Untuk part I, (https://iiumc.com/wanita-sayangilah-diri/).
Pada asalnya, saya tidak berniat untuk menyambung penulisan saya.
Namun, setelah saya membaca komen ada dikalangan pembaca yang hendak tahu bagaimana suami boleh berhenti menagih dad*h. Maka saya sambung cerita agar dapat menjadi sumber inspirasi kepada wanita lain.
Saya akui, bukan mudah untuk hidup bersama seorang penagih dad*h. Setelah berkahwin baru tahu, dengan usia saya yang masih terlalu muda ketika itu.
Saya teruskan sahaja kehidupan bersamanya kerana walaupun dia penagih dad*h, dia bukan seorang yang mendera fizikal saya.
Hanya sedikit gangguan mental dan emosi sahaja. Ini kerana lehidupan saya sejak kecil sehinggalah saya remaja saya sudah biasa dengan penagih dad*h.
Jiran saya penagih dad*h, abang saya juga penagih dad*h. Apabila dapat suami penagih dad*h, saya sudah lali.
Suami saya sebenarnya seorang yang profesional. Dia seorang yang berpelajaran tinggi. Dia memiliki digree. Sewaktu perkenalan kami, dia adalah majikan di tempat saya bekerja.
Setelah keputusan SPM keluar dan saya tidak dapat sambung belajar atas faktor kewangan dan kemiskinan.
Maka saya bekerja, di tempat kerja itulah bermulanya perkenalan kami. Tidak mengambil masa yang lama selepas itu kami menikah.
Selepas menikah baru tahu bahawa suami sebenarnya penguna dad*h. Dia mengguna dad*h sejak di alam universiti lagi. Zaman itu tahun 1980 an, r*kok, alkoh*l dan her*in itulah dad*h yang popular.
Dipendekkan cerita selepas setahun kami menikah, kami dikurniakan seorang anak. Semasa anak berusia tiga bulan suami saya telah kehilangan kakinya.
Kakinya hilang akibat menyuntik dad*h di saraf celah peha (urat besar dibahagian kaki). Dia overdose, tapi tidak mati hanya kehilangan kaki sahaja.
Waktu itu, Doktor pakar telah mengesahkan bahawa dia pembawa kuman HIV. Tiada kata-kata yang dapat saya ungkapkan waktu itu. Anak masih terlalu kecil, saya pula seorang sahaja hidup bersamanya.
Hanya kepada ALLAH sahajalah tempat saya mengadu, bergantung harap dan berserah takdir hidup.
Selepas kakinya di potong dan dia disahkan menghidap HIV positif, itulah turning point dia berubah.
Dia sebenarnya hampir putus asa untuk hidup. Apabila dia kehilangan kakinya dan disahkan HIV positif, dia juga kehilangan pekerjaan waktu itu. Saya pula masih setia bersamanya bersama anak kami.
Melihat anak kami semakin membesar sihat dan comel. Disitu menjadi semangat kepada suami untuk meneruskan hidup dan berhenti dari menagih dad*h jenis heroin.
Saya dan anak diwajibkan menjalani ujian darah juga. Alhamdulillah saya dan anak negatif dan tidak menghidap HIV.
Selepas setahun suami OKU, dia mula mendapat pekerjaan semula. Selepas itulah saya mula sambung belajar dengan sokongan dari suami.
Rezeki kami di tahun ke–3 perkahwinan, saya disahkan mengandung anak ke dua. Waktu itu, memang saya takut. Takut sekiranya ujian darah saya positif HIV. Namun, kuasa ALLAH itu mengatasi segalanya.
Alhamdulillah ujian darah saya disahkan negatif HIV. Oleh kerana saya mengandung, suami pula HIV +ve. Maka setiap bulan saya wajib menjalani ujian darah.
Sungguh saya bersyukur, sehingga saya selamat bersalin anak ke dua, saya dan anak negatif HIV. Rutin kami menjalani ujian darah setiap 6 bulan sekali sehingga anak saya berusia dua tahun.
Manakala saya pula menjalani ujian darah setiap 6 bulan sekali selagi ada hayat saya. Tapi saya menjalani ujian darah tersebut sehingga suami saya meninggal dunia sahaja.
Turning point suami saya berhenti menagih dad*h adalah asbab saya dan anak-anak. Saya tetap setia berada bersamanya meneruskan hidup.
Selama 26 tahun kami hidup bersama kisah dia menagih dad*h hanya dalam tempoh setahun sahaja. Selepas itu, cabaran hidup kami adalah dia sebagai seorang OKU dan juga penghidap HIV.
Oleh kerana suami adalah seorang yang berpendidikan tinggi (Digree Holder) maka disetiap langkah saya sambung belajar dari Diploma, Ijazah dan Master sememangnya mendapat sokongan dan bantuan penuh dari suami.
Dia juga banyak membantu menjaga anak-anak sepanjang saya belajar dan bekerja.
Sehinggalah ke akhir hayatnya, kami puas dengan kehidupan alam perkahwinan kami. Anak-anak juga menghormati ayahnya.
Anak-anak tahu ayahnya penghidap HIV sehingga akhir hayat. Anak-anak cukup matang dan dewasa waktu mengetahui ayahnya sakit.
Kini saya sambung belajar di peringkat Doktor Falsafah, saya sunyi. Suami saya sudah tiada. Anak-anak sudah ada kehidupan sendiri.
Saya masih bekerja, jadinya saya ambil keputusan sambung belajar untuk mengisi masa dan mencapai cita-cita saya untuk belajar hingga ke peringkat phd.
Sejak awal lagi perkenalan saya dengan suami saya sudah sebut perkara ini. Jika dia masih ada pasti dia juga bangga dengan keputusan saya sambung belajar ke pringkat phd.
Wanita, apabila kita sayang diri kita, InshaAllah apa jua ujian dan cabaran dalam hidup ini akan dapat kita hadapi.
Kita semua pasti akan mati. Selagi masih bernyawa, jangan putus asa. Teruskan melangkah teruslah bersemangat mengharungi hidup ini. Kita sayang diri kita, kita bersyukur dengan kehidupan anugerah ALLAH. Hidup ini memang tidak sentiasa indah.
Kita kena yakin, hidup ini juga tidak akan selamanya derita. Kita berhak untuk bahagia. Jangan bandingkan hidup kita dengan kebahagiaan hidup orang lain.
Kita tidak tahu apa yang orang lain hadap dan diuji dalam kehidupannya. Namun kita tahu setiap insan pasti ada ujian dan cabaran dalam kehidupan.
Bersyukur dengan setiap apa yang kita ada. Berusaha selagi mampu untuk bangkit meneruskan kehidupan. ALLAH maha melihat dan maha berkuasa.
Kebergantungan hidup kepada ALLAH sumber kekuatan dalaman. Setiap kali tersungkur jangan terus menerus meratap kesedihan.
Menangislah sepuashati, setelah itu…. keringkan airmata, bangun semula, kumpulkan semangat dan kekuatan diri….teruskan perjuangan hidup. Hidup ini adalah perjuangan. Dunia ini memang untuk diuji, diakhirat sana nanti sedia menanti.
Wanita, sayangilah dirimu. Kebahagiaan pasti akan dirasai.
– Che Haneem (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit