Rindu Untuk Abah

Aku Ayesha berusia di hujung 20 an dan menetap di Putrajaya. Ibu bekerja dengan anak kecil dua orang. Alhamdulillah dikurnia suami yang baik dan sangat memahami.

Yes confession ni lebih kepada luahan anak kepada abah. Abah telah pergi meninggalkan kami beberapa hari. Aku rindu. Terlalu rindu.

Abah lahir dari broken family. Kehidupan abah susah sangat mengikut yang diceritakan. Abah kehilangan kedua orang tuanya sejak kecil dan dia tak mendapat pendidikan dan mungkin juga sebab abah banyak hidup sendiri, akhlak abah kurang baik.

Abah usianya menjangkau 70an tahun ini. Alhamdulillah kesihatan abah baik dan abah memang seorang yang kuat bekerja. Tak suka curi tulang dan rajin.

Aku nak berkongsi serba sedikit tentang abah. Abah yang aku kenal dari aku kecil seorang yang panas baran, agak cermat dan boleh aku kategorikan kedekut. Pantang harta benda nye terusik memang ringan tangan nye ke atas kami.

Abah yang aku nampak tak suka memberi kepada orang luar. Masa tu aku rasa seksa nya kami tak dapat nak ajak sesiapa datang rumah makan makan. Walaupun kami tahu abah mampu.

Kadang kadang aku berkecil hati dengan abah suka membandingkan kami dengan anak orang lain yang berjaya.

Abah suka dan bangga bila tahu orang berkerjaya macam pakcik makcik kat kampung lah suka dengan orang keje gomen. Mungkin dulu lah, sekarang dah ramai yang lebih faham.

Abah agak jahil bab agama. Bila berkahwin dengan mak yang pandai mengaji, pandai solat lama lama abah terikut dengan mak. Yes abah dah mula solat dan puasa walaupun solat tu hanya yang wajib, alhamdulillah.

Bab panas baran abah memang ramai orang tahu. Maki hamun tu mainan abah saja. Pantang terusik sikit memang ringan mulut nya keluar perkataan yang tak sedap didengar.

Ketar kaki lutut bila dia start makin hamun dengan suara halilintar tu jiran kiri kanan belakang dah biasa.

Mula mula dulu aku pun tak faham kenapa mak boleh bertahan dengan abah yang macamni perangainya. Emak baik tapi aku perasan bila isteri tu tak dilayan selayaknya seorang isteri, dia akan menjadi keras susah dilentur.

Tapi mak tetap jalan kan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Begitu juga dengan adik beradik aku masing masing dengan suara keras dan jarang nak berlemah lembut. Mungkin kesan didikan abah kepada kami.

Bila semakin lama dimamah usia aku mula perasan abah dah tak suka marah marah. Dia lebih rela diamkan diri walaupun dia tau dia tak salah.

Kami pun adik beradik dah beranak pinak. Abah dah makin tua kudrat pun tak daya mana. Tapi tempat kediaman dan makan semua cukup untuk seisi rumah di kampung.

Bagusnya abah dia tak tinggal solat sejak dia berkahwin dengan mak dulu. Sampai dia sakit pun dia masih jaga solat walau dengan tayammum.

Tapi abah memang tak pandai mengaji cuma dia tak pernah larang mak dan kami nak tuntut ilmu akhirat. Dia sokong dia hantar saja ke mane tempatnya.

Abah mula sakit bila jari kaki nya kena potong. Tak banyak hanya separuh tapi ya untuk usia senja nya agak lambat untuk sembuh.

Tapi kali ni abah betul betul nak sihat. Abah ikut semua saranan doktor. Pantang makan betul betul. Abah semakin hari nampak semakin sihat bekas luka pun nampak kering.

Ya aku memang nak balik tapi kerana MCO yang semakin ketat lebih lebih lagi KL Selangor mencatat kes tertinggi aku batalkan niat aku.

Lagi pulak abah hanya di rawat di klinik swasta. Jadi tak ada surat dari hospital yang lebih kukuh untuk aku ziarah abah. Ya aku rindu sangat. Kalau sebelum ini hampir setiap bulan aku pulang ke kampung.

Raya sendiri bersama suami dan anak di rumah alhamdulillah okay okay saja. Pagi raya sempat aku bervideo call bersama family dan saudara mana yang rapat.

Aku memang dah tergerak nak call abah raya ni tapi entah macamane aku tekan butang call aku terus matikan dek kerana anak aku tiba tiba tak sihat menangis menangis.

Aku sibuk mencari mane klinik yang buka 1 syawal tu sebab anak aku dah dua tiga hari tak nak makan. Yelah sebagai ibu ni bila anak sakit memang agak sibuk. Lama lama aku pun terlupa nak call abah.

Tapi macam biasa call mak hampir setiap hari bertanyakan perihal abah. Ya Allah. Kat sini lah aku rase menyesal sangat.

Aku memang tak berapa rapat dengan abah mungkin sebab sikap abah sebelum ni menjadikan kami takut dan adakala kurang hormat.

Tapi untuk aku, aku tetap hormat abah dan jarang aku meninggi suara kepada abah. Abah tetap abah. Cuma aku tak pasti bagaimana mak dan adik beradik aku yang lain melayani abah ketika abah sakit.

1 Syawal berlalu sehingga lah seminggu aku hanya akan call mak bertanya tentang keadaan abah. Aku kirimkan sedikit wang untuk biaya keperluan abah walaupun abah tak ada masalah tentang kewangan.

Yelah nak berjasa menjaga mereka belum ada kesempatan, jadi aku kirimkanlah apa yang ada mengikut kemampuan aku.

Selepas seminggu syawal, aku mendapat perkhabaran abah pengsan subuh tu dan aku memang tak sedap hati. Lain macam kali ni.

Aku video call abah masa tu abah dah separuh sedar sedang menanti ambulan sampai. Abah masih ingat aku dia senyum saja. Aku dah menangis teresak esak. Aku nak balik sangat.

Aku teringat ada seorang kenalan frontliner untuk bertanyakan surat merentas negeri tapi dalam kes aku mereka memang perlukan surat hospital. Lebih lebih lagi di waktu itu banyak kes penipuan berhubung surat rentas negeri.

Sedangkan hospital masa tu tak dapat keluarkan surat bagi mengesahkan abah dirawat. Sampailah abah ditransfer ke hospital besar. Aku merayu lagi tolonglah aku memang nak balik.

Alhamdulillah aku dapat surat pelepasan sebelum asar itupun bersyarat surat hospital mesti dihantar setelah dapat nanti. Tak kesah janji aku dapat balik nak tengok keadaan abah.

Terima kasih sangat kepada mereka yang memudahkan urusan aku untuk pulang ke kampung. Dalam perjalanan aku mendapat perkhabaran abah telah di transfer ke ward dan tiada waris dibenarkan untuk menunggu. Jadi keluarga ku pulang dulu ke rumah.

Sesampai aku di rumah aku mengambil keputusan untuk pergi ke hospital esok pagi pagi untuk melihat keadaan abah. Tetapi lebih kurang jam 11 malam seorang doctor call memberitahu jantung abah stop! Ya Allah.

Doctor sedang membuat cpr tetapi dgn keadaan abah yang tidak berapa baik doctor tidak recommend untuk cpr yang lama. Doctor minta semua waris datang ke hospital dan kami terus ke sana.

Belum sempat sampai, telephone berbunyi lagi. Innalillilahi wainna Ilahi Rojiun. Abah dah tak ada! Ya Allah lemah rasa diri ini.

Fast forward aku bersyukur sangat sebab Allah memudahkan urusan abah. Setelah semua selesai urusan pengebumian aku masih stay di rumah mak untuk beberapa minggu.

Setiap malam aku terjaga teringat abah. Dan setiap kali itu aku bangun solat atau setidaknye aku doakan abah. Setiap hari kami tahlil dan yasin bersama sama untuk abah. Bila abah dah tak ada, aku perasan banyak sangat abah buat masa hayatnya.

Abah korbankan masa dengan rajin bekerja dan mengemas rumah terutama luar rumah. Abah dah siap siap letak list nama arwah untuk tahlil di atas sekali dalam laci simpanan dokumen abah.

Kami juga terjumpa satu buku catatan hutang abah. Apa yang kami lihat banyak hutang orang yang abah dah halalkan. Ada jumlah yang agak besar abah wakaf di pusat tahfiz.

Selepas abah meninggal juga baru aku tahu abah kerap ziarah kawan kawan abah yang sakit. Tapi sepanjang hayat abah jarang jarang dia berkongsi tentang ini.

Abah tinggalkan kami dengan rumah yang selesa untuk mak dan kami anak beranak. Terlalu banyak untuk aku kenang kebaikan abah dari kekurangan abah.

Abah tetap abah walaupun dia jahil tapi dihujung usia nya dia dah makin baik. Di setiap doa aku mengharapkan keampunan Allah untuk abah. Aku rindu abah. Senyum abah. Ketawa abah.

Sampai sekarang aku masih rasa ralat tak dapat jumpa abah sejak MCO bulan januari tak boleh merentas negeri. Abah kerap bertanya bila aku dapat balik. Tak dapat aku bayangkan abah dihujung waktu dia nak pergi tu macamane rindu dia.

Abah jarang jarang zahirkan sayang pada anak anak. Tapi aku tahu abah sayang kami. Sekarang ni aku cuma dapat tengok gambar gambar abah dan sedikit video abah dalam simpanan.

Ini sahaja luahan aku rindu untuk abah. Pembaca budiman tolong doakan semoga Allah menerima kebaikan dan memaafkan setiap dosa dan kejahilan abah.

Doakan aku juga sedang uruskan pusaka abah dan urusan bayaran fidyah dan zakat abah yang agak tinggi setelah di kira kira.

Akhir sekali hanya berpesan yang mana masih ade ibu ayah tu berbaktilah kepada mereka. Mereka ni bukan selamanya ada.

Bantu mereka dari segi tenaga atau keperluan. Paling tidak kerap kerap lah bertanya khabar. Bila abah dah tak ada, aku sedar aku akan rindu dia seumur hidup aku.

Aku hanya akan jumpa abah bila kami sama sama dapat ke syurga Allah. Aku mengharapkan abah memaafkan semua salah silap aku. In sha Allah selagi ada hayat kak yang, kak yang akan sentiasa berdoa untuk abah. Al Fatihah untuk abah.

– Ayesha (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *