Perkongsian kisah benar, kini semakin hari rekod perceraian yang dilaporkan di Malaysia kadang-kadang di lihat seperti sudah biasa dengan keadaan sembunyikan perkahwinan atas kepentingan peribadi semata-mata.
Oleh itu samalah seperti kisah yang saya akan kongsikan.
Ini adalah suatu kisah yang pernah ditanya dan diluahkan kepada Saya dengan cara berjumpa di luar (private meeting).
Wanita atau si isteri ini sangat memerlukan bantuan (moral support) untuk meneruskan kehidupannya agar tidak sekali lagi tersalah langkah.
Jadi kisah ini berlaku dua tahun yang lalu yang mana si isteri tidak pernah pun bermimpi bahawa suami akan berkahwin secara rahsia tanpa pengetahuannya sebagai seorang isteri. Dia sangat kecewa setelah kebenaran diketahui terasa diri ditipu oleh suami tercinta.
Ceritanya bermula apabila suaminya dimasukkan ke hospital disebabkan berlaku serangan jantung di tempat kerja.
Semasa isteri tersebut khusyuk menangis, datang seorang wanita yang tidak pernah dikenali turut juga menangis di sebelah isteri tersebut.
Ketika itu isteri tersebut beranggapan bahawa mungkin suami atau saudara mara wanita itu juga sedang bertarung nyawa di bilik kecemasan.
Beberapa jam kemudian datang seorang pembantu perubatan memanggil ahli waris suaminya dengan menyebut nama “DAUD BIN HASHIM” (bukan nama sebenar).
Bermulalah kejutan! Apabila isteri tersebut hadir ke hadapan bersama dengan wanita yang sedang menangis bersebelahannya itu.
Pembantu Perubatan dengan pantas bertanya,
“Yang mana satu isteri atau saudara mara Encik Daud Ya? Sebab Doktor arahkan Saya memanggil isteri atau mana-mana waris Encik Daud masuk ke dalam bilik ini. Hanya seorang sahaja dibenarkan masuk.”
Wanita tersebut dengan pantas menjawab “Saya isterinya”. Tergamam isteri tersebut seketika apabila wanita yang sedang menangis tadi mengaku sebagai isteri kepada suaminya.
Sepantas kilat juga isteri tersebut juga berkata, “Saya isterinya. Saya dapat panggilan kecemasan tiga jam lepas. Mungkin Puan ini tersalah suami kot. Nama DAUD BIN HASHIM adalah suami Saya”.
Wanita itu berbalas kata, “DAUD BIN HASHIM suami saya. Kami sudah pun berkahwin tiga tahun lepas! Jadi macam mana pula awak boleh mengaku dia suami awak??”.
Tanpa berbalas kata, Pembantu Perubatan tersebut terus meminta kedua-duanya masuk ke bilik itu dengan melihat sendiri suami siapa yang berada di dalam bilik itu sebenarnya.
Dipendekkan cerita semasa isteri tersebut bersama wanita itu masuk ke bilik rawatan, terlihatlah Encik Daud sedang berehat sambil mendengar nasihat doktor pakar.
Alangkah terkejutnya muka suami itu apabila melihat isteri dan wanita tersebut hadir kaku dihadapanya!
Suasana bertukar sedih apabila suami dengan pantas meminta maaf kerana merahsiakan perkahwinan yang telah dibina sejak tiga tahun lalu bersama wanita tersebut. Mereka telah pun mempunyai seorang anak lelaki.
Perasaan isteri tersebut bertukar dari sedih menjadi mimpi ngeri. Perempuan mana tidak sakit hati apabila suami dengan tegarnya menikahi wanita lain tanpa pengetahuannya selama tiga tahun dan mempunyai seorang anak. Kantoi pula di hospital.
Kepada yang bersimpati terhadap nasib si isteri pertama, beliau sangat berterima kasih ketika ini kepada anda semua.
Kini dirinya telah pun diceraikan selepas wanita itu mengetahui bahawa Encik Daud mempuyai isteri lain selain dirinya. Setelah itu wanita tersebut meminta isteri pertama tidak lagi menganggu suaminya.
Oleh disebabkan konflik yang berpanjangan sehingga telah memberi kesan negatif kepada mental dan fizikal, maka isteri tersebut redha apabila suaminya memilih untuk hidup bersama dengan isteri kedua berbanding dirinya.
Daripada dibohongi hidup-hidup lagi, biarlah isteri pertama ini memberi ruang kepada mereka agar suami itu bertaubat serta hendaklah membuang sikap berbohong “sunat” kononnya itu demi kepentingan peribadi.
Kesimpulan yang Saya dapat dari kisah ini ialah bernikah secara sembunyi sebenarnya lebih parah kesannya berbanding mengikuti dengan cara yang betul setiap prosedur pernikahan poligami yang telah pun ditetapkan di Malaysia. – Waallahhu’alam
– Amalina Adam (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit