Assalamualaikum. Cerita yang aku tuliskan adalah pengalaman diriku sendiri berhadapan dengan orang yang sejenis t*xic positivity.
Aku Yah. 6 tahun sudah berkelana di sini di utara tanah air. Kami sekeluarga berpindah di negeri yang asing tanpa mengenali siapa-siapa, tanpa kawan tanpa saudara.
Suamiku berhenti kerja kerana menjaga anak ku yang hiperaktif dan autism. Kami ke negeri ini kerana peluang pekerjaan yang datang hanya sekali seumur hidup, sementelah ini adalah cita-citaku sejak kecil.
Aku bekerja dengan niat memberikan yang terbaik untuk keluarga. Ingin menghantar anakku ke terapi yang bagus juga memberi bonus buat suami kerana sudi menjaganya dan membantu kami. Tidak dilupa berkongsi rezeki ini kepada ibu bapa yang jauh dimata dan adik beradik yang susah.
Aku tidak pernah bercakap buruk pasal orang, sukar didekati dan banyak menyendiri. Aku lebih selesa berada dibilikku sendiri kerana aku sangat berhati-hati dengan politik pejabat yang kejam. Tidak aku ketahui, bahawa ada juga yang menyimpan dendam.
Mula-mula aku perasan, apabila ada apa-apa bengkel dan aku memberikan idea, satu kumpulan semua buat tak dengar mengenai idea aku. Terus saja berpindah memperkata idea baru tanpa endah kehadiran aku disitu.
Bagaimana orang yang berjawatan tinggi, semuanya gred 52 keatas tidak professional dan ada double standard ketika bekerja. Aku menjadi reserved dan respon apabila perlu sahaja. Aku kecewa, namun kubiarkan sahaja.
Kemudian, dalam group WhatsApp kami satu jabatan dijemput untuk menghadiri rumah terbuka. Aku sangat teruja, maklumlah beraya diperantauan, saudara mara pun tidak ada. Pada hari kejadian, senyap sunyi dan suami bertanya jadi atau tidak..
Bila senyap sunyi di dalam Group, makanya aku anggap tidak jadi. Hendak bertanya, takut tuan rumah segan atau terjadi apa-apa yang membuatkan majlis batal. 2 tahun selepas itu, baru aku tahu cerita. rupa-rupanya, majlis tersebut terjadi dan aku memang sengaja dipinggirkan.
Aku mengharungi hidup seperti biasa. Dengan anakku yang tidak tidur malam dan keesokan hari waktu bekerja aku jadi gila. Kami hampir bercerai berai kerana menjaganya tidak mudah dan memerlukan banyak kesabaran.
Suatu hari, aku mendapat tahu bahawa ada tangan-tangan ghaib yang menalifon ke tempat kerja lamaku.
Tempat kerja lama juga ada memberi surat layang kepada tempat kerja baharu. Aku buat tak endah kerana benda di buat secara tidak matang melalui jalan belakang.
Aku juga diberitakan bahawa ada tangan-tangan ghaib yang mendesak ketua jabatan untuk membuang aku dari kerja. Runtuh, hancur hatiku.
Apa salah aku? Semuanya aku tidak ketahui. Antara salah yang diberitakan adalah kerana aku bersikap kurang ajar. Bila dan dimana?
Rupanya staff lama mengadu dan mengkhabarkan kepada satu jabatan aku bersikap kurang ajar kerana keluar dari sesi kuliahnya. Aku dijemput oleh kawan atas kawan, bukan melalui jemputan direct.
Kebetulan pada masa tersebut, dia tidak bercakap dan hanya pelajar yang membentang. Jadi pada aku tiada salahnya aku keluar kerana budaya di swasta, kami menjemput sesiapa sahaja masuk untuk mendengar pembentangan orang lain, dan boleh keluar bila-bila masa.
Sesi pembentangan pelajar memang dibuat santai, sama seperti sesi yang berlaku pada waktu kejadian. Pelajar tidaklah berkot dan bersiap seperti ingin membentang. Jadi aku keluar kerana ada banyak kerja penting yang perlu aku selesaikan.
Dalam satu kejadian lain, ada juga tangan-tangan ghaib ini menalifon suamiku dan bertanya perihal diriku.
Suamiku orang kampung dan tidak pernah sepanjang hidupnya, seseorang yang berjawatan tinggi menanyakan sesuatu mengenai isterinya. Tangan ghaib ini memaksa suami aku merahsiakan panggilan tersebut dariku.
Suami ku terpempan, tetapi tetap berkongsi. Dia sangat sakit hati, sedih diri.
Suatu hari aku dipanggil oleh ketua bahagian. Untuk memberi intervensi kononnya kerana ramai orang tidak puas hati dengan aku. Semuanya atas sebab-sebab rekaan, wasangka dan andaian. Aku dipakaikan satu alat menguji heart rate. Ada indicator merah, biru dan hijau.
Dalam sesi pertama, ianya menunjukkan merah. Katanya aku jauh dengan Tuhan, hati ku tidak bersih. Kemudian diajar selawat, bertenang diri dan indicator menunjukkan warna biru.
Katanya hati aku hampir pulih. Bagaimana sebuah alat boleh mengukur hitam dan bersihnya hati? Wallahualam..
Pulang, aku pulang dalam keadaan yang sangat pilu. Sewaktu memandu, aku berhenti ditepi jalan dan menangis meraung. Apa salahku. Apa dosaku. Aku tak kacau orang, berbual, bercakap pun tidak.
Kenapa silamku dikorek, suamiku diganggu, periuk nasiku diugut. Dahla di daerah ini, anakku tidak diterima ke sekolah kerana dia tidak mampu bersosial.
Ditambah dengan bencana di tempat kerja, aku rasakan gelap. Kenapa aku yang disuruh positif tetapi bukan orang yang mengada-adakan cerita disuruh untuk berubah?
Kenapa aku yang perlu diintervensi bukan orang yang jahat perlu di intervensi? Kenapa aku yang terkena fitnah dan aku juga yang perlu berubah?
Aku pernah terlepas bahawa aku sangat penat menjaga anakku. Dengan jegilan, ketua bahagian mengulang ayat ‘penat??’ . aku dikatakan tidak bersyukur. Aku dinasihatkan betapa manisnya menjaga waktu anak-anak kecil.
Ada juga aku terdengar, apabila pelajar ingin membunuh diri, apabila ada antara manusia-manusia diluar sana yang tertekan, ketua bahagian ini akan berkata ‘ orang yang banyak masalah, hati dia tak bersih’..
Adakah itu sebabnya aku di intervensi dulu? Adakah dengan mendengar fitnah-fitnah dari orang lain cukup mendefinisi dan menaksir orang lain? Masyarakat kita tenat. Yang jahat yang akan menang. Yang difitnah yang perlu berubah.
Peristiwa tersebut telah lama berlaku. Aku masih setia disitu. Aku tidak peduli apapun, yang penting kerja aku berjalan, KPI aku penuhi. Aku trauma berbicara dengan manusia yang tuli mendengar masalah orang lain.
Manusia yang mempunyai masalah pula yang dijudikan dalam pengadilan. Aku banyak membaca doa orang teraniya. Dari tangan-tangan ghaib sehingga ketua bahagian semua dah mendapat balasan.
Allah sebaik-baik perancang.
Nukilan,
– Yah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit