnya yang aku nak dalam hidup ini sebenarnya?

Hati kata nak kahwin kerana Allah. Nak jaga perempuan tu. Tapi bila aku fikir dan renung ke dalam diri aku, sebenarnya diri aku sendiri belum cukup bahagia dalam hidup.

Bila aku rasa belum cukup bahagia, aku cuba cari pasangan hidup untuk cukupkan rasa bahagia dalam diri aku.

Dan itulah kesilapan aku. Aku terlalu meletakkan pengharapan kebahagiaan pada seorang perempuan. Padahal aku sendiri belum merasa bahagia dengan diri sendiri. Belum menyayangi diri sendiri sepenuhnya.

Bahagia itu tidak pernah diukur pada jawatan yang kita pegang. Juga bukan pada gaji tetap yang kita peroleh setiap bulan. Juga tidak pada kemampuan dan kelebihan yang kita miliki dalam hidup.

Macam mana kita nak bahagiakan orang lain kalau diri sendiri pun tak bahagia?

Macam mana kita sendiri nak sayangkan orang lain kalau diri sendiri pun kita tak sayang?

Apakah kita yakin pasangan kita mampu menghadirkan sepenuhnya perasaan sayang untuk beri kita rasa bahagia selamanya?

Silap, silap, silap…..

Kebahagiaan itu tak pernah ada dalam diri manusia. Kebahagiaan itu tetap milik Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Kita minta dan mengharap pada manusia yang serba kekurangan macam diri kita. Memang kita tak akan jumpa untuk selamanya rasa bahagia kalau macam tu. Dari situ aku belajar untuk betulkan semula niat dan amalan aku.

Memang aku solat selama ini. Tapi tak begitu sempurna penghayatan. Kadang-kadang dah akhir-akhir waktu baru nak solat. Kadang-kadang terlajak tidur.

Lepas tu doa pula pendek-pendek dan tak khusyuk. Mulut pula banyak merungut itu ini. Kadang-kadang bersangka buruk pada orang sekeliling. Keras kepala. Degil. Jadi memang banyak kena belajar perbaiki diri.

Amalan untuk perbaiki diri ni pun dah diterangkan begitu banyak bermula dari jaga solat awal waktu dan jaga hubungan dengan manusia. Tinggal diri sendiri yang nak yakin untuk amalkan secara berterusan.

Aku pun ada terfikir akan terus single hingga akhir hayat. Cuma aku tak bercadang tinggal di rumah orang-orang tua setakat ni.

Sebab aku cadang nak usaha kumpul duit & beli rumah dekat dengan masjid atau surau. Sekurang-kurangnya hati aku tenang untuk ulang-alik ke rumah Allah sebelum nafas terakhir aku.

Bukan aku nak mendabik dada aku ni orang baik. Tapi di dunia ni orang baik terlalu ramai tapi kebanyakannya tak seorang pun yang nak mencegah kemungkaran.

Semua main kecam dan hentam bila ada rakan-rakan yang nak memilih jalan perubahan. Ada satu confession pasal freehair tu pun teruk kena kecam.

Jadi macam mana orang nak berubah kepada kebaikan bila terlalu ramai yang syok diri sendiri ‘baik’? Dan aku ada terbaca beberapa isu dalam IIUM Confession yang rata-rata confessor khuatir Nabi tak mengaku umat kalau kita tak kahwin.

Aku cuba tanya pendapat beberapa orang ustaz dan sambil-sambil tu aku dengar tazkirah di Youtube. Boleh rujuk pendapat Ustaz Azhar Idrus dan lain-lain yang sahih.

Kebanyakan pendapat yang aku dapat adalah lebih kurang macam ni, “…Tidak berdosa kalau tak nak kahwin,”. Habis tu macam mana pula dengan hadis Nabi yang menyebut lebih kurang maksudnya “Nikah itu sunnah aku. Orang yang tak bernikah itu bukan umatku,”.

Antara lebih kurang jawapan Ustaz Azhar Idrus, “Jangan tafsir hadis sesuka hati. Belajar dengan alim ulama. Hadis ni menurut tafsir ulama merujuk kepada orang yang tak bernikah tapi bersekedudukan. Tinggal serumah. Tak nikah tapi dapat anak. Golongan ini yang digelar bukan dari golongan umat Nabi,”.

Dan yang terakhir apa yang dapat aku kongsikan untuk move on dari perasaan sakit dikhianati ni ialah banyakkan bersahabat dengan orang yang berfikiran positif.

Ni kena doa minta Allah pertemukan kita dengan orang-orang alim dan orang-orang yang suka bersangka baik. Bukan orang yang perasan diri sendiri baik. Insya Allah akan dilapangkan hati dan dimudahkan segala urusan hidup dunia dan akhirat.

Harap rakan-rakan yang masih mengubat luka di hati akan terus yakin kepada qada & qadar Allah. Yakinlah segala nikmat yang kita kecapi & musibah yang menimpa diri adalah dengan izin Allah jua.

Tidak ada perkara dalam dunia ini yang berlaku secara sia-sia. Dan tidak ada perkara dalam dunia ini yang berlaku secara kebetulan. Belajar renung diri sendiri yang penuh dengan kelemahan serta kekurangan.

Salam sayang untuk semua.

– Yantzen (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *