Assalamualaikum. Aduh, banyak pula lalu kisah mertua pengotor ye. Rasa migrain juga membacanya. Jadi mari la kita hiburkan sekejap minda dengan cerita yang baik2 pulak.
Ikutkan boleh juga saya confess tentang keluarga saya yang juga tak berapa pembersih, tapi jangan la pening2 kepala. Saya cuma nak kongsi tentang keluarga mertua saya yang sangat2 baik.
Saya kenal dengan suami hanya setahun sebelum kami putuskan untuk bernikah. Sebabkan jarak negeri yang jauh, kami terus dengan pernikahan saja tanpa risik dan tunang. Keluarga suami juga bukan dari kalangan yang berkemampuan.
Saya tak pernah berjumpa dengan keluarga suami apatah lagi berhubung sebab menurut suami, keluarganya bukan jenis yang sporting.
Debar jugak mendengarnya. Apalagi dimomokkan dengan kata orang yang mengatakan kebiasaan mertua dari negeri suami tak sukakan orang luar. Bertambah debarnya.
Lepas kahwin, terus ikut suami balik ke kampung dengan kaum kerabatnya. Hati rasa berbunga sangat sebab dilayan sangat baik dari nenek, ibu saudara dan keluarga mertua sendiri.
Sebabkan saya jarang berjalan jauh, jadi pertama kali tu macam2 rasa ada. Loya, tak sedap perut dan sebagainya. Di perhentian rehat, saya elakkan makan sebab tak sedap perut.
Tapi ibu saudara suami risau amat, dipesan teh suam dan dicedokkan kuah singgang untuk saya. Dipaksa makan agar keadaan tak melarat bila masuk angin.
Di hari pertama nikah mak mertua saya dah sapukan minyak di belakang badan saya supaya rasa lebih baik. Tanpa rasa kekok, dilayan sama bak anak sendiri.
Hari ini selepas 5 tahun perkahwinan, walau makin ramai pertambahan biras, mertua saya tetap layan saya sama. Layanan masih sangat istimewa setiap kali balik kampung. Makan saya dijaga sangat baik kerana pernah diserang gastrik teruk dirumah mertua.
Masa tu, masyaAllah. Mertua sampai bekalkan biskut didalam bilik untuk saya makan bila lapar. Disediakan flask air dalam bilik, semata untuk mudahkan saya dan menjaga kesihatan saya.
Jujurnya, saya rasa sangat bersalah setiap kali di rumah mertua. Saya seorang yang mudah sakit. Silap sikit sakit kepala. Silap sikit sakit perut. Tapi mertua sangat2 memahami. Tak pernah sekali dirungut atau dikutuk belakang.
Selalu pesan pada suami untuk beri saya rehat yang cukup. Berpesan pada suami untuk jarakkan kehamilan atas kesihatan saya yang kurang baik. Dan saya lah yang paling bahagia bila suami ajak balik kampung, hehehe.
Paling seronok, mak mertua sudi berkongsi cerita dengan saya. Suami pun tak berapa tahu cerita muda mudi mertua. Tapi saya dah boleh wariskan cerita cinta mertua saya pada anak2 hahaha gurau saja.
Bab pembersih tu lagi laa tak perlu dirisaukan. Setiap kali balik kampung, cadar masih berbau pelembut baju. Habuk sekelumit pun tak ada. Berkali2 pesan saya boleh buat sendiri. Tapi tetap disediakan.
Pernah sekali ajak suami buat kejutan balik kampung sebab taknak susahkan mertua kemas bilik. Ehhh waktu sampai tu mertua terus tinggalkan kain yang sedang disidai untuk kemas bilik. Suami senyum simpul aje.
Maaflah andai coretan ini mengguris mana2 pihak yang terasa hati dengan keluarga mertua. Alhamdulillah rezeki saya dapat keluarga mertua yang sangat2 baik.
Namun jangan ditanya tentang keluarga sendiri. Setiap kita mempunyai jalan cerita berbeza. Manis disini, pahit disana. Takkan ada cerita sempurna.
Namun usaha lah untuk syukuri sekecil2 nikmat Tuhan yang terbentang luas. Letakkan sedikit rasa malu pada Allah sebelum merungut. Saya bukan bercakap besar kerana mertua saya baik.
Saya diuji dengan keluarga sendiri, namun dari saya biarkan diri saya sakit kerana sikap yang tak dapat saya ubah, saya putuskan untuk mensyukuri setiap kebaikan dan rezeki di sekeliling saya. Dengan itu, segala resah kecil akan mudah untuk saya redhai.
Diuji itu pasti, bagaimana keputusan terakhir dalam ujian itu adalah atas penerimaan kita. Kita bukan nabi, lemah dan putus asa sifat neutral manusia. Tapi berbaliklah pada Dia walau hanya sakit digigit semut.
Moga setiap ujian meningkatkan ketaqwaan dan iman. InsyaaAllah…
– Anonymous (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit