Apakah Pengakhirannya?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pertama sekali, aku ingin berterima kasih jika luahan ini ditayangkan. Nama aku Cinta, seorang perempuan dan berumur 23 tahun.

Ini adalah luahan aku yang pertama di platform ni. Jadi, aku minta maaf awal-awal kalau luahan aku ini agak panjang dan membosankan.

Luahan ini ditulis bertujuan untuk meluahkan apa yang sudah terbuku sejak sekian lama dan semestinya untuk mendapatkan kata-kata semangat, pendapat, nasihat dan teguran dari pembaca-pembaca yang lebih arif dan matang.

Tak kisah dari sudut pandang agama, psikologi atau sebagainya yang berkaitan. Tapi kalau boleh, biarlah teguran atau nasihat yang diberikan itu secara lemah lembut ya.

Aku tidak tahu dari mana patut aku mulakan luahan ini. Hati dan akal fikiran aku mula tertekan bila kejadian kehilangan pakaian milik aku sendiri di rumah yang aku diami sekarang ni makin menjadi-jadi. Mesti ada yang pelik dan rasa macam ini bukan masalah yang besar.

“Eleh, hilang baju saja pon, kenapa sampai nak hantar luahan?”. Sebenarnya banyak kali juga aku batalkan hasrat aku untuk hantar luahan ini, tapi aku rasa aku sudah tidak tahan dengan drama kehilangan pakaian ni.

Sebab itu aku tabahkan juga hati ini untuk hantar luahan ini walupun berkemungkinan untuk mendapat kecaman daripada pembaca kerana masalah yang tidak terlalu besar ini. Aku akan cuba untuk menerima dengan hati yang terbuka.

Macam yang aku tulis di atas, drama kehilangan pakaian aku ini berlaku di rumah yang aku dan keluarga aku diami sekarang. Rumah ini bukan rumah orang tua aku, tapi ini rumah atuk dan nenek aku.

Asalnya, rumah ini didiami oleh atuk dan nenek aku, dan keluarga pakcik aku bersama isteri dan 2 orang anak lelakinya. Aku dan keluarga aku mula menetap di sini hujung tahun 2013 selepas ibu aku berhenti kerja kerana masalah kesihatannya.

Kalau dikira-kira, tahun 2021 ni sudah masuk 8 tahun lebih kami ‘menumpang berteduh’ di rumah ini. Ya, bagi kami sekeluarga, kami hanya menumpang memandangkan rumah ini sudah diwasiatkan kepada pakcik aku dan adik perempuannya.

Ibu aku ada saja rumah sendiri bersebelahan dengan rumah yang kami diami sekarang ni, sudah 6 tahun rumah tu siap. Tapi, kenapa kami tidak pindah?

Aku nak sangat-sangat pindah keluar dari rumah ni, tapi sekarang bukanlah masa yang sesuai, sebab nenek aku masih perlu diuruskan oleh ibu dan aku memandangkan nenek hanya mampu terlantar di atas katil.

Dalam rumah ni, hanya aku dan ibu sahaja yang tau menguruskan nenek. Kalau nak bawa nenek tinggal bersama kami di rumah baru, itu hanya akan menyusahkan nenek sahaja sebab rumah tu perlu menaiki tangga.

Jadi kami batalkan dulu hasrat untuk berpindah tu sampailah nenek betul-betul sembuh, in shaa Allah.

Aku tiada garis masa yang spesifik bila kejadian ini berlaku, tapi apa yang aku boleh katakan, sebelum aku pindah masuk ke rumah ini lagi, pakaian aku pernah hilang.

Aku perasan kehilangan ni bila aku ingin memakai baju kurung yang makcik aku berikan pada aku di pagi raya aidiladha tahun 2008 atau 2009 macam tu.

Baju itu makcik aku bagi masa raya aidilfitri sebelumnya, dan aku simpankan dalam almari nenek aku yang ada di ruang antara ruang tamu dan dapur dengan niat untuk pakai baju kurung tu masa raya aidiladha nanti.

Sebab aku ni jenis yang ‘pemalas’, malas nak pack baju banyak-banyak bawa balik kampung, berat beg. Hehehe.

Jadi aku tinggalkan baju tu dalam almari nenek. Masa aku simpan tu, aku cakap kuat-kuat yang baju tu aku yang punya. Jangan amik.

Tapi, bila malam raya tu aku nak siap-siapkan baju untuk digosok, aku cari baju kurung yang makcik aku bagi hari tu takda wei dalam almari tu. Memang masa tu aku frust sangat-sangat. Dahlah baju tu cantik.

Baru ingat nak melaram pagi raya, tau-tau hilang, tak sempat pakai. Memang aku tak sempat pakai, sekalipun tak sempat. Menangis aku malam tu. Tanya semua orang dalam rumah tu, semua cakap tak nampak dan tak tau.

Pagi raya tu, memang aku pakai baju tshirt jela, sebab baju kurung memang tak bawa balik kampung sepasang pon dengan harapan dapat pakai baju cantik tu. Sob sob.

Lepastu, 2 atau 3 tahun kemudian, baju kurung tu dijumpai balik, tapi dah jadi hak orang lain tanpa pengetahuan aku. Aku nampak baju tu disangkut di ampaian tingkat 2, baru lepas dibasuh bersama-sama dengan beberapa pasang baju kurung yang lain.

Oh ya, rumah atuk aku ni 2 tingkat, dekat bawah ada 3 bilik dan dekat atas ada 5 bilik dan 1 bilik stor. Lepastu, baju kurung yang cantik tu dipakai oleh isteri pakcik aku yang duduk sekali dalam rumah tu.

Kain baju kurung tu sudah di ubah untuk menjadi sehelai baju. Dia pakai baju tu macam takda rasa bersalah pon.

Mungkin dia ingat aku lupa. Tapi aku tak lupa. Aku sangat terkilan bila aku jumpa balik baju kurung tu dan dipakai oleh orang lain. Tapi masa tu, aku cuba biarkan saja sebab tak muat dah pon untuk aku pakai.

Aku kata dekat diri aku sendiri, ‘alah, takpe, baju tu pon dah kecilkan. Kalau ambil balik pon tak boleh nak pakai dah. Bagi jelah dia pakai.’ Tapi dalam dibiarkan saja tu, rasa sesuatu jugalah dalam hati ni setiap kali nampak dia pakai baju tu.

Aku tak pernah cakap depan-depan dengan isteri pakcik aku tu, yang itu baju aku. Sebab hubungan aku dengan dia tak berapa nak rapat. Lagipun, aku ni jenis yang tidak reti untuk meluahkan apa yang aku rasa.

Untuk pengetahuan para pembaca, bukan baju sahaja yang pernah hilang, pakaian-pakaian aku yang lain pun pernah juga hilang. Aku malu nak bagitau secara spesifik apa pakaian-pakaian lain yang pernah hilang tu, cuma hint yang aku boleh bagi adalah pakaian yang tersembunyi.

Jadi aku harap pembaca-pembaca fahamlah apa yang aku cuba maksudkan dengan pakaian-pakaian lain tu. Pakaian-pakaian lain tu selalunya akan hilang bila hari-hari aku tiada di rumah a.k.a waktu aku masuk asrama sebab masa tu bilik aku takda orang. Adik-adik aku akan tidur dekat bawah.

Jadi, bila aku di asrama, bilik tu akan kosong. Baju-baju dan pakaian-pakaian lain yang aku pakai masa di rumah sebelum balik ke asrama akan di basuh dalam mesin basuh sekali dengan pakaian keluarga pakcik aku (basuh saja sekali, jemur asing-asing) dan ibu aku akan letak atas katil dalam bilik aku lepas dah dilipat.

Baju-baju tu akan disimpan dalam almari bila aku balik dari asrama. Sejak dari itu, aku perasan yang pakaian-pakaian lain aku tu makin lama makin kurang. Sebelum ni pun pernah juga hilang, cuma aku tak perasan. Aku cuba tanya ibu, takut ibu ada terambil ke tapi ibu kata takda.

Lepastu, aku biarkan jelah sebab puas dah aku cari tak jumpa. Beberapa bulan dan beberapa tahun lepas tu, satu per satu pakaian-pakaian lain aku tu ‘keluar’, cantik saja duduk di jemur di ampaian di tingkat atas tapi tak semua. Korang boleh bayangkan tak apa yang aku rasa masa tu.

Kemain lama aku mencari sampai terpaksa beli yang baru, rupa-rupanya ada yang ambil simpan untuk guna pada kemudian hari.

Aku rasa jijik dan kotor sangat masa tu, sanggup dia pakai apa yang aku dah pakai. Kalau baju yang diambil dan dipakai semula, aku takdalah rasa ‘jijik’ dan kuranglah kesah sangat, tapi ini pakaian-pakaian lain yang aku pernah pakai.

Sedangkan sikat dan pengetip kuku pon aku tak kongsi dengan orang lain, inikan pula pakaian-pakaian lain. Masa satu per satu benda tu ‘keluar’, setiap kali itulah hati aku ni akan rasa membara. Rasa nak marah. Tapi aku tahan sebab aku fikir yang pelaku itu orang yang lebih tua dari aku.

Masa tu memang aku syak isteri pakcik aku sebab selain aku, ibu dan nenek, dia saja perempuan yang ada dalam rumah ni. Tapi aku diamkan aja sebab benda dah lepas, bukan aku boleh gunakan balik pun benda-benda tu. Aku tak ambil balik benda tu, sebab kalau aku ambil pon aku takkan pakai dah bekas orang.

Selama 4 tahun aku tinggal di asrama untuk sambung pengajian aku, selama itu jugalah kejadian ini berlaku dan aku terpaksa beli pakaian-pakaian lain yang baru setiap kali aku pulang ke rumah. Nak beli-beli ni agak membebankan aku, sebab duit pinjaman aku tu cukup-cukup makan saja untuk tanggung aku di asrama.

Nak minta dengan ibu, aku malu. Benda ni terus berlaku dan bertambah lebih buruk lepas hari raya aidilfitri PKP yang pertama. Masa ni aku dah mula basuh sendiri pakaian-pakaian lain aku tu dan jemur dalam bilik adik aku di bawah lepas kena tegur dengan ibu. Tapi takda apa yang berubah.

Masih hilang. Ibu aku punya pun hilang juga masa tu, tapi tak seteruk aku punya. Masa ni aku rasa macam memang besar-besaran dan secara terang kejadian ni berlaku. Suatu petang ni, dalam pukul 7 aku masuk bilik adik aku untuk siap-siap solat maghrib.

Tiba-tiba aku perasan yang pakaian-pakaian lain yang aku baru basuh tengahari tu dan jemur dalam bilik adik hilang. Aku cubalah nasib jenguk dekat ampaian tingkat atas yang selalu isteri pakcik aku tu jemur baju, kut-kutlah ada kat situ kan. Memang ada! Basah macam baru lepas di basuh.

Sepatutnya kalau dijemur waktu tengahari, akan kuranglah sikit basah tu, tapi ini memang basah betul. Aku geram sangat masa tu, aku ambil ja benda tu bawa turun bawah untuk jemur balik dalam bilik adik aku. Lepas jemur tu, aku pergi tandas sekejap. Balik dari tandas, aku tengok benda yang aku jemur balik tadi hilang balik.

Terus menangis aku dekat situ bila tengok benda tu hilang balik. Aku rasa macam nak menjerit, geram nak pergi serang isteri pakcik aku tu, tapi aku takda bukti dia yang ambil. Isteri pakcik aku ni jenis yang kuat berdalih dan keras kepala.

Pernah satu hari tu, aku ternampak pakaian-pakaian lain aku tu terjemur diampaian atas, mungkin termasuk dalam bakul pakaian dia masa asing-asingkan baju dari mesin basuh. Aku saja biarkan di dampai tu nak tengok samada dia akan bagi balik atau tidak. Sayangnya dia tak pulangkan balik.

Bila aku tanya ada terambil tak pakaian-pakaian lain aku, dia kata takda. Tapi, lepas beberapa jam, pakaian-pakaian lain tu terlatak elok atas almari luar bilik dia. Itu menandakan yang itu bukan dia punya. Tapi, aku tak ambil lagi sebab aku nak tengok berapa lama akan ada kat situ.

Kalau bukan dia punya, sampai kesudah dia takkan ambil. Tapi sehari lepas tu, takda dah benda tu. Adakah aku yang tak betul masa tu? Hahaha. Lepastu, ibu aku terjumpa baju-baju dan pakaian-pakaian lain aku bergumpal dalam laci almari di luar bilik pakcik aku.

Banyak. Sangat banyak. Benda yang selama ni aku cari tak jumpa, bila ditanya kata tak tau. Rupanya-rapanya cantik saja tersorok di situ. Masa tu memang tak payah cakaplah, memang bergenang mata aku ni sebab memang aku tak sangka sampai ke tahap ini akan jadi.

Banyak wei pakaian-pakaian lain aku yang ada dalam laci tu. Aku ambil semua tu dan aku bakar. Memang aku takkan pakai dah, was-was entah dah ada orang lain pakai ke apa ke.

Sejak raya PKP pertama hari tu, dia akan selalu datang dekat aku dan minta maaf bila raya. Setiap kali itu juga lah aku jadi terkilan dan berat hati nak maafkan bila benda ni terus berulang.

Sepanjang kejadian ni, memang aku syak isteri pakcik aku tu. Selama 8 tahun lebih ni jugalah aku makan hati dan kumpul dosa free sebab asyik fikir pasal kejadian ni.

Bagi aku, apa yang aku hadapi sekarang ni amatlah besar penangannya buat aku dan keluarga aku, terutama ibu aku. Pernah suatu ketika tu aku rasa tak tenteram sebab selalu pendam rasa sakit hati aku ni dekat isteri pakcik aku tu selama bertahun-tahun. Rasa tak berguna dan berdosa.

Sampai satu tahap aku tak boleh nak tengok muka dia, dengar suara dia dan bertentangan mata dengan dia. Bercakap bila perlu sahaja, itu pun sepatah sahaja yang aku balas.

Jujur aku cakap, kadang-kadang aku rasa kesian dekat isteri pakcik aku tu sebab dia nampak keseorangan sebab pakcik aku ni jenis yang kuat bekerja sampai takda masa nak bawa keluarga dia bersiar-siar.

Kalau diorang keluar pun, keluar untuk balik ke kampung isteri dia. Mungkin ada silap juga di pihak pakcik aku, memang aku tak nafikan. Bila muncul rasa kesian tu, aku cuba untuk maafkan dan masa tulah aku akan rasa tertekan sebab aku tak boleh nak maafkan.

Setiap kali aku baru nak memaafkan, kejadian itu pun akan berlaku balik. Banyak usaha yang aku cuba buat untuk maafkan dia. Aku tanya pendapat orang lain, banyak cadangan-cadangan yang bernas tapi satu pun tak berjaya.

Untuk pengetahuan semua, sekarang ni aku dah kunci bilik aku, tapi masih ada yang hilang.Cumanya kurang sikit dah kejadian ni. Kes hilang-hilang ni jadi kat bawah pula sebab bilik aku dah kunci kan.

Sampai bila nak macam ni, aku pun tak tau. Bukan aku seorang saja yang tertekan dengan isteri pakcik aku tu, ibu aku pun tertekan. Kes ibu aku tu kes lain pulak.

Nak cerita dekat sini kang panjang berjela pula. Kisah kejadian aku ini pun dah berjela-jela. Tapi hint yang aku boleh bagi tentang kes ibu aku ni adalah keras kepala dan bodoh sombong.

Aku rasa setakat ini sahaja luahan aku kot. Ini pun dah rasa berjela-jela panjangnya. Banyak lagi yang aku tak cerita, takut berjela-jela. Ini pun banyak dah yang aku kerat-kerat.

Terima kasih kerana sudi membaca dan terima kasih juga kepada yang memberi nasihat, pandangan dan teguran. Masf kalau luahan aku ni banyak ambil masa korang semua.

Manusia yang tertekan,

– Cinta (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *