Apa Salah Aku Sebenarnya?

Bila hati tengah berduka, teringat aku kisah hidupku. Aku merupakan seorang wanita berumur 20an. Aku merupakan seorang yang tidak terdedah kepada dunia luar seperti katak di bawah tempurung. Aku jarang keluar rumah dan jarang berteman.

Hal ini kerana aku sebenarnya takut untuk berkenalan dengan orang mahupun kenalkan diri aku kepada orang lain. Aku lebih suka sekiranya aku dikelilingi dengan orang yang tidak mengenaliku.

Kalau ditempatkan di kelas, aku akan lebih gemar berada di belakang dan hujung kelas supaya aku tidak terlalu dilihat. Sekiranya pula aku menghadiri kem di sekolah, aku merupakan orang yang terakhir untuk membuat aktiviti. Aku tidak banyak teman, hanya boleh dikira dengan jari sahaja.

Kadang kalau ada majlis bersama keluarga, aku juga tidak menonjolkan diri. Ya aku ada di sana, tapi aku akan duduk di belakang dalam gelap, tidak bercakap banyak. Aku takut sekiranya aku melakukan satu kesalahan, walaupun sekadar kesalahan kecil.

Kisah 1:

Teringat zaman di mana ketika itu, umurku sekitar 7 hingga 12 tahun, yang mana aku masih lagi merupakan pelajar sekolah rendah. Ketika ini, salah seorang mak saudaraku mengadakan majlis perkahwinan anaknya. Aku selalunya tidak akan menghadiri apa-apa majlis, tetapi kerana ini adalah salah satu perkahwinan sepupuku, aku datang.

Di majlis, aku menolong kakakku memasukkan ais batu ke dalam bekas dadih sambil mendengar dia bercerita. Tiba-tiba, ketika di rumah.. ibu bercerita padaku yang salah seorang sepupuku, bertanya pada ibuku apakah aku mempunyai penyakit. Terkejut juga aku “sakit apa pula aku”.

Sakit yang dimaksudkan bukanlah sakit kesihatan biasa melainkan sakit mental. APA SALAHKU? Aku cuma tolong kakakku masukkan ais batu. Aku tidak bercakap banyak melainkan mengiyakan cerita kakakku sahaja. Sepanjang di majlis, yang aku bertembung dengan si penanya hanyalah ketika aku masukkan ais batu itu. Aku pun taklama di majlis.

Kisah 2:

Masa kecil lagi, aku banyak bermain dengan adik perempuanku. Satu hari ketika di luar rumah kami bermain pasir. Masukkan pasir ke dalam botol sehingga penuh, kemudian tuang ke kepala seperti hujan. Kami bermain penuh dengan gelak tawa. Tanpa tahu di mana silapnya.

Tiba-tiba, jiranku lalu dan menengur, “Eh, kenapa buat macam tu?”. Adik menangis kuat, dan ibu pun keluar rumah lalu memarahiku. Aku terpinga-pinga, aku tidak faham kenapa aku dimarahi dan adik yang gembira mulanya menangis. Ketika itu, aku tertanya-tanya, “APA SALAHKU?”.

Perkara itu tidak pernah hilang diingatanku. Dan ketika aku sudah meningkat dewasa, baru aku faham kenapa ketika itu aku dimarahi sebenarnya.

Kisah 3:

Satu ketika tu, aku telah memberi satu komen yang menunjukkan kata tidak setuju kepada pemilik penulisan di sebuah page di satu media sosial. Aku tidak mengeluarkan kata makian atau kejian. Aku cuma menyatakan tidak setuju sahaja. Page itu merupakan page umum yang mana penulisan akan dibaca dan didedahkan kepada semua.

Tetapi ketidak setujuan aku memberi reaksi marah kepada membaca yang lain yang mana masing-masing mengentamku. Sebenarnya pembaca juga tidak banyak untuk penulisan itu. Dan aku dihentam juga hanya daripada 2 ke 3 orang sahaja. Tidak sedikitpun mereka membuatkan aku jatuh.

Tapi tiba-tiba, kakakku text dan memarahiku. Dia marah besar kerana aku mencetuskan kemarahan orang-orang itu. Dia berpesan yang aku tidak boleh untuk memberi komen sekiranya aku tidak setuju. Entahlah, tapi kata-kata kakak membuatkan aku sedih. “APA SALAHKU?”

Nak buat macam mana sekiranya orang tidak suka dengan pandangan kita atau sebaliknya. Tapi dari situ aku belajar, tidak sekalipun memberi komen kepada orang lain lagi. Ya aku tidak pernah komen kepada sesiapa sahaja suka mahupun tidak.

Kisah 4:

Aku melanjutkan pelajaran di institusi kerajaan di Melaka. Di sana aku mengubah hidupku yang selalu berkeseorangan kepada seorang yang mula berkawan. Ya aku berkawan, keluar lepak bersama yang lain makan-makan di kafe. Buat kerja secara berkumpulan dan rajin bertanya serta berbincang dengan mereka.

Aku gembira dengan hidupan ku yang baru. Lebih banyak kawan dan hidup lebih ceria. Tetapi semua itu berlaku sementara. Aku terpisah dengan kawan-kawan yang mana pada semester ke2 di sana, masing-masing mula menyewa di luar.

Oleh kerana aku lambat dalam urusan menyewa, lambat urusan mendaftar. Aku terpisah dengan mereka. Kelas taksama dan rumah sewa juga berjauhan, satu di timur dan satu di barat.

Nak dijadikan cerita, aku ditempatkan di satu kelas yang mana kelasnya hanya mempunyai beberapa bilangan murid. Diibaratkan murid di kelas hanya berbelas. Ya sangat sedikit. Dan memandangkan aku merupakan pelajar baru di kelas itu, dan mereka pun nampak sudah mempunyai kumpulannya masing-masing.

Aku menjadi kekok. Aku tidak banyak bercakap, tetapi sempat juga aku berkenalan dengan teman di sebelah, Shuhada. Dan selain Shuhada, aku kenal juga dengan Farhan dan kawannya Haikal. Yang mana Farhan merupakan ketua kelas untuk kelas itu. Dia meminta nomborku untuk memasukkanku di dalam group kelas di whatsapp.

Dalam diam rupanya Farhan menyukaiku. Walaupun aku tiada perasaan padanya, tetapi kerana kebaikannya kami sangat rapat. Aku lebih suka sekiranya di sini aku gelarkannya sahabat. Farhan mempunyai ramai kenalan di kelas kerana dia merupakan ketua kelas di semester yang lalu.

Fatimah dan Aishah merupakan kenalan yang paling rapat dengan Farhan kerana mereka masing-masing dari negeri yang sama iaitu Kelantan. Dari situ aku juga berkawan dengan Fatimah dan Aishah.

Musim raya hampir tiba, pelajar masing-masing bersama-sama pulang ke kampung halaman. Aku pergi ke stesyen bas bersama Fatimah dan Aishah. Bas mereka dijadwalkan sejam lebih awal dariku. Dan mereka selamat menaiki bas mereka dan aku masih lagi di stesyen bas.

Sedang aku makan popcorn menunggu basku, aku didatangi seorang lelaki 30an yang mana dia mengajakku keluar bersamanya. Aku yang tidak pernah disapa begitu menjadi takut.

Aku rasa seperti lelaki itu seseorang yang mengangguku. Aku tidak tahu niatnya dan aku juga tidak tahu apakah dia seorang yang baik ataupun tidak, cuma aku tidak selesa. Jantungku berdengup kencang. Aku takut dan tambahan pula ketika itu malam.

Apabila aku meminta diri darinya, dia sepertinya menghalanggiku. “Tunggulah bas bukan datang lagi”. Berkali-kali minta diri pun masih juga dihalangnya. “kejaplah bukan bas bertolak lagi”. Aku juga tidak berani berganjak, yelah mahu kemana juga aku. Tetap di situ juga kalau aku pergi dari dia pun.

Walaupun aku hint ke dia sambil tengok jam tangan, dia tetap terus menerus bercakap. Akhirnya aku ternampak kawan di kelas lamaku. Mereka lalu, dan terus aku kata kepada lelaki itu, “tak apalah itu kawan saya sudah sampai” terus aku jalan laju dan menaiki bas. Jantung tidak berhenti berdegup lagi masa itu.

Kisahku diganggu aku ceritakan pada ibu di whatapps dan ku update di status whatsapp. Tidak lama kemudian, Farhan membalas dengan menunjukan kerisauan. Dia memintaku berhati-hati. Aku menyatakan padanya yang aku tidak berteman ketika itu. Tambahan pula Fatimah dan Aishah juga telah menaikki bas sebelumnya.

Aku takkan ada siapa yang peduli atau menjagaku kerana aku tidak mempunyai teman ketika itu. Perbualanku itu aku update di status juga. Sebenarnya aku ingin menunjukkan kata-kata Farhan yang sangat positif. Tetapi tidak ku sangka pula yang rupanya ada yang terasa dengan kata-kataku.

Seorang wanita bertudung labuh, sama-sama belajar di kelas arab bersamaku, ku namakan dia Siti Khadijah. Aku menyimpan nombornya di phone aku kerana kami berada di kelas arab yang sama dari semester yang lepas lagi. Aku tidak sangka dia juga menyimpan nomborku kerana aku tidak pernah melihat status dia.

Jenisku suka menyimpan nombor kenalan di phone, walaupun tidak berhubung. Aku juga tidak ingat pada si dia yang juga menjadi list di contact ku. Dialah yang terasa dan salah sangka dengan perbualan itu serta menyebarkan kepada kawan kelas yang lain.

Farhan yang tiba-tiba menghantar banyak sangat screenshot kata-kata perlian dari ahli kelas di status mereka. Mereka masing-masing marah kepadaku dan memerliku. Yelah dah aku kata takda teman di stesyen bas itu. Sedangkan mereka semua di sana. Siap ada yang melambai dan senyum kepadaku.

Tapi aku sikit pun tidak perasan keberadaan mereka ketika itu. Dan memang bila ku teliti semula, aku rasa mereka semua ada di hujung waktu itu. Eh kalaulah aku nampak mereka di situ, aku pun tak terhegeh hegeh tunggu lagi dekat lelaki tu lah. Kenapa mereka rasa yang aku sedang perburukkan mereka pada Farhan.

Kata mereka tidak boleh tolong dan sebagainya sedangkan aku tidak tahu menahu keberadaan mereka.

Aku sedih dan menangis di dalam bas. Mahu tidaknya, sudahla baru kena ganggu. Ingatkan ada yang nak prihatin, rupanya semua pakat marah pula sebab satu salah faham. Mereka terus menerus kata padaku di status mereka berhari hari ya. Aku sangat sedih, geram dan marah.

Mahu tidaknya, setiap kali aku buat status mereka rasakan yang aku tujukan pada mereka. Rajin pula aku nak bercakap pasal mereka yang takboleh terima bila aku tak layan salah faham itu. Aku keluarkan satu makian kepada mereka iaitu ‘bitch’.

Keadaan menjadi lebih teruk. Aku juga dipulau di dalam kelas. Mereka juga mengambil gambar aku secara diam-diam dan mereka bualkan di dalam group kawan-kawan mereka yang lain. Ada yang tidak menyangka yang luaran aku telah mengeluarkan satu carutan yang sangat keji.

Ya Allah, aku taktahan masa itu sebab mereka terus menerus mendesak aku. Cari salah aku lagi. Siti Khadijah yang menyampaikan mesej dan mengfitnah aku itu yang bertudung labuh. Aku tidak bertudung labuh tetapi hanya tidak bercakap terlalu banyak.

Akhirnya aku buat keputusan untuk berhadapan dengan mereka semua dengan apa yang terjadi. Aku cakap yang mereka salah faham pasal di stesyen bas. Tidak sedikitpun terdetik di hati aku untuk perburukkan mereka kerana aku juga tidak perasan mereka ada di sana ketika aku diganggu. Tumpuan aku pun jadi kacau dan aku memang takperasan mereka.

Tetapi mereka masing-masing tidak percaya. Ada yang menunjuk sambil memaki di hadapan mukaku. Dan ada juga yang bercerita padaku yang kawan mereka di institusi lain juga tidak menyangka aku carutkan mereka. Dengan luaranku yang tampaknya baik itu. Mereka seolah membenciku sangat. Itu hanyalah salah faham! APA SALAHKU?

Kisah 5:

Kisah stesyen bas tak berhenti di situ. Oleh kerana aku sekali memaki mereka. Mereka jadikan bahan untuk perburukan aku di hadapan pensyarah. Mereka 10kali memakiku, tidak mengapa kerana aku tidak berteman, tidak akan yang membelaku. Farhan juga tidak akan sesekali membelaku ya.

Pensyarah yang bernama Ainul Mardhiah merupakan pensyarah muda. Dia sangat peramah dan lebih mesra dengan muridnya. Cara pengajarannya juga sangat menarik yang mana pelajar akan dilibatkan secara lansung di kelas. Kami juga pernah diberi tugas untuk membuat perbentangan group di kelas yang mana aku berkumpulan dengan Fatimah dan Aisyah.

Ketika ini isu stesyen bas tidak lagi berlaku. Ketika perbentangan itu, aku menolong mereka yang stuck semasa pembentangan. Pembentangan itu dilakukan mengejut juga, takdapat nak sediakan bahan selama berhari atau apa. Hari itu juga perlu bentang.

Tetapi mereka mungkin lupa pertolonganku yang takseberapa itu. Ketika projek akhir untuk subjek Pensyarah Ainul, aku berkumpulan dengan Fatimah. Kami berhubung juga bila akan siapkan projek itu. Tetapi disebabkan Farhan memberitahuku bahwa due untuk projek itu minggu hadapan, aku bercadang untuk siapkan pada hari ini.

Malang tidak berbau apabila rupanya bentangan akan dibuat pada hari ini rupanya. Fatimah yang juga telah siapkan projek sendiri membuangku dari groupnya. Aku yang lagak cool tidak berkata apa-apa. Aplikasi untuk siapkan projek itu hanya ada di dalam makmal kelas kami sahaja, sebab itulah ingatkan aku nak siapkan di sana. Tetapi salah due pula dalam perbentangan.

Sebenarnya Farhan dan groupnya juga tidak dapat menyiapkan projek itu. Tetapi disebabkan mereka ramai 4 ke 5 orang, mereka ditangguhkan perbentangan. Hari perbentangan mereka juga aku ingin bentangkan, tetapi ditolak oleh Pensyarah Ainul. Dia hanya menerima bentangan dari group yang lain sahaja.

Yelah sebab aku ibarat di blacklist nama. Oleh sebab itu, aku pun membiarkan sahaja perkara itu berlaku. Aku pun tidak melakukan perbentangan. Tetapi aku ada text Pesyarah Ainul yang aku akan lakukan perbentangan sekiranya dia ada masa terluang nanti.

Cerita beralih kepada Pesyarah Asiah. Dalam subjek pensyarah Asiah aku juga berkumpulan dengan Fatimah, Aisyah dan seorang lagi kawan mereka iaitu Adam. Ketika awal perbincangan, masing-masing memberikan idea. Idea aku juga diterima. Progress projek pun ditunjukkan seperti dalam perbincangan.

Apabila tiba hari perbentangan progress yang pertama, lain daripada yang ditunjukkan kepadaku. Mereka terus menukarkan konsep dan aku hanya tahu pada hari perbentangan. Terkejut juga kerana mereka mengetepikan aku begitu sekali.

Selepas itu, aku malas lagi untuk melibatkan diri dalam group itu. Aku tidak lagi memberikan apa-apa idea. Salahku juga kerana menjauhkan diri begitu sahaja. Tetapi apabila perjumpaan group yang mengejut, bukan aku tidak mahu hadirkan diri. Tetapi aku ni datang ke kelas menaiki bas institusi yang dijadwalkan pada hari isnin hingga jumaat.

Ataupun belas ihsan menumpang orang sahaja. Perjumpaan group yang mengejut agak menyukarkan ku untuk hadir. Aku ibarat tiada di dalam group tu sebenarnya. Dan memang mereka juga tidak suka kerana aku tidak melibatkan diri kan. Tiada siapa akan fikir pun masalah kita. Jadi mereka beritahu Pensyarah Asiah.

Aku dipanggil di pejabat Pensyarah Asiah. Dia bertanya kepadaku secara lansung. Dan aku juga mengaku yang aku taklibatkan diri di dalam group itu. Aku meminta maaf padanya juga, aku beritahu Pensyarah Asiah yang aku betul betul takdapat untuk meneruskan diri lagi di dalam group itu.

Aku juga meminta dia membenarkan ku membuat projek itu sendiri dengan sedikit masa tambahan. Mulanya mustahil untuknya, kerana mereka yang lain perlukan 1 semester untuk siapkan projek dan aku meminta hanya 2 minggu. Aku berjanji kepadanya yang aku akan menyiapkannya.

Berilah ku sedikit masa. Akhirnya dia memberiku masa dan aku berjaya menyiapkan projek tanpa tidur malam berhari. Aku cuma tidur sebentar, take a nap.

Berbalik kepada Pensyarah Ainul, dia memberi aku peluang untuk membentangkan projek. Mungkin kerana aku tidak ada masalah pada pelajaran lain. Pensyarah Sumayyah yang menganggap aku bermasalah kerana selalu berkeseorangan di dalam kelas juga mendiamkan diri ketika setiap kali test atau kuiz subjeknya aku dapatkan yang terbaik.

Dan ketika aku dipanggil untuk bentangkan projek Pensyarah Ainul, dia sangat mengesali tindakkanku yang tidak membentangkan pada hari due tiba. Salah aku juga kerana tersilap tarikh due. Tetapi ayat-ayat yang terus menerus keluar dari mulutnya membuatkan semangat aku jatuh.

Dia tidak mahu lagi melihat aku. Sekiranya dia mengagalkan aku pun, aku jangan lagi turut serta di kelasnya. Aku tidak dapat pisahkan antara hal pribadi aku bersama kawan kelas dan pelajaran aku. Sedangkan aku tidak sekalipun melibatkan hal pribadi melainkan mereka yang perburukan aku di mata Pensyarah.

Aku tahu kerana semua pensyarah itu pernah bertanya pada Farhan iaitu orang yang paling rapat denganku. Semua hal itu tidak menjejaskan test atau kuiz aku, yang terjejas hanyalah kerja kumpulah kerana mereka mengetepikan aku. Selesai aku bentangkan projek itu.

Aku turun tangga dari tingkat 4 dengan airmata takhenti-henti keluar. Tangga yang berpusing-pusing membuatkanku sangat pening. Berjalan pun terhuyung-hayang.

Terasa sikit lagi akan jatuh atau sengaja menjatuhkan diri dari situ. Aku sedih sangat. Aku takdapat lupakan sedikit pun yang terjadi kepadaku di institusi di Melaka. Berkali-kali aku memohon kepada ibubapaku untuk keluar dari sana. Tetapi tidak diizinkan.

Pada semester hadapan, aku memulakan langkah dengan membuat semua kerja kumpulan secara sendiri. Oleh kerana risiko yang aku ambil, aku telah gagal dua subjek pada semester itu. Tanpa berfikir secara matang, aku tetapkan pada diri aku “sekiranya aku dapat kolej, aku akan bangkit.

Tetapi sekiranya tidak, aku akan berhenti belajar” . Aku secara sah telah berhenti belajar pada semester ke6 iaitu semester terakhir sebelum praktikal. Kawan-kawan kelasku, kamu semua berjaya menjatuhkan aku. Cuma ingin ku tanyakan, “APA SALAHKU?”

Kisah 6:

Aku sebenarnya telahpun mendirikan rumah tangga. Aku dah kahwin dah pun. Satu hari, aku ada terbaca satu penulisan seorang wanita yang bangkit untuk berpisah dengan suaminya. Yelah page umum itu seringkali cerita hal berkaitan rumah tangga. Dan cara wanita itu tulis, aku rasa sangat membuka mata wanita-wanita di luar sana.

Satu perkata yang sangat menarik minat aku apabila dia kata kita perlu simpan bukti masakkan kita kepada suami dan anak-anak kita untuk membuktikan bahwa kita adalah seorang isteri yang bertanggungjawab di rumah. Bukti tu sangat berguna untuk proses penceraian jika berlaku apa-apa.

Bukan niatku untuk bercerai dengan suami. Tetapi kita sebagai manusia yang lemah tidak tahu dengan perancangan Allah di masa hadapan. Untuk menyimpan gambar masakkan pada aku tidaklah susah. Ambil gambar dan simpan.

Penulis juga ada beritahu bahwa, kita boleh simpan di media sosial secara terbuka atau tersembunyi. Dan aku memilih untuk menyimpannya secara terbuka.

Hari-hari berlalu, aku pun terus mengupload gambar masakkan tak seberapa aku. Niat besarku hanya untuk menyimpan. Aku sertakan tarikh dan nama masakkan pada gambar itu.

Tiba-tiba aku mendapat komen dari mak saudaraku yang mengatakan, “memang kena update setiap hari ka?”. Aku tahu mungkin dia annoying dengan gambar-gambar itu. Tapi APA SALAHKU?, atau mungkin salahku sebab tidak menyimpannya secara sembunyi?

Dari komen itu, aku telah membuang semua post yang ada di media sosialku. KENAPA SEMUA ASYIK SALAH?

Kisah 7:

Kisah 7 ni menang terang bersuluh salahku. Sebelum kahwin, aku membela 3ekor kucing jalanan di rumah, Ya aku tak ada kawan tetapi aku suka berkawan dengan kucing dan kanak-kanak yang takpernah ada masalah.

Pada mulanya seekor yang datang, ku namakan Alpha (jantan). Dan kemudian seekor lagi datang iaitu Beta (jantan). Alpha dan Beta ni kawan baik sebab mereka membesar sama-sama. Walaupun tidak sama ayah dan ibu. Beta sikapnya yang sangat manja pada manusia, manakala Alpha pula lebih menyendiri.

Dia ada manjanya, tetapi lebih kepada taktunjuk. Kehadiran kucing ke3 iaitu betina membuatkan Alpha lagi kelihatan sombongnya. Kiranya dia tak gu dengan si betina. Kalau Beta pula jenisnya friendly.

Lepas kahwin, aku pindah rumah yang berjauhan dengan mereka. Ibu yang ambil alih menjaga kucing aku dengan memberi makan. Dan aku sendiri akan membeli makanan kering untuk kucingku. Setiap kali video call dengan ibuku, pagi atau petang. Ibu akan sibuk memberi makan si kucing.

Sudah lama aku tidak dapat pulang ke kampung sebenarnya. Dan ada pula kucing ke4 yang aku tidak tahu sifat atau namanya di rumah. Selalunya mereka di rumah akan update di whatsapp atau tanya sahajalah ketika video kol.

Selalunya orang di rumah tidak suka pada si Alpha yang lebih menyendiri dan kelihatan sombong. Mereka suka perdayakan aku dengan berkata Alpha sudah matilah, sudah dibuanglah.

Kalau dinaikkan status juga tidak lansung ditunjukan si Alpha. Ya memang mentality aku pada mereka, mereka taksayangkan Alpha, lebih sayangkan yang lain tu. Aku pun rindu Alpha sebab yelah dia yang mula-mula duduk dengan aku.

Satu hari adik aku sampaikan berita yang mengatakan Beta kakinya berdarah tapi tidak tahu sebabnya. Dialah yang bersihkan kucing itu. Selepas itu, dikhabarkan pula yang si Alpha berdarah di bahagian belakangnya. Bila ditanyakan kenapa. Dia menjawab yang dia tidak tahu takdapat nak tengok kerana si kucing lari. Tetapi dari sini aku telah salah faham.

Ayatnya begini, “taktahu, aku nak tengok dia lari”. Aku baca dengan nada yang mendatar, berkali baca juga mendatar. Dalam fikiran aku, kucing-kucing di rumah diserang kucing liar. Luka yang ada pada Alpha dan Beta juga merupakan angkara kucing liar. Dan apa yang adik aku nak tengok adalah kucing aku lari dari rumah.

Tinggalkan rumah, itulah yang aku faham dengan bacaan yang mendatar. Aku pun marah dan sedih, kenapa dia nak tengok kucing aku lari pula. Dekat kucing yang lain sayang tetapi yang dekat si Alpha kenapa nak membenci.

Lepas beberapa minit masuk text dia memaki hamun aku, seolah aku lari dari tajuk. Aku pun baca lah balik ayat tu berkali-kali. Bukan hanya 2 atau 3 melainkan berkali. “taktahu, aku nak tengok dia lari”. Aku masih baca mendatar. Tiba-tiba fikiran aku terfikir pula, adakah dia maksudkan kepada anak saudaraku. Nak tengok dia boleh berlari-lari. Terus aku lost.

Dan apabila text kakakku pula masuk, dia berkata mental padaku. Terus aku baca balik dan dari situ baru aku faham. “taktahu, dia nak tengok si kucing tu tapi si kucing lari”.

Kenapa fikiran aku lari jauh sangat daripada penyampaian tu, aku pun taktahu. Sudahla aku baca juga berkali. Bila aku dah sedar, makian dari adik aku tetap takberhenti pun. Dan aku sedikit terasa bila kakakku mengeluarkan perkataan mental.

Ya kalau kami bergaduh, memang perkataan mental, pelik akan keluar untuk aku. Benda tu dah biasa. Mereka akan kata yang fikiran aku terlalu negatif, selalu nak fikir sesuatu yang buruk. ‘Hang memang mental’ , ‘Hang memang pelik pun’ , ‘Dah hang pelik’ ..

Kakak yang lain juga mengatakan yang aku perlu memohon maaf kerana aku salah faham. Dia juga berkata yang makian adalah perkara biasa kerana orang dalam keadaan marah. Mereka kata padaku kerana mereka juga tidak sedar yang aku salah faham dengan ayat tu. Dia juga suruh aku bersyukur yang adanya orang jaga kucingku ketika aku tiada di rumah.

Ibu yang bagi makan si kucing, mereka yang lain hanya membelai. Mungkin lah sekali terkena luka, dia tolong lapkan. Tapi bukan dia yang jaga. Tiada siapa yang membela aku, walaupun aku salah faham dan sudah aku terangkan juga tiada siapa yang akan pertahankan. Orang yang sepatutnya jadi orang tengah juga berat sebelah.

Aku takkisah sebab memang salahku pun hal itu sebab aku baca mendatar. Aku cuma nak tanya sahaja, betul ka aku ni pelik sangat? Mental sangat? Sebab kalau ikutkan memang dari dulu sampai sekarang hidup aku macam tu. Mereka juga takpernah berhenti cakap yang aku ni pelik, aku ni mental.

Aku dah buang media sosial aku. Aku ada whatsapp sebab aku perlu video call dengan ibu aku. Tapi aku dah buang semua nombor orang. Keluar semua group. Dan aku ada satu perasaan yang mana aku takut nak jumpa orang. Aku takut kepelikkan atau mental aku ni menjejaskan kebahagian orang lain. Kalaulah aku dah tiada, akan memberi kesan tak pada orang?

– Kalsom (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *