Menggigil tanganku untuk menaip. 9 Aug memberikan tamparan yang amat hebat, langsung aku terduduk merintih.
Aku bangun awal pagi tidak seperti selalunya. Biasa aku tidur lewat, selepas subuh baru tidur. Tapi entah mengapa, aku kepenatan sekali kelmarin. Hanya berbekalkan tidur 3 jam sahaja sebelumnya. Kepalaku pening, pusing.
Disebabkan aku masih datang bulan, aku terus tidur dari pukul 6 petang nyenyaknya sehingga 5 pagi esoknya. Tidak pernah aku tidur selamani laksana orang yang ngantuk lalu disorong bantal empuk.
Celik je mata, terus aku mencari telefon bimbitku, terlalu banyak notifikasi dari WhatsApp, entah apa yang mereka cari. Aku buka juga satu persatu. Seusai urusan di WhatsApp, tanganku laju meluncur menekan aplikasi Instagram.
Keluar terpampanglah posting Shuib Sepahtu berkenaan isterinya, Siti Sarah yang baru meninggal 5:13 pagi. Aku terkejut, berita yang sangat menyedihkan, kerana 2-3 hari juga kami menantikan khabar dari penyanyi itu yang sedang kritikal di ICU disebabkan oleh Covid-19.
Ya Allah, pemergiannya sangat dirasai oleh semua. Entah apa kuasanya, penuh sosial media. Dari WhatsApp, Twitter, Instagram, Tiktok. Penuh hari ini.
Bila dilihat semula, dia rajin sangat bersedekah, dia banyak bantu orang, banyak gembirakan hati orang. Sebagai seorang isteri, beliau sangat penyayang kepada suaminya. Suaminya ke kerja pun dia yang memakaikan stokin dan kasut.
Ya Allah, cemburunya aku dengan pemergiannya. Mati Syahid. Syahid dalam melahirkan anak, syahid meninggal kerana penyakit wabak. Dan meninggal pada hari isnin dan hari terakhir tahun Hijrah. Allah Allah.
Hatiku turut sebak. Bila waktu makan malam, aku duduk dengan mama. Bersama dengan cekodok udang, karipap, dan roti bakar yang mama hidangkan. Begitu berseleranya aku makan.
Di masa tengah makan tu, mama tertanya tentang babah. “Babah tak marah ke kakak tak balik?”, lalu aku membalas, “tadi erin dah wsap babah, mintak maaf sebab tak dapat balik”.
Aku bukan apa, aku takut nak balik. Penyakit covid-19 makin menjadi-jadi. Risau aku atau babahku adalah carrier, lalu berjangkitlah semua. nauzubillah. Tapi aku pernah menyatakan perkara tersebut kepada babahku, beliau memahaminya.
Dalam menceritakan tentang babah, entah apa yang boleh membangkitkan cerita berkenaan dengan pak usuku. Teringat dahulu, pernah kami berjumpa kerana kononnya, dia ingin membuat takaful denganku.
Aku tidak berfikir apa waktu itu, kerana aku sentiasa bersangka baik dengan manusia. 2 jam pertama elok sahaja cerita berkenaan takaful, bercerita tentang bagaimana dia melakukan perniagaan,
Aku asyik mendengar, yelah ilmu dari usahawan muda berjaya bagiku. Segala yang dikata aku masukkan dalam kepala.
Setelah puas menanyakan berkenaan takaful, lalu seterusnya. Pak Usu mula meceremahkanku betapa jahatnya aku terhadap babah. Betapa teruknya aku sehingga abaikan babahku.
Dia terus menerus ingatkan aku erti bersyukur, keluarga lain tidak semewah aku katanya. Waktu tu, aku menerima sahaja.
Kerana inilah aku, sangat baik kepada manusia. Hanya tahu jaga hati manusia, tetapi hati aku sendiri tidak. 2 jam juga diambilnya untuk menasihati aku, aku terima dengan hati yang terbuka.
Bila aku pulang ke rumah, aku jadi senyap tidak macam aku yang biasanya girang. Mamaku perasan perkara ini.
Pada mulanya aku berahsia, tetapi akhirnya aku kalah, aku terpaksa menceritakan segalanya kepada mama. Naik angin terus mama melihatkan ada orang buat anaknya sebegini rupa.
Menggigil tangannya waktu itu, terus dia menelefon pak Usu. Pak Usu angkat setelah keberapakali telefon.
Lalu mama menjelaskan apa yang berlaku sebenarnya. Tetapi Pak Usu waktu tu seperti bertengkar dengan mama kerana masing-masing hendak menguasai suasana.
Bila mama luahkan apa yang dia rasa, luahkan bahawa beliau tersepit dengan keadaan, dan membela diri, baru jelas dan jernih keadaan.
Pak usu meminta maaf kepada mama atas perkataan yang jahat tanpa usul periksa kepada mama. Dari sini, banyak aku belajar. yang pertama, aku harus membela adik-adikku dan mamaku walau sitausi merumitkan sekalipun.
Mereka sahajalah insan yang aku ada di saat aku susah dan senang. Yang kedua, aku tidak seharusnya menerima bulat-bulat dengan apa yang orang ceritakan. Sesetika, perlu aku untuk tarik nafas dan mencerna segala.
Sambung balik sewaktu makan malam tadi, aku pun mula membuka cerita berkenaan Pak Usu. Bila mama menceritakan semula tentang apa yang berlaku, baru aku tahu, sebenarnya mama tak salah, mama lakukan semuanya untuk aku dan adik-adik.
Baru aku tersentak ketika itu, bahwa mereka hanya salahkan aku atas apa yang aku buat.
Tetapi menurut mama, aku tak salah. Jadi, ada sedikit dendam di hati kepada Pak Usu kerana mengatakan aku seteruk rupa.
Katanya aku tak bersyukur, kerana lihatlah keluarga pak Udaku yang hanya cukup2 makan, lihatlah anaknya, bila sekolah, pakaian tak lengkap dan sebagainya. Aku jadi marah kerana itu.
Memang mama dan babahku siapkan serba serbi untuk aku, alhamdulillah. Tetapi aku masih berusaha, aku bukan bergantung sepenuhnya kepada mama dan babah aku.
Aku tidak menyambung pelajaran ke universiti terkemuka kerana aku tidak mahu memimjam PTPTN, dengan kos pelajarannya yang mahal.
Jadi, aku mengambil inisiatif untuk mencari tempat belajar yang murah kosnya, tanpa perlu meminjam. Dan aku jumpa Kolej Professional MARA.
Di sana, betul murah. Satu sem hanya RM300, elaun setiap bulan RM300, jangka belajarnya hanya 2 tahun, asramanya pulak percuma. Jadi, itu merupakan tindakan terbaik aku.
Aku tak perlu harapkan apa-apa daripada mama. Betul tafsiranku, mama dan babahku tidak perlu bersusah untuk keluarkan duit untukku. Mereka hanya perlu fikir tentang 2 lagi adikku sahaja.
Aku berjaya hidup sendiri dengan RM300 setiap bulan itu. Duit makanan, duit untuk modal berniaga. sejujurnya RM300 tidak cukup.
Tapi aku cari cara iaitu dengan berniaga. Alhamdulillah atas nikmatNya, jualanku sering laris. Dapat jugalah menampung pembelajaranku. Ada juga ketika, aku langsung tiada duit di kocek, bila mama tanya, “ada duit tak”. Aku malu, aku akan tetap cakap ada lagi ni mama.
Jangan risau. Padahal waktutu aku tak makan lagi, Kawan sebilikku, tiap hari makan sedap, aku hanya makan buah epal.
Bila ditawarkan kepadaku, langsung aku menolak. Aku kata “diet” sahaja. Padahal aku betul-betul lapar. Allah mudahkan urusanku, aku mula jadi ejen Takaful. Rezekiku melimpah ruah di sana.
Alhamdulillah. Impianku untuk teruskan bisnes telah aku jumpa. Benar Allah yang beri rezeki ini, tapi bukankah manusia juga harus berusaha?
Itulah antara persoalanku dan jawapanku yang aku ingin berikan kepada Pak Usu ku. Mereka tidak nampak jerih payah kami. Tanya khabar langsung tidak selepas mama dan babah bercerai.
Yang dinampaknya kami hanya hina, kotor, jijik kerana perlakukan babah. Padahal mereka tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya, hanya berharap kepada sebelah pihak sahaja.
Kami bina hidup baru dengan mama. Berpindah ke rumah sewa, kos hidup usah kata, lagi tinggi dari sewaktu babah ada. Ini hijrah kami.
Seusai makan, aku pun solat Maghrib dan membaca doa akhir dan awal tahun. Baru aku tahu harini merupakan Hari Akhir Tahun Hijrah.
Fikiranku waktu itu hanya selesai solat dan semua, aku ingin melelapkan diri sebentar kerana aku ingin bangun tengah malam. Jadi, aku tidak menunggu Isyak.
Mula-mula aku hanya berbaring, tapi tanganku dingin sekali, mungkin efek daripada aku mengetip jariku yang bengkak. Aku mula membetulkan posisi tidurku berkali-kali untuk mendapatkan posisi terbaik. Lalu aku pun lelap.
Suasana waktu itu bagaikan nyata, aku berjumpa dengan Pak Usu aku, aku luahkan apa yang aku rasa kepadanya, tentang sisi aku yang mereka tidak nampak. Perjuangan aku, usaha aku untuk bantu keluarga.
Aku terus sahaja bercakap tanpa henti, waktu itu aku terasa seperti semangat aku melonjak-lonjak.
Aku meluahkan dengan hati yang sakit sekali. Kelihatan Pak Usu terdiam, mungkin terkedu dengan perkataan yang meluncur dari bibirku.
Ini bukan Pak Usu yang aku kenal, kerana dia selalunya menguasai suasana, pantang dengar orang berkata, pasti ada je bidasannya. Tapi tidak ketika itu, pak Usu kelihatan menunduk dan menutup mata menggunakan tangan.
Dia berada di halaman luar, tengah duduk. Aku pula di dalam. Terdapat satu pintu yang terbuka di antara kami. Aku meluahkan segala yang terpendam, aku pun mula datang kepadanya.
Alangkah terkejutnya bila aku melihat ramai keluarga babah di luar. Aku pula sudah melampiaskan perasaanku.
Bermakna mereka telah mendengar dari awal pembicaraanku. Waktu itu, aku menangis semahu-mahunya.
Aku ingin menyambung perkataanku, tapi sedu sedan aku membantutkan segalanya. Suaraku seolah tidak sampai, yang hanya beberapa perkataan. Entah mereka dengar atau tidak selepas itu. Sakit yang amat.
Tiba-tiba muncul babahku, matanya kecil bagaikan baru lepas menangis, merah matanya memandang aku.
Dari matanya sahaja, aku dapat melihat kesengsaraan, kerinduan kepada kami. Tetapi, aku pula aku jadi takut, takut-takut dia terasa dengan apa yang aku telah perkata. Aku berharap bahawa dia tidak dengar.
Aku terus berlari, menuju ke rumah nenek. Dalam menuju itu, terlihat saudara mara terapatku tengah duduk di laman yang ada semak. Berdua bertiga.
Yang aku dengar hanya perkataan kasihan kepada kami. Aku berhenti, tidak mampu aku berlari lagi. Aku meraung waktu itu, meraung bersama adik-adikku.
Memikirkan tentang nasib-nasib kami. Sakitnya bebetul berada di dalam hati, perlu kami kais sakit itu dan meluahkan melalui tangisan. Aku menangis sehinggakan kami tidak boleh berdiri.
Ya Allah, sakitnya ya Allah. Sakit sangat dugaan yang kau berikan. Kami menangis seperti hati yang dirobek.
Orang-orang hanya berhenti di sekitar itu untuk melihat apa yang berlaku. Tetapi tangisan kami lagi menjadi-jadi, seolah-olah ingin mereka merasai apa yang kami rasa,
Seolah-olah ingin memindahkan segala kesakitan itu kepada mereka dan biar mereka pula rasainya. Begitu sekali sakitnya.
Aku lihat babah waktu itu, berlalu pergi. Sebelum berlalu, sempat aku cium tangannya dan peluknya. Dia berlalu pergi bersama dengan isteri barunya. Aku rindu dia.
Aku tidak berhenti menangis lagi. Aku seolah dapat kekuatan aku yang baru, lalu aku berjalan ke rumah nenek. Rumah nenek dan Pak Usu dekat sahaja, hanya perlu berjalan 1-2 minit, sudahlah sampai.
Kini aku berada di rumah nenek, ku lihatnya sedang membasuh pinggan dan mangkuk. Waktu itu aku sudah tenang sedikit.
Lalu aku berdiri di tepinya, mukanya bersih, putih, manis dengan senyuman seperti biasa. Dia pun selesai basuh pinggan mangkuk. Lalu aku memeluknya, tenang. Terus aku nangis semula, sakitnya. Aku meminta maaf kepadanya kerana waktu itu aku ingin pulang ke rumah semula.
Aku meminta maaf, “Nenek, maafkan segala silap erin, halalkan segalanya, nenek jela nenek yang erin ada dan tinggal”, lalu nenek berkata, “nenek maafkan segalanya dan halakan segalanya” aku menangis kerana aku banyak tinggalkan nenek, langsung tak jenguk dia.
Dia bertanya semula, “mana atok (belah mamaku)”, aku menangis kembali, “atok dah takde baru 2 hari lepas” Allah. Aku meraung sakitnya, kerana antara insan yang aku sayang adalah atokku.
Lalu, dengan sepantasnya, aku terbangun. Aku buka mata, aku melihat bilikku gelap. Terus rasa sakit itu sampai semula ke hatiku. Ya Allah, sakit. Aku terus menangis teresak-esak. Aku dengar perbualan adik-adikku di ruang makan, bilikku berdekatan dengan ruang makan.
Sambil menangis, aku datang kepada adikku. “Kau kenapa ni?” Mereka terkejut melihat aku sedemikian rupa.
Aku pergi memeluk adikku, meletakkan kepalaku di atas bahunya. Sambil menangis. Puas dia bertanya apa yang berlaku, aku hanya teruskan menangis. Terkejut dengan mimpi itu.
Adikku mula menjerit memanggil mama yang berada di tingkat atas. Mama turun dengan segera, melihat aku menangis, mama terus duduk di lantai bersila, ditariknya kepalaku ke pangkuannya. Teresak-esak lagi aku menangis. Ibu mana yang tak sayang anaknya.
Beliau seolah tahu apa yang aku mimpi. “mimpi babah ke?”, aku menggangguk. “mimpi babah meninggal ke?”,
Belum sempat aku menidakkan, mama berkata “Kalau mimpi orang yang meninggal tandanya umurnya panjang”, lalu aku pun menggelengkan kepala tanda itu bukan sebab aku menangis.
Aku pun mula membuka cerita dengan tangisan aku, “Erin mimpi nenek, erin mintak maaf kat nenek, tapi atok meninggal dah”. Allah. Mama memujukku, ditepuk belakangku bagaikan memberi semangat kepadaku yang kian rapuh.
Mama berkata “Tula, ni selalu tak call atok ni. Dah lama tak call kan?”. “dah solat ke belum ni?” Aku pun kata belum, “dah mandi ke belum ni?” aku jawab belum juga. Mama lekas memujukku, mengatakan mimpi ini mainan syaitan. Tetapi aku rasa, mimpi ini petunjuk.
Aku akui, aku sering mengabaikan orang lain, yang aku ingat adalah diri sendiri. Aku lupa orang yang dari jauh mendoakan aku. Aku pentingkan diri sendiri. Aku gagal berjumpa dengan mereka. Arwah nenekku, aku tak sempat menatapnya sebelum dia menghembuskan nafas.
Aku tidak sempat berbual dengannya, meminta maaf dan sebagainya. Aku tak sempat, aku terlalu sibuk dengan urusan duniawiku. Aku tiada masa untuk ‘pause’ hidupku sebentar. Sering sahaja, melalui babahku, arwah nenek menyatakan rindunya terhadap aku dan adik2.
Tetapi aku abaikan, aku tidak mahu berjumpa kerana waktu itu mama dan babahku baru bercerai. Aku lemah bahagian hubungan. Apa salahnya, aku telefon dia sebentar, menyakan khabar.
Tapi aku tidak sempat. Alangkah gembiranya, bila aku jumpa arwah di mimpi, arwah maafkan aku, arwah halalkan segalanya.
Dan atokku yang belah mama, dialah atok yang aku ada. Babahku tiada ibu dan ayah. Mamaku hanya tinggal seorang ibu. Bermakna aku punya atokku sahaja. Atok adalah nenek untuk orang Johor. Ya, aku juga gagal menanyakan khabar kepada atokku.
Aku tahu atokku sangat menyayangiku, aku rapat sangat dengan atokku. Bila aku pulang ke Kampung, terpancar sinar kebahagiaan dari senyuman dan mukanya.
Jadi, mimpi ini membawa mesej untuk aku sentiasa peka dengan orang keliling. Sanyangi mereka sementara mereka masih ada.
Kedua. Berkenaan babahku. Disebabkan babah dan mamaku bercerai, jadi agak susah untukku pulang ke rumah babah selalu kerana takut akan Covid.
Dia pula sering ke Terengganu bekerja sebagai O&G. Lagilah aku takut dengan carrier ke kan. Aku tahu perpisahan ini banyak memakan hati banyak pihak.
Antaranya babah. Dalam mimpi itu, matanya merah, matanya menggambarkan perasaan rindu kepada anak-anaknya. Aku gagal sebagai seorang anak. Gagal memberi kasih sayang kepadanya secukupnya.
Walaupun dia tidak tunjuk betapa dia kasih akan kami, tetapi ayah mana yang tidak menyayangi anaknya bukan?
Aku gagal sebagai kakak untuk memujuk adik-adik pulang ke rumahnya. Aku gagal pujuk adik untuk sentiasa tanya khabar tentangnya. Aku gagal. Tetapi aku janji aku akan berubah.
Pemergian Siti Sarah ni banyak membuka mata banyak pihak tentang memori. Memori ketika orang yang kita sayang masih ada. Ciptalah memori bersama semasa mereka ada. Tangkaplah setiap memori itu, simpanlah. Kerana bila kita rindu, pasti kita boleh lihat semula.
Terima kasih ya Allah, Terima kasih Siti Sarah. Allah kurniakan rasa Syukur dan muhasabah diri buat seluruh penduduk bumi. Pemergian yang memberi impak kepada ramai orang.
Al-Fatihah Siti Sarah, Al-Fatihah nenek, Al-Fatihah atok Tan & Atok Jali. Al-fatihah kepada semua insan terapat yang dah pergi meninggalkan kita semua. Al Fatihah kepada semua muslimin muslimat yang sudah pergi.
Semoga arwah mereka dicucuri rahmat, dan dimasukkan ke dalam golongan orang2 yang beriman, Allahu Aamiin.
Salam Maal Hijrah. Ayuh kita sama berhijrah ke arah yang lebih baik. Ini hijrahku.
– Yang Setia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit