Penyewa Bermentaliti Jamban

PENYEWA TAK BAYAR SEWA 5 BULAN, BIL API & AIR TAK BAYAR, RUMAH PENUH DENGAN LONGGOKAN SAMPAH, BAU BUSUK, SIAP ADA TIKUS DAN LIPAS LAGI.

Sepasang suami isteri hubungi saya untuk minta nasihat tindakan apa yang patut diambil ke atas Penyewa ini.

Rumah mereka waktu serahkan pada Penyewa 2 tahun yang lalu bersih, dan cantik. Al-maklumlah rumah baru dapat kunci dari Pemaju.

Pemilik ini suami isteri pembersih dan teliti orangnya. Sebelum mereka serahkan kunci pada Penyewa, mereka dah cuci bersih bersih rumah ini.

Jika diikutkan hati, memang tak nak sewakan pada sesiapa pun sebab sayang. Lagipun pelan asal beli untuk duduk sendiri. Nak rasa penat lelah kumpul duit (bayar deposit 10%) sendiri.

Tambahan untuk elak risiko rumah rosak jika dapat nasib tak baik dapat Penyewa yang tak bertanggungjawab.

Tapi apakan daya memandangkan terpaksa ikut suami untuk berpindah ke Negeri lain, jika tak disewakan atau dibiarkan kosong, rugi.

Bulan bulan masih kena bayar pada bank, orang tua kata jika dibiarkan kosong bertahun tahun begitu pun tak elok juga.

Bila saya tanya mereka ini ada ke beliau tandatangan Perjanjian Penyewaan (Tenancy Agreement) dengan Penyewa?

Katanya TAK ADA. Bagi mereka tak perlu. Cakap mulut sahaja dah memadai selagimana Penyewa itu kotakan janji dan jaga rumah dengan baik.

Setuju, jika tiada masalah Alhamdulillah. Tetapi jika ada masalah Perjanjian Penyewaan ini la penting untuk lindungi hak hak Pemilik jika dapat Penyewa bermentalili “Jamban”.

Mereka ini sangat kecewa dengan keadaan rumah yang ditinggalkan Penyewa. Kunci dia main letak di tempat pos.

Bila mereka buka pintu rumah, semerbak bau busuk, hanyir, menusuk ke hidung.

Rumah penuh dengan longgokan sampah, berbau busuk dan ada banyak binatang macam tikus, lipas berkeliaran.

Nak masuk pun geli, dan takut. Kena pakai topeng mulut. Terpaksa sewa lori untuk angkat timbunan sampah.

Terpaksa upah beberapa orang untuk bantu bersihkan rumah ini. 7 hari juga nak selesaikan semua. Mau sakit satu badan.

Dari asalnya nak jimat tup tup kena keluar kos lagi. Dah la Penyewa tak bayar sewa berbulan bulan. Call tak angkat, whatsapp dia tinggalkan blue tick saja.

Jika benar Penyewa ada masalah kewangan sebagai contoh kena buang kerja ke?

Perniagaan gulung tikar, suami sakit ke, mereka ini boleh pertimbangkan untuk bagi diskaun atau bayar secara ansuran pun tak apa.

Katanya, “Kami pun manusia juga Puan. Ada keluarga. Boleh saja bagi kelonggaran kat dia untuk bayar ansuran sikit sikit ke atau diskaun ke untuk ringankan beban dia. Tapi bila dia buat macam ini, rasa marah itu meluap luap”.

Yela,sekurang- kurangnya, biarlah keluar beradab bila rumah bersih macam mana mereka bagi kunci kat Penyewa sebelum ini.

Ini bukan setakat culas bayar sewa, bil api bil air tapi pengotor, teramat sangat. Langsung tak ada sifat tanggungjawab, malu atau sifat kemanusiaan terhadap Pemilik.

Mujur jiran jiran tak buat aduan dengan Jabatan Kesihatan, atau Jabatan Alam Sekitar atau Pihak Berkuasa Tempatan (Majlis Perbandaran).

Kita hidup dalam komuniti, ada kejiranan, ada undang- undang yang perlu dipatuhi.

Jika disebabkan oleh kita, orang lain yang susah pastilah tindakan sewajarnya akan diambil.

Saya pun berilah nasihat apa tindakan yang patut diambil, termasuklah tuntut kos kos pembersihan dan lain lain kepada mereka.

Suka saya kongsikan 10 Perkara utama Mengapa Perjanjian Penyewaan (Tenancy Agreement) penting tapi kita selalu ambil mudah :

1. Demi melindungi hak-hak Pemilik rumah dan Penyewa secara amnya ;

2. Pemilik rumah tertakluk kepada harga sewaan di dalam Perjanjian tersebut dan tidak boleh sewenangnya menaikkan kadar sewa selagi mana tempoh penyewaan itu masih belum tamat.

3. Memastikan bahawa sewaktu pemilikan kosong Premis tersebut diserahkan kepada Pemilik, Premis tersebut dan segala perabot dan/atau perkakas di dalamnya hendaklah berada dalam keadaan baik.

4. Melindungi Pemilik rumah sekiranya Penyewa didapati menggunakan Premis tersebut bagi tujuan yang salah dan melanggar undang-undang

Sebagai contoh Penyewa menjadikan Premis tersebut sebagai rumah judi terbuka dan/atau sarang penagihan dadah.

5. Menyatakan dengan jelas tugas dan tanggungjawab membersihkan, mengemas halaman rumah seperti memotong rumput, dahan-dahan pokok, menebas lalang dan lain-lain di bawah tanggungjawab Penyewa sebagai contoh.

Justeru Pemilik tidak akan betanggungjawab sekiranya Jabatan Kesihatan mendapati terdapat tempat pembiakan Aedes di Premis tersebut kerana ia adalah tanggungjawab Penyewa sepenuhnya.

6. Menyatakan dengan jelas bahawa Penyewa dibenarkan atau tidak untuk membuat pengubahsuaian terhadap Premis tersebut termasuklah merobohkan dinding, tiang, menambah lekapan, atau sebagainya samada mengubah bentuk asal rumah tersebut atau tidak tanpa persetujuan Pemilik.

7. Menyatakan dengan jelas tentang tindakan yang akan diambil sekiranya Penyewa tertunggak membayar wang sewaan dalam jangka masa yang ditetapkan.

8. Menyatakan dengan jelas akan tempoh sewaan, cara dan waktu pembayaran penyewaan sebagai contoh bayar melalui tunai atau pindahan wang ke dalam bank milik Pemilik.

9. Menyatakan dengan jelas bahawa Penyewa tidak dibenarkan menyewakan Premis tersebut atau mengutip sebarang bayaran sewaan daripada mana-mana Penyewa baru tanpa sebarang kebenaran bertulis oleh Pemilik.

Segala keutungan yang diperolehi oleh Penyewa secara salah ini hendaklah dibayar dan/atau diserahkan kepada Pemilik.

10. Menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab membayar semua cukai seperti cukai harta, cukai pembentungan kepada Pihak berkuasa tempatan.

** Terdapat pelbagai lagi sebab mengapa pentingnya kedua belah pihak menandatangani Perjanjian Penyewaan tersebut.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan dan atau kekhilafan rujuklah mereka yang pakar dan arif dalam bidang ini.

Semoga perkongsian ini bermanfaat dan semoga kita menjadi Penyewa yang bertanggungjawab.

– Nur Shuhadah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *