Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera semua. Tujuan aku menulis hanya nak meluahkan perasaan dan meminta pandangan dari pembaca semua.
Aku sering mengikuti ruangan ini dan aku rasa ingin juga meluahkan apa yang aku rasa. Terlalu berat untuk aku tanggung seorang.
Nama aku A. Aku bekerja sebagai Pengurus Jualan di sebuah syarikat di KL. Berumur 38 tahun pada tahun ini. Aku pernah berkahwin dengan X. Seorang wanita yang aku kenal ketika sama-sama belajar di sebuah universiti di Lembah Klang.
Kami bercerai pada hujung 2019 dan kami mempunyai 3 orang cahaya mata. Rumahtangga yang dibina selama 12 tahun, terhenti di tengah jalan. Aku anggap ini semua ketentuan dari-Nya.
Hujung tahun ni bakal genap 2 tahun kami berpisah. Aku menyewa di rumah lain manakala X masih tinggal di rumah yang kami beli sama-sama. Kereta aku masih X gunakan untuk kemudahan dia dan anak-anak.
Berkenaan rumah dan kereta, aku takde masalah. Aku tak pernah miss bayar nafkah untuk anak-anak, bayaran kereta dan juga rumah.
Untuk pengetahuan semua, dari hari pertama kami bercerai, aku tak pernah salahkan X walaupun dia yang meminta cerai.
Aku bukan manusia sempurna, banyak kekurangan terutama bab agama. Aku akui semua tu. X adalah anak seorang imam dan pengetahuan agamanya jauh lebih tinggi dari aku.
Pada mulanya, aku moved on dengan perceraian aku. Walaupun bercerai, aku masih dapat berjumpa dengan anak-anak dan meluangkan masa dengan mereka.
Antara hikmah perceraian ini, aku lebih rapat dengan anak-anak dan aku lebih rapat dengan Allah SWT. Aku sekarang solat di awal waktu, tidak pernah meninggalkan solat fardhu, membaca Al-Quran di pejabat dan rumah serta bangun solat di malam hari. Alhamdulillah.
Aku masih sayangkan X. Aku sentiasa memujuk rayu X untuk kembali bersama aku. Dia hanya meminta aku untuk memberikan aku masa dan suruh aku tunggu dia. Dalam tak sedar, hampir 2 tahun aku menunggu.
Cerita sedih aku bermula di sini. Di penghujung perkahwinan kami, X aktif dalam satu apps menyanyi yang aku namakan S.
Setiap malam selepas makan malam, X akan naik ke bilik dan menyanyi, meninggalkan kami anak-beranak menonton tv. Kami dan jarang berbual dan beraktiviti dengan anak-anak.
X dah ada dunia dia sendiri. Aku pernah tegur X untuk kurangkan menyanyi dan sama-sama buat aktiviti dengan anak-anak.
Ada masanya dia akur, tapi kebanyakan masa dia tetap menyanyi. Aku tak pernah tanya dia apa-apa psl apps S apatah lagi nak stalk akaun X dalam apps S.
Dan kemudiannya kami bercerai. Dalam tempoh rujuk, aku sedaya upaya memujuk X untuk kembali bersama. Tapi aku hanya bertepuk sebelah tangan.
X mengatakan dia ingin bebas dan tidak lagi mahu dikongkong. Bermula dari situ, aku mula stalk akaun X dalam apps S. Aku perasan yang dia kerap join duet dengan seorang lelaki yang aku namakan T. Membaca komen-komen mereka, terlihat sangat bahagia.
Kebanyakan favourite lagu-lagu dalam akaun S adalah lagu-lagu duet S dan T.
Mereka mula berkenalan ketika X masih lagi isteri aku.
Sebulan dua aku stalk, aku mula confront X dan bertanya tentang T.
Pada mulanya X terkejut sebab dia tak sangka yang aku stalk dia di S. Banyak persoalan aku dia nafikan. Aku bertanya pada X adakah dia mempunyai hubungan istimewa dengan T. X menafikan. Dia tidak pernah mengaku apa-apa.
Pada satu hari aku membawa anak-anak tinggal dengan aku di hujung minggu. Aku melihat perubahan ketara pada anak-anak aku. Mereka tidak lagi ceria seperti biasa. Aku bertanya la kenapa semua masam mencuka. Tiada yang menjawab. Aku tidak memaksa mereka untuk bercerita.
Sehinggalah di malam hari ketika aku minta mereka untuk masuk ke bilik tidur masing-masing.
Tiba-tiba anak sulung aku yang bernama N berusia 10 tahun mendekati aku dalam keadaan mata yang berair. Aku hairan melihat dia menangis. Aku minta maaf kepadanya sekiranya ada apa-apa yang aku lakukan yang menyebabkan dia menangis.
Ini bukan sebab Papa, tapi Mama. Dia bersuara. Aku pujuk dia untuk bercerita. Dia bercerita yang Mama dah kurang beri perhatian pada kami. Mama banyak berkurung dalam bilik dan menyanyi. Dan Mama selalu tidur lewat sebab bercakap dalam telefon.
Mama hanya turun ke bawah untuk masak dan makan. Masa-masa lain Mama hanya terperap dalam bilik. N buat semua benda. Basuh baju, lipat baju, gosok baju sekolah N dan C (anak nombor dua, C, 8 tahun), mandikan dan uruskan M (anak bongsu aku berumur 3 tahun).
N basuh pinggan dan kemaskan dapur selepas Mama masak. Kalau kerja-kerja tu tak siap, Mama akan marah-marah N dan C. N penat la Papa… C pun penat.
Aku peluk dan aku tenangkan dia. Aku tahan diri aku dari menangis. Aku puji N dan C dengan mengatakan mereka anak yang baik, yang selalu bantu Mama uruskan hal rumah.
Aku beritahu yang Mama nak hilangkan penat seharian bekerja dengan menyanyi. N dan anak-anak aku yang lain semuanya nak duduk dengan aku selama-lamanya. Aku jadi serba salah.
Tak lama kemudian aku menghubungi X dan menceritakan apa yang diceritakan oleh N. X melenting dan memberitahu N sengaja berlebih-lebihan dalam bercerita. Apa yang N katakan, tak semuanya betul. Getus X. Akhirnya kami bergaduh besar dan aku mula hilang sabar dengan X.
Natijahnya, N dan C dirotan teruk oleh X. N tidak bercerita dengan aku tapi C beritahu yang dia dan N teruk dirotan Mama. Aku hanya mampu menangis dan memeluk mereka.
Sekali lagi aku menghubungi X dan minta untuk berjumpa. X setuju. Kami berjumpa di sebuah kawasan taman tasik berdekatan rumah aku.
Aku bertanya adakah X merotan N dan C dan dia mengaku. Aku mula berasa nak marah. Dia minta maaf kepada aku. Dia tahu dia salah dan X terus menangis dan membuatkan marah aku menjadi reda. Dan X mula bercerita….
Ya..X dan T bercinta. Dia mengaku mengenali T sebulan sebelum kami bercerai namun menafikan yang T adalah punca perceraian. Mereka mula menjadi rapat usai X habis iddahnya. Dan X juga mengaku yang dia sangat menyayangi T.
Yang menjadi masalah adalah T adalah suami orang, tua 5 tahun dari X dan mempunyai anak seramai 4 orang. T mempunyai rupa paras yang mampu mencairkan hati wanita dan mempunyai suara yang sedap, bila aku dengan suaranya di dalam apps S.
Dari situlah X mula jatuh cinta dan waktu itu T mengaku dia duda. Lama-kelamaan rahsia T yang telah berkahwin terbongkar dan diketahui X.
Namun X masih boleh menerima T walaupun dia telah menipu X. X sanggup untuk bermadu kerana kasih dan cintanya kepada T. Mereka sering keluar bersama ketika anak-anak bersama dengan aku di hujung minggu.
X bercerita lagi, dia pernah bertanya kepada T sampai bila mereka nak merahsiakan dari isteri T. T masih belum bersedia kerana dia masih belum stabil dari segi kewangan.
Dia minta X untuk menunggunya dan memberi masa lagi selama 1 ke 2 tahun untuk mereka berkahwin.
Tiba-tiba tangisan X semakin kuat. Dia mengakui yang dia banyak membuat kesilapan. Dia banyak abaikan anak-anak.
Dia lupa umurnya yang berusia 37 tahun dan status dia sebagai ibu kepada 3 orang anak. Dia hanyut dalam cinta apps S dan cinta T. Dia mengaku yang dia memberikan wang kepada T untuk syarikatnya yang bermasalah.
Jumlah keseluruhan wang yang T pinjam berjumlah RM15 ribu. X juga mengaku yang dia pernah menggadaikan rantai emas pemberianku sebagai hadiah ulangtahun perkahwinan kami yang ke 10.
Namun dia telah berjaya menebus kembali rantai itu. Aku terkejut dengan segala pengakuan X. Dan yang paling membuat aku terkejut adalah, X mengaku dia pernah berkali-kali berzina dengan T…!!
Badan aku rasa menggigil mendengar pengakuan X itu. Aku jadi lemah dan tak percaya dengan apa yang aku dengar.
Bagaimana X, anak seorang imam, seorang Muslimah yang sentiasa menjaga aurat dan batas pergaulan ketika menjadi isteri aku, seorang yang ada ilmu agama hasil didikan ibubapanya, tetapi terumus ke lembah zina.
Semua kerana CINTA dan JANJI MANIS seorang lelaki. X mengatakan dia telah bertaubat atas dosanya itu. Tetapi dia tetap tidak dapat melupakan T dan sangat-sangat berharap untuk T mengotakan janji untuk berkahwin dengannya.
Hancur luluh hati aku mendengar harapan X itu. Betapa agungnya cinta dia terhadap T. Sedang aku sentiasa berusaha untuk kembali bersama dia, namun dia mencintai yang lain.
Betapa aku saban hari bertanya khabar dan menzahirkan rasa cinta dan sayangku kepada dia, dia tetap mahu bersama T.
Aku mencintai X sepenuh hati dan dalam tempoh hampir 2 tahun ini, aku menolak cinta perempuan lain yang hadir dalam hidup aku, semata-mata mahu kembali kepada X sebagai sebuah keluarga.
Tetapi X begitu mudah cair sehingga merelakan tubuhnya dijamah lelaki lain dalam keadaan penuh noda dan maksiat.
X mengatakan dia tak dapat menerima aku kerana dia merasakan dirinya kotor dan maruahnya telah tercemar. Aku lelaki baik, tidak layak untuk perempuan kotor seperti dia. Itu tegasnya. Aku hanya mampu berdiam diri.
Seminggu berlalu, aku membawa hati yang hancur. Aku bercuti seminggu dan menginap di resort di Pantai Timur untuk menenangkan diri. Mujur pada waktu ini hanya PKPB dan kita dibenarkan merentas negeri.
Aku solat taubat, hajat dan istikharah dalam mencari panduan. Dalam tempoh ini, segala call dan whatsapp dari X aku tak jawab. Aku hanya menelefon anak-anak dengan telefon rumah untuk mengetahui perkembangan mereka.
Balik KL, aku menghubungi X. dia jawab panggilan aku. Ayat pertama aku adalah aku menyatakan yang aku mencintai dia sepenuh hati. Dan aku sanggup menerima apa jua keadaan dia, walau sekotor manapun dia, walaupun dalam ketidaksempurnaan dia, aku sanggup terima.
Aku juga banyak kekurangan dan aku mohon agar dia juga menerima kekurangan aku. Aku berjanji untuk lebih membahagiakan dia jika dia kembali menjadi isteri aku. Dalam istikharah aku, aku hanya nampak X.
Namun X berbelah bagi, antara setia dengan T dan sayang pada aku. T meminta X untuk menunggu dia. Menurut X, sayang T dan aku pada dia sama sahaja. Masing-masing berjanji itu ini.
Aku menyangkal dakwaan X ini sebab aku dan T sangat berbeza. Jika T kehilangan X, dia masih ada isteri dan anak-anak. Tapi jika aku kehilangan X, aku hanya ada anak-anak.
Aku menutup pintu hati aku pada perempuan lain, demi cintakan X.
Aku ingin bertanya pada semua…adakah wajar tindakan aku ini yang masih mencintai dan berharap pada X sedang hati dia masih setia pada T?
Apa yang perlu aku lakukan lagi?
Bantulah aku…aku buntu.
Kepada X,
abang terima sayang seadanyanya. Dosa sayang itu antara sayang dan Maha Pencipta. Bertaubatlah dan jangan ulangi membuat dosa.
Kembalilah kepada abang. Hilang sayang, separuh nyawa abang hilang…
Kembalilah sayang…
– A (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit