Ralat Dengan Ejen Insurans

Assalamualaikum. Nama saya Mawar (bukan nama sebenar). Saya percaya ramai di antara kita menggunakan khidmat agen insurans untuk menguruskan polisi insurans kita.

Biasanya apabila kita sudah bersetuju mengambil polisi insurans menggunakan agen tersebut jadi kita akan menggunakan khidmatnya untuk kita semua urusan tuntutan dan sebagainya.

Seperti mana saya, saya percaya ramai lagi orang akan mempercayai 100% agen insurans mereka. Kebanyakan agen insurans yang berurusan dengan saya selama ini sangat beretika dan profesional.

Ingin saya tegaskan di sini, luahan saya ini tertumpu kepada etika perunding insurans yang berurusan dengan saya, saya namakan sebagai Malar (bukan nama sebenar) dan saya mohon kepada sesiapa yang mengambil polisi insurans mohon perjelasan sejelasnya daripada mereka.

Saya juga berkongsi cerita ini agar tidak ada yang lagi yang akan terkena seperti saya.

Cerita saya bermula 2018, di mana saya dihubungi oleh seorang agen insurans yang menawarkan polisi insurans daripada salah satu syarikat insurans di Malaysia.

Pada masa itu, saya dengan tegas menyatakan saya tidak berminat dengan mana-mana polisi insurans lagi memandangkan saya sudah mengambil perlindungan insurans dari syarikat insurans ini bermula 2007.

Apabila Malar mendengar polisi insurans saya diambil 2007 dia dengan yakin mengatakan bahawa insurans saya bukan pakej islamik.

Dia memainkan sentimen agama dengan cantik walaupun dia bukan saudara seagama. Saya jadi terpukul dan termalu dengan Malar sebab tidak mengambil polisi insurans yang islamik.

Saya yang tegas pada mulanya mula termakan dengan kata-kata dia. Saya katakan padanya saya memang tak nak tamatkan polisi insurans saya sekarang sebab saya dah bayar melebihi 10 tahun. Ye lah, insurans ini jika tamatkan awal maka kita akan rugi.

Malar menyarankan kepada saya agar menukar pakej insurans saya daripada pakej tidak patuh syariah kepada pakej islamik.

Dia juga mengatakan, saya tidak akan rugi apa-apa memandangkan polisi insurans itu akan bersambung. Betapa naifnya saya.

Tanpa kerugian, dan saya akan dapat sedikit imbuhan daripada pihak syarikat insurans beserta dijanjikan pengurangan bayaran sebanyak RM20 sebulan dengan hanya sedikit kekurangan perlindungan saya akan dapat pakej islamik.

Selepas saya bersetuju, bermulalah Malar melengkapkan semua dokumen dan dia menyerahkan kepada saya sendiri borang-borang untuk ditandatangani.

Apabila disuakan borang-borang yang banyak ni, sebagai manusia normal kita hanya membaca sepintas lalu dan menandatangani borang tersebut. Begitu juga dengan saya.

Beberapa bulan selepas itu, pihak insurans memasukkan sejumlah duit ke akaun bank saya.

Sebelum duit tersebut dimasukkan Malar ada menghubungi saya dan mengingatkan saya agar memasukkan sejumlah wang kepada dia untuk dia membayar penyambungan polisi saya.

Katanya selepas bayaran sekaligus ini, polisi islamik saya akan bermula pada 2007 dan bulan-bulan seterusnya akan dibayar menggunakan potongan gaji melalui biro angkasa dan tempoh matang polisi insurans kekal 20 tahun dan akan bermula 2007.

Malar ada menghantar satu pesanan whatsApp memberi nombor akaun peribadinya dan amaun yang perlu dimasukkan ke akaunnya untuk menyelesaikan urusan penukaran polisi tersebut.

Apabila wang dimasukkan oleh pihak insurans , saya menghantar pesanan kepada Malar menyatakan wang sudah ada dalam akaun saya.

Dia tidak membalas pesanan saya sebaliknya menghubungi saya melalui telefon.

Pada masa tersebut, gerak hati saya sudah terdetik jika pihak insurans yang sama memasukkan duit ini, kenapa syarikat insurans memasukkan duit ke akaun saya? Kenapa tidak mereka menyelesaikan urusan mereka sesama sendiri.

Saya menghantar pesanan kepada Malar mengatakan kemana dia akan buat pembayaran duit yang saya pindahkan ke akaunnya.

Sekali lagi dia tidak menjawab sebaliknya dia menghubungi saya melalui telefon. Selepas mendengar penerangannya, saya memasukkan duit sejumlah RM 3+++ kepada Malar.

Dipendekkan cerita, pada pertengahan tahun 2021, saya dimasukkan ke wad.

Memandangkan polisi insurans saya mempunyai faedah hospital RM100 satu hari jadi saya bertanyakan kepada Malar cara untuk melakukan tuntutan tersebut. Katanya dia akan mengisi borang bagi pihak saya.

Apabila ada masa dia lambat menjawab pertanyaan saya, saya menghubungi pihak syarikat insurans saya dan bertanyakan mengenai polisi saya.

Pada masa ini terbongkar, polisi insurans saya bermula Disember 2018 dan tiada apa-apa bayaran yang melibatkan pembayaran sekaligus.

Saya juga mula mengambil tahu mengenai polisi insurans saya yang terdahulu. Ternyata polisi insurans saya dahulu sudah ditamatkan sebelum tempoh matang dan sejumlah wang yang dimasukkan itu adalah jumlah imbuhan yang saya dapat.

Apa yang lagi mengejutkan insurans ini adalah dari dua syarikat yang berbeza. Memang saya rasa teramat ralat. Sudahlah ditamatkan polisi insurans saya sebelum tempoh matang, diminta pula duit insurans itu padanya.

Saya redha duit itu tiada atas kebodohan dan kelalaian saya tetapi penipuan ini saya rasa menyesakkan perasaan saya.

Saya mohon sesiapa sahaja selepas ini berurusan dengan mana-mana pihak agar lebih teliti sebelum menandatangani apa-apa borang.

Dalam ramai yang beretika terselit juga yang berperangai syaitan. Mohon semua berhati-hati dan ketahui hak anda.

– Mawar (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Assalamualaikum.

    Dulu-dulu seorang ejen takaful. Pelanggan saya ramai dari kalangan kawan-kawan sendiri. Hidup saya agak susah sebab masa tu wife tengah mengandung dan komisen saya tak sampai rm1k.

    Jadi apa yang saya buat? Saya songlap duit premium kawan-kawan saya. Ada yang saya dapat bayar balik, ada yang kantoi sebelum sempat bayar (tapi sekarang dah habis ganti )dan ada yang masih belum kantoi lagi sebab saya tak ada duit nak bayar.

    Sekarang ni saya dah tak jadi ejen insurans lagi tapi hidup saya tak tenteram. Walaupun sekarang saya ada kerja tetap tapi saya tak mampu lagi nak bayar dua polisi kawan yang masih belum kantoi lagi. Total dalam RM13k. Saya rasa macam bila-bila saja akan kantoi ni dan saya dah tak tahu nak buat apa. Perkara ini bukan berlaku dalam masa setahun dua tapi hampir 9 tahun.

    Saya betul-betul stress sekarang ini dan saya betul-betul menyesal dek kebodohan songlap duit takaful kawan saya. Kalau pasangan hidup saya tahu, silap-silap boleh bercerai agaknya. Makin hari makin hilang semangat saya dan saya selalu elak untuk berjumpa kawan-kawan lama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *