Cukup Hanya Hamba Allah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Aku Min berumur 20-an. Terima kasih admin kerana siarkan penulisan aku.

Aku menulis sekadar nak berkongsi apa yang aku rasa dan sedang ganggu perasaan dan fikiran aku pagi ini tepat pukul 2.45 pagi 16 Julai 2021.

Dah hampir 2 tahun dah Covid-19 melanda negara ini dan semoga ALLAH merahmati kita semua dengan memberikan kebebasan dari wabak ini.

PKP, PKPB dan PKPD berulang-ulang dalam masa 2 tahun ini. Ramai yang dapat kesan negatif dari wabak ini. Terutamanya kehilangan rezeki, kehilangan ahli keluarga atau insan yang disayangi dan tak kurang yang dah lama tak dapat jumpa ahli keluarga yang jauh.

Semoga ALLAH merahmati kita dalam menghadapi semua ujian ini.

Selama ini dunia aku tertumpu pada kerja aku yang sangat sibuk. Kini dah hampir setahun dah aku WFH dan banyak perkara yang berlaku sampai aku berubah.

Aku yakin yang aku tak layak untuk jadi manusia. Buat aku fikir yang darjat manusia terlalu tinggi untuk makhluk hina macam aku. 2 sebab utama aku jadi macam ini.

Aku jelaskan dahulu sebab yang pertama. Manusia-manusia yang aku mula fokus sejak aku ‘terlebih banyak masa’ lepas kena cuti tanpa gaji separuh bulan sejak Oktober 2020. Manusia-manusia kayangan aku banyak baca mengenai mereka dari media sosial seperti FB dan IG.

Sejak wabak Covid ni bermula melanda dan bagi kesan negatif pada kehidupan manusia ni nampak sangat jelas beza darjat manusia-manusia dalam negara ini.

Golongan-golongan yang ada harta dan kuasa salah guna harta dan kuasa mereka berbuat sesuka hati secara terang terangan.

Golongan diberi kuasa untuk mentadbir dan menghukum menyalahgunakan kuasa mereka untuk kepentingan diri sendiri. Aku rasa semua tahu tanpa perlu aku jelaskan satu persatu isu itu.

Walaupun perbuatan mereka tak beri kesan secara lansung pada aku tapi aku yakin sangat ramai diluar sana yang terkesan secara lansung akibat perbuatan mereka.

Manusia yang kurang atau tiada harta dan kuasa ditindas dan diperbodohkan secara terang-terangan dan tidak mampu berbuat apa-apa.

‘Kawan’ aku dapat balik kampung beraya tahun lepas dan tahun ni sebab ayah dia kenal seorang penguatkuasa yang berpangkat besar. Orang lain yang aku kenal pula tak diberikan kelulusan nak balik untuk ziarah orang tua yang tinggal seorang diri dan sedang sakit.

Ya aku setuju memang tak patut luluskan untuk elakkan terjangkit penyakit. Tapi kenapa ada manusia lain yang diberikan kebenaran semata-mata nak puaskan nafsu dia nak beraya? Siap tayang di media sosial lagi.

Sebab kedua pula adalah pengalaman ngeri aku hadap lepas hampir 6 bulan aku tinggal dengan seorang housemate yang pindah masuk rumah aku sejak bulan Januari 2021.

Aku gelarkan dia Si Kepit jela sebab dia perangai dia sebiji macam perangai Nurul Huda dalam cerita Rindu awak separuh nyawa yang popular hari tu.

Apa yang dia buat kat aku pun samalah dengan apa yang Si Kepit dalam drama tu buat kat Kasih Maisarah. Beza dia aku tak kahwin lagi dengan lelaki tu yang aku gelar Naz.

Aku dengan Naz dah 3 tahun dalam perhubungan dan rumah dia dekat saja dengan rumah aku.

Bila Kepit pindah masuk aku tersangatlah happy sebab ingatkan dapat housemate yang baik. Aku suka dengan personaliti muslimah dan lemah lembut dia tu.

Aku mengaku aku bodoh sebab aku jadi terlalu percaya dengan personaliti yang dia tunjuk pada aku sampai aku cerita semua perkara pasal keluarga, kawan, bf dan kerja.

Pendek kata dengan mak aku dan kawan baik aku sendiri pun aku tak pernah berkongsi sebanyak tu. Mungkin sebab aku terperap dalam rumah dan tak banyak cakap seharian. Bila dapat bercakap dengan Si Kepit memang ringanlah mulut aku.

Aku tak nak cerita details pasal dia dengan Naz sebab sakit tu masih terasa sampai sekarang. Bulan ke-3 Si Kepit tinggal dengan aku, perangai Kepit mula berubah menjadi sangat toxic dengan aku.

Tapi aku masih husnuzon dan layan dia dengan baik. Sampailah satu hari aku ternampak Naz pandu kereta Si Kepit dan Si Kepit ada kat sebelah.

Aku pun mulakan siasatan sebab aku takut salah nampak. Ternyata aku tak silap dan aku pernah nampak lagi 3 kali mereka naik kereta bersama. Aku cuba sabar dulu sebelum serang minta penjelasan.

Niat nak buat bukti dulu snap gambar ke apa tapi tak sempat sebab aku hilang sabar bila Si Kepit selamba saja call kawan dia depan aku siap cakap – “dia cakap orang lawa pakai color ungu”. Banyak kali dia ulang ya.

Macam sengaja nak sakitkan hati aku. Semalam yang aku nampak mereka dalam kereta tu memang dia pakai warna ungu. Aku terus mengigil sebab terlalu marah. Aku tak serang pun dia aku terus masuk bilik dan tenangkan diri aku.

Lepas dah tenang dan boleh taip aku terus mesej Kepit suruh dia keluar rumah hujung bulan cari bilik lain. Aku tak pernah pun bagitau dia pasal aku nampak dua orang tu naik kereta sama.

Mungkin ramai fikir mungkin ada urusan lain ke atau ada kaitan dengan aku. Aku dah penat nak soal jawab ke apa.

Sebenarnya banyak benda yang Si Kepit tu hint aku pasal penyondolan dia sebelum aku nampak depan mata aku sendiri. Dia selalu call seseorang dan macam cakap pasal aku dan sebut nama aku.

Aku syak dia selalu burukkan dan fitnah aku kat Naz. Perangai Si Kepit yang acah-acah paling pandai, sempurna dan hebat tu pun aku yakin dia takkan mengaku dan aku memang tiada bukti. Cukuplah aku dah keluarkan dia dari hidup aku.

Hubungan aku dengan Naz sekarang macam biasa saja tapi aku dah tawar hati dengan dia. Lagipun aku memang jarang jumpa dia dalam tempoh PKP dan aku nak tengok sejauh mana dia boleh pergi.

Aku yakin dia dengan Kepit dah tak berhubung sebab Kepit update status-status “broken” dan meroyan.

Entahlah, aku dah tak kisah pun. Lagipun aku dah buat keputusan nak pindah tinggal dengan keluarga aku InsyaAllah tahun depan kalau ada rezeki. Biarlah nanti bincang putus dengan cara baik.

Sekarang aku tinggal seorang sebab aku trauma nak tinggal dengan orang luar dah. Bunyi dia hentak-hentak pintu selama sebulan lepas aku suruh dia keluar masih terngiang-ngiang sampai sekarang.

Jangan cakap aku lemah dan lembik sebab aku tegas dan ganas jugak orangnya ikut situasi. Tapi jujur aku dah penat nak layan orang macam tu.

Semua benda yang berlaku dalam hidup aku dan sekitar aku sekarang buat aku fikir betapa mudah penganiayaan dan penindasan tu oleh berlaku. Aku hidup cara simple saja.

Tak banyak drama pun sebelum ni. Aku layan Si Kepit tu lagi baik dari aku layan adik beradik aku semudah tu saja dia aniaya dan tikam belakang aku. Manusia yang kaya dan berkuasa pula semudah tu secara terangan memperb0dohkan yang tak kaya dan tak berkuasa.

Bila aku nilai diri aku dengan semua manusia lain dia sekitar aku, aku rasa aku manusia paling hina antara semua manusia-manusia lain.

Aku rasa macam aku tak layak pun untuk bergelar seorang manusia. Aku takda apa-apa darjat pun untuk menjadi makhluk Allah yang bergelar manusia.

Setahun ni sangat mematangkan aku dan aku buat keputusan aku tak nak title manusia khalifah bumi ni walaupun ya aku seorang manusia. Aku rasa lebih mudah hidup aku dengan hanya tukar jadi title hanya hamba semata-mata.

Hidupku untuk bukan lagi untuk membina hidup macam manusia tapi untuk membina mati aku. Matlamat aku sekarang aku nak capai kematian dengan cemerlang. Aku bukan manusia tetapi aku hamba Allah semata-mata dan hidupku untuk matiku.

Sekian,

– Min (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *