Sukarnya Mencari Pasangan Hidup

Salam sejahtera, saya Mat berumur 20-an, dan hampir tamat pengajian pada peringkat ijazah.

Sedikit latar belakang saya, saya seorang yang boleh dikatakan idola rakan-rakan kerana sangat aktif dalam pelbagai aktiviti universiti, namun keputusan peperiksaan saya sentiasa hampir kepada 4.00.

Saya tidak merasakan diri saya pandai, tetapi saya berasa seronok dalam melalukan segala perkara, termasuklah belajar dan bermain di padang pada setiap petang.

Semua kenalan saya yakin bahawa saya mempunyai masa depan yang cerah, dan saya tidak menafikan pandangan mereka.

Berbalik kepada tajuk coretan saya, sehingga ke hari ini saya masih belum bertemu pasangan hidup.

Saya bukanlah begitu terdesak, namun dengan segala pencapaian sepanjang kehidupan saya ini, saya merasakan sudah tiba masa untuk saya fokus kepada mendirikan rumah tangga.

Sebagai seorang yang sentiasa menetapkan matlamat dalam setiap perkara yang saya lakukan, saya sudah berazam untuk berkahwin pada hujung tahun hadapan.

Sempatlah saya bergraduasi dan bekerja dahulu sebelum tiba masa tersebut.

Saya mempunyai ramai juga kawan perempuan, dan kebanyakan mereka masih tidak berpunya. Ada yang saya cuba tapi tak berjaya, dan ada juga yang saya nak cuba tapi tak cuba-cuba.

Ada yang saya cuba dan pada awalnya nampak macam ada harapan, tetapi belum sempat membuat langkah seterusnya, keadaan kembali menjadi sunyi.

Ada kalanya saya tertanya-tanya, adakah mereka ini tidak mahu mendirikan rumah tangga, atau mereka juga mempunyai kriteria khusus dalam mencari calon suami.

Saya juga mempunyai kriteria, iaitu calon isteri mesti mempunyai ijazah. Kriteria lain saya tidak begitu kisah kerana saya percaya setiap orang ada kelebihan masing-masing.

Tapi itulah, sampai sekarang saya masih belum jumpa orang yang nakkan saya. Saya sampaikan terfikir macam mana orang lain boleh hidup membujang sepanjang kehidupan mereka.

Saya yang dikira masih muda ini pun sudah rasa tidak begitu selesa hidup sendirian sebegini.

(Itu adalah pemikiran hati saya sahaja, saya yakin insan yang tidak berkahwin juga tahu apa yang mereka mahu, dan saya hormat dan kagum akan keputusan hidup mereka.)

Oh ya, sebelum saya terlupa, saya sangat disukai oleh golongan makcik-makcik kerana cara saya menyantuni mereka, tapi yang saya belum berjaya disukai adalah golongan anak makcik-makcik, hehe.

Saya perlukan pendapat anda terutamanya wanita yang sudah bertemu pasangan hidup, apakah yang boleh saya lakukan untuk mencapai matlamat saya ini?

Saya terbuka kepada pandangan anda semua, semoga sedikit sebanyak bantuan kalian dapat membantu saya mencapai salah satu matlamat hidup saya iaitu mendirikan rumah tangga yang bahagia.

Terima kasih atas kesudian anda membaca coretan saya.

– Mat (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *