Akhir-akhir ini kita kerap kali dihidangkan dengan pelbagai kisah mengenai kecelaruan dan krisis naluri yang bertentangan dengan fitrah insani. Banyak sangat kisah kecelaruan naluri yang aku baca di sini sehingga terbit niat untuk berkongsi tentang apa yang pernah dan sedang aku lalui.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua yang sedang diuji dan berusaha untuk membaiki diri agar kita tetap berada di jalan yang diredhai oleh Allah SWT.
Allahuakbar, hidup ini tiada lain tujuannya kecuali kita mengharapkan pengakhiran yang baik dan mengapai syurga nan abadi.
Izinkan aku memperkenalkan diriku sebelum kita melangkah dengan lebih jauh. Nama aku Shahrel, seorang penjawat awam, berasal dari selatan tanah air, seorang suami, seorang ayah kepada beberapa orang anak yang comel, ada rupa, ada daya penarik dan kewangan yang stabil.
Ya, sejak kecil lagi aku diuji dengan krisis kecelaruan naluri, aku menyukai kaum sejenis aku sendiri.
Sedari sekolah rendah dan awal akil baligh lagi tetapi Alhamdulillah aku tidak pernah terlibat dengan perkara-perkara terkutuk. Mungkin kerana sifat aku yang pemalu dan pendiam menyebabkan aku takut untuk mengadakan perhubungan dengan orang lain.
Tambahan pula, aku dibesarkan dalam keluarga yang baik, ayah aku seorang yang tinggi ilmu agamanya dan persekitaran yang baik menyebabkan aku di pagar dan di pasak untuk tidak terlibat dengan perkara-perkara yang tidak baik. Alhamdulillah.
Kecelaruan naluri ini bukanlah berlaku atas kehendak aku sendiri. Aku sendiri tidak tahu kenapa di awal akil baligh, perasaan dan naluri aku lebih cenderung kepada kaum sejenis aku sendiri. Perkara ini bukanlah dibuat-buat, bukanlah diminta-minta tetapi ia datang secara semula jadi.
Sakit dan peritnya memiliki naluri ini hanya Allah SWT sahaja yang tahu, beban ini umpama tiada kesudahan, tiada ubat yang boleh dibeli di farmasi untuk menyembuhkannya.
Bayangkan kita terpaksa menanggungnya seorang diri, jangan cuba dikongsi dengan orang lain kerana itu adalah aib yang boleh membunuh maruah diriku sendiri.
Tahun demi tahun aku lalui seorang diri, lagi perit dan sakit bila hati sudah mula terpaut kepada lelaki-lelaki tertentu tetapi lelaki-lelaki tersebut tidak melayan dan lebih suka melayan orang lain, diabaikan dan tidak dipedulikanya aku.
Sakitnya diri bila aku menyayangi orang lain secara diam dan hanya mampu memendam perasaan tersebut.
Tetapi, Allah SWT sangat menyayangi diriku kerana aku tidak dipertemukan dengan lelaki-lelaki yang juga memburu orang-orang seperti aku.
Dan aku juga bersyukur kepadaNya, aku tidak mudah jatuh cinta dengan lelaki, asal kacak ke asal kaya ke cuma berbeza aku dengan orang lain, aku mudah tertarik dengan lelaki-lelaki yang pandai mengambil hati, yang mengambil peduli akan aku dan yang kelakar.
Orang yang normal mungkin berasa geli geleman kan tetapi itu yang terpaksa dilalui oleh kami, sang pemilik naluri ini.
Aku mohon jasa baik semua yang membaca luahan ini supaya tidak mengecam dan menghina kami yang sedang diuji ini kerana bukan kami yang meminta takdir ini,
Bukan kami mahu dilahirkan untuk memiliki naluri ini sedangkan apa yang berlaku ini adalah ujian dari Allah SWT untuk kami.
Aku yakin Allah SWT nak tengok sejauh mana kami mampu bertahan dan mempertahankan diri sendiri dari terjebak dalam kancah maksiat. Moga Allah SWT mengurniakan syurga nan abadi kepada kami yang sedang diuji ini, biarlah sakit didunia tetapi bahagia di syurga sana.
Kerap kali aku membaca yang golongan-golongan yang diuji seumpama ini adalah terdiri golongan yang tinggi agamanya, ustaz-ustaz dan tahfiz Al-Quran. Aku juga begitu, seorang lelaki Alhamdulillah baik amalan agamanya.
Membaca Al-Quran boleh dikatakan setiap hari, Al – Mathurat, Tahajjud, Dhuha,
Walaupun aku melakukan amalan-amalan seperti yang diceritakan diatas tetapi aku juga tidak terlepas daripada diuji dengan masalah p0rn0grafi, 0nan1 dan lain –lain.
Walaupun begitu, aku tidak pernah sekali terlibat mengadakan hubungan songsang dengan lelaki lain. Sampai satu ketika, aku mulai berjaya menjauhi diri daripada masalah p0rn0grafi dan 0nan1.
Ya, memang susah dan teramat susah sebab syaitan senantiasa mengoda dan tambahan pula kita berada dalam era serba canggih ini yakni semuanya dihujung jari.
Duhai sahabat yang senasib dengan diriku, aku memahami apa yang anda semua lalui, kesakitan dan keperihan jiwa serta beratnya beban yang ditanggung.
Kalaulah perkara ini bukan aib kita, ingin sekali aku mendekati kalian, membantu kalian keluar dari masalah ini tetapi apakan daya kita berada dalam masalah yang patut kita sorok sekemas – kemasnya dalam diri kita.
Walaubagaimanapun, aku berniat berkongsi beberapa panduan supaya ia dapat membantu kalian untuk menjaga dan menjauhi diri daripada terjerumus dalam lembah yang lebih teruk.
Cukuplah kita sekadar mempunyai naluri ini, usahlah kita membiarkan naluri ini BERKEMBANG BIAK sehingga membawa kita terlibat sehingga ke ranjang yang berdosa.
AKU YAKIN ALLAH SWT MENYAYANGI KITA YANG SEDANG DIUJI SEBEGINI RUPA ASALKAN KITA TIDAK MELAKUKAN APA YANG SALAH DISISINYA. Kenapa aku ingin berkongsi? Kerana aku Alhamdulillah 80% sembuh, boleh mengelak dan menjauhi diri daripada perkara ini.
Aku hanya mampu berdoa moga-moga aku tidak dipertemukan dengan lelaki-lelaki yang baik, handsome, yang pandai mengambil hati aku, yang kelakar dan lain -lain.
Sungguh, aku tidak kuat. Aku lebih rela berjumpa dengan lelaki yang tidak pedulikan aku, tidak kisahkan aku kerana aku sendiri takut aku akan jatuh cinta lagi seperti dulu-dulu. Geli kan tetapi itulah hakikat harus ditelan oleh kami yang memiliki naluri seperti ini.
Disini aku berniat berkongsi apa kaedah dan cara yang aku lakukan supaya aku dapat keluar dari semua ini. Ya betul mungkin tidak 100% berjaya tetapi aku yakin Allah SWT akan tengok usaha kita, adakah kita mahu membiarkan diri kita terus menerus dalam situasi begini?
Berada dalam lembah maksiat adalah satu perkara yang menyakitkan, jiwa tidak tenang, perjalanan yang memeritkan dan senantiasa takut dengan azabNya. Yang paling takut adalah saat kita melakukan maksiat dan dosa, Allah SWT mengambil nyawa kita, tidak sempat bertaubat.
Allahuakbar, mati dalam keadaan hina dan dosa. Oklah, jom tengok apa yang aku buat. Kita berusaha dan berikhtiar selebihnya kita berserah kepada Allah SWT.
1) Banyak berdoa kepada Allah SWT.
Ujian ini datang dari Allah SWT dan aku yakin Dia yang memberi dan Dia juga akan membantu menyembuhkanya.
Aku banyak melakukan solat-solat sunat dahulu kala, aku bangun tahajjud dan didalam sujud terakhir aku, aku kerapkali menanggis memohon kepada Allah SWT supaya mematikan perasaaan aku kepada lelaki.
Ya Allah, aku memohon dan merayu kepadaMU matikanlah perasaan dan nafsu aku terhadap lelaki, jangan dibiarkan aku keseorangan dalam menghadapi semua ini dan jauhkanlah aku dari terjebak dalam kancah dosa dan maksiat. Berdoalah bersungguh –sungguh kawan-kawan.
Mungkin esok lusa Allah SWT belum tentu Dia akan memakbulkannya tetapi yakinlah Allah SWT akan membantu kita, mengadulah dan bercakaplah kepadaNya tentang gelodak jiwa yang kita tanggung. InshAllah, Allah SWT akan membantu kita.
2) Berkahwin.
Berkahwin itu Sunnah dan kita semua tahu banyak hikmah yang terdapat dalam sebuah perkahwinan tetapi bagi kami yang diuji sebegini rupa mungkin perkahwinan itu adalah satu yang ingin dielakkan.
Ya, aku sudah berkahwin dan memiliki beberapa orang anak. Allahuakbar, susahnya aku nak melalui semua ini sebelum aku berkahwin dahulu. Banyak benda bermain difikiran aku.
Aku tak menyintai isteri aku, aku tidak ada perasaan pada dia, macamana nak bersama dan sebagainya. Walaubagaimanapun, aku tetap yakin dengan Allah SWT, yakin Dia akan membantu aku. Lantas aku banyakkan berdoa, aku mengadu bersungguh-sungguh.
Aku niatkan didalam hati bahawa aku berkahwin keranaMU Ya Allah, aku tidak mahu terlibat dalam dosa dan maksiat lagi, aku mahu berada dijalan yang diredhai olehMU Ya Allah.
Buat kawan-kawan yang diuji, cubalah berkahwin kerana berkahwin itu satu yang perkara yang baik untuk kita. Jangan takut tetapi yakinlah dengan sepenuh hati bahawa Allah SWT akan membantu.
Selepas aku berkahwin, Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar. Ya memang susah untuk menyintai isteri aku dan apabila berkahwin bukan secara automatik naluri, perasaan dan nafsu itu akan hilang tetapi kita kena usaha dan yakin Allah SWT akan membantu kita.
Walaupun aku tidak mampu untuk menyintai isteri aku sendiri tetapi aku tetap menyayanginya, menunaikan tanggungjawab aku yang sepatutnya.
Banyak hikmah melalui perkahwinan ini contohnya kita tidak sunyi, kesunyian adalah pembunuh senyap yang membawa kita ke lembah maksiat, syaitan-syaitan akan membisikkan itu dan ini.
Dan apabila kita mempunyai anak-anak, itulah bahagian yang paling seronok. Sedar tidak sedar, serba sedikit kita boleh melupakan naluri dan nafsu yang membelenggu kita. Sudah pasti ia tidak sembuh secara total tetapi sedikit sebanyak ia akan membantu kita InshaAllah.
3) P0rn0grafi dan 0nan1.
Ya, aku juga diuji dengan perkara ini dan ia sangat menyakitkan. Sebagaimana kita baca luahan ramai orang tentang p0rn0grafi dan 0nan1, aku juga tidak terlepas daripada melakukan perkara yang sama.
Sedari aku dari kecil rasanya, nafsu yang membuak-buak untuk melihat dan mencuba terutamanya apabila memasuki peringkat remaja.
Pelbagai janji telah aku taburkan kepada Allah SWT tetapi esok lusa aku tewas lagi dan lagi.
Alhamdulillah, apabila menginjak dewasa aku sedar banyak kesan buruk akan semua ini walaupun aku tidak mampu menjauhinya secara total tetapi aku tetap mencuba.
P0rn0grafi merosakkan jiwa dan ibadat kita, zina mata yang paling hebat manakala 0nan1 merosakkan tubuh badan, alat sulit akan mudah sensitif dan apabila anda berkahwin ia bukanlah sesuatu yang bagus dalam perhubungan suami isteri.
Apabila aku sudah berkahwin, 0nan1 sudah berjaya aku jauhkan, aku sudah berjaya meninggalkannya tetapi p0rn0grafi kekadang itu aku tewas juga tetapi aku tetap mencuba.
Dahulu sebelum aku berkahwin, aku kerapkali bernazar kalau aku tengok itu dan ini, aku kena berpuasa 3 hari tetapi aku tetap tewas, terpaksalah aku menunaikan nazar-nazar tersebut.
Nak dijadikan cerita, aku benar-benar nak keluar dari masalah ini maka aku pun mengubah nazar tersebut kepada yang lebih kuat contohnya,
Ya Allah, aku bernazar akan sedekah RM300 dalam tempoh 24 jam jika aku menonton video dan gambar lucah di twitter, tumblr, blogspot,
Ya aku bernazar dengan lebih jelas dan mengenakan denda yang tinggi supaya aku takut untuk melakukanya.
Alhamdulillah, aku berjaya dan acapkali syaitan menggoda aku untuk masuk ke twitter contohnya, aku segera teringatkan nazar dan wang yang perlu aku keluarkan. Ya, nazar ini seolah olah memagarkan diri kita untuk tidak melakukan dosa dan maksiat.
Apabila kita bernazar kerana Allah SWT dan berniat untuk membaiki diri InshAllah Allah SWT akan bantu dan tolong kita. Apa yang penting kita kena cari cara dan berusaha untuk keluar dari masalah ini. Tewas itu biasa dan niat serta usaha kita itu moga-moga dilihat oleh Allah SWT.
Panjang sudah coleteh dan luahan aku disini. Jadi, aku memilih untuk mengundur diri terlebih dahulu. Niat aku berkongsi dengan mereka yang senasib dengan diriku dan moga-moga ia bermanfaat kepada kawan-kawan.
InshaAllah, jika luahan ini mendapat respon yang positif aku akan sambung lagi ke bahagian seterusnya. Terima kasih semua.
Salam Sayang,
– Shahrel (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit