Pengalaman Menyakitkan Postpartum Depression II

Untuk part I, (https://iiumc.com/pengalaman-menyakitkan-postpartum-depression/).

Assalamualaikum.. Terima kasih atas respons semua pada confession pertama saya.

Saya tak menyangka ramai yang boleh rasai kesakitan saya, terima kasih memberi saya simpati dan empati, terima kasih kerana membuatkan saya kembali sedar, saya telah dianiaya.

Saya, tidak pernah bercinta sebelum kahwin. Saya serahkan semua hati saya pada insan bergelar suami ini. Yang saya cinta sepenuh hati, seikhlas hati. Ia mengambil masa yang agak lama untuk saya sedar, bahawa suami ini tak mampu pertahankan saya.

Pengalaman berpantang dalam confession sebelum ini, cumalah secebis kisah penderitaan yang saya alami. banyak lagi peristiwa menyakitkan untuk saya kenang.

Ya, selepas kejadian tersebut, saya merancang. Saya tahu saya perlu sayang diri sendiri. Saya juga tak berhenti meluahkan apa yang saya rasa kepada suami, kebanyakannya dalam bentuk penulisan.

Sebab saya percaya, lelaki ini kita perlu luahkan supaya mereka faham. Tapi malang sekali untuk saya, tindakan saya jarang membuahkan hasil.

Selepas 5 tahun, saya sudah bekerja. Ya, saya bukan lagi suri rumah sepenuh masa. Rezeki alhamdulillah, Allah beri saya pekerjaan yang baik. Hubungan kami suami isteri, seperti yang lain juga, ada masa sangat bahagia, ada masa sangat derita.

Kemuncaknya, apabila saya melahirkan anak ketiga selepas 5 tahun. Ada konflik lagi yang berlaku. Saya melahirkan, dan ditinggalkan sendirian berpantang bersama 3 orang anak. Ya, satu lagi tragedi.

Sebaik mengetahui saya hamil anak ketiga, saya gembira dan bersyukur. Kali ini saya merancang untuk mengambil confinement lady.

Saya merancang dengan teliti. Saya tak akan lagi berpantang di rumah ibu mertua. Bukan juga di rumah ibu tiri kerana beliau ada anak lelaki lain yang saya perlu juga saya jaga aurat saya.

Maka di rumah sewa, saya merancang untuk berpantang dengan tenang. Untuk menjaga saya dan anak, saya mengambil pakej confinement, tapi hanya untuk seminggu. Segalanya ikut kemampuan kewangan juga.

Selepas itu saya akan memanggil khidmat pembantu rumah untuk urusan rumah dan baju.. Untuk makanan pula, saya menempah pakej makanan pantang selama mana saya berpantang.

Pada saya, saya telah buat perancangan yang baik. saya kumpul duit, dan juga main kutu untuk simpanan.

Sedikit pun saya tak minta duit dari suami untuk persiapan ni, saya kata padanya, dia cuma tolong jaga anak kami yang lagi berdua.

Walaupun pada awalnya saya ada minta suami masakkan makanan pantang untuk saya, tapi saya ada sedikit rasa kurang percaya dia mampu lakukannya.

Jadi sebelum berlaku konflik kemudian, dan emosi saya terganggu semasa pantang, saya terus menempah saja makanan pantang, pagi dan petang.

Seingat saya, saya dah merancang yang terbaik. Namun biasalah, bukan semua yang kita rancang akan menjadi kenyataan.

Selepas melahirkan, berlaku konflik antara saya dan suami. saya mungkin ada sakitkan hati dia, saya katakan kenapa dia selalu tiada masa saya susah, kenapa dia tak mahu dengar luahan2 saya.

Ya, mungkin kerana terlalu banyak luahan (bukan komplen semata) selama ni, dia dah jadi tak mahu mendengar. Sedangkan luahan tersebut banyak dalam bentuk penulisan, bukannya saya meninggi suara dan bergaduh mulut..

Kami ada masalah komunikasi, saya sedar, saya dah ajak jumpa kaunselor, tapi sebelah pihak saja berusaha tak mungkin terjadi.

Jadi apa yang berlaku, di hospital tu, selepas saya menelefon berkali2 tidak berangkat, dan mesej tak berbalas, saya jadi tertekan.

Saya dan bayi pula ditahan berhari2 di wad kerana jaundice, jadi tekanan saya rasa agak tinggi. Saya habiskan masa lebih kurang 10 hari di hospital.

Saya luahkan lagi dengan harapan suami boleh faham keadaan saya. Namun apa yang terjadi. Kejadian yang saya tak sangka2..

Suami tak mahu mengambil saya dari hospital!

Saya tak tahu apa masalah dia, saya baru saja melahirkan zuriatnya sendiri, tapi kerana ada salah faham, dan dia terasa atau terkecil hati, saya ditinggalkan di hospital begitu saja. Sungguh, saya tak sangka!

Habis daya saya memujuk dan meminta maaf. Saya mesej juga ibu mertua untuk pujuk suami memandangkan dia tinggal di rumah mertua sepanjang saya di hospital, tapi ibu mertua juga mendiamkan diri. Saya hampir hilang akal lagi. Kegilaan apakah ini.

Lantas saya menceritakan semuanya pada ibu tiri, yang segera datang dan menangis bersama2 saya di lobi hospital. Kesedihan, kepedihan ini terlalu sakit untuk saya.

Kami berdua menangis tak berhenti, walaupun dia bukan ibu kandung saya, tapi sebagai perempuan, dia memahami kesakitan saya.

Tiba hari untuk pulang, ayah yang datang mengambil saya. Pedih hati melihat wajah ayah yang pastinya luluh melihat anak perempuannya diperlakukan begini.

Petang itu, saya mesej pada suami, saya dah pulang ke rumah ayah, bawalah anak yang lain lihat adik baru. Suami datang, sekadar menghantar anak. Dia langsung tidak masuk menjenguk anak, apatah lagi saya isterinya.

Kecewanya saya hanya Tuhan yang tahu. Last dia melihat baby ni sewaktu dalam labor room. Menangis lah lagi saya dengan sikap suami.

Beberapa hari kemudian, saya minta untuk pulang ke rumah sendiri. Kerana confinement lady akan datang. Dan segala kelengkapan baby ada di sana.

Ibu tiri memujuk untuk berpantang di sini, tapi saya menolak secara baik, tak apa, saya dah buat persediaan untuk berpantang sendiri. Lalu pulang saya dan anak2 ke rumah kami.

Saya maklumkan pada suami, saya dah pulang ke rumah kami. Pulanglah pada kami, kerana dia memang duduk di rumah mertua selama saya di hospital.

Sehari, dua hari dia tidak lagi muncul. Jangan bayangkan perasaan saya, terlalu sakit dan kecewa. Dua orang anak lagi akan mula bersekolah. Saya tak mungkin menghantar mereka dalam keadaan berpantang. Saya minta suami hantarkan.

Ya, dia datang ambil anak kami di waktu pagi, dan hantar ke rumah selepas pulang tengahari. Tanpa menjejakkan kaki ke dalam rumah untuk menjenguk saya. Dalam keadaan saya berpantang, dia langsung tidak bertanya..

Hanya ibu tiri lah tempat saya berkongsi rasa. Setiap malam saya menelefon meluahkan rasa dan menangis kerana rasa tak mampu nak menanggung kesakitan ni sendiri. Anak2lah penguat jiwa.

Dan terima kasih Tuhan kerana baby ni sangat2 baik, dan tidak meragam. Tidur saja waktu malam dan jarang menangis.

Saya juga diberi rezeki bersalin normal, dan tidak berjahit. Rahim saya kecut dengan cepat tak sampai seminggu, kata nurse yang datang. Baiknya Tuhan menjaga saya dan anak2 di saat paling lemah saya dalam hidup ini.

Hampir sebulan. Ya hampir sebulan saya berpantang sendiri dengan 3 orang anak. Saya gunakan segala kudrat yang ada, dan dengan cepat cuba adapt dengan keadaan ni.

Saya basuh baju dan jemur baju dalam rumah, buat apa yang mampu saja. Tak mampu saya tinggalkan. Anak2 saya minta ayahnya belikan makanan. Mujur makanan pantang saya dihantar pagi dan petang.

Beberapa kali ke klinik kerana follow up baby, saya katakan pada ibu tiri, saya mahu pergi sendiri. Tapi ibu tiri tak benarkan, dia bercakap dengan ibu mertua saya, dan minta juga suami hantarkan. Memang ibu tiri juga rasa marah, namun kerana saya, ibu tiri cuba mengawal perasaan.

Jadi suami datang ambil saja ke klinik. Dan hantar pulang. Kami tak bercakap.. Kesakitan ni terlalu dalam. Tak mampu untuk saya bercakap dengan orang yang terlalu teruk melukakan hati saya.

Sebulan berlalu, hubungan kami mula pulih. Suami pulang. Suami kembali mesra seperti dulu. Saya cuba lupakan. Demi anak2. Demi cinta. Ya sesungguhnya hati saya sangat lembut. Kemaafan diberikan lagi. Saya tidak mahu hidup di masa silam. Saya cuba cekalkan hati..

Tak saya ketahui, rupanya ibu mertua berkata pada ibu tiri saya, selepas berpantang ni suami akan melepaskan saya. Sedangkan suami tak pernah sekali pun sebut pada saya.

Mungkin itu sebabnya suami tak pulang sewaktu tempoh saya berpantang. Suami pula yang saya kenali, memang akan mengikuti segala kata2 ibunya. Kuasa Tuhan, saya dan suami berbaik semula..

Tiada perpisahan berlaku. Kami lebih rapat dari sebelumnya.

Tapi, ujian Tuhan belum berhenti. Kali ini, suami berhenti kerja kerana stress melampau di tempat kerja. Suami hilang pekerjaan. Saya masih bekerja dan menguruskan anak seperti biasa. Berlaku lagi konflik, kali ni ya, suami akan lepaskan saya..

Puncanya kerana saya mesej ibunya supaya menegur sikap anaknya yang sering pulang lewat malam walaupun kami ada baby kecil dan saya bekerja.

Dan saya tahu ada malam2nya suami ke rumah ibunya. Dari menasihatinya untuk berubah, saya rasa beliau menasihati suami untuk melepaskan saya.. Hebat kuasa seorang ibu mertua.

Sekarang, suami sudah pun keluar dari rumah dan duduk dengan ibunya sepenuhnya.

Saya katakan padanya, tak apalah, pulanglah kepada ibunya, sedarlah saya ibunya tak sanggup berkongsi kasih anaknya dengan saya, pergilah jika itu yang boleh membahagiakan suami.

Saya mula sedar. Walaupun dah lama juga saya sedar, tapi kerana in denial dan rasa cinta yang amat sangat pada suami, saya maafkan segalanya.

Namun, saya akur, mungkin Tuhan mahu saya hidup lebih baik selepas ini, selepas episod demi episod penderitaan yang saya lalui. I definitely deserve better.

Sakit untuk menerima, tapi sakit juga untuk bertahan. Maka saya cuba untuk melepaskan.

Pergilah suamiku. Carilah kebahagiaan yang dimahukan, di sisi ibumu. Saya akan terus berjalan, dengan anak2 yang saya sayang. Kasih dan cinta saya ini, semoga diketemukan dengan hanya yang benar2 menghargai..

Saat ini, menghitung hari untuk suami selesaikan di mahkamah. Namun kerana lockdown, segalanya ditangguhkan. Suami ada pulang menjenguk anak, saya berlapang dada dan berlagak biasa.

Demi Tuhan, saya sudah memaafkan. Kerana memaafkan mampu memberikan ketenangan. Tuhan, jagalah hati ini. Jangan benarkan ianya dilukai lagi..

Pembaca, doakan yang terbaik untuk saya, doakan saya diberi ketenangan, kelapangan dan kebahagiaan berpanjangan..

Jujur saya tak inginkan perpisahan ini, namun saya terlalu inginkan suami sedar dan terbangun dari lena yang panjang. Saya serahkan pada Tuhan bagaimana caranya pula Tuhan mahu mendidiknya.

Saya tahu, suami juga sedang menderita. Tiada sinar kebahagiaan di wajahnya setiap kali saya pandang wajahnya. Dia bakal kehilangan keluarga, kehilangan seorang isteri, demi kasih pada ibu.

Saya tidak anggap ini hukuman padanya, tapi lebih pada ujian. Semoga beliau dapat menghadapi ujian ini dengan tabah dan mengharunginya dengan baik.

Dia bukan lelaki yang jahat, cuma tersepit dengan kasih ibu dan amanah pada isteri.

Masa depan kami, masih lagi samar2. Doakan saya beroleh kebahagiaan. Inilah kisah cinta kami. Yang diuji berkali2. Utuh atau rebah, hanya masa akan menentukan.

Doakan kami…

– Hana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *