Anak Bongsu

Assalammualaikum. Saya adalah anak bongsu. Kedudukan yang dijangkakan ramai sangat mudah, senang dan disayangi ramai. Berbeza pula buat saya.

Saya kehilangan ayah saya ketika saya berusia 10 tahun.

Boleh dikatakan kehidupan sempurna saya sebagai anak bongsu tamat selepas ayah saya meninggal dunia.

Ibu yang memegang tanggungjawab sebagai ibu dan juga bapa berusaha sedaya upayanya untuk menjadi yang terbaik tapi dia juga manusia biasa.

Saya merupakan anak kelima, mempunyai jarak 7 tahun dari abang saya, anak keempat.

Jadi saya menghabiskan waktu membesar saya banyak berseorangan kerana kakak dan abang-abang semua sudah berhijrah untuk bekerja dan melanjutkan pelajaran.

Menjadi anak bongsu tidak mudah buat saya kerana sentiasa dijangka untuk mendapat pencapaian yang lebih baik daripada adik beradik yang lain,

Sampaikan saya ada berbohong mengenai keputusan peperiksaan di sekolah menengah kerana takut dimarah dan dibandingkan dengan orang lain oleh ibu.

Apa yang saya buat selama ini, demi Allah hanya untuk ibu, malah bukan untuk diri saya sendiri. Tetapi saya seorang yang tegas dengan pendapat saya membuatkan saya sering melawan percakapan ibu.

Tiada langsung niat di hati untuk membuat ibu terasa tetapi apabila ibu mula mengungkit itu ini, saya menjadi ‘turn to defensive mode’.

Bukan ingin mengungkit tetapi saya seorang yang berdikari. Jika ada apa-apa yang saya ingini, saya tidak pernah meminta dekat ibu kerana saya tahu ibu tak mampu.

Jadi saya akan bekerja untuk mendapatkan apa yang saya nak — sambil belajar memandangkan sekarang hanya belajar melalui komputer, jadi saya bekerja part time.

Apabila ibu memerlukan duit, gaji yang saya dapat akan saya hulurkan serba sedikit kepada ibu. Ibu juga ada mengalami beberapa kemalangan, saya juga yang menjaganya selama beberapa bulan.

Tetapi apalah sangat yang saya lakukan jika dibandingkan dengan pengorbanannya sebagai ibu.

Bila kami bertengkar, dia sering kali mendoakan saya benda yang tak baik (saya hidup tak berkat, dapat anak teruk dll).

Saya sedih dan berkecil hati sangat sebab kalau dia berdoa, saya hanya dengar dia menyebut satu nama seorang adik beradik saya yang kurang bernasib baik dari adik beradik yang lain dan tak ada pun nama adik beradik lain termasuk saya.

Tapi saya tak pernah bagitahu dia bahawa saya berasa sedemikian.

Hari-hari seperti ini membuatkan saya rindu kepada arwah ayah saya. Tidak ada apa yang dia buat yang tidak membuatkan saya berasa dia ayah yang penyayang.

Saya tahu saya yang bersalah sebagai seorang anak. Tetapi bukankah itu tanggungjawab ibu untuk mendoakan yang baik-baik buat anak-anaknya?

Saya berdoa hari-hari semoga covid-19 ini berakhir dan saya boleh balik ke universiti secepat mungkin. Mungkin hanya dengan berjauhan hubungan kami akan baik.

Saya sayang sangat dekat ibu. Dialah tujuan hidup saya. Siapalah saya kalau bukan kerana dia.

Saya memohon kepada sesiapa yang membaca untuk mendoakan hubungan kami anak-beranak baik sehingga ke hujung nyawa. Aamiin.

– Anonymous 19 (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *