Hak atau Tamak

Assalamualaikum W.B.T. Salam perkenalan dari saya. Kenalkan nama saya Cik.

Tujuan saya menulis luahan ini adalah untuk mendapatkan penjelasan atau pendapat yang bernas dari pembaca-pembaca page IIUM  Confession ini.

Sebab saya tahu, ramai dikalangan para pembaca tergolong dari golongan cerdik pandai.

Saya mempunyai ayah tiri yang telah uzur dimana dia menghidap strok ingatan dan sudah tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri. Makan disuap, mandi pun kena dibantu dan memakai pampers.

Ayah tiri saya mempunyai 2 isteri dimana mak saya adalah isteri kedua dan hubungan kami semua sangat baik.

Tiada masalah antara adik-beradik saya dan adik beradik tiri, setakat ni (masa depan saya tak tahu, sebab manusia boleh berubah sekelip mata)

Rumah mak saya dibina diatas tanah milik ayah tiri saya yang puas diperjuangkan di pejabat tanah kerana tanah ini merupakan tanah pusaka yang mempunyai banyak nama dari zaman nenek moyang lagi.

Semasa sihat, ayah tiri dan mak saya berulang-alik ke pejabat tanah hampir 2 tahun untuk menukar nama geran tanah kepada nama ayah tiri saya.

Ayah tiri saya terpaksa mencari semua sedara mara yang namanya berkaitan dengan tanah tersebut dan meminta persetujuan dari mereka untuk menyerahkan hak milik tanah kepada ayah tiri saya.

Memandangkan ayah tiri saya antara yang paling susah dikalangan ahli keluarganya, mereka bersetuju untuk menyerahkan hak milik tanah kepada ayah tiri saya.

Setelah selesai dengan persetujuan untuk menyerahkan hak milik, ayah saya berulang-alik pula ke pejabat tanah, berjumpa peseruhjaya sumpah, berjumpa pegawai tanah dan banyak pegawai-pegawai berkaitan.

Sangat mengambil masa, menunggu, bertanya kesana-sini hanya untuk memiliki sekeping tanah yang hanya sekangkang kera. Tanah ini tidak luas, tidak terlalu kecil juga. Cukup untuk dibina 2 biji rumah saja keluasanya.

Tapi, oleh kerana tekadnya ayah tiri dan mak saya untuk membina rumah diatas tanah sendiri, akhirnya geran tanah berjaya dikeluarkan.

Nama pemilik hanya nama ayah tiri saya seorang. Pegawai tanah pun ada cakap tanah ini kecil, tidak boleh dibahagi kepada adik beradik, hanya boleh dibahagi kepada anak sahaja sebagai tanah pusaka.

Setelah tanah itu menjadi milik ayah tiri saya, rumah kami pun dibina. Walaupun rumah kami biasa saja, tapi cukup selesa buat kami yang pernah menyewa merata-rata.

Ramai pihak NGO yang membantu dalam pembinaan rumah kami. Alhamdullilah kami mula selesa dengan kehidupan kami sekarang.

Pada satu hari, ayah tiri saya bangun dan mengadu pada mak yang dia lupa banyak pekara. Bermula dari situ, penyakit ayah tiri saya semakin teruk dan teruk.

Tiba-tiba, datang seorang manusia, kita gelarkan sebagai E yang merupakan adik kepada ayah tiri saya, meminta hak milik sama keatas tanah pusaka ayah tiri saya.

Ketika itu, ayah tiri saya sudah sakit dan banyak perkara yang dia lupa.

Jadi E ini semacam ambil kesempatan dimana dia membawa ayah tiri saya ke pejabat peguam untuk menandatangani satu surat peguam yang mengatakan bahawa E pun ada hak ke atas tanah ini, tanpa pengetahuan mak saya.

Bila balik, mak saya tanya E bawak pergi mana, ayah tiri saya macam ingat-ingat lupa dan beritahu pergi ke pejabat peguam.

Bila mak tanya pergi buat apa, ayah tiri saya lupa. Tapi E ada tekan kan bahawa dia pun ada hak sama keatas tanah ini kepada mak saya.

E adalah seorang guru KAFA, suaminya pula seorang Guru (ustaz). Suami E mempunyai tanah berhadapan tanah pusaka kami dan dibina rumah yang besar diatas tanahnya itu.

Apabila mak saya tahu tentang surat peguam yang dibuat E, mak saya membuat keputusan untuk menukar nama geran tanah kepada nama adik lelaki saya (anak sulung mak saya dengan ayah tiri).

Penukaran nama ini dibuat tanpa pengetahuan E dan sudah beberapa tahun terjadi.

Pada suatu hari, adik lelaki saya menerima panggilan daripada suami E, dimana dia agak marah kerana baru tahu bahawa nama tanah ini sudah dipindah milik kepada nama adik saya, tanpa pengetahuan dia.

Dia memberitahu dia ada surat peguam yang dibayar sebanyak RM1700 untuk satu surat yang mengatakan dia ada hak sama ke atas tanah ini.

Persoalan saya, surat peguam itu ada kuasa ke atas tanah ini ke?

Adakah dia akan dapat hak milik sama keatas tanah ini melalui surat itu?

Kalau apa-apa terjadi pada ayah tiri saya, besar kemungkinan sebahagian tanah kami yang bersempadan dengan tanah mereka akan diambil.

Anak-anak tiri mak saya ada juga yang nak buat rumah diatas tanah ini, kalau E ambil sebahagian tanah ini, macam mana mereka nak buat rumah.

Kenapa E beria-ia benar mahukan hak ke atas tanah ini sedangkan dia orang kaya. Rumah pun besar dan ada juga rumah lain di tempat dia mengajar.

Kami hanya ada tanah sekangkang kera ini saja untuk berteduh buat ayah tiri yang sudah uzur serta mak saya.

Tolong saya dengan pendapat anda para pembaca. Sebab saya runsing bila tengok mak saya agak tertekan dengan perkara ini.

Terima kasih semua.

Ikhlas daripada,

– Cik (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *