Introvert, Rendah Diri atau Over-Sensitive?

Tak tau nak bagi tajuk apa dekat confession ni.. jalan cerita mungkin kurang tersusun. Saya menulis disini pertama kali untuk mendapatkan semangat positif daripada pembaca-pembaca sekalian. Saya down…

Saya kenalkan diri sebagai Ati. Saya dah berkahwin hampir 6 tahun. Belum dikurniakan zuriat. Kampung halaman saya dan suami juga sangat jauh. Seorang di Sarawak, seorang di Semenanjung.

Sejak PKP ni, kami suami isteri tinggal di rumah mak mertua. Sebelum ini kami bekerja dan menetap di kampung halaman saya.

Tapi kami tidak tinggal di rumah keluarga saya kerana alasan suami dia tidak selesa. Saya faham dan bersetuju untuk menyewa rumah. Family saya juga tidak kisah.

Sepanjang kami berkahwin, dan tinggal di kampung halaman saya, suami sentiasa mancari jalan untuk pulang ke kampung halamannya. Walaupun tiket flight harga mahal, dia tak kisah. Walaupun terpaksa apply cuti, dia sanggup.

Saya? Saya pun tak kisah kerana keluarga suami saya melayan saya dengan baik. Ditambah dengan kehadiran anak-anak buah yang sentiasa menanti kehadiran saya kerana saya rajin melayani mereka.

Kalau berkumpul kat kampung suami tu, masa saya banyak bergaul dengan anak-anak buah saja.. tapi saya suka. Gembira layan mereka.

Kadang-kadang saya terpaksa minta cuti untuk ikut suami balik. Pernah satu kali, saya ambil cuti tanpa gaji, tapi kena jugak ‘work from home’ (sebab tiada pengganti) semata-mata untuk ikut dia balik kampung. Memang tak berbaloi, tapi saya sanggup.

Hampir setahun, sejak pkp tahun lepas kami sudah berhijrah ke kampung suami saya. Dia berhenti kerja kerana mendapat tawaran bisnes yang lebih baik di sini.

Sewaktu dia memujuk saya untuk turut sama pindah dan meninggalkan kerja saya sekarang, saya berfikir agak lama juga. Saya ada memberikan idea kepadanya untuk PJJ sementara waktu, tapi dia tidak mahu. Alasan dia, saya penguat semangat dia.

Memikirkan tentang tanggungjawab saya sebagai isteri, saya akur untuk berhenti kerja. Lagipun suami pujuk saya dan mengharapkan sokongan saya untuk mulakan bisnes.

Maklumlah daripada kerja stabil, gaji ribu-riban, nak berhenti kerja di musim pandemik ni, memang sesuatu yang rugi rasanya.

Salah satu alasannya nak berhenti ialah, nak jaga ibubapanya yang dah tua. Adik-beradik dia yang lain ada saja.. tapi tak boleh harap sangat. Yang boleh harap semua duduk jauh-jauh. Jadi saya setuju. Saya pujuk ibubapa saya yang kelihatan agak kecewa.

Tapi ibubapa saya sangat baik. Mereka terima keputusan kami dan memberi kata-kata semangat untuk kami. Memang saya rasa keputusan kami itu ‘serangan berani mati’ kerana sanggup berhenti kerja dimasa-masa pkp ini.

Bisness suami berjalan dengan baik dan perlahan-lahan semakin stabil. Saya juga ada bisnes kecil sendiri, walaupun pendapatan cukup-cukup sahaja, tapi bolehla merasa pegang duit sendiri.

Lagipun suami tidak lokek memberikan wang poket pada saya. Lagipun kami belum punya anak, tak banyak sangatlah perbelanjaan untuk kami.

Walaupun suami bekerja keras untuk bisnesnya, tapi dia kelihatan gembira berbanding sewaktu kerja makan gaji dulu. Tak apalah.. yang penting dia gembira. Dapat tengok mak dia, dapat lepak-lepak dengan sepupu dia, dapat duduk rumah dia membesar dengan selesa.

Memang boleh tengok, dia lebih gembira tinggal di kampung halaman sendiri. Tapi janji dia nak jaga ibubapa dia takde lah dia buat sangat. Dia sibuk dengan bisnes. Ke sana sini outstation tinggalkan rumah. At the end, yang jaga ibubapanya saya jugak.

Sekarang, hampir setahun kami tinggal di rumah mak mertua saya. Sepanjang tempoh itu, sudah beberapa kali kami cuba untuk balik ke kampung halaman saya, tapi tiket flight kami asyik dibatalkan.

Beli pulak tiket untuk bulan depan, dan perkara sama berlaku. Pilih lagi tarikh bulan hadapan, dibatalkan lagi. Begitulah berulang-ulang sehingga hampir setahun.

Setiap kali pilih tarikh baru, kami mesti akan bergaduh sedikit kerana saya merasa suami saya tak try hard pun untuk balik ke kampung saya. Kadang-kadang dia lupa bila tarikh flight kitorang yang sebenarnya. Nampak sangat dia tak peduli.

Padahal dulu, hari-hari dia cek tiket flight nak tengok bila boleh balik kampung dia. Kadang-kadang sebulan sekali balik. Dah tak macam duduk jauh saja dia. Lagi kerap dia balik daripada adik-beradik dia yang tinggal agak dekat dengan rumah keluarga dia adalaa.

Pernah sekali kami dah pergi ke balai polis untuk minta kebenaran merentas negeri, polis suruh isi borang, tapi suami tak bersungguh pun, alasan dia ada kerja nak buat. Last-last tiket cancel lagi..

Pernah dia cakap, “Nanti balik kampung awak, saya sekejap saja ye..awak nak duduk lama-lama pun tak apa” Alasan dia, busy.

Saya ok saja tapi jauh disudut hati saya, saya agak terasa. Yela, saya kalau balik rumah family dia, macam-macam saya yang kena buat. Mertua pun suka betul suruh saya itu ini.

Padahal anak-anak yang lain ade saja lepak-lepak tengok tv. Tapi saya tak kisahlah. Saya sedar saya cuma menantu. Memang kena struggle sikit untuk diterima masuk dalam family suami.

Suami saya?? Call parents saya tanya khabar, pun tak pernah. Kadang-kadang saya sindir jugak dia. “Entah-entah muka mak mertua pun awak dah tak ingat kan?” Ibu ayah saya?? Mereka sangat baik. Tak pernah terguris pun anak mereka ni tak balik kampung.

Tak komplen pun anak mereka ni dah tak hulur duit bulanan macam sewaktu kerja dulu. Maafkan Ati ibu..maafkan Ati ayah.. belum sempat berbakti dengan ibu ayah dah terpaksa pergi jauh ikut suami.

Setelah setahun duduk rumah mertua ni, saya semakin berubah. Saya dah tak try hard sangat nak jadi rajin. Kadang-kadang saya tak layan sangat kalau mertua saya mintak tolong.

(Kadang-kadang saja.. tapi kebanyakannya saya layan) Dan yang paling ketara saya dah tak gemar berkumpul-kumpul beramai-ramai dengan family suami. Sebabnya saya sebenarnya jenis introvert. Sejenis yang cepat penat bersosial dan lagi selesa duduk di bilik bersendirian.

Kenapa sebelum ni tak introvert? Sebab sebelum ni saya balik rumah mertua kadang-kadang saja. Jadi saya usahakan jugak untuk bersosial. Sekarang ni dah tiap hari duduk rumah mertua. Penat pun penat, bosan pun bosan.

Dahla keluar bilik kena bertudung tutup aurat, jadi lebih baik saya duduk dalam bilik saja. Oh ya, adik-adik ipar lelaki saya ada saja kat rumah mertua ni. Itu yang saya kena bertudung setiap kali keluar bilik.

Mertua saya? Mereka baik. Mereka pun kadang tak kisah kalau saya nak duduk dalam bilik saja. Cuma kadang-kadang saya tak selesa sebab mereka kerap sangat datang mintak tolong walaupun saya sedang berehat. Tak kira masa.

Tiba-tiba saja bukak pintu sambil laung nama saya. Saya yang tengah rileks-rileks baring memang laju jela bangkit dan menyahut.

Saya tau, mungkin mereka lagi suka suruh saya sebab saya confirm akan buat benda tu, berbanding anak-anak mereka, yang panggil 100x pun tak datang-datang. Tapi saya manusia, saya tahu penat. Saya tahu bosan. Tambah-tambah rimas nak bertudung 24 jam kalau kat luar bilik.

Bayangkanlah sepanjang 6 tahun perkahwinan kami, sebelum ni setiap kali balik kampungnya kalau nak masak-masak, memang saya jela yang berkicap kat dapur. Yang lain tolong sikit-sikit saja. Alasannya, mereka ada anak kecik.

Dah habis makan pun, saya yang kemas semua bagai, alasannya sebab mereka ada anak kecik. Kadang-kadang tengah buat kerja, kat situlah anak-anak buah merengek nak ajak saya main.

Saya sedar saya perempuan, saya sedar saya menantu, saya sedar saya tak ada anak lagi, tapi saya pun manusia, tau penat. Saya pun nak berehat-rehat walaupun tak ada anak kecik untuk disusukan, ditidurkan.

Perlahan-lahan fikiran negatif timbul dalam kepala saya. Melihat pulak layanan mertua saya kepada saya dan anak-anak mereka yang berbeza, menyebabkan saya berfikir,

‘Sekuat apa pun saya cuba, saya tak akan pernah dapat menandingi anak kandung, sebab saya cuma menantu’.

Saya tak kata mertua saya tak baik. Mereka baik. Melayan saya dengan baik. Tapi layanan mereka pada orang luar pun baik juga,haha.. Bezanya saya dipanggil kakcik, orang luar dipanggil nama.

Berbeza layanan mereka dengan anak-anak (ipar-duai). Kalau anak-anak balik, sibukla mak mertua saya nak masak macam-macam, nampaklah excitednya.. yang jadi helper kat rumah, sayalah..

Kadang terasa diri diperlakukan seperti pembantu rumah keluarga pun ada juga. Haha. Eh, saya tak kisah pun mertua nak excited buat itu ini kat anak, tapi please, suruh anak-anak lain tolong. Saya pun perlu me-time.

Fikiran jahat inilah yang menambahkan lagi rasa malas saya nak bersosial dengan keluarga mertua. Ditambah lagi saya yang belum pernah pregnant, saya jadi over sensitif kalau keluarga dia datang dan bersembang ramai-ramai.

Cerita pasal anak, pasal pengalaman bersalin semua. Saya yang duduk sekali kat sana tiba-tiba rasa bodoh. Tak ada apa untuk dicerita, sebab belum pernah alami. Saya menangis dalam hati, berharap topik diubah.

Untuk pengetahuan, saya ni jenis yang biasa-biasa saja bab pakaian, makanan. Tak kisah brand pakaian, jenis tak boros, tak kisah makan apa dan tidak meminta-minta pada suami.

Tapi berbeza dengan persekitaran keluarga suami saya. Mereka kerap bersembang tentang brand, emas, makanan-makanan fancy.

Tak kurang juga yang sembang pasal anak, setiap kali bersalin suami hadiahkan gelang emas. Nak gelak pun ada, nak nangis pun ada. Saya ni kalau ditakdirkan tak beranak di dunia ini,tak merasa agaknya gelang emas.

Dahla jenis tak meminta-minta kat suami. Kadang-kadang bersembang dengan mereka buat saya jadi sangat kerdil. Rasa tak layak join sembang. Kadang-kadang saya beransur perlahan-lahan dan menghilang ke dalam bilik. Itu lebih baik.

Mungkin faktor-fakto ini semua yang menyebabkan sikap introvert saya muncul semula. Saya penat bersosial! Penat layan keluarga suami! Saya jadi over sensitif. Saya rasa rendah diri. Saya kerap nangis. Mudah terasa. Kami kerap bergaduh.

Setiap kali bergaduh, saya menyesal dengan keputusan saya meninggalkan family dan berhenti kerja. Tak habis-habis saya rasa menyesal.

Saya rindu keluarga saya yang jauh. Walhal sebelum-sebelum ni, suami selalu ucap terima kasih untuk pengorbanan saya. Tapi manusia kan, mudah lupa.

Pernah saya utarakan pada suami, saya penat duduk di rumah mertua. Suami saya rileks saja cakap “awak tak payahla buat kerja kalau penat, manusia ada limit. Penat, rehat”

Betul kata suami saya.. tapi dia tak faham.. dia tak faham.. dah kalau mertua tiba-tiba terjengul depan pintu minta tolong itu ini, takkanlah saya nak kata taknak.

Dia tak rasalah.. sebab ibu ayah saya jenis yang segan nak minta tolong kat anak menantu. Berbeza dengan mertua saya. Menantu yang disuruh, anak-anak biar rileks. Haha. Dahla jenis malas tolong, penyepah pulak..

Emosi saya terganggu banyak sejak duduk di rumah mak mertua. Kadang-kadsng sebab benda kecik pun dah sensitif gila. Saya ni ambil tempahan menjahit dari rumah. Tak banyak sangat tempahan, tapi perlu jugak disiapkan.

Pernah sekali tu, saya rasa malas sangat nak memasak. Saya penat. Tengok pulak dapur bersepah, pinggan mangkuk kat sinki tak berbasuh. Kalau nak masak kena jugak basuh pinggan-pinggan tu semua.

Siapa yang akan buat kerja semua tu? Yes, saya! Jadi saya memang malas nak memasak waktu tu. Saya cakap kat suami saya, tak nak memasak berbuka hari tu. Memang muncung saya panjang sedepa sebab mengharap pengertian suami. Suami kata ok. Nanti dia beli lauk kat luar saja.

Tapi belum sempat suami beli lauk, saya dengar dah ibu mertua saya tung tang tung tang kat dapur. Masak. Ibu tak panggil pulak saya memasak.

Perasaan saya waktu tu, “alamak… ibu marah ke saya tak masak? Mesti ibu fikir saya pemalas. Mesti ibu menyampah dengan menantu pemalas macam saya” banyaaakkk sangat perkara negatif bermain difikiran. Saya nangis. Saya marah suami saya. Kami bergaduh.

At the end, saya tak join berbuka. Rindu ibu ayah kat kampung, rasa menyesal ikut balik kampung suami.

Banyak kali saya utarakan hasrat nak tinggal rumah sendiri. Suami kata okay, tapi tindakan tak ada. Nampak sangat dia selesa duduk rumah family dia. Ya, selesa pada dia, gangguan emosi pada saya.

Penat kot buat kerja sorang-sorang dalam rumah yang besar ni. Kalau ipar-duai jenis tak menyepah tak apa jugak.. Bergaduh, menangis memang banyak sangat sejak duduk disini. Saya banyak terasa hati. Over sensitif.

Keluarga mertua saya bukan tak baik. Mereka okay. Mereka layan saya seperti anak. Tapi anak ofcos bukan anak emas.. yang selekeh, yang kotor, yang busuk, yang berpeluh-peluh saya.

Anak-anak lain elok saja terbongkang depan tv. Belum lagi kalau anak-anak buah semua pakat nak main dengan saya.

Saya terkontang-kanting sendiri melayan anak buah. Masing-masing duduk bilik main hp. Layan budak-budak bukan sesuatu yang mudah okay. Sekejap-sekejap bolehla. Kalau 24jam mengekor masing-masing. Penat okay.

Mungkin saya yang over sensitif dan rendah diri untuk banyak kekurangan saya. Mungkin juga terlalu penat. Ke sebab saya seorang introvert? Mungkin juga terlalu rindu pada mak ayah saya.

Tolong doakan saya dianugerahkan kesabaran yang luar biasa. Tolong doakan saya tak mudah menyampah dengan keluarga suami. Tolong doakan saya dapat balik kampung peluk mak ayah saya.

Doakan juga hati suami saya terbuka untuk cepat-cepat pindah rumah sendiri. Doakan juga kami dianugerahkan zuriat sebab kami dah cuba macam-macam ikhtiar sebenarnya sampai tahap saya rasa saya give up pun ada.

Terima kasih untuk doa kalian. Semoga kita dilindungi Allah SWT selalu. Aamiin…

– Ati (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *