Pengotor atau Pembersih, Aku Yang Pasrah

Salam semua. Terima kasih pada admin yang memberi peluang untuk aku berkongsi cerita sedikit pengalaman hidup yang masih samar-samar akan penghujungnya.

Walaupun diberi kesihatan yang baik, namun dalam zaman pandemik ini, penghujung hidup kita mungkin akan tiba tanpa dijangka.

Dalam usia meniti 40an ini, apa yang aku ingin berkongsi hanya sekadar secebis pengalaman tentang aspek hidup yang agak viral di ruang ini ketika ini – sikap pengotor manusia.

Namun sebagai manusia biasa, seharusnya kisah sebegini sentiasa dijadikan peringatan untuk diri sendiri supaya tidak mendabik dada bermegah diri mengatakan kita seorang manusia pembersih dan akan sentiasa menjadi pembersih.

Jangan lupa, dunia ini hanya pinjaman. Sikap manusia ini boleh berubah. Hidup ada pasang surutnya.

Oleh itu, kita seharusnya sentiasa mengingatkan diri sendiri agar tidak memandang rendah akan orang yang amalan kebersihannya tidak seperti kita kerana mungkin tanpa kita sedar, suatu hari nanti we are the one wearing their shoes.

Sepatutnya yang buruk dijadikan peringatan kepada diri sendiri, yang baik dijadikan panduan.

Aku dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan kebersihan. Setiap aspek kebersihan rumah memang diteliti.

Tinggal di bandar atau kampung, dalam negara atau luar negara. Kebersihan memang menjadi amalan hidup. Tak sapu sampah walaupun sekali dalam sehari? Boleh menjadi point untuk dileter oleh ibu walhal rumah kami bukanlah semak atau berhabuk.

Pinggan berlonggok dalam sinki? Itu perkara luar biasa dalam rumah kami. Pakaian kotor berlonggok dalam bilik atau di mesin basuh? Never happen.

Mop lantai? Setiap dua hari sekali dan lantai rumah tidak dimop menggunakan mop biasa sebaliknya digosok dan dilap dengan tangan menggunakan kain atau berus agar lantai bersih dan berkilat.

Everything has its place, and everything should be in its place. Itu ajaran ibubapa pada kami. Ini menjadikan aku pada usia muda amat sensitif dengan kebersihan dan memandang rendah pada orang yang membiarkan rumah mereka dalam keadaan berhabuk, tidak kemas dan kotor.

Ditakdirkan pada zaman menyambung pelajaran, aku menyewa bersama rakan-rakan yang sama-sama pembersih. Tiada yang berat atau curi tulang dalam menjaga kebersihan rumah sewa.

Hidup ketika itu memang terasa bahagia dikelilingi suasana yang nyaman dan bersih samada di rumah sendiri atau di rumah sewa.

Aspek kebersihan di lokasi selain daripada rumah sewa dan rumah sendiri, aku masih ada toleransi walaupun tidak selesa dengan keadaannya.

Then the time come for some reality check. Aku dimurahkan rezeki diberi jawatan tetap selepas tamat pengajian tapi sebagai salah satu syarat untuk diserapkan sebagai kakitangan tetap,

Aku diwajibkan menjalani beberapa kursus. Ketika ini aku melalui kejutan budaya bila dikaitkan dengan aspek kebersihan.

Aku lalui suasana yang serba kekurangan dengan hati yang gundah namun disebabkan keletihan berkursus, aku boleh pejamkan mata seketika. Namun keadaan yang paling menduga jiwa adalah ketika menumpang di rumah keluarga angkat yang ditetapkan majikan selama dua minggu.

Ketika ini aku jadi sangat tidak betah untuk duduk di situ. Terkurung 24 jam dalam rumah atau persekitaran yang bertentangan dengan amalan kebersihan aku menyebabkan aku hampir tertekan.

Persekitaran rumah memang terlampau kotor (bagi aku) tapi di kawasan kampung itu, perkara sebegitu bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Buang sampah ikut tingkap rumah amalan biasa. Masuk dalam rumah, aku lihat sawang sana sini dengan pakaian berlonggok atas kerusi, lantai dan katil. Bilik yang diberikan kepada aku agak bersih walaupun berhabuk.

Rupanya itu bilik anak sulung mereka yang telah berpindah ke tempat lain dan tidak dibenarkan ahli keluarga yang lain masuk bilik itu tanpa kebenaran dia (menurut ibu angkat).

Bila masa untuk ke dapur, mengucap panjang aku seketika. Periuk dan pinggan mangkuk yang tidak berbasuh dibiarkan berlonggok di penjuru dapur. Atas meja makan dipenuhi dengan pelbagai barang. Ada yang dah berair dan berbau.

Sinki berlendir dan berbau. Sampah entah bila kali terakhir dibuang pun aku tidak tahu. Pinggan di rak berhabuk teruk. Bila masa untuk menyediakan bahan masak, aku sekali lagi terkejut bila ibu angkat dengan selamba menetak ayam yang hendak dimasak atas lantai tanpa dilapik.

Nasib baik ayam tu dibasuh sebelum masuk dalam periuk. Segala isi perut ikan, ayam yang tidak berguna hanya dicampak ke luar tingkap. Tidak hairan lah jika waktu malam, kawasan luar rumah ini jadi tempat babi hutan mencari makan.

Bilik air? Sama macam dapur. Berlendir dan hijau dengan lumut. Bahkan ada periuk dan pinggan mangkuk yang dibiarkan dalam bilik air. Jamban? Jamban terletak di luar rumah dan keadaannya memang bukan sesuatu yang biasa bagi orang yang terbiasa dengan kebersihan.

Hinggakan aku cuba menahan membuang air kecil dan besar selagi boleh setiap hari. Memang aku tertekan dengan keadaan hidup ketika itu.

Aku cuba mengubah amalan kebersihan mereka terutamanya di dapur. Setiap kali habis masak, semua perkakasan akan aku sental dan susun semula di rak.

Bahan-bahan atas meja, semua aku kemas dan buang sehingga meja makan boleh digunakan untuk tempat makan dan bukan lagi bersila atas lantai untuk makan.

Setiap kali menyediakan bahan masak, memang aku akan lapik dengan suratkhabar. Tiada lagi potong sayur atau ayam atas lantai tanpa lapik.

Ibu angkat aku mengeluh yang semua ni agak leceh baginya. Tapi aku pekakkan telinga sebab aku tidak mahu keracunan makanan dan terpaksa berulang alik ke tandas yang keadaannya tidak bersih itu.

Ruang lain aku tidak kacau sebab masih menghormati privasi tuan rumah. Yes.. Ketika itu aku memandang rendah akan mereka.

Dan tiada empati untuk menasihat atau mengajar tentang adab kebersihan di dalam rumah. Hanya ada perasaan geram dan sakit hati diletakkan dalam keadaan begitu.

Bagi aku ketika itu, mereka ini hanya orang yang malas dan tiada inisiatif untuk menjaga kebersihan rumah sendiri. Ya… aku menjadi bongkak ketika itu.

Nasib baik ada senior yang menyuruh aku bersabar dan mengingatkan aku yang ini sebagai salah satu bentuk ujian mental yang perlu hadap kelak dalam melaksanakan tugasan aku. Be humble, be patience, be understanding katanya.

Demi menjawat jawatan tetap, aku telan semua itu. Alhamdullilah, akhirnya aku berjaya menamatkan kursus (ujian) tersebut.

Tetapi pengalaman itu hanya menuntut secebis kesabaran dan pemahaman jika dibandingkan dengan apa yang aku alami kini.

Kini, aku telah berumahtangga dan tinggal berjauhan dengan ibubapa. Namun aku diberi rezeki untuk bertugas di kampung halaman sendiri beberapa tahun yang lalu dan menetap bersama keluarga di rumah lama kami.

Ketika inilah ajaran kebersihan oleh ibubapa aku dulu seolah menjadi satu ‘joke’ buat aku dan mengajar aku bawa Tuhan boleh mengubah hati dan akal fikiran manusia sekelip mata sahaja.

Keluarga aku yang dahulunya pembersih, kini adalah sebaliknya. Mungkin disebabkan faktor bertugas di perantauan, membuatkan aku ‘tidak nampak’ akan perubahan di rumah keluarga.

Balik ketika musim perayaan sahaja disebabkan perjalanan aku yang jauh. Rumah yang didiami oleh ibubapa dan 2 orang adik nampak semakin tidak terurus.

Rumah semakin besar tapi semakin semak. Berdebu, bersawang dengan pinggan mangkuk kotor di sana sini. Bahkan di bawah sofa di ruang tamu juga ada pinggan dan cawan yang dah berkulat.

Kulit buah-buahan yang dikupas semasa menonton televisyen juga dibiarkan tepi sofa. Dapur pun sudah nampak kurang kemas walaupun tidaklah terlalu kotor.

Bilik air masih lagi bersih disebabkan bilik air kami adik beradik adalah asing daripada bilik air ibubapa. Awalnya aku beranggapan faktor usia menyebabkan ibubapa aku terlupa dan letih.

Lalu adik-adik aku menjadi mangsa bebelan aku. Aku minta mereka faham yang ibubapa dah berusia dan penat untuk mengemas macam dulu.

Sewajarnya anak-anak put the extra effort untuk kutip barangan kotor mereka bila masing-masing ada di rumah. Bahkan aku turut cadangkan untuk upah cleaner secara mingguan agar kebersihan rumah lebih teratur.

Namun ditolak oleh ibubapa atas alasan tidak selesa jika ada orang asing mengemas rumah sendiri. Perkara ini berlanjutan dan keadaannya semakin hari semakin teruk. Lebih-lebih lagi apabila bapa meninggal dunia dan seorang adik berpindah keluar setelah berkahwin.

Setiap kali balik, memang aku akan menjadi penat mengutip cuci dan kemas rumah. Tiada istilah rehat.

Bila aku berpindah balik ke rumah itu, keadaan semakin teruk. Dengan sikap aku yang suka mengemas, menyebabkan ibu dan adik semakin lepas tangan.

Pernah aku pulang ke kampung mertua dan rumah sendiri seketika. Kepulangan aku ke rumah ibu disambut dengan periuk belanga yang busuk di dapur dan bangkai tikus yang telah kering di dapur.

Padahal sebelum keluar rumah seminggu sebelumnya, telah aku cuci dan kemas semua barang di dapur dan ruang tamu. Bila ditanya kenapa tidak cuci dan buang bangkai tikus, ibu aku hanya kata tunggu aku balik untuk buang sebab dia rasa benda tu bukan keutamaan dia ketika itu.

Adik aku? Katanya dia tidak masuk dapur untuk masak. Hanya makan di luar atau di bilik dia sahaja (bilik dia bersih. Berlawanan dengan keadaan rumah).

Ketika itu aku menangis sebab terlampau penat fizikal dan mental aku untuk menghadap semua ini. Suami aku suruh aku bersabar sambal membantu aku mengemas semula dapur yang kotor. Tapi peristiwa ini ada hikmahnya.

Mungkin ibu aku baru sedar isu kebersihan ini memberi tekanan kepada aku. Dan ketika itu baru aku sedar isu kebersihan ini bukan disebabkan faktor malas ibu dan adik aku sahaja. Ada faktor lain yang menyebabkan mereka seolah give up dan hidup dengan seadanya di rumah itu.

Ibu aku akui yang faktor usia dia menyebabkan dia terlupa dan tidak larat untuk mengemas macam dulu tapi itu bukan faktor utama.

Katanya, selepas bapa aku meninggal, dia tidak betah untuk duduk lama dalam rumah. Teringatkan bapa. Setiap kali mengemas, dia akan teringatkan bapa sebab mereka selalu bersama-sama mengemas rumah.

Memang aku akui, bapa seorang yang suka mengemas apatah lagi di musim perayaan. Tapi bila bapa tiada, semua itu hanya menjadi bittersweet memories untuk mak.

Katanya sakit rindu setiap kali mengemas lama-lama dalam rumah. Rumah hanya untuk makan, mandi dan tidur.

Waktu siang banyak dihabiskan di luar rumah dengan hobinya atau ke kelas agama. Bila kebersihan rumah merosot, dia hanya pejam mata sebab dia tidak sanggup mengemas dan mengimbau kenangan lama.

Hanya bila keadaan rumah terlalu teruk, baru dia akan tabahkan hati untuk mengemas semula.

Katanya bapa tentu sedih bila tengok keadaan rumah sekarang tapi dia sendiri seolah tidak sanggup untuk mengemas tanpa bapa.

Manakala si adik pula, dia telah berusaha untuk mengemas rumah semenjak bapa masih ada lagi walaupun kurang sihat. Tapi katanya dia pun manusia.

Ada rasa geram dan penat bila rumah yang dikemas jadi semak dan kotor semula. Sebab itu dia lebih suka berkurung dalam bilik selepas balik kerja. It’s her sanctuary katanya.

Akhirnya dia berpendirian untuk mengemas seadanya sahaja sebab tidak mahu membebankan mental dengan sikap ibu yang suka meletakkan barang di merata-rata tempat dan mengabaikan kebersihan rumah.

Dia tidak mampu untuk mengemas satu rumah yang besar seorang diri. Ya… aku akui tindakan adik aku itu ada betulnya walaupun di pandangan mata orang, dia akan dicop sebagai pemalas.

Aku tak salahkan dia sebab ketika itu we are wearing the same shoes cuma dia lebih lama bertahan berbanding aku yang baru beberapa bulan berpindah semula ke rumah itu setelah bertahun-tahun merantau untuk menyambung pelajaran dan bekerja.

Akhirnya aku pasrah dan hanya mengemas sekadar perlu bila di rumah itu agar tidak terlalu kotor dan semak tapi bukan lagi mencapai tahap kebersihan yang pernah diajar oleh ibubapa aku dulu. Semua itu supaya kesihatan mental aku tidak terjejas.

Aku penat dan pada masa yang sama, mahu menjaga perasaan ibu aku. Aku tau dia berkecil hati bila aku mengemas rumah dengan muka yang masam (aku manusia biasa – poker face is not in my dictionary).

Bila berpindah semula ke rumah sendiri, aku terasa lega. Lega sebab boleh mengemas rumah sendiri sesuka hati aku.

Pada suami dan anak juga, aku tidak memaksa mereka untuk mengikut amalan kebersihan yang ketat sepertimana aku lalui ketika membesar dulu. Cuma aku titikberatkan agar mereka menjadi pembersih dan tidak membiarkan rumah terlampau semak.

Tidak terlampau pembersih tetapi pada masa yang sama, bukan seorang yang pengotor. Bersederhana. Supaya tiada hati yang terasa dan tiada mental yang terbeban.

Rumah bukanlah a show house yang perlu sentiasa bersih berkilat. Apatah lagi rumah yang ada anak-anak kecil. Asalkan rumah kami kemas dan bersih seadanya sudah cukup. Yang penting, it’s a happy and healthy household.

In short, aku pelajari melalui pengalaman yang sikap pengotor manusia ini tidak semestinya disebabkan pemalas.

Ada yang disebabkan kurang pengetahuan. Ada juga yang disebabkan isu mental dan psikologi yang kita tidak nampak secara mata kasar. Only when we are in their shoes, then we will know.

Bukan hak kita untuk menuduh orang yang hidup dalam kekotoran tanpa memahami isu sebenar.

Tapi pada masa yang sama sebagai manusia yang berakal, faktor itu tidak boleh dijadikan alasan untuk membiarkan mereka terus hidup dalam kekotoran. Apa yang diperlukan adalah pendekatan yang bersesuaian untuk mengatasinya.

Bekerjasama sebagai satu keluarga atau bertindak sendirian, itu terpulang kepada mereka yang terlibat dalam isu ini.

Semua perlu mewujudkan win-win situation dalam hal ini. Tidak akan ada pihak yang 100% berpuas hati. Tidak akan ada hati yang tidak terasa. It’s a fight that you will only win as a team.

Maaf terlampau panjang coretan ini.

– Kaklong (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *