Assalamualaikum semua. Nama aku Dian (bukan nama sebenar). Umur 31 tahun. Asal Kuala Lumpur. Anak tunggal, ayahku meninggal dunia sewaktu aku berumur 4 bulan. Ibu aku tak kahwin lain lepas tu.
Tujuan aku tulis confession kat sini nak minta pandangan semua. Apa yang patut aku buat sekarang.
Aku dah berkahwin, dikurniakan dua orang anak. Pertama lelaki 5 tahun, kedua perempuan 2 tahun. Suami aku gelar sebagai Z ya (bukan nama sebenar). Z bukan orang semenanjung Malaysia.
Permulaan perkahwinan sangat bahagia. Sama- sama suka, kenal di tempat kami belajar diploma, jurusan yang sama. Selepas diploma Z terus bekerja, sebab nak ada income untuk halalkan aku cepat katanya. Aku teruskan pengajian Ijazah.
Dah cukup duit, kami nikah buat majlis sederhana. Hantaran paling minimum, RM5000 sahaja.. Aku terima seadanya, aku sanggup mula dari bawah bersama Z.
Majlis belah lelaki hanya cukup syarat sahaja. Tiada pelamin dan makan beradab. Aku di semester akhir pengajian ijazah waktu tu, jadi kami PJJ untuk 6 bulan. Z sambung bekerja di seberang sana.
Lepas je habis ijazah, aku ikut dia duduk sana. Ada la hampir setahun. Mengandung anak pertama di sana.
Kemudian kerja Z macam tak memberi keyakinan untuk tampung ahli baru nanti, jadi dia cuba cari kerja di KL. Alhamdulillah rezeki anak pertama, Z dapat kerja di KL dengan gaji RM2800. Kami tinggal di rumah ibuku.
Selepas anak pertama kami hampir berumur satu tahun, baru aku diberi rezeki mendapat kerja tetap sebagai jurutera di sebuah kilang di Selangor.
Aku bekerja macam biasa, masih tinggal bersama ibuku di KL. Berulang alik ke Selangor, hampir 1 jam perjalanan sehala. Manakala Z bekerja di KL, hanya 10minit dari rumah ibuku.
Selepas 7 bulan bekerja, aku disahkan mengandung anak kedua. Morning sickness nya lagi teruk dari anak pertama. Dengan bebanan kerja, drive sendiri ke tempat kerja. Memang menguji fizikal dan mental aku. 1st trimester memang lembik.
Balik dari kerja selalunya ibuku sudah masakkan makan malam, dan lepas solat Isyak selalunya memang aku dah pengsan. Terlalu penat. Dengan kerja di kilang yang besar, ke sana ke sini jalan kaki. Naik tangga office di tingkat atas.
Anak pertamaku memang sedikit terabai dari diriku. Dia sentiasa bersama Z. Aku akui, 1st trimester tu buat aku abaikan Z juga. Tapi tak sangka, ada perkara yang Z rahsiakan dari aku. Aku bukan jenis yang selalu check phone Z. Aku percayakan dia.
Masuk kandungan 6 bulan. Kami pindah ke rumah baru kami, Z beli rumah murah dekat dengan kilang aku bekerja. Bahagia sangat. Aku jalankan tugas aku sebagai isteri dan ibu dengan jayanya.
Satu malam, aku guna laptop Z yang dia bawa bekerja (laptop yang aku pinjamkan pada dia).
Aku terjumpa chat dia bersama seorang staff dia dalam chatting Gmail. Budak tu dah ada boyfriend. Tapi masih melayan Z. Tiap-tiap pagi wish morning. Bertukar-tukar berita, busy ke, tengah buat apa.
Yang aku nampak, Z berusaha sungguh-sungguh minta nombor telefon dan IG budak tu. Tapi budak tu tak bagi, dia cakap hanya chat di sini pun cukup.
Budak tu pun minta IG Z, tapi Z tak bagi. Budak tu cakap, takut bini ke? Last sekali aku reply chat tu, aku isteri Z. Kalau berkenan dengan Z, sila kahwin. Aku tak kisah undur diri.
Hati tergerak nak check tu, sebab aku perasan Z asyik pegang phone. Malam-malam aku terjaga, dia masih dengan phone. Patutlah lately tu dia dah tak whatsapp aku sangat ketika waktu bekerja. Rupanya busy chatting dengan anak dara.
Aku confront dengan dia, sungguh-sungguh dia minta maaf. Z janji tak buat lagi, Z cakap dia hanya test market dia.
Jujur hati aku sakit sangat, walaupun hanya chatting. Z cakap dia tak pernah jumpa berdua pun dengan budak tu. Aku percaya. Aku maafkan. Aku tak beritahu ibu bapa Z tentang ni.
Hari berlalu seperti biasa.
Selang dua minggu dari kejadian kantoi pertama, kantoi pula kali kedua. Sejak kantoi pertama tu, aku lebih berwaspada. Aku install apps Telegram di phone aku. Log in as Z profile.
Tiba-tiba aku terima 3 gambar perempuan tak bertudung, seksi dengan mimik muka menggoda. Sekali lagi jantung aku luruh.
Ingat lagi masa tu aku tengah jalan tengah panas dengan sarat mengandung, aku nangis masa tu jugak. Screenshot everything. Aku hantar pada mama Z dan Z terus.
Hati aku sakit sangat. Sanggup dia buat hal waktu aku sedang sarat mengandungkan anak dia sendiri.
Aku ugut Z tak kan balik rumah, aku ambil anak aku awal. Aku minta cerai. Dua kali kantoi curang. Z merayu jangan tinggalkan dia.
Jujur aku tak tahu apa salah aku. Makan pakai dia elok aku jaga. Kemas rumah, kalau tak sempat sebelum tidur, aku terjaga pukul 3 pagi, 3 pagi tu lah aku kemas rumah. Z memang boleh buat kerja rumah, tapi bila disuruh.
Kena jerit baru Z bergerak. Bila aku penat sangat, nak jerit pun malas. Jadi aku buat semua sendiri. Yes aku memang agak kasar sedikit bila bertutur. Sebelum kahwin pun sama je. Tapi aku tak pernah maki Z.
So kejadian ni dah sampai ke pengetahuan mama mertuaku. Aku memang dah bagi tahu dia aku nak cerai. Mama minta aku bertenang, fikirkan anak-anak, perlukan kasih sayang ayahnya.
Aku balas, selama ni aku hidup pun tanpa kasih sayang seorang ayah. Alhamdulillah okay saja. Next, mama minta aku muhasabah diri.
Mungkin aku kasar melayan suami. Aku terus panas dengan statement tu. Yes, memang aku kasar. Jadi sekarang Z nak yang lemah lembut kan? Silakan lah.
Banyak kali aku minta Z lepaskan aku. Hati aku sakit sangat. Menangis-nangis Z minta maaf. Z tetap tak nak lepaskan aku.
Dan masa berlalu, aku cekalkan hati. Penat menangis. Cuba maafkan Z. Aku pun cuba berubah menjadi lemah lembut pertuturan. Tapi hati ni masih tak boleh lupa kejadian tu.
Sehinggalah sekarang, anak kedua kami sudah 2 tahun. Aku sudah berhenti kerja, sekarang sebagai freelancer. Tapi gaji 2x ganda dari kerja sebagai jurutera dulu.
Z orang yang lemah bab kewangan. Boleh kata gaji dia cukup untuk bayar rumah sekarang, bil bil dan barang dapur untuk seminggu sahaja. Tak tahu kemana duit gajinya, bila aku tanya dia marah-marah suruh check sendiri statement bank dia.
Jadi untuk belanja minggu seterusnya, aku yang menanggung. Yuran taska dua orang anak kami bahagi dua. Untuk jalan jalan makan angin, makan sedap, baju raya anak beranak, semuanya dari duit poket aku.
Nafkah? Kadang-kadang culas juga. Nak kata hadiah birthday atau anniversary pun takde. Sebelum kahwin, kemain bunga dan coklat tu selalu.
Hadiah dan birthday party anak, semua aku yang uruskan 100%. Satu sen pun Z tak hulur, cuma tolong drive ke tempat aku perlu pergi saja. Senang cerita kalau Z bagi duit nafkah pun, akan dihabiskan untuk beli barang dapur lagi 3 minggu tu.
Aku bukan berkira, tapi sudahlah aku ni tawar hati dengan Z dah, tapi Z tak cuba untuk menang hati aku balik.
Jadi sekarang aku hanya focus pada anak-anak. Aku mula kumpul aset aku sendiri. Beli rumah, emas, kereta dan simpanan anak-anak. Cuma mindset aku sekarang, jika Z buat hal lagi, memang aku tak teragak-agak untuk naik ke mahkamah terus.
Aku tak tahu apa yang aku rasa sekarang. Aku masih masak seperti biasa, jika Z request, aku masakkan. Beri nafkah batin macam biasa. Tapi aku dah tak lebih-lebih macam dulu. Betul ke aku masih sayang Z?
Kadang tengok Z bermain dengan anak-anak, rasa sedih juga. Jika ayah mereka buat hal lagi, sanggupkah anak-anak berpisah dengan ayah mereka. Aku terbayang-bayang kejadian lalu.
Tolong aku, aku pun tak suka bila rasa macam berpura-pura dengan Z. Tapi entahlah bila waktu bersama pun aku masih terasa sakit hati tu. Macam mana nak ikhlaskan hati ni ya? Bantu aku dengan hikmah please…
– Dian (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit