Assalamualaikum warga IIUM Confessions. Terima kasih admin kerana sudi post confession saya ini. Saya menulis di sini kerana saya tidak tahu hendak luahkan pada siapa.
Saya adalah seorang yang bekerja dalam bidang profesional dan dalam bidang tersebut saya dianggap sebagai penyelesai masalah orang lain dan karakter saya juga seorang yang ceria di hadapan orang lain jadi begitulah saya tak tahu nak luah masalah pada siapa.
Saya seorang ibu pada dua orang anak yang berusia bawah 5 tahun, suami saya bekerja sebagai seorang penjawat awam. Masalah saya adalah, saya rasa semakin lama saya semakin tertekan dengan suami saya.
Suami saya selalu berkata dia inginkan saya jadi macam isteri orang lain rajin masak tiap-tiap hari, pastikan rumah kemas selalu, lipat baju jangan ada bertimbun dan lain-lain.
Jika saya gagal penuhi expectation dia, dia akan buat perangai jadi bad mood dan pernah juga memukul saya.
Saya mengaku saya bukanlah seorang isteri yang sempurna. Saya tidak larat masak tiap-tiap hari bukan sahaja kerana letih bekerja tetapi juga kerana saya ada masalah kesihatan yang akan menjadikan saya jatuh sakit jika saya terlalu letih dan stress.
Namun saya rasa saya stress bukanlah sebab kerja saya kerana saya sukakan kerja saya tetapi saya stress kerana kurang sokongan dari suami.
Suami saya selalu mengatakan kerja saya bukanlah letih sangat pun sekadar pergi bercakap-cakap berhujah sedikit kemudian selesai.
Saya sangat sedih kerana perkara itu sangat tidak benar. Atas dasar itu dia mengatakan dia tidak faham kenapa saya jadi letih, isteri orang lain boleh saja. Ini dahlah tak masak selalu, alasan penat, kemudian bila mintak dilayan alasan sakit.
Saya tidak menipu sesungguhnya bila saya katakan saya tidak sihat saya memang berasa tidak sihat.
Dan jika ada hari saya tidak masak, saya belikan makanan atau saya berikan duit saya untuk dia belikan makanan kerana saya sedar saya sepatutnya masak dengan bahan mentah yang dia dah sediakan dalam peti sejuk.
Tadi saya ada katakan suami ada memukul saya. Sejak dari awal kahwin lagi dia telah pukul saya dan dalam kejadian terakhir pada april tahun ini, punca dia pukul saya adalah kerana saya cuba confront dia untuk berbincang mengenai masalah kami.
Saya juga ingin cuba bertanya mengenai perihal dia melihat video p0rno, tetapi dia naik marah dan mengatakan saya bukanlah perfect pun untuk tegur dia,
Habis satu badan kaki tangan saya dicakarnya dan meninggalkan kesan, sungguh saya trauma dengan kejadian itu dan sejak itu saya rasa tidak selamat lagi berada di rumah sendiri.
Apapun saya sangat bersyukur kerana saya dapat beli rumah atas nama saya seorang, hal ini kerana jika apa-apa terjadi, tidak perlulah saya yang bawa diri.
Dan suami pun tidak boleh lagi mengeluarkan kata-kata menghiris hati yang sering dia cakap sewaktu kami masih menyewa dulu iaitu antaranya ayat,
Keluarlah, keluar dari rumah ni. Jangan bawa apa-apa pun termasuk anak-anak. Dia selalu halau saya dari rumah tapi saya tetap bertahan dan bertahan.
Saya tak tahulah silap di mana kami ini, semua orang sekeliling melihat kami adalah pasangan bahagia lengkap sempurna dengan diserikan sepasang anak yang comel dan cerdik.
Semua orang mengatakan bertuah saya dapat dia baik rajin cakap lembut. Cuma itulah bila orang kata macam itu, saya selalu terfikir mungkin saya yang silap.
Saya yang tidak pandai ambil hati dia dan sebagainya. Tetapi ada suara hati lain yang mengatakan ini tidak betul, walau apapun dia sebagai suami tidak boleh naik tangan. You need to protect yourself.
Tetapi setakat itu sahajalah, saya tidak ambil apa-apa tindakan pun. Dia pun begitulah tidak ada minta maaf dan buat macam biasa.
Sekarang ini saya tidak tahu patutkah saya bertahan lagi ataupun tidak. Saya berasa lega jika dia tiada di rumah. Saya boleh tarik nafas kelegaan jika time dia oncall kerana saya tahu dia kerap tidak akan ada di rumah.
Saya rasa saya selamat sebaliknya jika dia ada saya rasa macam-macam boleh jadi tersalah cakap sedikit pun saya boleh ditolak ke dinding.
Ini tidak betul saya rasa. Rumahtangga bahagia sepatutnya suami isteri rasa seronok bila ada bersama dan rasa sunyi bila lagi seorang tiada.
Rumahtangga yang harmoni juga sepatutnya tidak ada adegan pukul-pukul di hadapan anak kemudian act macam biasa tiada minta maaf dan sebagainya.
Semasa pkp ini, pejabat tidak dibenarkan buka jadi dapatlah saya menjadi isteri yang dia idamkan masak tiap-tiap hari, jaga anak full time dan lain-lain, dia pun oklah sebab dapat layanan semua.
Tetapi saya yang tidak okay, saya selalu teringat kejadian dia halau saya, dia pukul saya, kata-kata dia yang pedih, selalunya saya ambil ubat tidur yang doktor ada berikan pada saya.
Kadang bila terlampau sedih saya rasa macam nak saja ambil banyak-banyak biar tidur terus tak bangun-bangun dah.
Apalah gunanya hidup sekadar melindungi dan menjaga orang lain sedangkan hidup saya diri saya sendiri gagal saya lindungi. Sangat ironi. Tetapi bila teringat anak-anak yang masih kecil dan rapat dengan saya, saya tidak jadi teruskan hasrat sedemikian.
Suami pun ada cakap baru-baru ini dia suka saya mcm sekarang ini duduk rumah rajin masak ada bila dia nak hahahah saya tergelak dalam hati why you pilih I dulu kalau you nak wife duk rumah saja, you macam dah tersalah pilih isteri.
Saya rasa sedih hidup begini. Macam bahagia tetapi sebenarnya tidak pun. Saya selalu tiba-tiba menangis dan saya juga kerap jadi ‘anxiety’.
Ya sekarang dia tidak ada pukul saya lagi kerana sekarang pkp jadi saya dapat penuhi expectation dia tetapi bagaimana bila dah mula bekerja nanti, saya takut perkara sama akan berulang.
Dan jika tidak berulang pun, bagaimana saya nak teruskan hidup dengan seseorang yang buat hati saya berdebar sebab takut bukannya kerana sayang. Tolonglah pembaca di IIUM Confessions tolong berikan panduan apa patut saya buat.
Jika saya perlu pertahankan rumahtangga ini bagaimana caranya dan jika sebaliknya bagaimana. Saya sangat mengharapkan dan akan sangat menghargai jawapan dari anda semua, terima kasih in advance.
– Athirah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit