Izinkan Ku Ceritakan Kisah Aku

Salam semua warga IIUM Confession. Bertemu kembali atas rentetan kisah saya sebelum ini, “Ini Kisah Cinta Pertamaku” (https://iiumc.com/ini-kisah-cinta-pertamaku/).

Ada pertanyaan dan komen yang perlu saya jawab.

Apapun, terima kasih atas input dari tuan puan, positif atau negatif, saya hormati pendapat kalian semua.

Sejujurnya, itulah confession pertama saya berkaitan kisah saya dan M. Yang pasti, dia bukan Tun M, seperti lawak dari seorang netizen.

Ada yang marah betul, hingga kata, confession saya, bxxxsxxt, tetapi saya tetap rasa lawak, saya tidak ambil hati, orang putih sebut, lets agree to disagree. Saya menghargai setiap komen yang diberi, dan menerima dengan hati terbuka.

Saya tahu satu taboo bila mendengar cerita tentang seorang yang bergelar isteri mengakui masih tidak melupakan cinta pertamanya.

Apapun, ada perkongsian yang ingin saya kongsikan dari pengalaman yang saya tempuhi itu, namun mungkin ada yang tidak memahaminya kerana pengalaman hidup kita yang berbeza. Ada point yang cuba saya sampaikan, di akhir confession ini saya akan rumuskan.

Baiklah, saya cuba mengisi beberapa kelompangan cerita yang menjadi pertanyaan kepada pembaca IIUM Confession semua.

1. Ada yang bertanya mengapa saya berkahwin untuk kali kedua, apa yang berlaku pada bekas suami yang pertama?

Saya bercerai dengan suami yang pertama, bercerai hidup setelah mempunyai empat orang cahayamata. Mengapa saya bercerai?

Ada yang beranggapan saya bercerai kerana saya tidak dapat melupakan M. Sangkaan itu salah sama sekali. Saya bercerai kerana saya sudah tidak tahan menanggung perasaan kerana saya merupakan isteri yang diabaikan dari seorang suami yang tidak bertanggungjawab.

Jika saya ingin menulis kisah hidup saya bersama suami pertama, saya tahu ramai yang akan triggered dengan sikap seorang suami yang tidak bertanggungjawab dan suka mengambil kesempatan ke atas diri saya.

Janganlah menyangka saya bercerai kerana cinta pertama saya pada M. M tidak pernah ada sedikitpun pengaruh dalam rumahtangga saya, saya masih waras membezakan kenangan dengan reality.

Saya sedar diri saya adalah seorang isteri dan ibu, saya sangat menjaga pergaulan dan saya bukan perempuan jiwang yang setiap waktu terkenang cinta pertama. Saya bukan peminat drama cinta Korea atau peminat novel cinta.

Saya menghindari semua itu kerana saya tidak mahu dihantui perasaan yang mungkin di luar kawalan saya, walaupun hidup saya bersama suami pertama bukanlah sebahagia seperti yang diharapkan.

Saya tidak kisah sangat dengan kebajikan diri saya, saya ada anak dan saya ada kerjaya yang saya suka dan kawan-kawan yang baik, ia sudah cukup untuk membuat saya sentiasa senyum dan ceria, sekurang kurangnya itu yang kelihatan secara luarannya.

Menjadi ibu kepada 4 orang anak dan dalam masa yang sama bekerja dan ada ketikanya saya juga menyambung pengajian hingga berjaya memperolehi PhD, menjadikan hari-hari penuh terisi hingga kadang-kadang tiada masa untuk diri sendiri.

Sepanjang perkahwinan, saya setia dengan suami saya, tetapi ada masa seperti balik ke kampong, atau terjumpa M semasa majlis keraian, tentulah ia akan automatik membuat ingatan saya kembali kepada kenangan lama.

Mengingati kenangan bukanlah satu dosa dan kenangan itupun kenangan biasa.

Contoh, bila lalu depan rumah keluarga M di kampong saya, tentulah saya teringat pada M. Bolehkah kita kawal ingatan kita sebab ia kadang-kadang datang tanpa kita rancangpun.

Lainlah jika saya layan perasaan sambil peluk bantal, membayangkan M dengan penuh rasa rindu, itu memanglah sangat keterlaluan dan tidak waras. Tetapi itu tidak pernah berlaku, saya masih waras mengawal perasaan dan pemikiran.

Sebenarnya, saya cuba bertahan berbelas tahun tetapi segala pengorbanan saya, sifat saya yang tidak berkira dengan duit walaupun hampir 90 peratus perbelanjaan rumah saya yang tanggung, bagaikan seperti tidak ada penghujungnya.

Walaupun saya berpelajaran tinggi dan bekerjaya professional, saya agak naif untuk menyedari sikap suami yang mengambil kesempatan ke atas saya.

Saya rasa saya menjadi isteri yang baik kerana berkorban untuk rumahtangga, sedangkan kelemahan itulah dieksploitasi oleh bekas suami, hinggakan 17 tahun berkahwin, tidak pernah dia memberi nafkah bulanan atau membelikan hadiah untuk saya.

Segala perbelanjaan untuk diri sendiri, saya yang tanggung malah saya tanggung sebahagian besar perbelanjaan rumahtangga termasuk pinjaman rumah dan kereta. Setiap hari jadi saya, dia hanya memberi sekeping kad dan itu lah sahaja.

Apapun, saya bukan isteri yang demand, saya tak minta dan harappun hadiah yang mahal, Allah memang beri terus kepada saya rezeki yang baik, cukup segalanya. Alhamdulillah.

Dalam masa yang sama, saya tidak sedar yang saya banyak makan hati sebenarnya, saya penat. Penat bila banyak saya yang perlu saya usahakan sendiri.

Hinggakan untuk duit bersalin pun saya yang kena fikirkan sendiri, bila saya bertanya pada bekas suami, dia hanya menjawab tidak tahu.

Keempat-empat anak saya, saya yang sediakan duit untuk perbelanjaan ceasarean, anak pertama sebab bersalin ceasarean tidak dijangka, ayah saya yang tanggung semua belanja. Allahu.

Saya jaga aib suami, tak pernah saya mengungkit hal perbelanjaan, sebab seperti yang saya kata, saya naif.

Hingga pada suatu ketika saya sedar, saya hampir menjadi murung, jika saya biarkan saya di dalam suasana itu, lambat laun saya boleh menjadi gila.

Ada lagi perkara lain yang menyebabkan saya rasa saya boleh hilang waras tetapi saya rasa itu sangat peribadi untuk diceritakan.

Dia pernah menjadi suami saya, saya perlu jaga aibnya. Allahu. Maafkan saya, kerana tidak mampu bercerita lebih lanjut, saya masih trauma dan saya cuba melupakan semua hal yang menyedihkan yang berlaku.

Sejujurnya, hati saya telah kosong dan saya tiada apa perasaan terhadap bekas suami. Bukan sebab dia bukan cinta pertama saya, BUKAN. Tetapi saya yang tak mampu lagi menanggung bebanan jiwa.

Berbelas tahun saya pendam, saya sibukkan diri dengan kerja dan anak-anak, saya berusaha menjadi isteri yang baik tetapi maafkan saya, saya tidak mampu lagi. Enough is enough.

Ya, saya tiada jalan lain, saya mesti selamatkan diri saya kerana saya ada anak-anak dan ada kerjaya yang bagus. Jika berlaku sesuatu yang tidak baik pada kewarasan saya, tentulah ia akan menjejaskan semua yang saya ada.

Banyak kali saya berhajat untuk berjumpa psikiatri tetapi saya tak mampu untuk berbuat demikian. Saya memang jenis yang suka memendam rasa. Saya selalu anggap saya kuat tetapi hakikatnya kekuatan hati kita ada limitnya.

Berat sewaktu saya membuat keputusan tetapi itulah keputusan terbaik untuk masa depan saya. Bagaimanapun, kerana saya yang memohon perpisahan, bekas suami saya buat syarat, saya kena tinggalkan rumah dan anak-anak tinggal dengan dia.

Rumah itu rumah yang saya bayar dengan potongan gaji setiap bulan beribu ringgit, bekas suami tinggal percuma dan saya lah yang harus mencari rumah lain. Allahu.

Saya nekad dan saya terima syarat itu, saya tahu saya boleh bawa ke mahkamah tetapi saya sudah terlalu letih, penat, saya tak sanggup lagi.

Tentu pembaca heran mengapa bekas suami bersikap begitu? Sepanjang perkahwinan, saya terima dengan seadanya sikap dia. Seperti yang saya kata, rezki saya murah, sentiasa cukup dan saya tak berkira.

Bekas suami saya sudah terbiasa dengan gaya hidup seperti itu, tidak perlu bersusah payah untuk fikirkan soal perbelanjaan, setiap bulan, dia cuma bayar bil api dan air sahaja.

Gaji saya memang lebih banyak dari bekas suami, sebab tempat kerja suami tidak pernah naikkan gaji tahunan walaupun sudah lebih sepuluh tahun bekerja. Macam pelikkan, bekas suami boleh bertahan bekerja di syarikat begitu. Apa nak pelik, sebab saya yang tanggung semua.

Adakah saya menyesal berkahwin dengan bekas suami? Saya tidak menyesal kerana itu adalah takdir Allah, tentulah ada hikmahNya. Cuma saya sedih, saya tidak mampu mencintainya setelah apa yang dilakukan sepanjang perkahwinan kami.

Mungkin ada silap saya, mungkin saya bukan isteri yang baik, tak apa lah, saya terima takdir Allah dengan redha.

Sehingga ke hari ini, saya masih tidak dapat kembali ke rumah saya yang masih saya bayar setiap bulan itu, rumah itu sangat selesa sebenarnya, sebuah rumah banglo setingkat dan segala perabut yang ada di dalamnya, 98 peratus saya yang beli.

Anak-anak saya jumpa hujung minggu, atau pergi bercuti bersama. Mereka anak yang baik, saya tak mampu nak ceritakan bagaimana saya belajar untuk melalui hidup tanpa mereka bersama dalam satu rumah, kena ada satu confession lagi, untuk saya ceritakan bab selepas saya berpisah,

Tetapi Alhamdulillah, tiga dari anak-anak saya berjaya memasuki university dan seorang masih di sekolah menengah.

2. Mengapa berkahwin sedangkan saya tidak pernah melupakan cinta pertama?

Seperti yang saya nyatakan dalam confession yang pertama, saya berhenti berharap apabila saya mendengar M akan bertunang dengan gadis semaktabnya.

Saya sedih, saya kecewa tetapi saya redha kerana saya mahu melihat M bahagia walaupun bukan dengan saya sebagai pasangannya.

Ada yang bertanya mengapa M memilih untuk berkahwin dengan gadis itu? Sebab M salah sangka dengan saya.

Semasa di maktab, sepupu saya sama sepengajian dengan M. Sepupu saya jadi tempat M untuk bertanya hal saya. Saya tidak pernah berterus terang dengan sepupu saya bahawa saya meminati M.

Di university, saya ada ramai yang meminati, dan saya pernah ceritakan kepada sepupu tentang ada yang mahu hubungan yang serius dengan saya, inilah agaknya yang menjadi salah faham kepada M, bila sepupu saya bercerita saya sudah ada seseorang yang istimewa.

Sepupu saya bercerita, M dan gadis itu satu kumpulan usrah dan mereka cuba dijodohkan oleh jemaah tersebut, begitulah lebih kurang ceritanya.

Soalan mengapa saya berkahwin itu saya rasa bukanlah suatu soalan yang patut ditanyakan. Sudah tentu dalam hidup ini, saya mahu hidup secara normal. Itu fitrah kita sebagai manusia.

M sudah ada pilihan hati, saya tidak akan menganggu hidupnya lagi. Adalah satu ketidakwarasan, saya menzalimi diri sendiri hingga perlu hidup membujang untuk selama-lamanya.

Saya seorang wanita, banyak fitnah jika hidup membujang, saya harus optimis dengan masa depan saya. Kegagalan cinta bukanlah penamat sebuah kehidupan. Masih ada peluang dan harapan dan hidup perlu diteruskan.

Sebenarnya, sayapun sudah tidak sampai hati untuk mengecewakan perasaan lebih ramai lelaki lagi, saya bukan kejam dan tidak ada perasaan.

Hati saya penuh simpati, seboleh-bolehnya saya tidak mahu membuat orang kecewa kerana saya. Mereka tidak ada salah apa-apa, tetapi sayalah yang belum mampu membuat keputusan.

Tiada apa yang perlu saya tunggu pada M lagi. Saya terima bekas suami sebagai suami, dan saya harap pilihan saya akan membahagiakan saya dan saya menemui cinta yang baru.

Namun begitulah, jodoh itu rahsia Allah, akhirnya perkahwinan kami berakhir juga dan saya anggap ini adalah takdir Allah dan ujianNya.

Saya terbaca dalam komen di confession saya, ada menyebut reunion, mana tahu terjumpa dengan M. Memang ada saya terjumpa M semasa reunion, waktu itu saya masih menjadi isteri kepada bekas suami pertama.

Apapun, saya tidak berbual lama dengan M pun, hanya menegur bila terserempak.

Memang hati saya berdebar, dan perasaan aneh itu tidak pernah hilang. Ia lebih kepada rasa sayu dan tidak berdaya.

Saya boleh berbual dan bergelak ketawa dengan orang lain tetapi tidak dengan M. Terlalu kelu untuk saya menutur kata, saya takut saya berkata sesuatu yang tidak patut saya sebut.

Pertemuan itu hanya membuat saya rasa sedih, lebih baik tidak bertemu sebenarnya. Kami tidak pernah berhubung walaupun M masih tinggal di bandar berhampiran kampong saya.

Pernah juga terserempak di pasar dan sebagainya bila saya balik bercuti ke kampong, tetapi seperti biasa M akan sentiasa cuba menghindari dari saya.

Saya tahu dan saya perasan cuma waktu itu saya rasa hairan. Saya terfikir apakah salah saya, mengapa M tidak boleh berbuat biasa bila terjumpa saya. Apapun, saya tak memikirkan sangat soal itu, saya terlalu sibuk dengan kehidupan sendiri bersama keluarga.

3. Mengapa setelah bercerai, saya berkahwin kali kedua?

Setelah bercerai, saya keluar dari rumah kerana itu syarat yang diberi bekas suami, saya kena cari rumah sewa dan tinggal berkeseorangan. Situasi itu sangat asing pada diri saya setelah berbelas tahun hidup berkeluarga.

Ada yang berkata, mengapa tidak hubungi M? Buat apa saya hubungi M, dia ada isteri dan keluarga, saya tidak akan menganggu hidup dia, tidak sesekali. Saya hanya mahu dia hidup bahagia, cukuplah melihat dia hidup bahagia, itu juga kebahagiaan saya.

Seperti dalam confession yang pertama, saya kata saya ada penampilan menarik, orang kata ada rupa. Sejujurnya, saya tidak pernah kisahkan dengan rupa saya, saya tak pernah perasanpun saya cantik, pada saya, saya hanya biasa-biasa sahaja.

Cumanya, saya berkulit cerah, dan wajah saya yang selalu tersenyum. Ya, watak saya periang, happy go lucky, kadang-kadang clumsy, dan saya suka menggembirakan orang. Saya peramah dan suka berkawan.

Mencari pengganti atau seseorang untuk mengisi hidup saya bukan perkara sukar. Dalam usia awal 40an, saya masih menarik, dan tidak kelihatan berumur. Saya memang orang yang semulajadi menjaga penampilan sejak dari usia muda. Itu memang sifat semulajadi diri saya.

Saya bukan jenis yang suka mekap dan pakai baju yang mencuri perhatian tetapi penampilan saya sederhana tetapi saya tahu bagaimana untuk kelihatan menarik. Bukan untuk dilihat atau dipuji orang, tetapi itu untuk kepuasan hati saya sendiri.

Ya, saya akhirnya berkahwin dengan seorang duda, dia kawan sama sekolah saya walaupun sebenarnya semasa zaman bersekolah, saya tidak pernah hiraukan dia walaupun dia kelas sebelah.

Cuma apa yang saya ingin ceritakan, saya tidak tahu bahawa suami saya sekarang adalah sepupu kepada M.

Saya cuma tahu bila kami sudah berkahwin. Begitulah Allah aturkan jodoh kita. Sebab itu dalam confession pertama, saya cerita M menangis bila mengetahui saya berkahwin dengan suami saya sekarang.

Memang berita perceraian saya tidak sampai ke pengetahuan M. M tidak tahu saya bercerai, dia hanya tahu sesudah saya berkahwin dengan Z.

Alhamdulillah, perkahwinan kali kedua memberi saya suatu pandangan hidup yang baru. Baru saya merasa tanggungjawab seorang suami untuk memberi nafkah dan membimbing seorang isteri.

Walaupun Z sepupu M, mereka tidak rapat kerana keluarga Z telah berhijrah ke negeri yang berlainan dan jarang bertemu.

Sewaktu Z beritahu, M adalah sepupunya, saya rasa masa itu wajah saya kepucatan, terkejut yang amat sangat. Jika saya tahu, mungkin saya berfikir banyak kali untuk menerima lamarannya tetapi inilah yang dikatakan jodoh. Ia sesuatu yang misteri dan tidak dijangka.

Doakan kebahagiaan kami, Z sangat baik apapun, bekas suami saya telah menganiaya Z dan kini Z sedang menunggu perbicaraan yang asyik tertangguh kerana PKP.

Bekas suami menggunakan anak saya untuk mewujudkan pertuduhan dan fitnah yang sangat mengaibkan dan jika tuduhan itu tidak dapat disangkal, Z akan merengkok di dalam penjara. Allahu.

Doakan saya, semoga Allah beri saya kekuatanNya untuk menghadapi ujian ini.

Begitulah kehidupan saya, namun saya anggap ini ujianNya, yang saya harus tabah dan redha. Saya tidak akan bertanya mengapa saya di uji, bukan selayaknya sebagai hambaNya, saya bertanya.

Cuma saya harap Allah permudahkan urusan saya dan berakhir dengan sebaik-baiknya dipenghujungnya.

Sebelum saya mengakhiri coretan ini dengan rumusan, saya ingin berkongsi satu-satunya kisah manis saya dengan M. Kenangan manis. Saya pernah terima surat dari M, semasa saya form 5 yang di alamatkan ke asrama sekolah saya.

M tidak tulis panjang, dia cuma mengucapkan selamat menghadapi exam SPM, dan menulis, saya suka lihat drama (tajuk saya lupa) kerana wajah heroin filem itu cantik macam muka N (sayalah tu).

Kemudian ada lukisan sedikit di hujung surat tersebut, ada gambar bulan dan orang memandang bulan, dan ada perkataan, “Bacalah surat ini sewaktu bulan mengambang”. Allahu.

Masa saya terima surat itu, rasa macam dunia ini milik saya, terasa malampun seterang siang. Saya jawab surat itu, saya rasa saya tersilap menulis jawapannya, saya lupa apa yang saya tulis tetapi saya ada menyebut tentang kakak senior yang sukakan dia.

Saya menulis terlalu formal, saya tidak jawabpun usikan dia mengenai bulan mengambang, saya tidak beri responpun pada pengakuan dia tentang suka melihat drama tersebut kerana wajah pelakon yang seiras saya.

Saya menjawab seperti saya tidak ada rasa langsung perasaan pada M. Itulah kenaifan saya, itulah kebodohan saya, itulah kesilapan saya.

Sedangkan waktu itu, rupanya M baru menolak kakak senior itu yang bersungguh ingin berkahwin dengan M.

Itulah kali pertama dan kali terakhir saya terima surat dari M. Saya simpan surat itu sehinggalah malam terakhir saya sebelum berkahwin dengan suami pertama saya.

Hampir 7 tahun saya simpan baik-baik surat itu, yang saya akan baca bila datang rindu dan ingatan pada M. Ye, saya bakar surat itu hingga jadi debu yang berterbangan di bawa angin malam.

Baiklah, sampai kita kepada rumusan untuk menyimpulkan confession saya.

1. Cinta pertama itu satu kenangan mengusik jiwa, kita harus kembali pada realiti bahawa zaman itu sudah berlalu, ia hanya kenangan manis, yang di dalamnya berbaur 1001 rasa,

Ia indah seperti kita mengingati saat pertama kita makan aiskrim yang sedap, cuma perasaan itu lebih mendalam kerana kita merasanya dengan hati dan ia menyentuh kalbu.

2. Cinta itu tulus, jagalah ia baik-baik jangan melewati batas syariat dalam pergaulan dan berperasaan, cinta sepatutnya membawa kita kearah kebaikan bukan jalan kearah kemaksiatan.

3. Jangan pernah menyalahkan cinta yang kecundang, salahkan kelemahan diri sendiri kerana tidak mampu bersangka baik dengan takdir Allah.

Saya akhiri dengan madah dari penyair Kahlil Gibran,

Setiap orang muda pasti teringat cinta pertamanya dan mencuba menangkap kembali hari-hari asing itu, yang kenangannya mengubah perasaan direlung hatinya dan membuatnya begitu bahagia di sebalik, kepahitan yang penuh misteri.

Salahlah bagi orang yang mengira bahwa cinta itu datang kerana pergaulan yang lama dan rayuan yang terus menerus. Cinta adalah tunas pesona jiwa, dan jika tunas ini tak tercipta dalam sesaat, ia takkan tercipta bertahun-tahun atau bahkan abad.

– PUTERI MAYA (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *