Salam pembaca-pembaca yang budiman.
Aku hanya nak meluahkan rasa tak senang hati aku dan minta pendapat kalian, betul ke tindakan aku ni beli rumah kedua kondominium under construction yang akan ambil masa 54 bulan (4 tahun 6 bulan) untuk siap.
Untuk pengetahuan pembaca, biasanya rumah under construction paling maksimum pun 36 bulan (3 tahun) diberi masa untuk siap, tapi yang ni special case siap dalam masa 54 bulan sebab Covid19.
Masa aku buat keputusan untuk beli ni, aku tak mintak nasihat dari sesiapa pun melainkan penjual tu sendiri, lalu termakan hasutan. Keluarga aku juga tidak tahu-menahu pasal ni, takut nak bagitau kang kena marah, hahah.
Rumah ni adalah leasehold, berharga RM465,200 yang terletak di sekitar Selangor, harga yang mahal untuk aku yang bergaji bawah RM3,000.
Rebate pun banyak juga, ada 10% MCO Package, 3% Early Bird dan 10% Bumiputra. Jadi harga S&P adalah RM365,500.
Apply loan Alhamdulillah dapat 90% (termasuk insurans MRTT) dan financing tenure selama 35 tahun. Mungkin kerana CCRIS dan CTOS aku pun cantik. Lagi 10% downpayment tu, sendiri bayar lah.
Tapi dari 10% downpayment tu, dapat 5% lagi diskaun tak ingat sebab apa, dan 3% diskaun sebab berjaya lengkapkan dokumen kepada bank dalam masa 14 hari, aku hanya perlu membayar 2% dari harga rumah, lebih kurang RM7,310.
Tolak booking RM200 yang sudah dibayar awal-awal, tinggal RM7,110 baki downpayment yang perlu dibayar (Tapi aku belum bayar lagi sebab nak bertenang & berfikir sejenak). Maksudnya, diskaun 8% dari 10% downpayment. Harap pembaca semua faham ya.
Antara faktor yang membuatkan aku bertindak membeli adalah kerana kedudukan strategik berdekatan dengan stesen MRT yang sedang dibina, kedai-kedai dan bank-bank pun berhampiran saja. Rumah ibu bapa pun hanya 15 minit sahaja, jadi mudah untuk aku menjenguk mereka.
Plan asal nak duduk sendiri bersama isteri tercinta yang masih belum wujud, tapi entahlah, sebab instalment bulanan tinggi, RM1,330.00 sebulan.
Aku tak cukup berfikir panjang masa membeli. Apa yang membuatkan aku agak kesal sekarang kerana masa untuk siap selama lebih 4 tahun. Sekarang aku berumur 33, jadi rumah akan siap pada umur 37-38. Apalah yang aku dah buat ni.
Sekarang aku masih bujang, tapi mana tau nanti jodoh dah dekat. Rumah lama lagi nak siap, menyewa la jawabnya. Cuma calon tak ada lagi lah.
Juga terdapat bayaran yang dinamakan “Progressive Payment”, iaitu bayaran untuk setiap fasa pembinaan yang telah siap.
Contohnya, jika bahagian cerucuk sudah siap nanti, surat akan sampai di rumah menyatakan aku perlu membayar sebanyak sekian-sekian kerana fasa cerucuk sudah siap.
Ini adalah hidden cost untuk pembelian rumah under construction. Tapi tidak lah terlalu mahal, mungkin dalam RM100-200 untuk setiap fasa.
Bahagian ni aku tak berapa jelas lagi pengiraannya sebab tak habis study lagi, melibatkan schedule H dan sebagainya, tapi formulanya aku tau, cuma kena tanya agent semula untuk pencerahan.
Jadi, untuk plan kedua, mungkin aku akan sewakan saja apabila siap nanti, tapi bayaran bulanan agak tinggi juga RM1,330.00.
Bukan mudah untuk mencari penyewa untuk cover bayaran bulanan sebanyak itu. Mungkin boleh sewakan ikut bilik, tapi leceh. Untuk duduk sendiri pun, rasanya terlalu tinggi untuk bayar bulan-bulan sebanyak itu. Komitmen sekarang pun cukup makan bayar.
Plan ketiga, cari kerja yang lebih stabil, supaya aku mampu untuk bayar bulanan rumah tu nanti.
Tapi tak apa, yang tu fikir kemudian bila rumah dah siap nanti. Tadi aku jenguk ke tapak bina rumah tu, mesin-mesin hitachi pun dah mula bekerja. Hari tu masa PKP tak bergerak langsung. Lega sikit rasa.
Untuk pengetahuan pembaca juga, rumah pertama aku telah disewakan kepada pekerja-pekerja kilang di kawasan perindustrian Klang,
Dan mungkin tak sesuai untuk aku diami memandangkan jarak yang agak jauh & agak serabut di area sana dengan kesesakan lalu lintas dan sebagainya.
Aku beli masa tu pun untuk pelaburan saja. Mungkin kalau rezeki dapat kerja di sana boleh la duduk rumah tu. Tapi untuk masa sekarang belum lagi.
Jadi, mungkin ada antara pembaca-pembaca IIUMC di sini ada pengalaman dan ilmu hartanah yang boleh dikongsikan, pendapat dan idea.
Betul ke tindakan aku ni, aku tak pernah ambil mana-mana kursus seminar hartanah, cuma paksa diri rajin-rajin membaca dan google.
Dan juga, apa jadi kalau aku tarik diri dan tak jadi untuk meneruskan pembelian, mesti ada denda & penalty kan, mungkin ada pengalaman pembaca yang boleh dikongsi.
Jika ada pendapat, kecaman atau teguran, dipersilakan. Aku terima dengan ikhlas dan hati yang terbuka dan akan baca semua.
Terima kasih.
– Leman Bujang (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit