Hi semua, ini pertama kali saya nak meluah dekat sini. Dah lama pendam sebenarnya, sampai rasa jadi barah dalam hati. Bukan niat saya nak memburukkan keluarga, sekadar melepas rasa.
Adik beradik saya ada ramai. Ada yang tinggal jauh dan dekat dengan rumah ibu. Ibu tinggal seorang diri kerana ayah sudah tiada dan beliau tidak mahu duduk di rumah anak.
Anak-anak pula semuanya ada komitmen masing-masing di rumah sendiri dengan bekerja dan anak-anak yang masih bersekolah. Kami adik beradik semua sangat rapat sehinggalah datangnya wabak COVID-19 dan PKP yang berpanjangan.
Kami tidak dapat pulang ke rumah ibu kerana kita semua tidak boleh merentas daerah dan negeri. Jadi adik beradik yang duduk berhampiranlah yang tolong menziarah dan memenuhi keperluan ibu.
Kami yang jauh hanya mampu bertelefon dan mengirimkan wang sedikit apa adanya memandangkan musim PKP ini pendapatan kami sekeluarga pun tidak begitu stabil.
Sengketa bermula apabila ada adik beradik yang duduk berhampiran dengan ibu mula mengungkit-ungkit jasanya mencukupkan keperluan ibu di kampung. Saya namakan beliau Z.
Z mula menyindir kami yang tidak dapat pulang ke kampung dan mengatakan kami lepas tangan terhadap tanggungjawab sebagai anak kepada ibu. Z kata dia tidak tahu apa akan jadi pada ibu jika dia tiada.
Ibu sangat malang kerana dapat anak seperti kami yang tidak mengambil tahu dan pulang ziarah ke kampung sedangkan dia juga tahu PKP ini semua orang pun tidak dapat pulang ke kampung.
Z kata kami tidak berusaha meminta surat polis untuk pulang menjenguk ibu dan biarkan ibu bersedih. Kalau ikutkan hati kami memang hendak sangat pulang, tak tertahan rindu pada ibu.
Keadaan semakin teruk apabila Z mula memaki maki kami adik beradik yang tidak pulang. Dia mula meninggikan suara pada ibu seperti sudah fed up hanya dia sahaja yang perlu melawat ibu.
Ibu kami sihat sahaja cuma beliau tidak pandai membawa kenderaan untuk membeli barang keperluan.
Z juga menghantar mesej memuji-muji diri sendiri mengatakan dia saja anak yang prihatin soleh dan solehah kerana melawat ibu.
Dia menghantar gambar dia dan ibu kemudian menulis di group whatsapp begini ‘tidak ada yang mampu menjaga ibu sepertimana saya buat, ada yang mampu or nak bantah ke’.
Pernah sekali Z datang ke rumah ibu dan ibu meminta bantuannya membetulkan bumbung yang bocor, lalu Z menengking-nengking ibu dan katakan kenapa tidak panggil sahaja kami pulang dan betulkan. Ibu kecil hati dan mengadu pada kami.
Situasi lain pernah juga ibu minta bantuannya membawa ibu ke rumah adik beradik kami yang juga tinggal berhampiran kerana ibu bosan sendirian di rumah,
Z memang membawa ibu ke sana tetapi mulutnya membebel dan mengatakan ibu orang tua tak sedar diri sudah mahu mati masih terfikir hendak berjalan dan bosan duduk di rumah.
Z juga sangat pantang mendengar ibu menyebut nama kami adik beradik yang tinggal jauh dan tidak pernah pulang sejak PKP apatah lagi jika ibu katakan rindu pada kami, Z akan mengamuk menengking-nengking ibu dan katakan suruhlah mereka balik kalau sayang sangat!
Mereka memang mahu lepas tangan dan sengaja tidak mahu pulang melawat ibu! Kasihan, meleleh air mata ibu ditengking anaknya sendiri.
Ikutkan hati mahu saja saya ambil ibu bawa pulang ke rumah saya, tapi takut juga kerana saya tinggal di zon merah dan tidak berani ambil risiko atas faktor umur ibu yang sudah tua.
Z katakan juga pada ibu dia tidak mahu ada apa apa hubungan lagi dengan kami yang tinggal jauh dari ibu ini. Bahasa mudahnya putus saudara. Semuanya kerana wabak COVID-19.
Saya rasa sangat sedih kadang kala terfikir untuk left group whatsapp keluarga kerana setiap hari ada saja kata-kata yang sangat mengguris hati ditulis oleh Z hingga mula terbit rasa benci pada Z. (Ya Allah minta dijauhkan daripada membenci adik beradik sendiri).
Setiap hari sebelum tidur saya berdoa moga Allah lembutkan hati Z supaya kami dapat berbaik seperti dahulu dan COVID-19 segera lenyap dari dunia ini dan kita dapat hidup kembali seperti dulu. Aamiin YRA.
Saya merayu kepada semua ambillah vaksin dan jaga SOP supaya kita segera menang melawan wabak ini. Percayalah, COVID-19 bukan selsema biasa dan sudah banyak meragut nyawa manusia.
– Icaa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit