Assalamualaikum. Apa khabar? Pada zaman pandemik ni ramai yang berhadapan dengan pelbagai ujian berat. Saya ingin ceritakan ujian saya. Tidak berat seperti orang lain tetapi ujian ini semakin merosakkan jiwa saya.
Nama samaran saya Aniza dan saya berumur hampir 50 tahun. Sepatutnya pada usia begini, saya telah lama rapat dengan Pencipta saya.
Saya mempunyai beberapa anak dan kesemua mereka telah berusia 20an. Ini kisah tentang kegagalan saya mendidik mereka.
Saya membesarkan mereka melalui pengalaman saya dibesarkan ibubapa saya, perkongsian rakan-rakan, sedikit ilmu dari pembacaan dan ceramah-ceramah. Saya kutip dan tapis semampu saya untuk mendidik anak-anak supaya kelak akhlak mereka lebih baik daripada saya.
Saya beri mereka nama yang baik, panggil dengan panggilan manja, ajar solat, mengaji dan berpuasa ketika sampai umur perlu.
Saya mulakan pendidikan formal di tadika swasta yang melebihkan pendekatan islam sejak usia 5 tahun yang saya fikir terbaik di tempat tinggal saya.
Saya seorang yang kuat berusaha dan bersemangat sejak kanak-kanak. Saya agak baik dalam pelajaran dan kerjaya. Tapi saya gagal dalam perkahwinan. Tak mengapalah hal itu, tak menjadi luka yang lama dalam hidup saya.
Sebagai pencari nafkah tunggal keluarga sejak mula mempunyai anak, saya gagal mempunyai masa yang banyak dengan anak-anak. Tetapi saya pasti akan bercuti sehari setiap kali mereka exam akhir tahun.
Saya akan bercuti 3 hingga 5 hari setiap kali mereka exam besar. Saya jarang gagal berjumpa guru setiap kali pelaporan sekolah atau mesyuarat pibg. Saya pasti membawa anak-anak bercuti jalan-jalan bersama setiap kali cuti penggal.
Kehidupan saya masa tu sibuk dan sukar tapi saya bahagia dan bersemangat. Saya berusaha cukupkan keperluan material juga supaya mereka tak rasa kurang kerana tiada ayah.
Ketika mereka remaja, saya mula mendapat ujian yang sangat dahsyat yang saya tak pernah terfikirkan. Saya dipanggil ke sekolah kerana masalah anak-anak. Ada yang keluar asrama, merokok, ponteng sekolah, mencuri. Bertimpa-timpa selama beberapa tahun.
Saya juga membesar di asrama dan saya sangat syukuri pengalaman yang banyak mengubah baik hidup saya. Saya pikir nanti anak-anak remaja saya akan lebih matang dan berusaha untuk hidup mereka.
Tahun berganti tahun, mereka telah dewasa tetapi keadaan semakin buruk. Ada yang mencuri sampai jadi kes polis, ada yang di tahan exam ipt.
Ada yang solat masih perlu saya tanya. Ada yang sudah tidak mengaji. Ada yang obses dengan games online. Ada yang membentak bila ditegur. Mereka kurang bertanggungjawab menguruskan barang-barang mereka sendiri.
Saya semakin pemarah dan tertekan dengan sikap mereka. Kami tak lagi bercuti bersama dan hubungan semakin menjauh. Ada pendidik, yang nasihatkan saya mungkin anak perlukan ayah.
Saya pun berusaha temukan dengan ayah mereka malah memberi pilihan kalau mereka ingin tinggal dengan ayah. Tapi mereka tak nak pula.
Masa pkp 1 tahun lepas, banyak saya baca kisah sedih keluarga terpisah. Anak-anak saya pula kesemuanya berada di rumah. Mengasing diri di bilik masing-masing dengan gadget samada belajar online, mengajar online atau main games sahaja dan tidur lewat pagi.
Siang kerap tidur sahaja tak dapat saya nak minta mereka kemaskan apa- apa yang telah mereka sepahkan apalagi nak minta tolong perkara-perkara lain.
Saya masih bekerja kerana bekerja di sektor perlu. Setiap pagi sebelum pergi kerja, saya memasak untuk pagi dan tengahari.
Balik kerja, memasak untuk makan malam pula. Menguruskan pakaian dan kebersihan. Perlu beratur panjang ketika membeli lauk pauk dan keperluan rumah.
Mengangkat pula barang-barang berat bersendirian. Saya sendiri takut dengan wabak covid 19 pada ketika itu tapi saya perlu cukupkan keperluan anak-anak.
Anak-anak pula dah la dengan pelbagai kisah menyiksakan hati saya, macam tak peduli pula kesusahan saya menguruskan pelbagai urusan rumah.
Sampai saya fikir elok juga kalau saya kena virus tu boleh la saya duduk bersendirian menguruskan hal diri saya di hospital pula atau saya meninggal dunia terus.
Dari pkp 1 sampai sekarang pkp 3, sudah lebih setahun sikap mereka tidak berubah. Akhirnya sejak beberapa bulan dulu, saya yang berubah.
Saya sudah diam, tidak lagi menegur mereka solat atau tidak. Siapa yang ingin berjaga malam bermain games atau tak bangun pagi, saya biarkan saja.
Pakaian yang letak dalam raga untuk dibasuh, saya masih basuh tetapi saya tak lagi marah jika kekal berlonggok tidak disimpan dalam almari. Pakaian kotor yang mereka sepahkan atas lantai, saya biarkan. Ada yang jadi rosak di situ.
Saya memasak jika ada mood. Tapi saya memasak juga, kasihan juga anak-anak tak makan. Padahal kesemuanya telah besar dan kesemua bahan masakan telah saya basuh dan simpan dalam peti sejuk. Senang saja kalau mereka mau memasak.
Saya tak lagi membersihkan rumah. Saya biarkan rumah bersepah. Tetapi dalam hati saya sangat tertekan melihat rumah yang sangat semak dan bersepah. Pinggan, mangkuk, cawan, sudu mereka tak basuh jadi tempat simpanan seperti kosong.
Saya sorok peralatan untuk kegunaan saya sendiri, kalau tak, mereka guna dan biarkan kotor dan bersepah lagi dan saya bertambah tertekan lagi.
Saya diam tak marah-marah tapi jiwa saya semakin sakit, Saya berhenti menangis. Dan teruk daripada tu, saya berhenti berdoa untuk anak-anak.
Saya tau berputus asa perkara keji. Tapi saya sungguh-sungguh lelah. Tubuh badan, hati dan jiwa saya jadi lemah. Semangat semua telah hilang.
Saya gagal didik akhlak anak-anak saya. Anak-anak saya agak baik dalam pelajaran mereka walaupun mempunyai masalah disiplin.
Kebanyakan mereka ada jawatan utama di sekolah dan ada yang aktif mewakili sekolah ada yang mewakili zon dan kesemuanya dapat masuk ipta.
Cuma ada yang tidak menghabiskan pengajian. Ada juga yang berjaya menghafaz 30 juzuk al quran. Dan ada yang baik terhadap saya.
Saya gagal tangani ujian hidup saya tentang perkara yang sangat saya utamakan dalam hidup saya selama ini iaitu anak-anak saya.
Sepertinya ujian ini, merenggut habis segala perkara positif dan baik yang pernah saya jadi dulu. Saya seperti melatih diri saya menjadi seperti mereka.Saya berusaha keraskan hati dan padam belas kasihan terhadap mereka. Saya biarkan rumah bersepah tak terurus.
Saya juga mengadap gadget seperti mereka, cuma saya tak boleh suka main games. Saya rasa diri saya mungkin sebenarnya tidak lagi berguna. Yang tinggal sekarang ialah rasa ingin lari daripada rumah yang bersepah dan penghuninya yang membenci saya.
– Aniza (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit